Coriolanus – Kisah Jeneral Rom Yang Dipergunakan Oleh Musuh

0
1064
views

Sudah baca Coriolanus tulisan Shakespeare? Kalau belum, di bawah ini ialah ringkasan kisah tulisan Shakespeare yang boleh dijadikan sebagai pengajaran bukan sahaja pada waktu itu, bahkan ketika hari ini.

Coriolanus atau Caius Marcius merupakan general ternama Rom. Coriolanus menempa nama dengan menghambat musuh utama Rom ketika itu, iaitu Volscia – sehinggakan Aufidius, ketua Volscia mendendami Coriolanus. Disebabkan itulah beliau diundi rakyat Rom menjadi ketua mereka. Beliau seorang ‘strong leader’ yang mampu menyelamatkan Rome daripada taklukan Volscia.

Namun setelah beberapa ketika menjadi pemimpin, Coriolanus disisih masyarakat Rom kerana memandang rendah tahap pemikiran rakyat marhaen Rom. Coriolanus dibenci masyarakat Rom dan dianggap diktator serta zalim. Setelah tiada berjawatan, Coriolanus menuju ke musuh lamanya Aufidius di Volscia. Walau pada asalnya ingin menyerahkan diri beliau untuk dibunuh kerana kecewa pada Rom, Coriolanus berjaya dihasut oleh Aufidius untuk menawan Rom sebagai balas dendam.

Aufidius merasakan Coriolanus boleh memenuhkan impian beliau untuk menggulingkan Rom, lantas Coriolanus diangkat sebagai ketua ketumbukan pakatan Volscia menawan Rom. Walaupun kalut dan gentar akan serangan yang bakal dipimpin pemimpin lama mereka – Rom bertindak menghantar ibu Coriolanus, Volumnia serta isteri dan anaknya untuk memujuk beliau. Volumnia memarahi anaknya kerana sanggup ‘membakar negara’ dengan kemarahannya. Setelah dipujuk sekian lama, akhirnya Coriolanus bersetuju menandatangani perjanjian damai bagi pihak Volscia dengan Rom.

Waqaf Saham

Apabila pulang ke Antium, iaitu ibukota Volscia setelah perjanjian damai tersebut, Coriolanus dibunuh oleh Aufidius yang menganggap Coriolanus membelot beliau. Aufidius tidak kisah dengan Coriolanus sebenarnya – kerana bagi Aufidius, Coriolanus cumalah bidak catur bagi membolehkan beliau menguasai Rom.

Aufidius menunggang kepakaran dan kehebatan strategi perang Coriolanus untuk membinasakan Rom sendiri. Bila Coriolanus sudah tidak berminat meguasai Rom bagi pihak Aufidius, percaturan Aufidius kacau – lantas menyebabkan beliau membunuh Coriolanus.

Dengan matinya Coriolanus tamatlah satu riwayat tragedi yang menjadi pengajaran penting dalam politik. Dalam pelbagai kupasan politik di Barat khususnya di Britain, Coriolanus akan disebut-sebut sebagai salah satu pengajaran politik.

P.S: Kalau malas baca boleh tonton filem sama lakonan Gerard Butler dan Ralph Fiennes, tapi ditempatkan di era moden.