Untuk menghargai sesebuah seni atau karya, kita perlulah mengetahui dan memahami sejarahnya dahulu. Dengan memahami sejarahnya, kita akan memahami pergerakan-pergerakan seni yang mempunyai pelbagai gaya lukisan yang perlu difahami kualiti-kualiti formal dan ciri-ciri visual untuk kita kenal pasti sesuatu gaya lukisan tersebut. Setiap gaya lukisan sangat berkait rapat dengan ciri-ciri budaya, tempat, masyarakat dan sesebuah era atau zaman.

Sejarah seni bermula pada zaman prasejarah lagi, di mana lukisan awal yang telah ditemui pada dinding-dinding gua dan seramik yang dilukis oleh orang-orang purba. Salah satu contoh lukisan awal zaman prasejarah ialah lukisan pada dinding gua (cave painting) yang bertajuk “Hall of Bulls” yang ditemui di Lascaux, Perancis.

Lukisan itu dianggarkan telah wujud sekitar 15,000 – 10,000 sebelum abad Masihi lagi. Perkembangan seni terus berlaku mengikut peredaran zaman, maka wujudlah aliran-aliran seni seperti aliran seni Klasik, aliran seni Renaissance, aliran seni Romantikisme, aliran seni Impressionisme dan sebagainya. Seni terus berkembang sehingga ke hari ini di mana aliran pada era ini ialah aliran seni kontemporari. Sekarang saya ingin mengetengahkan tentang aliran seni Dada atau Dadaisme.

Apa itu Dadaisme?

Asal usul perkataan “Dada” masih lagi tidak jelas sehingga ke hari ini. Ada yang berpendapat bahawa perkataan “Dada” itu berasal daripada dua orang artis Romania yang bernama Tristan Tzara dan Marcel Janco yang sering menggunakan perkataan “da,da” yang bermaksud “ya,ya”  di dalam bahasa Romania. Selain itu, ada  juga yang berpendapat bahawa perkataan “Dada” berasal daripada perkataan Perancis yang sering digunakan oleh kanak-kanak Perancis untuk kuda kayu mainan.

Dada atau Dadaisme adalah satu aliran budaya, khususnya aliran seni yang bermula di wilayah yang neutral, iaitu di Zurich, Switzerland. Aliran ini timbul sebagai tindak balas kepada Perang Dunia Pertama (1914 – 1920) dan pemikiran nasionalisme yang banyak membawa kepada peperangan. Aliran Dadaisme mempunyai pengaruh terhadap kesusasteraan, teater, muzik dan seni halus.

Akar Dada dalam aliran budaya terletak pada avant-garde (radikal atau eksperimentasi) pra-perang, di mana tujuannya adalah untuk menumbangkan dan melemahkan sistem pemerintahan yang membenarkan perang untuk berlaku serta kepada penubuhan seni yang terikat erat dengan sosio-politik status quo.

Dalam kata mudah, orang-orang yang mengikuti aliran budaya Dadaisme ini adalah orang-orang yang memberontak dengan keadaan politik yang telah menyebabkan peperangan. Istilah anti-seni pula muncul sebelum wujudnya aliran Dada, yang dicipta oleh Marcel Duchamp sekitar 1913 untuk mencirikan karya yang mencabar definisi seni ortodoks, di mana seni sebagai sesuatu yang indah.

Dadaisme adalah “Anti-Seni”

Dada merupakan salah satu aliran seni, tetapi Dada bukanlah seni. Ia adalah anti-seni. Keliru bukan?

Dada adalah pergerakan seni konseptual yang pertama di mana tumpuan para artis bukannya pada estetika objek yang menyenangkan tetapi membuat karya yang sering membingungkan perasaan borjuasi dan yang menimbulkan persoalan yang sukar mengenai masyarakat, peranan artis, dan tujuan seni.

Artis-artis aliran Dada menolak logik, alasan, dan estetikisme masyarakat kapitalis moden, sebaliknya menyatakan protes yang tidak masuk akal, tidak rasional dan anti-borjuasi di dalam karya mereka. Hal ini berlainan pula sekiranya kita buat perbandingan aliran-aliran seni sebelum Dada, di mana aliran-aliran tersebut sangat menekankan estetika sesuatu perkara sehinggakan suatu ketika dahulu, seni didefinisikan sebagai sesuatu yang menyedapkan mata memandangkan, yang indah.

Datang pula Dada, di mana artis-artis mula membuat karya yang sangat tidak masuk akal dan membuatkan kita menyoal kembali “Ini yang dikatakan seni?”. Contohnya gambar yang telah saya selitkan di atas.

Ya, mangkuk jamban itu adalah sebuah karya seni oleh Marcel Duchamp yang bertajuk “The Fountain” pada tahun 1917. Marcel Duchamp hanya mengambil objek yang telah pun sedia ada (readymade object). Beliau tidak membuat jamban tersebut dan hanya membelinya di pasaran serta menulis “R.Mutt 1917” di atasnya. Aneh bukan?

Layakkan ia digelar hasil karya seni sekiranya ia bukan hasil yang dihasilkan oleh artis itu sendiri? Namun, apabila beliau meletakkan jamban tersebut untuk dipamerkan di pameran lukisan-lukisan, ia mencetuskan kontroversi sehinggakan karya itu disorok dari pandangan di dalam pameran tersebut. “The Fountain” adalah karya provokatif, terdapat banyak interpretasi yang telah dilakukan ke atas karya tersebut.

Ahli falsafah Stephen Hicks berhujah bahawa dengan memilih jamban sebagai subjek, mesej Marcel Duchamp sangat jelas, iaitu seni adalah sesuatu yang anda kencing ke atasnya. Ada juga yang membahaskan bahawa karya ini ingin menunjukkan hasil ketamadunan seperti jamban telah pun digunakan tetapi dimusnahkan kerana peperangan.

Dada juga adalah aliran seni yang mempersendakan sesuatu atau dalam bahasa Inggeris, make a joke of something. Marcel Duchamp sekali lagi telah menghasilkan karya yang provokatif yang bertajuk “L.H.O.O.Q” pada tahun 1919. Karya ini adalah contoh klasik Dada yang agak biadap terhadap seni ortodoks. Beliau telah mengubah poskad murah yang mempunyai lukisan Mona Lisa (1517).

Duchamp telah melukis misai dan janggut pada wajah Mona Lisa dan melabelnya sebagai L.H.O.O.Q. Sekiranya perkataan-perkataan L.H.O.O.Q disebut sebagaimana orang Perancis sebut iaitu “Elle a chaud au cul”, apabila diterjemahkan, ia bermaksud “She has a hot ass“. Duchamp berjaya menyinggung perasaan semua orang dan juga menimbulkan persoalan yang mencabar nilai artistik, kreativiti artistik dan kanun secara keseluruhannya.

Antara artis-artis Dadais adalah Francis Pibacia, Man Ray, Hannah Hoch, Andre Breton, Tristan Tzara, Marcel Janco, Hugo Ball dan ramai lagi.

Dadaisme Pada Masa Kini

Sedikit berbeza dari Dada pada zaman Perang Dunia Pertama, Dada kontemporari telah diterjemahkan dengan pelbagai definisi. Dari sudut pandangan seorang artis Dada kontemporari Philip Meersman berpendapat Dada menunjukkan perkara yang tidak dijangka, yang tidak diingini, yang jarang berlaku, dan eksperimen tanpa terikat dengan mana-mana peraturan. Dada memansuhkan semua peraturan, sekatan dan peraturan untuk berkembang melalui ketidakpastian. Manakala Heide Hatry berpendapat bahawa Dada adalah pencarian kemanusiaan di dalam kerosakan, di mana ia sentiasa terletak, sama ada kita suka atau tidak.

Ada yang mengaitkan pengaruh punk merupakan Dada pada masa kini yang mempengaruhi muzik dan fesyen. Kerana kedua-duanya tercetus akibat pemberontakan kepada apa yang dianggap normal tetapi mereka mengubahnya menjadi gaya seni dan reka bentuk yang tersendiri.

Sekiranya Dada terbentuk sebagai tindak balas kepada Perang Dunia Kedua, Punk pula terbentuk akibat daripada beberapa peristiwa pada tahun 70-an dimana krisis ekonomi dan budaya belia yang semakin menjadi-jadi. Sekiranya dahulu Duchamp mempersendakan karya Mona Lisa, pada zaman Punk pula, sebuah band yang dikategorikan sebagai Punk iaitu Sex Pistol telah mempersendakan Permaisuri England dengan lagunya “God Save Our Queen“. Kedua-dua Dada dan Punk menggunakan taktik kejutan untuk mendapatkan perhatian pihak awam dan pihak berkuasa.

Kini, budaya Meme pula tular. Budaya Meme yang menggunakan imej-imej untuk dijadikan bahan jenaka. Adakah ini Dada era baru?

Rujukan:

The Art Story. Dada. Diambil dari: https://www.theartstory.org/movement-dada.htm

threeroompress.com. 2016.  What Does Dada Mean Today? Contemporary Dadaist on Dada. Diambil dari: http://threeroomspress.com/2016/05/contemporary-dadaists-on-dada/

UK Essays. 2018. The Dada and Punk Movement. Diambil dari: https://www.ukessays.com/essays/music/the-dada-and-punk-movements.php

Stephen Hicks. 2004. Expaining Post-modernism: Skepticism and Socialism from Rousseau to Foucault. Scholargy Publishing.

Anastasia Chronopoulou. 2017. Dadaism Trivia: 15 Facts About The Lefties Art Movement. Useless Daily. Diambil dari: https://www.uselessdaily.com/world/dadaism-trivia-15-facts-about-the-leftist-art-movement/#.XOON18gzZPY

Visual Arts Cock. Dada Movement. Diambil dari: http://www.visual-arts-cork.com/history-of-art/dada.htm

Buku nota personal bagi subjek Appreciation of Art and Design: Illustrations & Chronology semasa belajar diploma.

Artikel disumbangkan oleh Anis Raihanah untuk The Patriots. 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Moving forward as one.

Comments are closed.