Comfort Women: Jenayah Perang Fasis Jepun Di Malaysia

273

Dalam artikel ‘comfort women’ tidak lama dahulu, saya hanya menyentuh perihal jenayah seksual yang kejam ini ke atas ramai wanita di negara-negara yang pernah Jepun seperti Korea Selatan dan Indonesia. Tetapi tidak ramai tahu jenayah sebegini turut berlaku di Malaysia semasa tahun-tahun penjajahan negara Matahari Terbit itu semasa Perang Dunia Kedua (WWII). Dan seperti mana kisah-kisah yang dipaparkan dalam artikel sebelum ini, ia amat sadis dan menyedihkan.

Sebelum saya bercerita kisah-kisah comfort women membabitkan warga kita, elok jika kita ingati semula apa itu comfort women. Menurut Michiko Nakahara dari Universiti Waseda, ‘sistem stesen keselesaan’ diperkenalkan Jepun semasa WWII di kawasan-kawasan yang diduduki mereka. Ini bagi mengelakkan berlakunya aktiviti rogol wanita tempatan oleh pihak tentera, mengurangkan tentangan penduduk tempatan, mengelak mereka dijangkiti penyakit bawaan seksual (STD) dan mengelak insiden ini diketahui komuniti antarabangsa.

Pada awalnya, golongan pelacur diambil sebagai bahan pemuas nafsu pihak tentera dan mereka ini datang sama ada dari Jepun, koloni seperti Semenanjung Korea dan Taiwan serta negara-negara yang dijajah mereka ketika itu. Menurut Nakahara lagi, wanita-wanita yang menjadi sasaran berumur antara 17 hingga 28 tahun dari semua kumpulan etnik dan dibayar $150 ketika itu. Beliau berkata demikian semasa membentangkan kertas kerjanya yang bertajuk ‘Comfort Women in Malaysia’ semasa Persidangan Kajian Malaysia Antarabangsa Ketiga di Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 2001.

Menurut Nakahara lagi, terdapat beberapa tempat yang menjadi tempat tentera-tentera ini melampiaskan nafsu buas mereka. Di Kuala Lumpur misalnya menyatakan beberapa lokasi iaitu sebuah banglo di belakang Dewan Perhimpunan Cina Selangor, empat bangunan besar sepanjang Jalan Gurney (kini Jalan Tun Razak) bersebelahan Perpustakaan Negara, Hotel Tai Sun yang terletak di hadapan bekas Penjara Pudu dan sebuah rumah besar sepanjang Jalan Ampang. Selain itu, beberapa lokasi lain di seluruh negara turut dinyatakan seperti sebuah banglo gaya Tudor yang kini menjadi premis MCA Cawangan Kuala Pilah di Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan Hotel Tong Lock di simpang Jalan Burma dan Jalan Zainal Abidin, Pulau Pinang.

Satu kisah yang direkodkan Nakahara berkenaan seorang wanita yang hanya dikenali sebagai P. Semasa dijadikan sebagai comfort women, bukan sekali dua dia menjadi kebuasan nafsu tentera Jepun termasuk dirogol berkali-kali oleh mereka. Akibat tindakan ganas mereka, bahagian rahimnya dijangkiti kuman sehingga ia perlu dibuang. Walaupun dia kemudian berkahwin pada tahun 1951 dan mempunyai dua orang anak angkat pada tahun 50-an, P terlalu trauma sehingga membenci hubungan seksual dan enggan membenarkan suami tercinta menyentuhnya. Ini menyebabkan suaminya meninggalkan dia untuk bersama dengan orang lain. Selain itu, P juga mengalami pelbagai penyakit seperti ulser perut, penyakit jantung, tekanan darah tinggi dan diabetis.

Selain kisah P, Nakahara turut merekodkan kisah seorang wanita Melayu yang menjadi hamba seks tentera ini. Dalam keterangannya, wanita itu bercerita, “Saya bekerja seperti seekor binatang, mereka memperlakukan saya sesuka hati. Saya terpaksa mematuhi arahan mereka sehinggalah mereka menyerah kalah.” Anak wanita itu menceritakan ibunya sentiasa mengalami mimpi ngeri dan menangis semasa tidur. Dan bila dia terjaga dari mimpi buruknya itu, dia merayau tanpa apa-apa tujuan. Nakahara menambah, “Dia memberitahu saya dia sentiasa memohon keampunan Tuhan atas segala dosa yang dilakukan. Dia masih menderita dari memorinya itu dan perasaan bahawa dia bersalah. Tiada orang dalam kampungnya pernah memberitahunya bahawa dia tidak bersalah atas apa yang berlaku itu.”

Mungkin ada yang tertanya-tanya mengapa hal ini tidak diperjuangkan oleh pihak kerajaan. Sebenarnya, ia cuba dibangkitkan pada tahun 1990-an menerusi Datuk Mustapha Yaakub. Datuk Mustapha yang ketika itu berkhidmat sebagai Setiausaha Pemuda UMNO menghadiri Persidangan Jawatankuasa Siasatan Antarabangsa berkenaan Jenayah Perang Jepun yang diadakan di Kathmandu, Nepal pada 16 dan 17 Oktober 1992. Jawatankuasa antarabangsa ini dianggotai oleh Malaysia, Algeria, Perancis, Jepun, Thailand, Pakistan, India, Bangladesh, Nepal dan Sri Lanka. Beliau bertanggungjawab mengumpul maklumat kekejaman tentera Jepun semasa mereka menduduki Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak antara tahun 1942 hingga 1945.

Sekembalinya beliau dari Kathmandu, Datuk Mustapha meminta mana-mana mangsa kekejaman Jepun tampil ke hadapan. Hasil dari semua laporan ini kemudiannya akan dibentangkan pada Persidangan Hak Manusia Dunia PBB pada May 1993 di Vienna, Austria dengan harapan keterangan-keterangan dari negara-negara Asia terutama Malaysia didengar. Dari situ, ia boleh dijadikan asas untuk mendesak Jepun membayar sejumlah besar pampasan dan memohon maaf atas perlakuan jenayah mereka itu. Hasilnya dalam tempoh empat bulan, 3,500 surat dihantar untuk menyatakan kisah mereka termasuk kisah P dan wanita Melayu yang saya nyatakan di atas.

Mereka melihat kerajaan yang dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad (penggal pertama sebagai Perdana Menteri) ketika itu dilihat serius mahu menangani isu ini dan dilihat bersedia meminta bayaran pampasan dan permohonan maaf dari Tokyo. Tetapi entah di mana silapnya, laporan testimoni yang disediakan Datuk Mustapha tidak dibentangkan di Vienna atas arahan Menteri Pertahanan merangkap Ketua Pemuda UMNO ketika itu, Datuk Seri Najib Razak (berkemungkinan atas arahan Perdana Menteri dan Presiden UMNO Tun Dr Mahathir demi menjaga hubungan baik Kuala Lumpur-Tokyo).

Keengganan pihak kerajaan untuk berbicara soal ini nyata mengecewakan. Pada tahun 2015, MCA bersedia memperjuangkan hak comfort women yang dianiaya yang hanya mahukan pihak Jepun mengakui perlakuan keji ini benar-benar berlaku dan Tokyo bersedia memohon maaf kepada mereka. Hal ini diperjuangkan oleh Ketua Bahagian Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA Datuk Seri Michael Chong selama 20 tahun dan mahukan keadilan bagi para mangsa yang terlibat. Respon ini timbul selepas perjanjian comfort women dicapai Korea Selatan dan Tokyo di mana mereka menawarkan bayaran sebanyak satu bilion yen (RM35.7 juta) sebagai bayaran kepada comfort women yang menderita di Seoul.

Tetapi selepas beberapa tahun, ianya kembali sepi walaupun selepas negara menyaksikan pertukaran kerajaan dari Barisan Nasional kepada Pakatan Harapan. Tatkala itu, derita para wanita ini terus berpanjangan tanpa sebarang pembelaan. Sementara maklumat berkenaan jenayah ini langsung tidak diambil perhatian dan dipandang sepi orang awam termasuk pihak kerajaan atas alasan ianya tidak relevan atau menjaga hubungan diplomatik yang terjalin. Apakah keadilan bagi mereka terlalu murah harganya?

SUMBER

1. Nakahara, Michiko. (2001). Critical Asian Studies (muka surat 581-589). Comfort Women in Malaysia.

2. Loone, Susan. (2001). Malaysiakini. Researcher details shattered lives of local comfort women. https://www.malaysiakini.com/news/4269

3. The Star. (2015). MCA: Japan must say sorry. https://www.thestar.com.my/news/nation/2015/12/31/mca-japan-must-say-sorry/

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.