Concordski: Pesawat Supersonik Pertama Dunia

0
1034
views

Perang Dingin merupakan satu tempoh di mana kedua-dua kuasa Barat dan Kesatuan Soviet bersaing untuk menunjukkan siapa lebih hebat. Jika sesetengah masa penuh dengan ketegangan seperti isu peluru berpandu Cuba, sesetengah masa pula memperlihatkan kedua-dua blok berusaha menunjukkan siapa lebih hebat dari perlumbaan ke angkasa lepas hingga perlumbaan membina pesawat penumpang supersonik pertama di dunia. Di blok Barat, kita sudah sedia maklum dengan kehebatan Concorde tetapi tahukah anda, Rusia juga mempunyai pesawat sama dipanggil Conkordski?

Pada tahun 1960-an, tatkala kedua-dua pembuat pesawat Amerika iaitu Boeing dan Lockheed terganggu akibat masalah belanjawan dan kebimbangan berkenaan impak alam sekitar, Britain dan Perancis mengadakan kerjasama untuk menjadi pendahulu industri dengan membina sebuah pesawat penumpang supersonik. Dan seperti biasa, khabar sebegini dihidu oleh Soviet dan ini mendorong presiden mereka, Nikita Khrushchev mengarahkan projek sama digerakkan. Tetapi bagaimana Rusia mahu berbuat demikian tatkala teknologi penerbangan dan enjin masih lagi ketinggalan? Hanya satu cara saja untuk mereka boleh mengejar dan menyaingi Britain-Perancis, perisikan.

Bagi Jock Lowe, pengurus operasi penerbangan British Airways merangkap bekas juruterbang Concorde melihat persaingan Concorde dengan Conkordski atau TU-144 sama dengan apa yang berlaku ketika itu. Lowe berkata, “Perlumbaan angkasa dan perlumbaan meletakkan manusia pertama di bulan sedang berlaku pada masa yang sama. Mereka menyimpulkan ketika itu semakin laju sesebuah pesawat, semakin berjaya reputasi sesebuah pesawat berkenaan.” Ketika itu, kedua-dua Amerika Syarikat dan Soviet mempunyai pesawat jet kebanggaan mereka iaitu F-104 dan MiG-21. Keua-duanya mampu terbang dua kali ganda lebih pantas daripada kelajuan bunyi. Justeru walaupun ramai menganggu perjalanan supersonik bukan bersifat mustahil tetapi ia masih dianggap satu tugas mencabar.

Bagi penerbit majalah Flight Global, David Kaminski-Morrow melihat kejayaan awal Soviet dalam perlumbaan angkasa lepas memberi keyakinan kepada kelompok teknokrat yang berkuasa ketika itu bahawa mereka boleh bersaing dengan projek-projek Barat yang lebih berprestij. Dan ini yang mendorong Khrushchev memberi lampu hijau kepada projek tersebut pada awalnya. Bagaimanapun dengan kebanyakan sumber dan teknologi digunakan untuk membangunkan roket jarak jauh dan peluru berpandu altitud tinggi, bukan pesawat pengebom supersonik, ini memaksa projek Conkordski ini diletakkan di bawah projek pesawat awam. Ini ditambah pula tekanan untuk melihat projek ini berjaya tanpa mengira kos yang diperlukan untuk memenuhi jangkaan tinggi para pemimpin Soviet. Bagi Kaminski-Morrow, ini mendatangkan masalah kepada para jurutera yang terlibat untuk mereka dan membina ia dari sifar sambil mempertimbang aspek prestasi ekonomi dan keselesaan penumpang, sesuatu yang perlu tetapi jarang dipertimbangkan.

Dan seperti saya katakan dari awal, Soviet ketinggalan bukan setahun dua dari segi teknologi penerbangan dan enjin tetapi 15 tahun. Misalnya dari segi brek, Concorde merupakan pesawat pertama yang dilengkapi brek yang diperbuat daripada fiber karbon yang mampu menahan dari haba panas yang dijana semasa juruterbang memperlahankan pesawat selepas mendarat, sesuatu yang gagal ditiru jurutera Rusia. Dari segi enjin pula, ia dikawal oleh komputer di mana ia boleh menukar kemasukan udara demi memastikan enjin berkenaan terus berfungsi dengan baik. Ini menjadikan Concorde pesawat penumpang pertama di mana bahagian penerbangan pentingnya dikawal komputer. Dan sistem kawalan penerbangannya boleh mengubah sedikit bentuk sayap bagi membolehkannya terbang dengan kelajuan supersonik. Perkara sebegini jarang didengari ketika itu sebelum Concorde dan kini, ia menjadi antara alat utama pesawat-pesawat penumpang moden yang terbang di angkasaraya.

Untuk memastikan mereka berada di depan, ketua Aeroflot cawangan Paris, Perancis, Sergei Pavlov merekrut rangkaian anggota dan pemberi maklumat Parti Komunis Perancis untuk menyusup masuk dalam syarikat pembuat Concorde, Aerospatiale. Walaupun Pavlov kemudiannya diusir pihak berkuasa Perancis selepas mereka menemui pelan gear mendarat Concorde dalam begnya pada tahun 1965, ejen-ejen ini berterusan mencuri semua maklumat diperlukan untuk membantu pasukan jurutera dan pereka Konkordski. Berdasarkan satu laporan Agensi Perisikan Pusat (CIA) yang telah dinyahsulitkan, rangkaian perisik ini termasuklah sepasang paderi dari Czechoslovakia yang membantu menyeludup mikrofilem mengandungi pelan-pelan Concorde dalam ubat gigi untuk dibawa perisik yang menyamar sebagai pelancong menaiki Ostend-Warsaw Express. Sementara di Britain pula, seorang perisik yang diberi kod ‘Ace’ bertanggungjawab menyalurkan ribuan dokumen sulit Syarikat Kapal Terbang British (BAC) ke Kesatuan Soviet.

Walaupun dianggap mirip dengan Concorde, Conkordski mempunyai beberapa perbezaan dengan pesaing Anglo-Perancisnya itu. Dari segi panjang, panjang pesawat berkenaan ialah 215 kaki atau 67 meter, 3.7 meter melebihi panjang Concorde. Ia boleh bergerak dengan kelajuan Mach 2 atau 2,158 kilometer sejam dan dengan empat enjinnya, ia boleh menjana kuasa tujahan sebanyak 44,000 paun bagi setiap enjin berbanding apa yang dicapai Concorde. Walaupun dianggap lebih berkuasa, Conkordski juga lebih berat di bawah 100 tan, 20 tan lebih berat berbanding pesawat Concorde kosong. Sementara Concorde hanya memerlukan dua set empat tayar di bahagian sayap, Konkordski pula memerlukan 12 tayar di bawah sayapnya. Kebanyakan tayar yang dibuat di Rusia itu berpotensi untuk gagal kerana diperbuat daripada getah sintetik. Dan sebaik Lowe melihat pesawat berkenaan, beliau tahu ia tidak akan menjadi pesaing Concorde kerana terdapat pelbagai isu yang gagal diselesaikan juruteranya termasuk isu aerodinamik pesawat.

Tetapi itu tidak menghalang Kesatuan Soviet dari menjadi negara pertama menerbangkan pesawat supersonik pertama di dunia. Tiga bulan sebelum ujian penerbangan Concorde pertama, pada 31 Disember 1968, pesawat tersebut terbang ke angkasaraya buat kali pertama dan menjalani ujian penerbangan selama 38 minit. Dan selepas beberapa hari Apollo 8 pulang dari mengorbit Bulan, Kesatuan Soviet melancarkan propaganda mereka sendiri dengan imej pesawat supersonik mereka menghiasi dada-dada akhbar seluruh dunia. Di sinilah bermulanya gelaran Concordski bagi pesawat TU-144 kerana dikatakan sama dengan Concorde tetapi hakikatnya menurut Kaminski-Morrow, kedua-dua pesawat ini berbeza. Dari segi konfigurasi enjin misalnya, enjin berkenaan perlu tahan lasak bagi memastikan ia dapat mengatasi cabaran cuaca Rusia yang bersifat ekstrem. Walaupun pesawat ini terhasil daripada maklumat perisikan rahsia, mereka juga menunjukkan kebijaksanaan mengatasi pelbagai masalah teknikal bagi memastikan pesawat ini dianggap berjaya.

Waqaf Saham

Selepas Concordski direka semula untuk menambahbaik kualiti pesawat berkenaan, ia akhirnya dipamerkan buat kali pertama pada tahun 1973 menerusi Pertunjukan Udara Paris di mana ia turut menampilkan pesaingnya, Concorde. Pesawat Concorde yang dipamerkan ketika itu masih lagi prototaip dan rekaan sebenarnya masih menunggu giliran di kilang pembuatan. Dan persaingan antara kedua-dua krew penerbangan amat hebat. Mendiang Sergei Kozlov, juruterbang Concordski yang ditemubual majalah Time berkata, “Tunggu sehingga kamu melihat kami terbang. Dan kamu akan melihat sesuatu yang menarik.” Ia sebenarnya dilihat satu ejekan dan cabaran kepada krew Concorde yang terbang pada 2 Jun 1973, sehari sebelumnya. Pada 3 Jun 1973, Kozlov membawa Concordski mendaki dengan pantas ke udara sebelum berpusing dengan ganas, menjunam laju dengan bahagian pesawat bercerai sebelum terhempas di sebuah kawasan kejiranan di perkampungan Goussainville. Tragedi tersebut membunuh Kozlov dan lima krew pesawat serta lapan orang awam termasuk tiga orang kanak-kanak.

Laporan rasmi siasatan membabitkan pihak berkuasa Perancis dan Soviet menyalahkan juruterbang Concordski atas apa yang berlaku. Bagaimanapun, ia menimbulkan pelbagai teori konspirasi berkenaan punca sebenar kemalangan. Ada mendakwa Kozlov berpusing terlalu kuat sehingga menyebabkan pesawat kehilangan daya penerbangan. Ada juga mendakwa keadaan berawan pada hari itu turut menyumbang kepada kemalangan. Bagi penganalisis perisikan Amerika Syarikat Howard Moon, beliau melihat punca sebenar Concordski terhempas berpunca daripada gangguan sebuah pesawat pejuang Mirage yang berlepas sebelum TU-144 mula terbang. Pesawat tersebut berlepas awal bagi membolehkannya mengambil gambar penerbangan Concordski secara rahsia tetapi menjadi gangguan kepada Kozlov yang terpaksa mengelak daripada berlanggar dengan pesawat Mirage itu. Moon berpandangan kerajaan kedua-dua negara membuat perjanjian dengan Moscow tidak akan menyebut tentang kehadiran pesawat Mirage berkenaan dengan syarat Paris tidak mengungkit masalah struktur yang dialami Concordski.

Bagaimanapun, perjanjian berkenaan tidak meredakan langsung kebimbangan Aeroflot untuk menggunakan pesawat berkenaan sepenuh masa. Semua masalah mekanikal dan struktur membabitkan pesawat berkenaan perlu dibaiki sebelum ia boleh digunakan dalam perkhidmatan Aeroflot. Ujian penerbangan pertama membabitkan pesawat itu bermula pada tahun 1975 hanya membabitkan surat dari Moscow ke Almaty, Kazakhstan. Selepas dua tahun diuji, barulah Aeroflot mula mengambil penumpang untuk pesawat ikonik itu. Itu pun perkhidmatan pesawat berkenaan masih terganggu dengan isu bunyi udara yang terlalu bising sehingga menyukarkan penumpang berkomunikasi. Menurut Moon, perbezaan kedua-dua pesawat amat ketara apabila ia membawa sekumpulan pemerhati asing. Antara rungutan yang diterima ialah isu bunyi udara yang terlalu bising, tandas tidak berfungsi dan kerusi penumpang yang tidak selesa.

Walaupun sudah beroperasi di udara, ia ternyata satu mimpi ngeri politik. Projek sebegini dilihat memakan terlalu banyak sumber sehingga menyusahkan bukan saja Aeroflot tetapi juga Kremlin. Pada tahun sama, pembuat Concordski cuba mendapatkan sesetengah komponen komputer pengurusan enjin yang digunakan Concorde tetapi dibatalkan Britain kerana bimbang ia akan digunakan untuk pesawat pengebom Soviet. Aeroflot tidak pernah menyebut Concordski dalam rancangan lima tahunnya dari 1976 hingga 1982. Dan selepas satu lagi pesawat terhempas semasa ujian pra-penghantaran pada Jun 1978, syarikat penerbangan itu menamatkan terus khidmat Concordski. Pesawat TU-144 ini hanya membuat 102 penerbangan dengan 55 penerbangan saja yang membawa penumpang. Selepas tahun 1982, ia menjadi tempat latihan bakal krew kapal angkasa Soviet, Buran. Selepas Tembok Berlin runtuh dan kejatuhan Kesatuan Soviet, sesetengah daripadanya disimpan di pangkalan ujian pesawat Soviet di Zhukovsky berhampiran Moscow.

Bagi Concorde pula, jika Britain dan Perancis mengharapkan pulangan semula daripada pelaburan mereka, mereka salah. Concorde juga dilihat bermasalah dengan hanya 20 pesawat saja yang dibina berbanding janji membina 200 pesawat itu pada tahun 1967. Dan apabila pesawat berkenaan akhirnya terbang di angkasa pada tahun 1976, pesaingnya iaitu Boeing 747 sudah memerintah di angkasaraya. Dan dengan krisis minyak global yang berlaku ketika itu, ia sekaligus menaikkan lagi kos operasi bahan api. Bukan itu saja, peraturan bunyi dan protes orang ramai terhadap bunyi bising memaksa Concorde terbang kurang daripada kelajuan sepatutnya melainkan semasa berada di permukaan air. Dan selepas kemalangan udara yang membunuh 113 penumpang sebaik berlepas dari Paris, kedua-dua Air France dan British Airways terpaksa menggantung khidmat Concorde selama setahun. Concorde hanya kembali dua bulan sebelum serangan 11 September, serangan yang memberi impak negatif kepada industri penerbangan. Pada tahun 2003, kedua-dua syarikat berkenaan menamatkan khidmat pesawat ikonik itu.

Selepas kejatuhan Soviet, Washington melalui Agensi Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) bekerjasama dengan jurutera aeroangkasa Rusia mengubahsuai Concordski sebagai makmal terbang sebagai sebahagian daripada projek kajian bersama untuk membangunkan pesawat supersonik generasi kedua. Dan untuk menjayakan program tersebut, pesawat TU-144 dilengkapi dengan pelbagai peralatan moden dari Barat. Bagaimanapun, penerbangan awal pesawat berkenaan diselubungi masalah berikutan temubual juruterbang tidak termasuk dalam kontrak mereka dan syarikat pereka pesawat, Tupolev hanya membayar juruterbang untuk menerbangkan pesawat saja. Ini memaksa NASA menghantar wakil mereka sendiri untuk menerbangkan pesawat ikonik itu.

Dua juruterbang ujian NASA diberi peluang menerbangkan Concordski iaitu Rob Rivers dan mendiang Gordon Fullerton. Dan bagi Rivers, beliau mencipta sejarah tersendiri kerana pernah menerbangkan Concorde dan terbaru, pesaingnya dari Rusia iaitu Concordski. Bagaimanapun dua minggu sebelum berangkat ke Rusia, Rivers terjatuh semasa berjalan di kawasan hutan sehingga mengakibatkan beberapa bahagian kakinya patah dan retak. Doktor yang merawat menasihatinya membatalkan hasratnya ke Rusia tetapi selepas dipujuk, bersetuju memasukkan rod besi bagi membolehkan Rivers menerbangkan pesawat TU-144. Sebaik tiba di Rusia, individu bertanggungjawab berkenaan rekaan Concordski bernama Alexander Pukhov membuat perjanjian dengan juruterbang NASA itu. Selagi mana Rivers tidak berjalan menggunakan topang di hadapan media dan semasa berjalan ke pesawat, beliau dibenarkan menerbangkan pesawat TU-144 itu.

Bagi Rivers, ia satu pengalaman yang menyakitkan tetapi berbaloi pada akhirnya. Beliau dan Fullerton menerbangkan pesawat itu sehingga akhir 1998 tetapi itulah juga penerbangan terakhirnya di angkasaraya. Ini kerana pesawat berkenaan terlalu mahal untuk operasi dan tidak boleh diharap untuk membawa penumpang. Kini ia tersimpan sama ada di hangar atau muzium. Dan bagi Rivers pula, impian menerbangkan Concordski tidak akan terjadi tanpa kerjasama krew penerbangan Rusia iaitu juruterbang Sergei Boresov, pemandu arah Viktor Pedos dan jurutera penerbangan Anatoli Kriulin. Dan bila diminta membandingkan kedua-dua pesawat, beliau melihat Concordski seekor kuda yang besar dan mempunyai kuasa hebat tetapi tidak berapa efisien. Sementara bagi Concorde pula, Rivers melihatnya sebagai seekor kuda yang sensitif tetapi laju bila berlari di gelanggang lumba kuda.

SUMBER

1. Klein, Christopher. (2016). History.com. The Cold War Race to Build the Concorde. https://www.history.com/news/the-cold-war-race-to-build-the-concorde

2. Dowling, Stephen. (2017). BBC. The Soviet Union’s flawed rival to Concorde. http://www.bbc.com/future/story/20171018-the-soviet-unions-flawed-rival-to-concorde

Previous articleAsal Usul Helang Kepala Dua
Next articleCinta Adalah Ihsan
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE