Cú Chulainn, atau nama sebenarnya, Setanta, merupakan salah seorang wira yang paling masyhur dalam mitologi Ireland. Beliau tampil dalam Hikayat Ulster (Ulster Cycle) dan beberapa buah kisah rakyat Scotland dan Manx.

Cú Chulainn dikatakan merupakan anak lelaki kepada dewa matahari, Lugh dan Deichtine, saudara perempuan kepada Conchobar mac Nessa. Makanya, Cú Chulainn si demi-god (separa-dewa) ini juga merupakan anak saudara kepada Raja Ulster itu.

Beliau yang turut merupakan anak didik Scathach ini sehingga ke hari ini meraih kemasyhuran, walaupun hidupnya agak pendek – sekadar 27 tahun.

Peta yang menunjukkan wilayah Ulster (kuning) dan Connacht (hijau)

ZAMAN KANAK-KANAK CÚ CHULAINN

Cú Chulainn, atau untuk waktu ini kita panggilnya sebagai Setanta dahulu, dikurniakan kemahiran, ketangkasan, keupayaan dan keberanian yang luar biasa berbanding kanak-kanak seusianya – berkat darah separa-dewanya.

Sejak kecil lagi, Setanta sering dikaitkan dengan sukan hurling – iaitu sebuah sukan kegemaran masyarakat Ireland pada masa itu. Selain dikenali sebagai jaguhan dalam permainan tersebut, Setanta juga sering menonjol dalam kalangan kanak-kanak terutama apabila berlaku pergaduhan. Kelak dalam hidupnya, beliau menyertai organisasi tentera yang dipanggil sebagai Red Branch Knights.

Kelebihan yang dimilikinya ini menarik perhatian Raja Conchobar yang menaruh perasaan kagum terhadapnya.

Pada suatu hari semasa Setanta masih berusia 7 tahun, beliau dijemput oleh Raja Conchobar untuk ikut menghadiri jamuan yang diadakan di rumah seorang tukang besi diraja bernama Culain.

Undangan itu diterima oleh Setanta, hanya saja beliau bakal lewat kerana perlu menghabiskan urusannya terlebih dahulu.

Namun, Raja Conchobar terlupa bahawa Culain memiliki seekor anjing pengawal rumah yang begitu ganas – dikatakan lebih ganas berbanding 100 ekor anjing biasa. Dan apa yang mengkhuatirkan, anjing itu sedang dilepaskan oleh Culain pada waktu itu.

Setelah selesai dengan urusannya, Setanta pun berangkat menuju ke rumah Culain dalam kegelapan malam. Langkah demi langkah ditapak sebelum tiba-tiba beliau diserang oleh anjing pengawal Culain itu. Pergelutan pun berlaku.

Namun, Setanta yang sememangnya gagah berani walau berusia kecil itu ternyata bukan tandingan anjing ganas itu yang entah bagaimana, mati di tangan Setanta.

Satu versi mengatakan bahawa beliau melontarkan bola ke dalam mulut anjing tersebut sehingga mati tercekik sambil satu versi yang lain mendakwa Setanta menghempasnya ke sebongkah batu.

Walau apapun versinya, kematian anjing yang terkenal buas dan ganas itu di tangan Setanta mengejutkan Raja Conchobar. Culain pula sudah tentu bersedih melihat anjing yang penat dilatihnya itu mati.

Ternyata, Setanta bukan hanya seorang kanak-kanak yang gagah dan berani, malah memiliki keperibadian yang tinggi.

Beliau yang dirundung rasa bersalah lantas menawarkan diri untuk melatih seekor anak anjing baharu untuk dijadikan sebagai anjing pengawal rumah Culain.

Sepanjang tempoh menanti anak anjing itu selesai berlatih, Setanta menawarkan dirinya sendiri untuk berkhidmat sebagai pengawal rumah Culain. Makanya, Setanta pun dipanggil sebagai Cú Chulainn yang bermaksud ‘Penjaga Culain’ atau ‘Si Anjing Culain’.

Kemudian, kisah Cú Chulainn dibawa kepada satu babak di mana beliau mendengar kata-kata seorang tukang ramal bernama Cathbad. Ketika ditanya oleh muridnya tentang ramalan bagi hari itu, Cathbad menjawab bahawa pada hari itu, mana-mana pelajarnya yang mengambil sebuah senjata akan meraih kemasyhuran abadi.

Terpengaruh dengan ramalan tersebut, Cú Chulainn pun bergegas menemui Raja Conchobar dan meminta agar diberikan sebuah senjata. Satu demi satu senjata diberikan namun kesemuanya tidak sesuai dengan kekuatan yang dimiliki Cú Chulainn. Hal ini berterusan sehinggalah si raja itu menyerahkan senjata miliknya sendiri.

Namun malangnya, Cú Chulainn tidak mendengar ramalan Cathbad itu sehingga habis. Menurut Cathbad, pelajarnya yang mengambil senjata pada hari itu sememangnya akan meraih kemasyhuran yang abadi, akan tetapi nyawanya menjadi pendek.

BERLATIH DENGAN SCATHACH DEMI CINTA PADA EMER

Sebaik Cú Chulainn meningkat dewasa, rupa parasnya menjadi semakin tampan. Sekilas pandang yang dihadiahkan kepada mana-mana wanita cukup untuk membuatkan tulang-belulang mereka bergetar tak henti.

Hal ini membuatkan lelaki-lelaki Ulster berasa khuatir lantas masing-masing menggesa agar Cú Chulainn mencari isteri. Sampai-sampai mereka tubuhkan sekumpulan sukarelawan untuk merantau ke pelbagai ceruk Ireland semata-mata mahu mencarikan wanita yang dianggap sesuai dengan Cú Chulainn.

Namun ternyata, dari kesemua wanita yang dijumpai, hati Cú Chulainn hanya tertarik kepada Emer, si puteri Forgall Monach. Emer memiliki keenam-enam ciri wanita pujaan pada masa itu – kejelitaan rupa paras, keindahan suara, kemanisan tutur kata, kemahiran menjahit, kebijaksanaan dan kesucian diri.

Semasa Cú Chulainn pertama kali mendekati Emer, beliau ditertawakan oleh gadis jelita itu. Kata Emer, Cú Chulainn terlalu awal untuk memiliki hatinya.

Namun, Cú Chulainn tetap berkeras meluahkan rasa cintanya itu. Emer lalu membalas bahawa beliau tidak akan menerima mana-mana lelaki yang belum membunuh ratusan musuh dan namanya didendang masyhur di seluruh Ireland.

Demi meraih cinta Emer, Cú Chulainn pun bersumpah untuk memenuhi syarat tersebut. Beliau lalu kembali ke istana dan meneruskan khidmatnya dalam Red Branch Knights yang setia pada Raja Conchobar.

Dalam pada itu, ayah Emer iaitu Forgall membantah hubungan Emer dan Cú Chulainn. Menurut suatu sumber, Forgall dimaklumkan bahawa dirinya akan ditimpa musibah andai pasangan tersebut disatukan.

Makanya, dia pun bermain helah supaya Cú Chulainn terpengaruh untuk berlatih dengan Scathach, pahlawan wanita terkemuka si Scotland. Hasrat sebenarnya, beliau mahu Cú Chulainn terbunuh sama ada dalam perjalanan ataupun semasa menjalani latihan yang sudah pasti berlangsung ketat dan keras.

Menurut satu versi penceritaan, Forgall menyamar dan mengekori Cú Chulainn kembali ke istana Raja Conchobar. Di sana, beliau menyaksikan Cú Chulainn dan rakan-rakannya berlatih dan memperagakan kekuatan masing-masing.

Melihat hal itu, Forgall pun entah bagaimana, mendekati Raja Conchobar dan dengan lantang berkata bahawa bakat Cú Chulainn itu bakal menjadi lebih hebat jika diasah di bawah bimbingan Scathach, wanita yang menurutnya paling gagah. Sengaja beliau mengumpan supaya Cú Chulainn terasa tercabar.

Perwira muda yang termakan helah Forgall itu pun berangkat ke Alba, Scotland. Sepanjang tempoh pemergian Cú Chulainn, Forgall melamarkan puterinya Emer itu kepada raja wilayah Munster yang bernama Lugaid mac Nois.

Tidak diketahui adakah Lugaid inikah yang membunuh Cú Chulainn kelak, ataupun ia ada Lugaid yang lain.

Apapun, selepas Lugaid dapat tahu bahawa Emer mencintai Cú Chulainn, beliau pun enggan meneruskan perkahwinan.

Sambil Cú Chulainn pula membawa diri ke Dunscaith, Isle of Skye iaitu lokasi tepat keberadaan Scathach.

Scathach bersetuju untuk mengajarkan segala kemahiran yang dimilikinya kepada Cú Chulainn. Antara yang diajarkan termasuklah penggunaan lembing sakti – Gae Bulg atau Gae Bolga. Sepanjang latihan ini, Cú Chulainn turut berteman rapat dengan Ferdiad yang kelak menjadi sahabat dan saudara angkatnya.

Semasa berada di sana juga, Cú Chulainn sempat menewaskan seteru, atau dalam versi lain adik tiri Scathach, iaitu Aife.

Pada asalnya, untuk menghindarkan Cú Chulainn dari diapa-apakan oleh Aife, Scathach memberikan ubat tidur kepada muridnya itu sebelum bertarung melawan Aife. Namun, ubat tersebut tidak begitu berkesan terhadap Cú Chulainn si separa-dewa.

Lantas, Cú Chulainn pun mencampuri pertarungan tersebut dan setelah bertarung panjang, beliau berjaya menghunuskan pedangnya tepat di leher Aife.

Sama ada mati atau tamatkan persengketaan dengan Scathach – itu pilihan yang diberikan oleh Cú Chulainn kepada Aife. Aife kemudian mengandungkan anak Cú Chulainn sebelum lelaki itu kembali semula ke Ulster selepas menamatkan latihannya dengan Scathach.

Anak yang dikandungkan oleh Aife ini yang bernama Connla kelak menemui Cú Chulainn selepas 8 tahun wira itu meninggalkan Scotland. Namun malangnya, beliau tidak dapat mengecam Connla. Akibatnya, Cú Chulainn meragui identiti Connla malah membunuhnya.

Sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir, Connla sempat menuturkan kata-kata terakhir, “Semoga ayah dapat membawa bendera Ulster ke (gerbang) Rom dan (empayar-empayar) yang lebih jauh dari itu.”

CÚ CHULAINN KEMBALI MENEMUI EMER

Sekembali dari Scotland, Cú Chulainn menemui Forgall untuk sekali lagi melamar Emer. Namun, Forgall tetap menolak pinangan tersebut.

Akibatnya, Cú Chulainn pun menggempur kediaman Forgall dan membunuh sekitar 24 orang pengawalnya. Emer diculik dan harta-benda Forgall dirampas.

Namun, percintaan antara Cú Chulainn dan Emer sekali lagi teruji.

Sebenarnya, Raja Conchobar si pemerintah Ulster memiliki ‘hak malam pertama’ ke atas setiap rakyat jelatanya. Iya, bagi mana-mana pasangan yang baru berkahwin, Raja Conchobar mempunyai hak untuk ‘merasmikan’ malam pertama dengan pengantin wanita.

Makanya, perkahwinan antara Cú Chulainn dengan Emer ini begitu menggusarkan Raja Conchobar. Manakan tidak, beliau yang sudah sedia maklum akan keperwiraan dan kegagahan Cú Chulainn sudah tentu berasa takut untuk merampas keperawanan Emer. Untung-untung, lehernya pasti ditebas.

Namun jika beliau tidak berbuat demikian, maruahnya pula akan tercalar dan sudah tentu, kuasanya akan terjejas.

Bagaimana beliau menyelesaikan permasalahan ini, tidak pula dapat dipastikan. Apa yang sempat dirujuk, Cathbad si tukang ramal yang disebutkan sebelum ini mengutarakan satu cadangan. Cadangan yang mungkin boleh menyelamatkan Raja Conchobar tetapi menguntungkan dan dalam masa sama membahayakan dirinya sendiri.

Cathbad mencadangkan supaya si raja terus meniduri Emer, tetapi Cathbad yang akan berbaring di tengah-tengah antara mereka berdua.

TÁIN BÓ CUAILNGE DAN KEMATIAN CÚ CHULAINN

Suatu ketika dahulu, Raja Conchobar pernah memaksa seorang wanita bernama Macha untuk berlumba lari sedangkan Macha semasa itu sedang mengandung. Paksaan ini mengakibatkan beliau meninggal dunia.

Sebelum mati, Macha sempat melontarkan sumpahan ke atas lelaki-lelaki Ulster agar menjadi lemah dan sakit semasa menghadapi masa-masa paling getir dalam hidup.

Ratu Maeva (Mab) yang memerintah wilayah Connacht

Oleh kerana itu, ketika Ratu Mab (Maeve) dari Connacht mara bersama bala tenteranya menuju perbatasan Ulster, kesemua lelaki Ulster itu dipalit sumpahan Macha.

Pada masa itu, Cú Chulainn berusia 17 tahun. Memandangkan kesemua tentera Ulster tidak dapat bangun mempertahankan wilayah itu, Cú Chulainn yang tidak terkesan dengan sumpahan itu (mungkin kerana darah separa-dewanya) terpaksa tampil menghadapi bala tentera Ratu Mab berseorangan. Serangan Ratu Mab ke atas Ulster ini dikenali sebagai Táin Bó Cuailnge.

Punca kepada berlakunya penyerangan ini adalah kerana Ratu Mab menginginkan salah seekor dari dua ekor kerbau paling hebat di Ireland, iaitu Kerbau Perang miliki Raja Daire si pemerintah Cooley. Ini semua gara-gara Ratu Mab mahu berkedudukan setara dengan suaminya yang memiliki seekor lagi kerbau yang lain, iaitu Kerbau Bertanduk Putih. Makanya, Ratu Mab pun menyerang Ulster.

Namun dalam serangan tersebut, Ratu Mab menemui kegagalan demi kegagalan di hadapan pahlawan muda Ulster – Cú Chulainn. Seorang demi seorang pahlawan Ratu Mab gugur di tangan pahlawan lagenda itu sehingga jumlahnya mencecah ratusan orang.

Satu-satunya pahlawan Ratu Mab yang tinggal adalah Ferdiad, si sahabat dan saudara angkat Cú Chulainn. Entah bagaimana, Ratu Mab berhasil memperdaya Ferdiad sehingga memerangi Cú Chulainn.

Dua sahabat itu bertarung di arung sungai di Ardee, County Louth. Pertarungan berlangsung sengit selama 3 atau 4 hari sehingga pada akhirnya Cú Chulainn berjaya membunuh Ferdiad menggunakan lembing pemberian Scathach – Gae Bulg.


(KIRI) Mural mozek menggambarkan pertarungan Cú Chulainn dan Ferdiad.
(KANAN) Tugu Cú Chulainn mendokong Ferdiad di Ardee

10 tahun selepas peristiwa Táin Bó Cuailnge itu, Cú Chulainn sekali lagi berdepan dengan Ratu Mab. Kali ini, Ratu Mab bersekongkol dengan beberapa putera kepada lelaki-lelaki yang pernah dibunuh oleh Cú Chulainn. Antara mereka ialah Lugaid, anak lelaki kepada Cú Roi.

Cú Chulainn sebenarnya mempunyai beberapa geasa (pantang-larang). Antaranya adalah memakan daging anjing dan menolak layanan baik.

Kebetulan pada masa itu, Cú Chulainn berpampasan dengan sekumpulan atau seorang wanita tua yang menawarkan daging anjing panggang kepadanya. Ah sudah!

Dalam situasi sebegitu, Cú Chulainn tiada pilihan lain, terpaksa melanggar salah satu pantang-larangnya. Beliau pun menjamah daging anjing tersebut lalu meletakkannya di bawah peha. Serta-merta tangan yang digunakannya untuk makan dan peha yang diletakkan daging itu habis menjadi lemah.

Makanya dengan mudah, tubuhnya menjadi sasaran Lugaid yang memiliki tiga batang lembing. Lembing pertama digunakan untuk membunuh pembawa pedati Cú Chulainn yang bernama Laeg. Lembing kedua untuk membunuh kuda Cú Chulainn yang bernama Liath Macha (dan Dub Saingland). Sambil lembing ketiga pula dilontarkan pada batang tubuh Cú Chulainn sekaligus menimpakan luka parah kepadanya.

Mural mozek yang menggambarkan Cú Chulainn mati berkeadaan berdiri

Dalam keadaan nazak, Cú Chulainn mengikat tubuhnya pada sebongkah batu besar supaya beliau dapat mati dalam postur berdiri sambil menghadap musuh-musuhnya. Heroic, bukan?

Batu ini dikatakan berada di Clochafarmore, berhampiran Dundalk. Benarlah seperti yang pernah diramalkan oleh Cathbad – Setanta atau Cú Chulainn bakal meraih kemasyhuran yang abadi, namun hayatnya menjadi pendek. Beliau terkorban pada usia seawal 27 tahun.

Sehingga ke hari ini, lagenda Setanta dan Cú Chulainn masih lagi diceritakan. Beliau turut ditampilkan dalam budaya pop masa kini menerusi pelbagai medium. Antara yang sempat penulis ingat adalah karya fiksyen Persona 3 seperti yang tertera dalam gambar.

Setanta (kanan) dan Cú Chulainn (kiri) dalam permainan video Persona 3
Cú Chulainn dalam animasi Fate.

Bagaimana pula dengan para pembaca? Penggemar Fate misalnya.

SUMBER BACAAN

1. Celtic Culture Blog. (Julai 2012). Setanta Mythology.

2. Ensiklopedia Britannica. (n.d.). Cú Chulainn.

3. Mr R Reese. (Oktober 2014). The Irish Story and Legend of Cú Chulainn. Ancient Origins.

4. Richard Marsh. (n.d.). Setanta Wall. Mazgeen Legendary.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.