Cut Nyak Meutia adalah lambang kepahlawanan dan kepimpinan wanita dari suku Aceh. Cut Nyak Meutia dilahirkan di Keureutoe, Pirak, Aceh Utara, pada tahun 1870. Beliau adalah salah seorang Srikandi yang berasal dari Aceh. Dalam perjalanan kehidupannya Cut Nyak Meutia bukan sahaja menjadi mutiara bagi keluarganya tetapi juga telah menjadi mutiara yang bersinar bagi seluruh umat Islam Melayu nusantara.

Cut Meutia dilahirkan dari hasil perkawinan Teuku Ben Daud Pirak dengan Cut Jah. Dalam perkawinan tersebut mereka dikurniakan 5 orang anak. Cut Meutia merupakan puteri tunggal di dalam keluarga tersebut, sedangkan empat lagi saudaranya adalah laki-laki. Saudara tertua bernama Teuku Cut Beurahim disusuli kemudian oleh Teuku Muhammad syah, Teuku Cut Hasan dan Teuku Muhammad Ali. Ayahnya adalah seorang Uleebalalang di desa Pirak yang berada dalam daerah uleebalangan Keureutoe

Daripada perhatian seorang penulis Belanda, yang mengatakan bahawa:

“Cut Meutia bukan saja amat cantik, tetapi dia juga memiliki tubuh yang molek dan menggairahkan. Dengan mengenakan pakaian adatnya yang indah-indah menurut kebiasaan wanita di Aceh dengan silueue atau seluar sutera bewarna hitam dan baju dikancing perhiasan-perhiasan emas di dadanya serta tertutup ketat, dengan rambutnya yang hitam pekat dihiasi ulee cemara emas yakni sejenis perhiasan rambut dengan gelang di kakinya yang melingkari pergelangan lunglai, wanita itu benar-benar seorang bidadari. “

Ketika dewasa Cut Meutia dinikahkan dengan Teuku Syamsarif yang mempunyai gelaran Teuku Chik Bintara. Namun Syamsarif mempunyai watak lemah dan suka berkerjasama dengan Kompeni Belanda. Teuku Chik Bintara merupakan anak angkat dari Teuku Chik Muda Ali dan Cut Nyak Asiah, Uleebalang Keureutoe. Daerahnya mencakupi Krueng Pase sampai ke Panton Labu yang pusat pemerintahannya di daerah Kutajrat Manyang yang sekarang terletak 20 km dari kota Lhokseumawe. Pernikahan mereka tidak bertahan lama.

Akhirnya Cut Meutia bercerai dan kemudian bernikah dengan adik Teuku Syamsarif sendiri iaitu Teuku Chik Muhammad atau yang lebih dikenali dengan nama Teuku Chik Tunong. Setelah itu dia dan suaminya berhijrah ke kawasan pergunungan untuk melawan Belanda

Awal pergerakan penentangan mereka bermula pada tahun 1901 dengan pusat perjuangannya di daerah Pasai atau Krueng Pasai di bawah komando perang Teuku Chik Tunong.

Cut Nyak Meutia bukan sahaja bertindak sebagai isteri Teuku Chiek Tunong tetapi lebih jauh dari itu. Beliau sangat aktif bersama suaminya mengatur taktik dan strategi pasukan muslimin bagi melakukan penyerangan terhadap musuh serta dapat merampas persenjataan musuh untuk memperkuatkan gerilawan muslimin. Dalam setiap pertempuran yang terjadi di kawasan mereka, Cut Nyak Meutia selalu tampil sebagai panglima, berjuang di samping suaminya menghadapi musuh, bertempur dan memimpin pertempuran.

Cut Nyak Meutia bersama dengan Teuku Chiek Tunong mempergunakan taktik menyebarkan mata-mata untuk menyiasat rencana-rencana yang akan dilaksanakan oleh pihak musuh, terutama rancangan-rancangan perondaan dan operasi tentera Belanda.

Taktik ini sangat berkesan. Penyiasat mereka selalu dapat mengumpulkan informasi yang tepat tentang rancangan serta daerah yang bakal dijadikan operasi oleh Belanda. Dengan demikian Cut Nyak Meutia bersama Teuku Chiek Tunong dapat mengatur serta mempersiapkan pasukannya untuk menyerang pasukan Belanda. Dapat dilihat taktik yang digunakan ini pada November 1902.

Salah seorang pejuang muslimin bernama Pang Gadeng menyebarkan maklumat palsu bahawa pasukan Teuku Chik Tunong akan mengadakan kenduri yang bertempat di kampong Matang Rayeuk di seberang sungai Sampoiniet. Mendapat berita itu, Belanda merancang untuk menggempur kenduri tersebut yang dipimpin oleh Leftnan RDP DE Cok bersama 45 orang askar.

Di dalam perjalanan, pasukan Belanda terpaksa menghadapi serangan jarak dekat yang dahsyat dari pasukan Chik Tunong kerana mereka telah terkena muslihat yang disusun oleh Cut Nyak Meutia. Dalam penyerangan itu, Letnan De Cok dan 28 prajuritnya tewas serta 42 pucuk senapang diperoleh kaum muslimin.

Selain itu, pasukan Cut Meutia juga sering melakukan sabotaj terhadap kereta api, memutuskan hubungan talifon dan menyekat perhubungan untuk mengangkut logistik pasukan Belanda seperti di Lhoksukon dan Lhokseumawe. Tindakan ini sebagai tindak balas setelah Belanda melakukan penyerangan ke atas Desa Blang Paya Itiek akibat dari pengkhianatan Pang Ansari dimana pasukan Belanda menyerang pasukan Sultan Alaidin Mahmud Daudsyah sehingga Sultan dan pasukannya harus mundur diri ke Menasah Nibong Paya kemuek.

Berakhirnya perjuangan Teuku Chik Muhammad dan Cut Meutia adalah akibat dari peristiwa di Meurandeh Paya sebelah timur kota Lhoksukon pada tanggal 26 Januari 1905. Peristiwa ini dimulai dengan terbunuhnya pasukan Belanda yang sedang meronda dan berteduh di Meunasah Meurandeh Paya. Pembunuhan keatas pasukan Belanda ini memberikan impak yang sangar besar bagi Belanda. Di dalam penyelidikan Belanda, didapat bahawa Teuku Chik Tunong terlibat dalam pembunuhan itu. Maka dari itu, Teuku ditangkap dan dihukum gantung. Namun pada akhirnya berubah menjadi hukum tembak mati. Pelaksanaan hukuman mati dilaksanakan pada bulan Mac 1905 di tepi pantai lhoksuemawe dan dimakamkan di Masjid Mon Geudong.

Sebelum dihukum mati, Teuku Tunong mewasiatkan agar Pang Nanggroe yang merupakan sahabat perjuangannya untuk menikahi Cut Nyak Meutia serta menjaga anak-anaknya. Sesuai dengan amanah dari almarhum suaminya, Cut Meutia menerima lamaran Pang Nanggroe.

Dan dengan beliau, Cut Meutia meneruskan perjuangan melawan Belanda dan memindahkan markas pusat perjuangan ke Bukit Bruek Ja. Pang Nanggroe mengatur strategi untuk melawan pasukan marsose Belanda bersama dengan Teuku Muda Gantoe. Penyerangan Cut Meutia dan Pang Nanggroe dimulai dari hulu Kreueng Jambo Aye, sebuah tempat pertahanan yang sangat strategik kerana daerah tersebut merupakan daerah hutan yang sangat banyak tempat persembunyian. Pasukan muslimin melakukan penyerangan ke post-post tentera Belanda dimana banyak pejuang muslim yang ditahan di situ.

Taktik penyerangan Cut Meutia yang lain pula adalah taktik menjerat yang dirancang dengan menyebarkan khabar angin bahawa adanya kenduri di sebuah rumah dengan mengundang pasukan Belanda. Rumah tersebut telah dipasang perangkap berupa makanan yang lazat. Tiang dan lantai rumah itu telah ditukar dengan potongan buluh sehingga mudah untuk diruntuhkan. Pada masa pasukan Belanda berada di dalam rumah tersebut, rumah itu diruntuhkan dan pasukan Cut Meutia akan menyerang.

Penyerangan pasukan Cut Meutia juga tertumpu pada rel kereta api sebagai usaha untuk memutuskan logistic belanda dan jalan kereta apinya. Di pertengahan tahun 1909 hingga ogos 1910 pihak Belanda dengan petunjuk orang kampung yang dijadikan tawanan telah mengetahui pusat pertahanan pasukan Pang Nanggroe dan Cut Nyak Meutia. Beberapa penyerangan dilakukan, namun pasukan Cut Meutia yang selalu berpindah tempat membuatkan Belanda susah untuk menangkapnya. Beberapa penyerangan dilakukan di daerah Jambo aye, Peutoe, Bukit Hague, Paya Surien dan Matang Raya. Namun pada 25 September 1910, ketika terjadi penyerangan di daerah Paya Cicem, Pang Nanggroe terkena tembakan Belanda sehingga meninggal dunia setelah mewasiatkan kepada anaknya Teuku Raja Sabi untuk mengambil rencong dan pengikat kepala ayahnya dan menjaga ibundanya Cut Nyak Meutia.

Setelah Pang Nanggroe syahid, pasukannya dipimpin oleh Cut Meutia dan pusat pertahanan dipindahkan ke daerah Gayo dan Alas bersama pasukan yang dipimpin oleh Teuku Seupot Mata. Pada 22 Oktober 1910, pasukan Belanda mengejar pasukan Cut Meutia yang diperkirakan berada di daerah Lhokreuhat. Esoknya pengejaran dilakukan semula ke daerah Krueng Putoe menuju Bukit Paya hingga menyebabkan pasukan Cut Meutia semakin terkepong dan selalu berpindah antara gunung dan hutan.

Dalam pertempuran pada 25 Oktober di Krueng Putoe, pasukan Cut Meutia menghadapi serangan hebat dari Belanda. Di sinilah Cut Meutia mati syahid bersama pasukan muslim yang lain seperti Teuku Chik Paya Bakong, Teungku Seupot Mata dan Teuku Mat Saleh. Sebelum srikandi ulung ini gugur ke bumi, Cut Meutia mewasiatkan kepada Teuku Syekh Buwah untuk berhenti melawan serangan belanda, taktik selanjutnya adalah berundur sejauh mungkin dan menyusun serangan semula, kerana posisi mereka sudah tersepit.

Cut Meutia juga mewasiatkan agar anaknya dicari dan dijaga. Begitulah pengakhiran perjuangan wanita berhati kental ini. Walaupun dua orang suaminya gugur dalam pertpuran, namun beliau sanggup memegang tampuk kepimpinan pasukannya melawan kafir laknatullah dan akhirnya menjadi syahidah.. Sekian, Al Fatihah untuk wirawati ini.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Sejarah) UKM. Bukan pakar sejarah tetapi peminat seumur hidup.

1 Comment

  1. What’s up colleagues, its enormous article about teachingand entirely explained, keep it up
    all the time.

    Dapatkan Informasi Seputar Rokok Elektrik dan juga Harga serta
    Spesifikasinya

Reply To rokok elektrik Cancel Reply