“Cukuplah Al-Quran, Kenapa Perlu Hadis?” – Hujah Anti Hadis

647

Seringkali kita mendengar kenyataan-kenyataan yang menafikan autoriti hadith sama ada di dalam mahupun dari luar negara. Siapakah mereka dan apakah yang mereka perjuangkan?.

Sebelum membahas perkara tersebut, penting untuk kita tahu terlebih dahulu apa yang dimaksudkan dengan hadith dan setinggi mana autoritinya dalam Islam. Jadi, dalam penulisan yang sangat pendek ini marilah kita sama-sama memahaminya.

Hadith berasal daripada perkataan Bahasa Arab (al-Hadīth) yang bermaksud baru ataupun khabar berita. Definisi hadith menurut ulama hadith adalah segala perkara yang disandarkan kepada Nabi S.A.W sama ada berbentuk perkataan, perbuatan, pengakuan, sifat fizikal mahupun akhlak.

Hadith yang memenuhi syarat mempunyai autoriti yang tertinggi dalam Islam selepas al-Quran sebagai sumber penetapan sesuatu hukum dan hujah dalil naqli. Ini berdasarkan dalil yang banyak dan kuat dari al-Quran tentang perkara tersebut. Antaranya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ 

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah…” [Surah An-Nisa’ 59]

Kalau difikir, sepatutnya tiada lagi pertikaian tentang hadith. Tetapi sebaliknya, kelompok yang mempertikai autoriti hadith tetap wujud.

Mereka muncul dengan bermacam nama dari bermacam zaman dan tempat, sama ada dari kalangan muslim ataupun non-Muslim. Ancaman mereka boleh dikatakan besar sehingga Imam Syafi’e R.H di dalam kitabnya al-Umm mengemukakan hujah-hujah untuk menangkis dakwaan-dakwaan mereka.

Seorang sahabat bernama Imran bin Husayn didatangi seorang lelaki yang berkata kepadanya: “jangan sampaikan kepada kami sesuatupun selain apa yang ada keterangannya dari al-Quran”.

Lalu Imran menerangkan kepada lelaki tersebut tentang perihal tatacara solat, zakat dan sebagainya lalu berkata kepada lelaki tersebut: “adakah kau dapati keterangan seperti ini di dalam al-Quran? (tiada). Sesungguhnya al-Quran itu lebih umum dan hadith yang menafsirkannya.

Hal yang serupa berlaku kepada seorang tabi’īn, Mutarrif ibn Abdillah as-Shakhir ketika seorang lelaki mendatangi beliau dan melarangnya menyampaikan sesuatu selain al-Quran, beliau katakan: “sesungguhnya kita bukan ingin mengenepikan al-Quran tetapi kita ingin mencapai al-Quran itu (pemahaman tentangnya) melalui orang yang lebih tahu tentang al-Quran berbanding kita (Rasulullah S.A.W)”.

Pada era moden, muncul beberapa kelompok membawa agenda yang sama, antaranya Jamaah Qur’an yang dikembangkan di India pada awal 1900-an oleh Abdullah Jakralawi, yang pengaruhnya  bertapak juga di Malaysia walau setelah sekian lama dengan nama Jema’ah Al-Quran Malaysia, ditubuhkan oleh Kassim Ahmad pada tahun 1995. Orientalis Barat juga turut memainkan peranan dalam mengembangkan ideologi ini. Antara mereka yang berperanan termasuklah Ignác Goldziher dan Snouck Hurgronje.

Anti-hadith muslim lebih selesa mengemukakan hujah mereka berdalilkan al-Quran itu sendiri kerana Ia merupakan sumber yang mereka iktiraf. Antara hujah popular yang sering mereka bangkitkan ialah:

  • Al-Quran itu sudah sempurna menerangkan segala yang diperlukan penganutnya, maka umat Islam tidak perlu kepada selain daripadanya termasuklah hadith.

Mereka mendakwa bahawa dakwaan mereka itu bertepatan dengan ayat:

( وَنَزَّلْنَا عَلَيْكَ الْكِتَابَ تِبْيَانًا لِكُلِّ شَيْءٍ)

“dan Kami turunkan kepadamu Al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu”. [Surah An-Nahl 89]

Mereka menafsirkan ayat tersebut secara literal dan menafikan langsung kedudukan hadith atau apa yang selain al-Quran. Pada hakikatnya, terdapat ayat-ayat lain yang memaksudkan bahawa al-Quran itu menerangkan sebahagian perkara, dan meninggalkan sebahagian yang lain kepada Nabi S.A.W agar Baginda perincikan perkara tersebut.

(  ۗ وَأَنْزَلْنَا إِلَيْكَ الذِّكْرَ لِتُبَيِّنَ لِلنَّاسِ مَا نُزِّلَ إِلَيْهِمْ وَلَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ)

“dan kami pula turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Al-Quran yang memberi peringatan, supaya engkau menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka, dan supaya mereka memikirkannya”. [Surat An-Nahl 44]

Hadith-hadith yang berfungsi sebagai penerang kepada perkara yang terdapat dalam al-Quran sesuai dengan ayat tersebut sangatlah banyak. Antaranya adalah hadith yang menerangkan:

  • Tatacara melaksanakan solat yang diperintahkan dalam al-Quran:

(…وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ)

“Dan dirikanlah kamu akan sembahyang…” [Surah Al-Baqarah 43]

Diperincikan oleh hadith yang diriwayatkan Imam Bukhari:

(صلوا كما رأيتموني أصلي)

Mafhumnya: “Solatlah kalian seperti mana kalian melihat Aku solat”

  • Pelaksanaan hukuman pemotongan tangan bagi pencuri:

(وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا جَزَاءً بِمَا كَسَبَا نَكَالًا مِنَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ)

“Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”. [Surah Al-Ma’idah 38]

Ayat tersebut hanya menerangkan bentuk hukuman kepada pencuri (potong tangan) tanpa menerangkan kadar atau apa yang melayakkan pencuri dihukum.

Lalu hadith datang untuk menerangkan bahawa hukuman tersebut hanya boleh dijatuhkan kepada pencuri yang mencuri melebihi kadar empat dinar ke atas, dengan syarat-syarat tertentu yang sangat ketat, dan hukuman tersebut dikenakan pada bahagian pergelangan tangan, bukan hingga ke lengan ataupun siku.

Dan ini memberitahu kita bahawa prosedur pelaksanaan hukuman potong tangan ini bukanlah semudah yang disangka, sekaligus menafikan tuduhan bahawa Islam adalah agama yang barbaric.

Lalu adakah di sini berlaku pertentangan antara ayat yang menyatakan al-Quran telah menerangkan segalanya, dengan ayat yang menyatakan bahawa Rasulullah S.A.W harus berperanan menerangkan hukum-hakam dan urusan agama?

Jawapannya tidak. Malah kedua ayat tersebut kalau difahami dalam konteks yang betul akan menjadikannya lebih realistik dan logik! Bagaimana?

Iaitu dengan memahami bahawa:

  • Ayat pertama menyatakan bahawa al-Quran telah menerangkan kesemua usul dan asas aturan agama secara ijmali (ringkas).
  • Dan ayat kedua menyatakan bahawa Rasulullah S.A.W sebagai penerang yang memperincikan cara-cara pelaksanaannya secara tafsili (detail). Maka ternafilah hujah mereka.

Kesimpulannya, hakikat hadith dan al-Quran itu keduanya adalah cahaya yang datang dari sumber yang sama iaitu cahaya ilahi, tiada pertentangan bahkan menjelaskan dan menguatkan.

Hadith adalah sumber yang penting dalam pembinaan tapak asas syariat Islam dan mempunyai tali ikatan yang sangat ketat dengan al-Quran sebagai penerang yang menerangkan segala macam aturan agama ini, maka mustahil dek akal ia boleh dianggap picisan melainkan oleh orang-orang yang tidak memahami.

Kalau ada sumur di ladang,
Boleh kami menumpang mandi,
Kalau ada masa yang senggang,
Orientalis dibahas selepas ini.

RUJUKAN:

  1. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, (2020, Februari). Jenis-jenis Hadith. http://myhadith.islam.gov.my/index.php/bm/ilmu-hadith-4/jenis-jenis-hadith/609-apa-itu-hadith
  2. Rajali, MH (2016). Sejarah Pemikiran Jema’ah Al-Quran Malaysia: Suatu Penilaian terhadap Risalah Siaran Iqra’ dari Tahun 1993-an hingga Tahun 1995-an. International Journal of the Malay World and Civilisation, 4(1). https://www.academia.edu/27491955/Sejarah_Pemikiran_Jema_ah_Al-Quran_Malaysia_Suatu_Penilaian_terhadap_Risalah_Siaran_Iqra_dari_Tahun_1993-an_hingga_Tahun_1995-an

Ruangan komen telah ditutup.