Crazy Cat Men: Bila Kucing Menjadi Kegilaan Jejaka New York

929

Sekitar lewat 1800-an hingga awal 1900-an, kucing-kucing jalanan di bandar New York sering ditangkap dan dimatikan dengan alasan perbuatan itu ‘berperikemanusiaan’. Kanak-kanak miskin akan diupah satu nikel untuk setiap ekor kucing yang berjaya ditangkap termasuklah kucing peliharaan sihat yang adakalanya dicuri oleh mereka demi wang upah tersebut.

Namun begitu, masih ada warga New York yang berhati mulia bertindak menyelamatkan dan menyayangi kucing-kucing ini dan didokumentasikan beberapa kisah mereka dalam sebuah buku karya Peggy Gavan berjudul The Cat Men of Gotham: Tales of Feline Friendships in Old New York.

Dalam zaman yang serba moden dengan teknologi, segala cerita dan gambar kucing merupakan santapan mata harian bagi pencinta kucing disebabkan kemudahan akses internet dan media sosial. Jika ingin dibandingkan dengan zaman dahulu, obsesi masyarakat terhadap kucing merupakan sesuatu yang jarang dihebahkan.

Menurut Gavan, “Pada lewat 1800-an hingga awal 1900-an, setiap kali seekor kucing menyelamatkan sesuatu misalnya menyelamatkan keluarganya daripada kebakaran atau ia sendiri diselamatkan oleh pegawai polis dan berita-berita seumpamanya, sudah tentu ia akan menjadi sensasi dan barangkali dipaparkan sebagai berita utama di dada-dada akhbar”.

Seorang pegawai polis menghentikan trafik bagi memberi laluan untuk seekor kucing bernama Blackie yang sedang memindahkan seekor daripada lima ekor anaknya di Lafayette Street, Manhattan

Berikut merupakan antara kisah kucing yang popular sekitar New York pada era tersebut seperti yang ditulis di dalam buku Peggy Gavan:

Minnie, Penangkap Tikus Veteran di Brooklyn Navy Yard

Pada akhir 1800-an, serangan tikus merupakan suatu masalah yang merugikan bagi The Brooklyn Navy Yard, sebuah tempat membuat dan membaiki kapal yang terkenal di Amerika ketika itu. Banyak limbungan dan peralatan rosak akibat makhluk perosak itu.

Tikus yang terlalu banyak juga menyebabkan anjing-anjing yang dikerah oleh Tentera Laut US lari ketakutan mengabaikan tanggungjawab mereka yang sepatutnya menangkap tikus-tikus tersebut. Jalan penyelesaian bagi masalah itu akhirnya ditemui apabila beberapa kelasi kapal mengutip kucing untuk dibela termasuk seekor kucing bernama Minnie sebagai pembawa tuah menurut kepercayaan mereka.

Pada tahun 1893, kucing-kucing ini merayau di sekitar tempat membuat dan membaiki kapal itu lalu ‘berkerja sambilan’ menangkap tikus di sana. Impaknya, populasi tikus akhirnya dapat dikawal dalam beberapa tahun. Salah seorang pekerja di sana memberitahu wartawan bahawa Minnie patut dianugerahkan anugerah pingat emas sebagai penghargaan terhadapnya yang menjaga harta kerajaaan Amerika Syarikat.

Seekor kucing dikelilingi krew kapal di limbungan
Sumber: The Guardian

Chop, Penghuni Balai Bomba

Seekor kucing bernama Chop yang menghuni sebuah balai bomba digelar oleh ahli-ahli bomba sebagai ‘Kucing Katolik’ yang ‘menyukai hidangan ikan setiap Jumaat’. Malang tidak berbau bagi Chop setelah mati kerana terperangkap pada tayar trak bomba. Ahli-ahli bomba amat berduka cita dengan kematiannya sehingga mereka mengadakan sesi memorial untuk memperingati Chop dan seekor lagi kucing balai bomba. Upacara pengebumian sebagai tanda penghormatan untuknya turut diadakan.

Jerry Fox, Peronda Brooklyn

Jerry Fox ialah seekor kucing belang yang meronda sekitar Brooklyn antara 1879 dan 1905. Ia terkenal sebagai kucing yang menghalang jenayah dan memberi amaran bahaya pada manusia. Ia amat disayangi sehingga apabila penglihatannya semakin merosot pada tahun 1903, seorang ahli optometri kawasan tersebut membuatkannya sepasang cermin mata.

Meskipun hampir buta, ia masih berjaya memberi amaran tatkala kebakaran berlaku di Borrough Corridor yang berpunca daripada cerut yang disalah letak sekaligus membantu menyelamatkan nyawa kerana deria baunya yang tajam.

Jerry Fox
Sumber: New York Post

Buzzer, Si Kucing Fotogenik

Buzzer dijaga oleh seorang jurugambar potret terkenal bernama Arnold Genthe. Ia telah digandingkan bersama lebih 80 orang pelakon wanita New York ketika itu dan dikatakan ia mungkin kucing yang paling banyak diambil gambar di Amerika.

Buzzer
Sumber: New York Post

Bambino, Kucing Kesayangan Mark Twain

Samuel Langhorne Clemens atau lebih dikenali dengan nama penanya, Mark Twain merupakan seorang penulis buku yang terkenal. Antara karya termasyhurnya ialah novel The Adventures of Tom Sawyer (1876). Di samping dikenali sebagai penulis buku, semua orang tahu bahawa beliau juga seorang ailurophile (pencinta kucing).

Beliau pernah memelihara sehingga 19 ekor kucing dalam satu-satu masa. Salah seekor kucing yang menjadi kesayangan beliau ialah Bambino. Kucing betina ini menetap bersama Twain di kediaman beliau di New York pada tahun 1904.

Bambino banyak menghabiskan masanya di bilik tidur Twain yang juga merupakan tempat beliau menulis karyanya. Selain mengacau Twain berkarya, kucing itu telah diajar oleh Twain untuk memadam lampu dan api cerut.

Bambino
Sumber: Mark Twain quotations

Kucing Pembawa Tuah

Pelombong-pelombong yang membuat terowong Joralemon Road pada tahun 1903 dan 1907 tidak akan datang bekerja tanpa kehadiran Brilliant Eyes, seekor anak kucing hitam yang dianggap sebagai pembawa tuah. Seorang juruterbang berani mati bernama John Bevins Moisant menarik perhatian awam dengan beberapa penerbangan merentasi Lengthy Island.

Menjadi kewajipan bagi beliau iaitu sentiasa bersama dengan pembantu setia beliau, Paris-London setiap kali ingin mengemudi pesawat. Nasib tidak menyebelahi beliau di mana suatu penerbangan solo yang dibuat tanpa Paris-London pada tahun 1910 di Loisiana menjadi penerbangan terakhir Moisant setelah pesawatnya terhempas lalu meragut nyawa beliau.

Paris-London
Sumber: New York Post

Kucing Penjara The Tombs, New York

Seekor kucing hitam bernama Old Nig sudah berada di penjara The Tombs yang sesak dengan banduan sejak tahun 1883. Ia berkhidmat sebagai penangkap tikus 18 tahun lamanya. Lama-kelamaan ia menukar kerjayanya menjadi peneman bagi banduan di Murder’s Row (bahagian penjara yang menempatkan banduan yang melakukan kesalahan membunuh).

Old Nig merupakan peneman setia seorang banduan di sana bernama Carlyle Harris, seorang pelajar perubatan yang ketika itu baru berusia 22 tahun. Beliau dijatuhi hukuman atas tuduhan membunuh isterinya.

Syracuse Night Telegram melaporkan Harris telah menulis sebuah puisi mengenai kucing tersebut sebelum dikenakan hukuman mati di kerusi elektrik pada tahun 1893. Beliau menulis, ‘sahabat senyap’ yang ‘hadir hari demi hari’ dan memberikan pelanggan banduannya ‘tidak lebih daripada hati yang penuh belas kasihan’.

Gavan berkata, “Ada kucing di setiap stesen polis, setiap balai bomba. Anda mempunyai beratus ekor kucing di pejabat pos. Kebanyakan perniagaan, restoran dan hotel mempunyai kucing kerana haiwan ini mengawal populasi tikus. Anjing tidak buat apa yang kucing buat.”

Beliau menambah, “Kucing akan membuat lebih daripada itu. Dan mereka (lelaki pencinta kucing) akan selalu memanggil syarikat surat khabar untuk dijadikan bahan berita”.

Pada 1894, Persatuan Pencegahan Kekejaman Terhadap Haiwan bersetuju untuk menilai kawalan dan penjagaan kucing dan anjing di New York. Namun, penghapusan haiwan-haiwan jalanan merupakan perkara biasa di era itu.

Mesti anda hairan kenapa tiada crazy cat lady dalam kisah-kisah tersebut. Semua watak sampingan kisah-kisah kucing ini berjantina lelaki. Hakikatnya, pada era itu, masyarakat masih berpegang teguh dengan peranan jantina yang tegas. Lelaki tempat mereka di tempat kerja dan tempat sosial manakala wanita tinggal di rumah menjaga makan minum keluarga.

Oleh itu, media dikuasai oleh para lelaki dan yang melaporkan berita juga selalunya lelaki. Walaupun ada berita mengenai pencinta kucing dalam kalangan wanita seperti contoh yang diberitahu Gavan mengenai seorang wanita yang mempunyai 50 ekor kucing dilaporkan dalam surat khabar, kisahnya dipotretkan secara negatif.

Muka depan buku The Cat Men of Gotham
Sumber: Amazon.com

RUJUKAN

Top Style Today (2019). A historical past of New York’s larger-than-life felines. Retrieved from https://topstyletoday.com/a-historical-past-of-new-yorks-larger-than-life-felines/#

Bekiempis, V. (2019). Crazy ‘cat men’: how New York’s feline frenzy made headlines decades ago. Retrieved from https://www.theguardian.com/us-news/2019/feb/05/crazy-cat-men-how-new-yorks-feline-frenzy-made-headlines-decades-ago

Eschner, K. (2017). Mark Twain Liked Cats Better Than People. Retrieved from https://www.smithsonianmag.com/smart-news/mark-twain-liked-cats-better-people-180965265/

Gavan, P. (2014). 1893: The Tombs’ Black Cat That Befriended Prisoners on Murderers’ Row. Retrieved from http://hatchingcatnyc.com/2014/10/12/black-cat-tombs-prisoners-murderers-row/

Thorn, J. (2016). Why Were They Called Murderers’ Row? Retrieved from https://1927-the-diary-of-myles-thomas.espn.com/why-were-they-called-murderers-row-47cfd21c3be4

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.