Dalam lipatan sejarah, terdapat banyak kisah para pemerintah yang bertanggungjawab membina empayar untuk kerajaan masing-masing sekaligus menjadikan mereka sebagai penakluk yang hebat.

Antara manusia yang termasuk dalam senarai ini ialah Iskandar Agung (Alexander the Great), Cyrus Agung (Cyrus the Great), Suleiman al-Qanuni dan Genghis Khan. Dalam kes Cyrus, baginda bertanggungjawab menjadikan Empayar Parsi yang diperintah oleh Dinasti Achaemenidnya sebagai sebuah kerajaan yang disegani.

Tidak banyak yang diketahui oleh sejarawan dan pengkaji tentang latar belakang awal Cyrus. Ini kerana kebanyakan kisah kelahiran dan zaman mudanya berasal daripada tradisi lisan dan hanya direkodkan oleh penulis-penulis Yunani seperti Herodotus, Ctesias dan Xenophon.

Ketiga-tiganya mempunyai versi berbeza tentang siapa ayahanda dan bonda Cyrus. Dalam versi Herodotus, baginda merupakan putera kepada Raja Parsi, Cambyses (580-559 SM) dan Permaisuri Mandane dari Median yang juga puteri Raja Median, Astyages.

Sementara Ctesias pula menceritakan Cyrus sebenarnya anak seorang penjenayah Parsi bernama Artadates dengan ibunya, Argoste merupakan pengembala kambing. Tambahnya, baginda pernah berkhidmat sebagai pembesar di istana Astyages sebelum terlibat dengan rampasan kuasa yang menyingkirkan Raja Median itu.

Selepas Cyrus menaiki takhta, baginda mengambil Astyages sebagai ayahanda angkat dan mengahwini puterinya, Amytis. Tetapi melihat kepada rekod-rekod Achaemenid termasuk Inskripsi Behistun dan Silinder Cyrus, Cyrus merupakan seorang Raja Anshan (sebuah kerajaan di Fars) yang juga putera kepada Cambyses.

Silinder Cyrus

Tetapi perlu diingat, inskripsi Achaemenid tidak pernah menyebut sebarang pertalian darah antara Cyrus dengan Astyages. Walaupun wujud kemungkinan berlakunya perkahwinan membabitkan keluarga-keluarga diraja Iran, tidak mustahil baginda mendakwa dirinya cucu Astyages semata-mata untuk menunjukkan kesahihan baginda sebagai pewaris takhta (versi Herodotus) atau berkahwin dengan Puteri Amytis (versi Ctesias). Ketiga-tiga penulis Yunani bersetuju pada satu ketika, Cyrus pernah menghabiskan masa di istana Astyages. Ia mungkin satu fakta tetapi tidak mustahil ia sebenarnya satu legenda lisan penduduk tempatan.

Pencapaian hebat Cyrus sebagai pemerintah dan penakluk bermula dengan penaklukan ibu kota Media, Ecbatana dan disebut bukan saja oleh Herodotus tetapi juga dua sumber utama Babylon iaitu Silinder Nabonidus dari Sippar dan Kisah Nabonidus. Menurut Silinder Nabonidus, Cyrus bangkit memberontak pada tahun 553 SM dan berjaya mengalahkan angkatan besar Median dengan sekumpulan kecil tenteranya.

Sementara Kisah Nabonidus pula mencatatkan Astyages menggerakkan askarnya untuk menggempur baginda pada tahun 550 SM tetapi ditangkap oleh askarnya yang memberontak sebelum diserahkan kepada Cyrus. Dari situ, baginda menawan Ecbatana dan mengambil banyak harta rampasan perang.

Perbezaan dua tahun dari dua sumber Babylon ini boleh dijelaskan dengan pemberontakan Cyrus bermula pada 553 SM, disusuli serangan balas oleh Astyages pada tahun 550 SM dan akhir sekali, pemberontakan tentera Median yang memilih menyebelahi baginda.

Sementara Herodotus pula menceritakan kisah yang lebih teliti. Pemberontakan Cyrus sebenarnya dicadangkan oleh seorang pembesar Median bernama Harpages yang berang dengan Astyages atas kesilapan lamanya. Mendengar berita pemberontakan ini, Raja Median itu melantik ironinya Harpages sebagai panglima perang untuk memerangi Cyrus. Tetapi apabila kedua-duanya bertemu, beliau bersama tentera Median berpaling tadah dan menyertai Cyrus.

Semua sumber bersetuju bahawa Cyrus memilih untuk tidak membunuh Astyages dan jika mengikut versi Ctesias, baginda juga berkahwin dengan puterinya, Amytis. Dengan Astyages diangkat sebagai ayahanda angkat dan ayahanda mertuanya, Cyrus menunjukkan kepada semua bahawa baginda orang paling layak menaiki takhta kerajaan berkenaan.

Selepas baginda bergelar raja, seluruh tanah jajahan Median jatuh ke tangannya. Bagaimanapun, tidak diketahui keluasan sebenar saiz jajahan kerajaan itu. Tetapi itu sudah cukup menjamin dan mengukuhkan kuasa dan prestij Cyrus di Penara Iran.

Tinggalan kota Pasargadae

Selepas berjaya menjadi seorang raja, perhatiannya kini beralih kepada pembinaan sebuah kota baru bernama Pasargadae. Ia berperanan sebagai kota upacara semasa tahun-tahun awal era Achaemenid dan tidak pernah direka untuk menempatkan populasi yang ramai. Pasargadae terdiri daripada beberapa monumen yang bertebaran sekitar Lembah Murghab seperti Tall-e-Takht, Istana P, Istana S, makam Cyrus dan puteranya, Cambyses. Monumen-monumen ini mengandungi pelbagai elemen dari dunia purba seperti elemen zigurat Assyria dan gaya kerja batu dari Ionia.

Makam raja Cyrus.

Selepas Ecbatana jatuh ke tangannya, tumpuan kini dihalakan kepada Lydia. Lydia dikatakan jatuh antara tempoh kejatuhan Ecbatana (550 SM) dengan kejatuhan Babylon (539 SM). Menurut Silinder Nabonidus, kempen ini dikatakan bermula dari arah barat Sungai Tigris pada tahun 547 SM tetapi berdasarkan catatan sejarawan hari ini, kempen Cyrus mensasarkan sasaran berbeza. Dalam catatan Herodotus, Raja Lydia iaitu Croesus (560-547 SM) yang juga kekanda/adinda ipar Astyages bertanggungjawab mencetuskan perang antara dua kerajaan ini dengan menyeberangi Sungai Halys dan menjarah Pteria, sebuah bandar Cappadocia tetapi masih di bawah pengaruh Dinasti Achaemenid. Tindakan ini berlaku untuk membalas dendam kekalahan kekanda/adinda iparnya itu di tangan Cyrus.

Apabila kedua-dua angkatan bertemu di Pteria, pertarungan sengit tercetus tetapi berakhir dengan jalan buntu. Bila musim sejuk menjelang, Croesus menggerakkan askarnya kembali ke Lydia tetapi dikejar Cyrus hingga ke Thymbra. Bagi melemahkan angkatan Raja Lydia itu, Cyrus mengarahkan unta-unta Arab yang dikenali sebagai dromedary digerakkan tenteranya untuk melemahkan pasukan berkuda Lydia.

Ini membolehkan mereka memaksa Croesus berundur ke ibu kotanya, Sardis sebelum ibu kota Lydia itu jatuh selepas dikepung selama 14 hari. Tidak diketahui apa yang berlaku kepada Croesus selepas kejatuhan kerajaannya. Herodotus, Ctesias dan Xenophon berpandangan Cyrus hendak menghukum baginda tetapi memilih melepaskannya dan melantiknya sebagai penasihat kerajaan.

Namun, sesetengah sejarawan berpandangan keterangan tersebut bersifat legenda dan tidak mustahil Croesus dihukum sebagai pengajaran kepada sesiapa yang cuba menentang Cyrus. Selepas kejatuhan Sardis, seorang pembesar Lydia bernama Pactyes diberi amanah menguruskan perbendaharaan kerajaan berkenaan dan diarah membawa harta-harta kerajaan berkenaan kembali ke Parsi.

Tetapi Pactyes mengambil kesempatan dengan menggunakan harta tersebut untuk merekrut askar-askar upahan bagi mencetuskan pemberontakan. Pada awalnya, usaha menghapuskan pemberontakan diserahkan kepada Mazares tetapi selepas beliau mati sebelum kempen sempat dilaksanakan, tanggungjawab itu diserahkan kepada Harpages/Harpagus. Beliau bertanggungjawab menawan baki seluruh Asia Kecil termasuk menawan Lycia, Cilicia dan Phoenicia dengan membina tambak-tambak.

Sebelum kejatuhan Lydia, wujud kempen lain membabitkan Cyrus dengan puak Bactria dan Sacae. Dalam kes Bactria, selepas mendengar layanan baik yang diberi baginda terhadap Astyages, mereka memilih untuk tunduk kepadanya.

Dalam kes Sacae pula, raja mereka bernama Amorges berjaya ditawan oleh pasukan Cyrus dalam satu kempen. Untuk menyelamatkan suaminya, Permaisuri Sparethra mengumpulkan 500,000 tentera (300,000 lelaki dan 200,000 wanita) untuk menggempur tentera Achaemenid dan berjaya mengalahkan Cyrus.

Amorges kemudiannya dilepaskan dan menjadi sekutu baginda semasa kempen Cyrus di Lydia. Selepas berjaya menawan Armenia pada pertengahan abad keenam SM, baginda melantik sekutunya, Tigranes Orontid sebagai raja baru Armenia.

Pada tahun 539 SM, baginda memfokuskan usaha menawan Babylon. Seperti mana raja-raja lain dalam sejarah, sudah pasti baginda mendengar keluh-kesah penduduk setempat yang berang dengan tindak-tanduk raja mereka, Nabonidus. Orang Babylon sudah naik muak dengan sikap Nabonidus yang berterusan mengenakan buruh paksa dan merendah-rendahkan dewa mereka, Marduk.

Justeru untuk menawan Babylon, angkatan Cyrus menggali terusan-terusan bagi membolehkan mereka menyeberangi sungai. Apabila kedua-dua tentera bertemu di Opis, Cyrus berjaya mengalahkan mereka dan terus mara ke Babylon.

Sebaik berita keberangkatan baginda diketahui orang ramai, penduduk Babylon membuka seluas-luasnya pintu gerbang kota mereka dan menyambut Cyrus bak seorang wira. Nabonidus yang ketakutan melarikan diri dan tugas menangkap Raja Babylon itu diserahkan kepada Gabenor Gutium, Ugbaru.

Selepas dua minggu diburu angkatan Cyrus, akhirnya Nabonidus berjaya ditangkap dan Babylon akhirnya jatuh ke tangan baginda. Sejarawan berpandangan sebelum jatuhnya Babylon, wilayah-wilayah jajahan Babylon berkemungkinan sudah jatuh lebih awal ke tangan Harpages/Harpagus sekaligus memudahkan usaha Cyrus menawan kerajaan berkenaan.

Untuk menawan hati penduduk Babylon, satu silinder turut dihasilkan yang dikenali sebagai Silinder Cyrus. Silinder ini menceritakan perihal baginda sebagai seorang raja yang baik dengan Nabonidus digambarkan sebagai raja yang tidak cekap dan zalim. Semasa di Babylon inilah, baginda membebaskan rakyat wilayah-wilayah yang ditawan Babylon termasuk Bani Israel.

Sebut pasal agama, tidak diketahui agama yang dianuti baginda dengan pelbagai teori dari Majusi (Zoroastrian) hinggalah Dewa Ahura Mezdah. Menurut Xenophon, Cyrus dikatakan menyembah dewa sumpahan Mithra tetapi dengan kewujudan rekod baginda menyembah Marduk dan Nabu (dewa-dewi Babylon), berkemungkinan baginda mengamalkan agama yang diamalkan oleh kerajaan-kerajaan tempatan.

Seperti mana waktu kelahiran dan masa mudanya, tidak diketahui apa yang berlaku kepada Cyrus pada tahun-tahun terakhir kehidupannya. Menurut Herodotus, baginda mangkat semasa melawan puak nomad Massagetae dengan kepalanya dikatakan dipenggal ketua puak berkenaan, Ratu Tomyris sebagai membalas dendam kematian puteranya. Ctesias pula mendakwa Cyrus mati semasa menamatkan pemberontakan puak Derbices dari Asia Tengah sementara Berossus mendakwa baginda mangkat semasa melawan puak Dahae.

Yang pasti, Cyrus memang mangkat di Asia Tengah semasa proses perluasan kuasanya. Berdasarkan catatan-catatan Babylon, Cyrus dikatakan mati sebelum Disember 530 SM. Baginda kemudiannya dimakamkan di Pasargadae bersama jubah, pedang dan barang kemasnya. Selepas itu, takhta Achaemenid diisi oleh puteranya, Cambyses II dan kerajaan itu terus bertahan selama 200 tahun sebelum dimusnahkan oleh Alexander.

Alexander yang mempunyai impian meniru Cyrus berjaya membina sebuah empayar yang luas tetapi gagal meniru kelebihan idolanya itu sebagai seorang pentadbir sekaligus menyaksikan Empayar Macedon yang dibinanya berpecah-belah selepas kemangkatannya pada 323 SM.

RUJUKAN:

Nijssen, Daan. (2018). Cyrus the Great. Ancient.eu. https://www.ancient.eu/Cyrus_the_Great/


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.