Collateral Beauty (2016) : Tentang Cinta, Masa & Ajal

412

Collateral Beauty merupakan sebuah filem bergenre drama yang ditayangkan pada tahun 2016. Filem ini dilakonkan oleh pelakon-pelakon hebat Hollywood iaitu Helen Mirren, Keira Knightley, Will Smith, Edward Norton dan Kate Winslet. Namun begitu, ‘rating’ yang diterima Collateral Beauty agak rendah selain kritikan dari pelbagai pihak.  

Collateral Beauty mengisahkan Howard (Will Smith) yang tidak dapat menerima kehilangan anak perempuannya, yang meninggal dunia akibat kanser pada usia 6 tahun. Emosi Howard yang terjejas teruk turut menjejaskan kariernya walaupun setelah 2 tahun pemergian anaknya berlalu.

Rakan sekerja Howard yang bimbang akan prestasi dan masa depan syarikat mengambil keputusan untuk ‘memaksa’ Howard meletak jawatan menerusi surat-surat Howard yang ditujukan kepada masa (time), ajal (death) dan cinta (love) apabila perbagai cara telah dilakukan untuk memujuknya namun segalanya tidak berhasil.

Mungkin jalan cerita filem ini  agak perlahan bagi penonton yang tidak meminati genre drama, namun mesej yang disampaikan di sebalik penceritaan adalah cukup mengesankan. Menariknya, konsep cinta, masa dan ajal yang begitu dibenci oleh Howard setelah kehilangan anaknya, juga berkait rapat dengan rakan sekerja Howard iaitu Whit, Claire dan Simon.

Watak-watak yang dipegang oleh cinta, masa dan ajal juga sesuai dengan konsep dan perwatakan mereka. Cinta dilakonkan oleh Keira Knightley, seorang wanita cantik yang lemah-lembut. Masa dilakonkan oleh Jacob Latimore, seorang anak muda yang agak agresif. Ajal dilakonkan oleh Helen Mirren, seorang wanita tua yang arif.

  • Cinta (Love)

Bagi Howard, pemergian anaknya merupakan suatu pengkhianatan yang dilakukan oleh cinta. Kerana jika cinta itu tulus dan benar, ia tidak akan pergi meninggalkannya dalam kesakitan dan kesedihan. 

Rakan sekerjanya, Whit pula berlaku curang terhadap isterinya dan cuba memperbaiki hubungan yang renggang dengan anak perempuannya sendiri.

‘I’m in darkness and the light, I’m in the sunshine and the storm. Yes, you’re right. I was there in her laugh, but I’m also here now in your pain. I’m the reason for everything. I am the only ”why”. Don’t try and live without me, Howard. Please don’t.’

Cinta tidak terlimitasi pada rasa bahagia dan gembira semata-mata, kerana cinta juga merupakan pengorbanan dan kesedihan. Di sebalik kehilangan orang yang tersayang, tersembunyi perasaan cinta yang sering manusia terlepas pandang. Hati dan emosi tidak akan sakit jika kita tidak sayang dan cinta. Oleh itu, kehilangan dan pemergian seseorang yang kita sayang tidak seharusnya menerbitkan rasa benci dan menghapuskan rasa cinta pada yang lain, terutamanya pada kehidupan kita sendiri.

  • Masa (Time)

Howard begitu membenci masa kerana dia merasakan ketidakadilan apabila anak perempuannya yang baru berusia 6 tahun diambil daripadanya. Justeru, masa yang telah diluangkan bersama anaknya dirasakan amat singkat. Namun begitu, Howard gagal menyedari bahawa dia telah mensia-sia kan 2 tahun untuk membenci dan bersedih atas pemergian anaknya. Dalam masa 2 tahun, Howard hidup dalam keadaan emosi yang tidak stabil di samping menjejaskan kariernya sendiri.

Claire pula seorang watak yang mengejar masa. Claire menginginkan zuriatnya sendiri walaupun masih belum berkahwin di samping umur yang semakin meningkat.    

‘You all like to bitch and complain – “There isn’t enough time. Life is short. Oh, here, the gray hairs are coming in.” You know, a day is long as hell. I’m abundant. I’m a gift. Even while you’re standing here talking shit, I’m gifting you, and you’re wasting it.’

Realitinya, tanpa kita sedari, kita sering membazirkan masa dengan perkara yang sia-sia. Dalam masa yang sama, kita juga sering terburu-buru mengejar masa. Masa adalah anugerah yang paling berharga namun sering dipandang enteng dan jarang disyukuri oleh sekalian manusia.

  • Ajal (Death)

Howard membenci ajal yang telah menjemput anak perempuannya pergi. Ketiadaan anak perempuannya di sisi dirasakan begitu berat dan tidak dapat diterima dengan mudah walaupun dia sedar ajal dan kematian merupakan satu proses kehidupan yang normal dan di luar kawalan manusia.

Rakan sekerjanya, Simon pula menghampiri ajal kerana menghidap kanser. Simon yang mempunyai 2 orang anak kecil bimbang akan kehidupan keluarganya setelah ketiadaannya kelak justeru cuba menyembunyikan penyakitnya daripada mereka.

‘Nothing’s ever really dead if you look at it right.’

Manusia sering merasakan bahawa suatu kehilangan itu merupakan pengakhiran. Justeru, hari berganti hari, mereka yang telah tiada dalam hidup kita terus dilupakan dan lenyap bukan sahaja di dalam hati mahupun ingatan bahkan dalam doa. Sebetulnya, jika kita benar-benar menyayangi seseorang, mereka akan terus ‘hidup’ dan dekat dalam kehidupan seharian, dalam hati, doa mahupun ingatan.

Kesimpulannya, Collateral Beauty mengetengahkan mesej yang dekat dengan realiti kehidupan manusia. Kita semua pernah atau bakal merasa kehilangan orang yang tersayang. Menerusi refleksi cinta, masa dan ajal, filem ini mengajar sekali gus menyedarkan penonton tentang bagaimana menerima satu kehilangan yang nyata menyakitkan namun mengandungi hikmah tersendiri atau dengan kata lain ‘Collateral Beauty’.

Trailer:

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.