Isnin, 12 Oktober 202612 Okt 2026
Kronikel Dunia

Dadah Dan Peperangan

Dadah
dan peperangan tidak boleh dipisahkan bak irama dan lagu. Dalam sesetengah
tamadun atau organisasi, selain digunakan untuk tujuan perubatan, ada juga yang
digunakan untuk menambah keberanian pahlawan atau tentera bila melawan pihak
musuh. Mungkin ada yang mengatakan ia satu pembohongan tetapi ia digunakan
ramai pihak dari Yunani hinggalah pengganas Daish yang mencetuskan situasi
kacau-bilau di Timur Tengah.

Dadah dan dunia purba

Keberanian
merupakan antara ciri penting seorang perwira dan bagi setiap tamadun dari
timur dan barat, pahlawan sebegini menjadi kebanggaan masyarakat ketika itu.
Maharaja-maharaja Parsi misalnya memperkenalkan diri mereka sebagai pemerintah
yang adil dan berani. Sementara di China pula, Mengzi menerapkan falsafah
keberanian seharusnya menjadi sebahagian daripada tujuan utama kehidupan.
Keberanian dan kekuatan sebegini berpunca daripada diberi kurniaan Tuhan atau
mempunyai asal-usul kayangan seperti kes Hercules dan Achilles.

Ada
juga yang bergantung kepada herba atau dadah tertentu bagi membolehkan mereka
menjadi pahlawan yang disegani. Dalam kisah Odyssey yang menampilkan Odysseus,
pada satu ketika mereka tiba di satu kawasan yang dikenali sebagai ‘tanah si
pemakan bunga teratai’, satu wilayah yang dihuni penduduknya yang menghasilkan
makanan dari bunga berkenaan. Apabila peninjau-peninjau Odysseus merasa sedikit
‘madu’ yang dihasilkan mereka, mereka merasa tidak bermaya dan khayal sehingga
tidak mahu pulang ke kem mereka. Sebarang fikiran untuk kembali ke tanah air
hilang sepenuhnya selepas mereka merasa makanan yang dihasilkan penduduk
wilayah berkenaan.

Ubat
atau dadah sebegini bukanlah asing bagi penduduk di sebelah timur lebih-lebih
lagi untuk jenis tanaman yang mempunyai khasiat tertentu. Pokok kayu manis
misalnya diminati oleh tamadun China, Parsi dan Mediterranean Timur kerana
mempunyai khasiat merawat penyakit seperti sakit perut, sakit kepala dan
penyakit jantung. Bahkan, pakar perubatan Yunani terkenal Dioscorides memberi
preskripsi kayu manis kepada wanita yang mengalami masalah kitaran haid.
Sementara satu buku farmasi dari Sepanyol mendedahkan minyak buah pala boleh
merawat muntah-muntah dan cirit-birit manakala minyak buah pelaga pula
melegakan usus dan membantu mengurangkan kentut. Semasa era pemerintahan
Charlemagne, baginda mengarahkan rakyat memetik bunga mallow (sejenis tumbuhan
liar di mana batang dan daunnya berbulu) kerana mempunyai khasiat merawat luka
peperangan yang dialami tentera.

Selain
sebagai penawar penyakit, orang-orang terdahulu juga tahu bagaimana hendak
merangsang diri mereka terutama di ranjang. Satu catatan Arab menceritakan
individu yang mengalami masalah saiz alat sulit perlu menyapu campuran madu dan
halia pada bahagian alat sulit mereka. Tambah catatan tersebut, campuran
tersebut mampu memberi kesan hebat kepada pasangan suami isteri dan sekaligus
mengembalikan keharmonian rumahtangga yang terganggu akibat masalah ini.

Sementara
kitab Veda pula menceritakan khasiat kanabis atau ganja sebagai sumber
kegembiraan, penghapus kerisauan dan pemberi kegembiraan sehinggakan penjaga
tanaman itu tidak mahu berjauhan dari tanaman mereka. Sumber-sumber China tidak
mendedahkan kesan kanabis/ganja sehinggalah teks yang ditulis Pen Tsao Ching yang
mendedahkan sekiranya ia diambil secara berlebihan, ia akan mengakibatkan
halusinasi. Jika ia diambil secara jangka panjang, si pengambil boleh berhubung
dengan roh-roh dan merasa dirinya tidak terbeban. Peranannya sebagai intoksikan
sudah diketahui sejauh India, Parsi dan Timur Tengah sehinggakan ada yang
menasihatkan supaya ia tidak diambil secara berlebihan dan jangka masa panjang.

Tetapi
ada yang memilih untuk tidak mengendahkan lebih-lebih lagi bila direkrut oleh
Hassan as-Sabah, seorang pendukung Syiah Ismailiyah dan pengasas kumpulan
Hashashin. Menurut pengembara-pengembara dari Venice, beliau dikatakan
menggunakan ganja dan perempuan untuk mengumpan mana-mana individu yang mudah
termakan menyertai organisasinya Sebagai tukaran kepada dua perkara berkenaan,
mereka menjadi pembunuh atau pengacau kepada mana-mana organisasi di Timur
Tengah ketika itu sama ada Dinasti Ayubiyah yang diperintah Salahuddin al-Ayubi
atau tentera Salib. Tetapi itu tidak bermakna pula ia menyumbang kepada punca
kejayaan mereka dalam sesetengah operasi pembunuhan atau sabotaj.

Dadah
sebegini hanyalah ganjaran bagi setiap kejayaan yang diraih dan percayalah,
jika Hashashin cuba mengambilnya semasa beroperasi, mereka tidak akan mampu
menjayakannya. Mungkin atas sebab itu juga, pada abad ke-14, seorang pemerintah
Syria mengarahkan semua pokok ganja dimusnahkan. Jika ada yang masih mengambil
hashish semasa operasi pembanterasan ganja dilakukan, gigi hadapan mereka akan
dicabut sebagai amaran kepada sesiapa yang masih melakukannya. Ini kerana
baginda merasakan ganja menyebabkan orangnya tidak berkemampuan untuk melawan
lebih-lebih lagi bila wilayahnya diserang pihak musuh.

Dadah dan peperangan moden

Pada
abad ke-19, perdagangan membabitkan dadah masih lagi dibenarkan dan salah satu
tempat yang menjadi tumpuan eksport Britain ketika itu ialah candu. Dan apa
yang dibimbangkan ramai sejak beribu-ribu tahun lalu berkenaan ganja menjadi
kenyataan di China. Terima kasih kepada lambakan candu di pasaran, China yang
merupakan antara kuasa ekonomi dunia ketika itu terjejas teruk akibat lambakan
candu di pasaran dan mengakibatkan 4.12 juta penduduknya menjadi penagih. Isu
sebegini yang akhirnya mencetuskan siri Perang Opium antara China dengan
kuasa-kuasa Barat dan secara tidak langsung, benih permulaan kepada kejatuhan
Dinasti Manchu.

Jika
dadah mampu memusnahkan negara dalam konteks perang ekonomi, lihat pula dari
konteks peperangan moden. Pada Perang Dunia Kedua, kita menyaksikan jentera
perang Nazi melancarkan kempen perang kilat mereka pada tahun 1939 dan 1940
sehingga mampu menguasai sebahagian besar benua Eropah dari Oslo hingga ke
Paris. Kempen Blitzkrieg mereka ini dijana oleh sejenis dadah yang dipanggil
pervitin. Pervitin dihasilkan oleh syarikat farmasi Temmler dalam skala perindustrian
yang besar menjadi kegilaan ramai di Jerman tanpa mengira sama ada orang awam
atau tentera Wehrmacht. Penggunaan pervitin ini seolah-olah mengesahkan teori
Ubermen yang diagung-agungkan rejim Nazi Jerman yang melihat orang Jerman
sebagai orang Aryan atau bangsa super.

Pervitin
menjadikan tentera di perbatasan seperti Superman dan mampu melakukan perkara
yang dianggap mustahil seperti penawanan Kubu Eben Emael pada Mei 1940. Apa
yang menjadikan peristiwa ini luar biasa ialah kemampuan tentera Wehrmacht
seramai lebih 400 orang menawan kubu yang dikawal lebih seribu orang dalam
tempoh kurang daripada 24 jam. Kejayaan ini membentuk imej tentera Wehrmacht
sebagai jentera perang yang harus dihormati dan digeruni. Pervitin dikatakan
menambah kesedaran tentera, mampu berfungsi dalam keadaan kurang tidur, sebagai
perangsang prestasi dan menambah konsentrasi mereka di perbatasan.

Satu
kajian yang dibentangkan oleh penulis Jerman Norman Ohler mendedahkan pervitin
membantu tentera yang berjuang di Medan Timur. Bila mereka tidak diberi dos
pervitin, moral tentera amat lemah kerana dibantai suhu sejuk sebanyak -30
darjah Celsius dan tentangan sengit tentera Soviet. Bila mereka diberi
pervitin, ia menambah keyakinan, kesedaran dan moral mereka. Pervitin juga
menjadi kegilaan kepimpinan tertinggi Nazi Jerman terutama dalam kalangan pihak
tentera. Field Marshal Erwin Rommel misalnya sentiasa mengambil pervitin
sehingga menggelarnya roti harian. Pada tahun 1944 dan 1945, Nazi Jerman turut
menghasilkan dadah D-IX, satu gabungan koktel kokain, morfin dan pervitin untuk
kegunaan tentera mereka. Dadah sebegini diuji pada tahanan-tahanan kem di
Sachenhausen di mana mereka dipaksa berjalan di atas satu laluan khas yang
direka bukan saja untuk menguji kasut baru pihak tentera tetapi menguji
keberkesanan D-IX di luar makmal.

Namun,
bukan Nazi Jerman saja yang menggunakan dadah untuk kegunaan tentera mereka.
Jepun pula menggunakan amphetamina untuk kegunaan tentera mereka semasa kempen
Pasifik dalam WWII. Sementara Britain atau lebih tepat Jeneral Bernard
Montgomery membekalkan tenteranya dengan Benzedrine sebelum Pertempuran El
Alamein menentang Rommel dan unit Afrika Korpnya. Apa yang digunakan oleh unit
Montgomery merupakan sebahagian daripada program sama yang membekalkan 72 juta
Benzedrine kepada tentera British yang bertempur semasa WWII.

Jika
ada merasakan kegilaan sebegini berakhir pasca-WWII, anda salah. Selepas
perang, percayalah kuasa-kuasa besar sentiasa akan menguji dadah perangsang
untuk kegunaan tentera mereka sendiri dari tahun 1950-an hingga sekarang.
Misalnya, Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) membekalkan varian amphetamina
yang dipanggil dextroamphetamina kepada juruterbang-juruterbang mereka yang
akan menjalani misi dengan durasi panjang. Dadah yang dibekalkan USAF ini
bertujuan menjadikan mereka lebih awas semasa berada di udara dan mengurangkan
keletihan. Ia turut digunakan semasa Perang Teluk di mana 65% daripadanya
melaporkan ia amat berguna atau penting kepada misi mereka.

Tetapi
semua ini ada harganya. Ada satu insiden di kem latihan Tarnak Farms,
Afghanistan pada tahun 2002 yang mengorbankan empat tentera Kanada dan lapan
lagi cedera. Insiden ini berlaku disebabkan kesilapan seorang juruterbang USAF
yang tersalah tembak ketika di bawah pengaruh Dexedrine. Dan ada satu insiden
di mana dua tentera Amerika mati selepas diberi dimetilamina, sejenis dadah
perangsang prestasi yang diharamkan oleh Agensi Anti-Dadah Dunia (WADA).

Pihak
Amerika tidak keseorangan dalam bab ini. Daish juga tidak teragak-agak
menggunakan Captagon dan membekalkannya kepada pejuang-pejuang mereka untuk
membantu mereka merasa senang, menambah tenaga dan meningkatkan kesedaran.
Secara tidak langsung, keganasan yang berlaku di Syria terutama semasa Perang
Saudara Syria yang berlaku pada tahun 2014 berpunca daripada penyalahgunaan
dadah yang berleluasa ketika itu membabitkan bukan saja pihak Daish tetapi juga
pihak pemberontak.

SUMBER

1.
Frankopan, Peter. (2016). Aeon.co. War, on drugs. https://aeon.co/essays/berserkers-and-jihadis-alike-have-used-drugs-to-help-wage-war

2.
Joe, Robert dan Willis, Sam. (2016). Nazi World War Weird. Episod 3: Hitler’s
Meth Heads. https://www.dailymotion.com/video/x56mw17

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet