Covid-19 Kat Arab Saudi Dah Cecah 74,795, Jadi Apa Yang Saudi Buat?

1,166

Semua negara sedang dibadai koronavirus sekarang ini. Tiada negara yang terlepas daripada bala bencana ini. Tetapi majoriti negara mempunyai satu matlamat: jangan melepasi China.

Walaupun dengan data yang tidak boleh dipercayai, angka rasmi bagi China masih lagi 82,992 kes positif. Spekulasi saintifik mengatakan bahawa angka sebenar ialah 10 kali ganda lebih besar (Bendix, 2020), bermakna China sedang melutut pada paras 829,710 kes positif.

Tetapi itu hanyalah spekulasi sahaja.

82,971 ialah satu angka yang besar. Namun melihat penularan koronavirus di Arab Saudi, satu realiti akan berlaku.

Jika kadar penularan gagal diperlahankan, Arab Saudi akan melepas China daripada 74,795 ke 82,992 dalam masa beberapa hari. 

Dan perkara ini menghantui banyak negara Islam, kerana kedatangan Aidilfitri bermakna satu perkara. Bahawasanya musim haji bakal akan tiba dalam masa dua bulan.

67 hari ini sangatlah penting bagi peserta-peserta haji. Ia ibaratkan “make or break” bagi mereka untuk melengkapkan persediaan. Dan sekarang ini, masih belum ada jawapan tentang ibadah haji.

Singapura telahpun mengeluarkan perintah bahawa rakyat mereka tidak dibenarkan mengerjakan haji tahun ini (Uddin, 2020). Kuota 900 yang diberikan kepada Singapura telah dipilih.

Maka nama-nama terbabit akan menyertai ibadah Haji pada tahun 2021 pula. Ini merupakan pendekatan bagi Singapura baik untuk membendung penularan koronavirus.

Kerajaan Indonesia pula telah mendesak Arab Saudi supaya umumkan keputusan akhir tentang Haji agar spekulasi semasa boleh dihentikan (Idrus, 2020).

Keadaan semasa memaksa Arab Saudi supaya bertahan sejauh mungkin. Penganjuran haji dan umrah mempunyai bahagian yang sangat penting dalam belanjawan kerajaan.

Kerajaan Riyadh mendapat AS$12 bilion setiap tahun (TRT World, 2020) daripada haji sahaja yang kita boleh katakan sebagai imbuhan pelancongan terbaik.

Jadi tidak peliklah apabila keputusan tentangnya masih belum dibuat. Sejak 2014 lagi, kerajaan Riyadh berdepan dengan cabaran begitu besar ekoran kejatuhan harga bahan api global.

Bagi tahun 2016 dan 2017 sahaja, Arab Saudi mengalami penguncupan dengan catatan +1.7% dan -0.7%.

Bermakna selama dua tahun, ekonomi mereka tidak ke mana, jauh berbeza berbanding perkembangan +10% pada tahun 2011.

Buat masa sekarang, Arab Saudi telah merancakkan penggunaan e-bracelet (gelang elektronik) bagi tujuan penjejakan dan penjarakan sosial.

Dan gelang ini juga digunakan untuk pemantauan individu-individu yang telah disahkan positif (Bashraheel, 2020).

Dalam masa yang sama, Kementerian Kesihatan Saudi juga telah menjalankan 633,064 ujian  saringan sehingga 24 Mei (setakat ini 10.7% positif).

Kementerian Industri dan Sumber Mineral juga sedang menyokong enam kilang tempatan untuk mengeluarkan lima juta pelitup muka seminggu.

Dan keutamaan diberikan bagi 60 kilang bagi penghasilan 3.6 juta pembersih tangan seminggu.

Barisan sukarelawan pun telah mencecah 163,894 orang, sebuah angkatan besar untuk membantu negara mereka keluar daripada kancah ini.

Dan untuk Aidilfitri, perintah eksekutif telah dikeluarkan bahawasanya tiada siapa dibenarkan keluar rumah selama 24 jam daripada 5 petang Ramadan terakhir (Bashraheel, 2020).

Saudi juga ingin menghapvksan bayaran bulanan kepada rakyatnya, ekoran tempias buruk daripada pengeluaran minyak. Pada masa yang sama, rakyat perlu bersedia untuk membayar cukai barangan.

Kerana Tabung Kewangan Antarabangsa meramalkan bahawa ekonomi Saudi akan menguncup -2.3% bagi tahun 2020.

Koronavirus telah menghamburkan impak begitu pahit terhadap semua negara. Dan Arab Saudi berdepan dengan cabaran paling besar.

Perkara terakhir yang Dunia Islam perlukan ialah pembentukan adi-kluster (supercluster) yang berpunca daripada tanah-tanah suci.

Dikatakan bahawa keputusan akan dibuat pada 1 Jun. Dan Jun semakin menghampiri.

RUJUKAN:

Bashraheel, A. (2020, Mei 21). Saudi Arabia using electronic bracelets to battle COVID-19. Arab News. Retrieved from https://www.arabnews.com/node/1677946/saudi-arabia

Bashraheel, A. (2020, Mei 22). 24-hour curfew violations will not be tolerated, says Saudi Interior Ministry. Arab News. Retrieved from https://www.arabnews.com/node/1678476/saudi-arabia

Bendix, A. (2020, April 19). To know the real number of coronavirus cases in the US, China, or Italy, researchers say multiply by 10. Business Insider Malaysia. Retrieved from https://www.businessinsider.my/real-number-of-coronavirus-cases-underreported-us-china-italy-2020-4?r=US&IR=T

Idrus, P.G. (2020, Mei 19). Indonesia seeks clarity as p4nd3mic threatens Hajj. AA. Retrieved from https://www.aa.com.tr/en/asia-pacific/indonesia-seeks-clarity-as-pandemic-threatens-hajj/1846264

TRT World. (2020, Februari 27). How important is the Umrah pilgrimage for the Saudi economy? Retrieved from https://www.trtworld.com/middle-east/how-important-is-the-umrah-pilgrimage-for-the-saudi-economy-34163

Uddin, I. (2020, Mei 15). Singapore’s Muslims to skip Hajj pilgrimage this year. AA. Retrieved from https://www.aa.com.tr/en/asia-pacific/singapores-muslims-to-skip-hajj-pilgrimage-this-year/1841944

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.