Code Of Conduct (Prinsip Tatatertib) Sebuah Institusi

155

Baru-baru ini tular sebuah video lamaran di Facebook. Seorang gadis Islam dilamar teman lelakinya dengan sebentuk cincin. Gadis tersebut pun terkejut beruk dengan lamaran tersebut sebelum menerimanya. Setelah itu gadis tersebut dipeluk (atau memeluk) teman lelakinya, yang merupakan suatu pencabulan kepada prinsip tatatertib universiti yang sedang mendidik mereka.

Maka pihak universiti mereka meneliti kedua-dua pelajar ini. Keputusan mereka kepada gadis ini ialah pembuangan universiti yang dibenarkan rayuan. Pelajar lelaki tersebut (pada 6 petang waktu Malaysia tarikh 14 Januari 2019) sedang menunggu nasib.

Apabila kisah romantis yang bertukar tragis ini tersebar, pendapat umum pun seperti yang boleh dibayangkan bercampur baur. Sejujurnya apabila bercinta, batasan pergaulan memang akan teruji. Semoga Allah mengampuni dosa mereka yang rasanya sudah diampuni pun.

Cuma apa yang perlu ditekankan ialah konservatisme berasaskan piagam universiti. Setiap institusi pengajian ada prinsip masing-masing. UiTM misalnya memandang serius terhadap kelakuan sumbang seperti zina dan songsang dalam zon kuasa mereka. Jika ada dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi ditangkap sedemikian, tidak mustahil jika mereka dibuang pun.

Mungkin universiti-universiti swasta Malaysia tidak berkongsi prinsip ini, bahawasanya hubungan kelamin bagi pihak-pihak pengurusan ialah suatu perkara untuk dinormalisasi. Tetapi topik di sini tidak relevan bagi universiti swasta. Kerana universiti yang terbabit ialah “kemuncak intelektualisme” (pinnacle of intellectualism) iaitu al-Azhar. Ditubuhkan lebih daripada 1,000 tahun lalu sebagai masjid dan madrasah, malah diberikan sentuhan Sunnisme oleh penguasa Salah ad-Din al-Ayyubi, setiap pelajar diwajibkan mempunyai perilaku dan perwatakan yang mencerminkan imej universiti. Mudah kata, lagi lama sebuah universiti, lagi kuat tradisionalisme yang dianutinya.

Dibawah Presiden Gamal Abdel Nasser, Bapa Dunia Arab ibaratkan, al-Azhar diberikan kucupan universiti. Pelbagai pengajian duniawi digabungkan dengan teras-teras ukhrawi supaya mampu membentukkan sahsiah dan definisi baharu kepada masyarakat Mesir terutamanya. Namun dikatakan al-Azhar masih lagi mengamalkan pengasingan jantina. Fakulti wanita pun ditubuhkan penuh teliti dengan konsep-konsep konservatisme.

Senang kata, universiti ini bukan calang-calang untuk dipijakkan prinsipnya. Disebabkan itulah kemarahan awam membuak-buak terhadap dua pelajar ini yang begitu riang bermesra walhal baru dilamar sahaja. Konsep tatatertib telah diselaraskan dalam dunia ini. Setiap institusi mempunyainya.

Tiada toleransi akan diberikan pun, sepertimana Huawei menurunkan pangkat (bersertakan memotong gaji) seorang pekerja hanya kerana menggunakan iPhone. Malah Apple pun tidak terlepas daripadanya, kerana pernah memecat atas kesilapan anak seorang jurutera yang menunjukkan iPhone X sebelum perasmiannya.

Microsoft sendiri mengharamkan para pekerjanya daripada penggunakan produk-produk Apple. Semasa iPod meletup-letup, Microsoft berjuang supaya para pekerjanya menggunakan Zunes. Kebangkitan iPhone pula menyaksikan pekerja-pekerja Microsoft berkeinginan untuk mendapatkannya, sehingga terpaksa menggunakan secara rahsia pun.

Perkara ini pun merupakan asas kebebasan yang jauh lebih meluas daripada tatatertib sebuah universiti. Namun ketiadaan seorang liberal untuk menempelak kejumudan ini memang menimbulkan tanda tanya. Tidaklah adil jika institusi Islam sahaja perlu membatalkan tatatertib mereka atas semarak api kebebasan.

Oleh itu, tindakan pihak universiti dalam perkara ini memanglah patut dipersetujui. Hanyalah melalui platform rayuan sahaja boleh dua pelajar ini dikembalikan. Itupun pengembalian mereka perlulah tanpa prejudis tentang belas ihsan. Al-Azhar merupakan institusi yang melahirkan banyak insan ternama seperti Abdul Hadi bin Awang, Allayarham Nik Aziz Nik Mat, Dr Mohd Fakhrudin Abdul Mukti dan Hassan al-Banna pun.

Jika kita tidak bersetuju dengan piagam sebuah institusi, maka kita sendiri perlu elakkan diri daripada dinaunginya. Di Barat, berlaku homofobia boleh mengundang pembuangan kerja pun. Di Malaysia pula berlainan caranya – yang mana penghinaan terhadap ahli-ahli monarki tidak wajar dipalitkan dengan pembuangan kerja.

Pilih kasih (double standard) ialah benih daripada zina antara pasangan kemunafikan (hipokrasi) dan kejahilan (kebodohan). Kebebasan pula ialah sakaratul-maut bagi sebuah piagam bernama prinsip.

SUMBER:

http://www.reuters.tv/v/PeZf/2019/01/04/huawei-punishes-employees-for-iphone-blunder

https://globalnews.ca/video/3832122/apple-fires-engineer-after-his-daughter-shows-off-the-iphone-x-online

https://www.cultofmac.com/155131/microsoft-bans-employees-from-using-apple-products-as-work-machines/

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.