Clash Of Titan – Pertempuran Para Dewa Yunani

1,832

Apabila berbicara tentang mitos penciptaan para dewa Yunani purba sebagaimana yang dinukilkan oleh seorang penyair yang bernama Hesiod (750-650SM), bayanan yang paling sesuai bagi menggambarkan keadaan tersebut adalah suasana orang ramai berhimpit-himpit di sekeliling seorang penglipur lara, atau mungkin sebuah lubang api di tengah-tengah langit malam yang paling hitam. Hanya Hesiod sahaja yang mencatatkan tentang permulaan ciptaan, garis masa para dewa dan para Titan, kenaikan Zeus dan juga kemunculan manusia.

Hesiod memberikan keterangan tentang kesemua perkara ini di dalam pelbagai karyanya. Terdapat dua buah karya beliau yang paling diingati, iaitu ‘Theogony’ yang mengisahkan tentang perang 10 tahun antara Zeus dan para Titan, serta ‘Works and Days’ yang membincangkan tentang penciptaan manusia pada lima zaman secara mendalam.

Beliau menukilkan bahawa manusia diciptakan oleh para Titan dan dikurniakan ilmu menyalakan api. Namun ketika mengalami kehancuran, mereka dibiarkan menjadi mangsa kepada Zeus yang membenci mereka sejak awal lagi dan beliau cuba menghapuskan ras manusia di muka bumi. Pun begitu, manusia kekal selamat dan kemudiannya terus wujud untuk memperturunkan hikayat tentang para dewa sebaik sahaja kesemua dewata itu hilang dari ingatan manusia.

Sama ada para Titan dan para dewa (Dewata Olympia) itu benar-benar wujud ataupun tidak, hikayat-hikayat yang menceritakan tentang ciri mereka menyifatkan bahawa mereka itu jauh lebih sempurna berbanding mana-mana makhluk fana. Walaupun kebanyakan pengetahuan tentang mereka yang masih tersisa pada hari ini hanyalah sebahagian kecil dari legenda dan puisi purba, sumber yang kecil itu tetap jua membolehkan kita menganalisa dan membayangkan tentang Perang Titan (Titanomachy) dan kebangkitan manusia.

ZAMAN HURU-HARA (CHAOS) DAN ZAMAN URANUS


Asal-usul para dewa dimulakan dengan kemenjadian kosong yang dikenali sebagai Zaman Huru-Hara (Chaos), di mana pada waktu tiada cahaya yang wujud. Daripada kekosongan inilah lahirnya Gaea si Bumi, wanita pertama yang melahirkan Pontus si laut dan Ouranos (Uranus) si langit.

Gaea si bumi, wanita pertama dalam mitos penciptaan Yunani

Ouranos kemudiannya menjadi anak merangkap suami kepada Gaea. Beliau berperanan sebagai pemerintah alam yang pertama, sekaligus zamannya dikenali sebagai ‘Zaman Ouranos’. Ouranos berhasrat untuk mencipta makhluk-makhluk lain yang cantik dan setia dalam memujanya.
Justeru bersama Gaea, beliau melahirkan Briareus, Cotos dan Gyes. Ketiga-tiga anak ini adalah makhlum bertangan seratus yang dikenali sebagai Hecatonchires. Walaupun saiz mereka sangat besar dan kekuatan mereka luar biasa, Hecatonchires sama sekali sukar dikawal. Justeru, Ouranos pun memenjarakan mereka di sebuah neraka gelap yang disebut sebagai Tartaros.

Ouranos dan Gaea kemudiannya mencipta para Cyclope yang bernama Hum, Arges, Steopes dan Brontes. Mereka semua mempunyai saiz tubuh yang besar. Namun, mereka cuma memiliki satu mata yang terletak di tengah-tengah muka. Dalam erti kata lain, penciptaan mereka sama sekali tidak sempurna. Lantaran itu, para Cyclope ini pun menerima nasib yang sama seperti Hecatonchires di mana mereka dihumban ke dalam Tartaros.

Cyclopes dihumban ke Tartaros kerana sifatnya yang tidak sempurna

Gaea berasa duka atas nasib yang menimpa anak-anaknya itu. Beliau malah berasa berat hati untuk melahirkan lebih banyak zuriat Ouranos. Pun begitu, beliau tetap akur dengan perintah Ouranos lalu menciptakan para Titan yang penciptaan mereka lebihhampir dengan kesempurnaan yang diinginkan oleh Raja Dewa itu.

PEMBERONTAKAN TITAN

Berang dengan pemejaraan Hecatonchires dan Cyclopes di Tartaros, Gaea lantas berkomplot dengan para Titan untuk menyerang Ouranos. Pada mulanya, beliau mendekati Oceanos, Titan yang sulung untuk memujuknya agar menghimpunkan adik-beradik yang lain dalam menentang Ouranos. Namun, Oceanus merupakan seorang yang penakut.

Kemudian, Gaea beralih pula kepada Cronos, Titan yang paling bongsu. Beliau meminta agar Cronos memerangi bapanya dan mengambil-alih kepimpinan ke atas seluruh ciptaan. Gaea juga meminta bantuan Cronos agar membebaskan adik-beradiknya yang dipenjarakan di Tartaros. Permintaan tersebut dipersetujui oleh Cronos.

Gaea kemudiannya menghasilkan sebilah sabit kebal (adamantine sickle) dan memberikannya kepada Cronos yang langsung sahaja menghimpunkan adik-beradik Titan-nya. Dengan sekali serangan, Cronos dan adik-beradiknya berhasil menundukkan Ouranos, memotong alam kelaminnya lalu mencampaknya ke laut.

Dalam mitos penciptaan, Cronos mengembiri bapanya, Ouranos

Daripada darah Ouranos yang tumpah ke bumi, tiga jenis makhluk terlahir iaitu Gigantes, Furies dan Meliae. Daripada titisan darah yang mengalir dari alat kelamin yang tenggelam ke dasar laut itu pula lahir Dewi Aphrodite.

Ketika Ouranos hampir menghembuskan nafas terakhirnya, beliau sempat berbisik ke telinga Cronos dan menyatakan bahawa anaknya itu bakal menerima nasib yang sama dengannya iaitu akan digulingkan oleh anak sendiri. Memenuhi hajat ibunya Gaea, Cronos kemudian membebaskan Hecatonchires dan Cyclopes lalu mengambil-alih takhta sebagai Raja Segala Ciptaan dan mengahwini adiknya, Rhea.

ZAMAN CRONOS


Pada ‘Zaman Cronos’, para Titan berharap agar dunia menjadi lebih baik berbanding sebelumnya. Namun, keperibadian Cronos saling tidak tumpah seperti Ouranos. Cronos malah menelan zuriatnya di saat mereka lahir kerana khuatir suatu hari nanti mereka akan menggulingkannya sebagaimana yang diramalkan. Lebih daripada itu, Cronos turut memenjarakan semula Hecatonchires dan Cyclopes yang dahulunya beliau pernah berjanji kepada Gaea untuk bebaskan mereka. Semuanya ini semata-mata disebabkan kerana rasa paranoid.

Sama seperti bapanya sebelum ini, Cronos juga berhajat untuk mencipta makhluk sempurna yang akan mengasihi dan memujanya. Oleh kerana itu, beliau pun mencipta manusia daripada emas. Di mata anak-anaknya, Cronos adalah seorang tirani yang kanibal. Namun bagi manusia-manusia emas ciptaan Cronos, beliau dianggap sebagai dewa pencipta yang menjadi tempat perlindungan.

Manusia-manusia emas ini menjalani kehidupan seperti dewa – tidak kenal erti susah dan derita. Walaupun mereka dikurniakan hayat yang panjang, manusia-manusia ini masih tetap bersifat fana dan akan disapa maut. Apabila mereka meninggal dunia, mereka dibenarkan untuk kekal di dunia sebagai roh atau semangat yang dikenali sebagai daimons (demon; hantu). Cronos memberikan musim bunga yang tiada penghujung sebagai tempat tinggal mereka.

Namun, ketika Cronos leka dengan manusia-manusia emas ciptaannya itu, Rhea melarikan diri ke sebuah gua yang terletak di Gunung Dicte untuk melahirkan Zeus secara rahsia. Zeus kemudiannya diasuh oleh beberapa nymph yang bernama Adasteia dan Ida sambil dilindungi oleh sejumlah makhluk yang dikenali sebagai Curetes. Curetes ini memukul-mukul lembing mereka pada perisai untuk menyembunyikan suara Zeus si bayi agar tidak didengari oleh Cronos.

Ketika Rhea pulang, beliau membawakan batu yang dibalut dengan pakaian lalu memberikannya kepada Cronos. Tanpa berfikir panjang, Cronos pun terus sahaja menelannya.

Rhea menyerahkan batu kepada Cronos dan bukannya Zeus yang baru dilahirkan

Sebaik sahaja Zeus meningkat dewasa dan cukup umur, beliau kembali ke kerajaan Cronos dengan menyamar sebagai seorang hamba. Beliau meraih bantuan Metis, puteri Oceanos yang memberikannya cecair campuran arak dan biji sawi untuk Zeus berikan kepada Cronos. Menurutnya, campuran tersebut akan membuatkan Cronos muntah besar lalu membebaskan adik-beradik Zeus yang telah ditelan.

Apabila masa yang sesuai tiba, Zeus pun menitiskan campuran itu ke dalam cawan Cronos lalu mengakibatkannya memuntahkan kesemua adik-beradik Zeus. Sebaik sahaja kesemua adik-beradik Zeus dibebaskan, mereka pun melarikan diri dan berlindung di Gunung Olympus.

PERANG TITAN


Perang Titan atau Titanomachy merupakan suatu tempoh peperangan panjang antara para Titan yang diketuai oleh Cronos dan para dewa di bawah kepimpinan Zeus yang kini menggelar diri mereka sebagai Dewata Olympia. Konflik yang berpanjangan selama sedekad ini kemudiannya berakhir dengan kekalahan Cronos dan kenaikan Zeus sebagai raja dewa menerusi kelicikannya dalam hal politik dan peperangan.

Untuk menewaskan para Titan, Zeus memerlukan bantuan para dewa yang memiliki kekuatan yang berganda lebih besar berbandingnya. Hanya terdapat dua kumpulan dewata sahaja yang mampu menghadirkan kegerunan buat Ouranos dan Cronos. Kumpulan yang dimaksudkan ini adalah Hecatonchires si makhluk seratus tangan dan Cyclopes si makhluk bermata satu yang masing-masing dihumban dan dipenjarakan oleh Ouranos dan Cronos.

Lantas, Zeus pun mengembara ke Tartaros untuk membebaskan mereka dan membunuh Campe, makhluk yang ditugaskan untuk mengawal mereka di Tartaros. Sebaik sahaja Zeus berjaya membebaskan Hecatonchires dan Cyclopes, beliau tidak berbasa-basi dan langsung meminta bantuan mereka untuk menjatuhkan Cronos.Kedua-dua kumpulan itu mengutarakan persetujuan mereka dengan syarat, Zeus berjanji untuk memenjarakan para Titan di Tartaros. Syarat tersebut diterima oleh Zeus, maka Hecatonchires dan Cyclopes pun membantu dewata Olympia.

Dengan bantuan mereka, Zeus memperoleh persenjataan artileri yang dihasilkan oleh Hecatonchires. Senjata ini berupaya melontar ribuan batu ke arah para Titan. Zeus juga dikurniakan panah petir yang dicipta oleh Cyclope. Selain itu, Cyclope juga menghasilkan sebuah topi khas buat Hades dan sebuah trisula buat Poseidon. Lebih daripada itu, Zeus turut memperoleh Themis dan Prometheus si Titan sebagai sekutu dalam peperangan tersebut.

Peperangan antara para dewa dan para Titan

Dewata Olympia dan para sekutu mereka berjaya menewaskan para Titan lalu mereka dihumban serta dipenjarakan di dalam Tartaros. Zeus kemudiannya melantik Hecatonchires sebagai pengawal penjara.
Beliau sendiri mengambil-alih kepimpinan ke atas seluruh ciptaan. Saudaranya, Poseidon diberikan hak pemerintahan ke atas laut sementara Alam Kematian pula ditadbir oleh Hades. Pada masa-masa inilah Zeus mengahwini Metis, yang menjadi isteri pertamanya.

Tindakan pertama Zeus sebagai dewata tertinggi Olympus adalah memusnahkan saki-baki manusia emas. Namun, Prometheus menyimpan rasa simpati terhadap mereka.

PENGKHIANATAN PROMETHEUS DAN ZAMAN OLYMPUS


Para Titan memiliki pertalian dengan manusia, memandangkan ciptaan tersebut merupakan keseimbangan antara kekurangan dan kesempurnaan yang Ouranos mahukan. Disebabkan itu, Zeus dan para dewata Olympia memandang manusia-manusia ini sebagai tinggalan kegemilangan Zaman Cronos.

Prometheus secara rahsia mencipta manusia semula, namun kali ini daripada bumi dan air. Prometheus berhajat untuk memelihara legasi berupa manusia yang Cronos mulakan. Walaupun manusia ciptaan Prometheus ini tidaklah sehebat ciptaan asal Cronos, mereka tetap jua tampil mengagumkan. Manusia-manusia ini dipanggil sebagai manusia perak, dan bukannya manusia emas. Akalnya juga lebih lemah berbanding maunsia ciptaan Cronos.

Prometheus mencipta manusia daripada tanah dan air

Prometheus mengajarkan manusia-manusia ini setiap kemahiran yang ada, dari perubatan, ilmu kira-kira, navigasi dan juga ramalan. Prometheus turut mengajarkan cara menyalakan api dan kelebihan-kelebihannya, di mana ilmu ini beliau simpan di dalam setangkai adas (fennel stalk) dengan tujuan untuk merahsiakannya daripada Zeus.

Manusia-manusia perak ini sangat menghargai kurniaan berupa api itu. Lantas, mereka pun memuliakan dan memuja Prometheus sampai tahap memberi korban haiwan yang besar-besar. Namun ketika mereka mempersembahkan korban sebegitu, Zeus mendengar kelakuan mereka dan lantas menyedari perbuatan khianat yang dilakukan oleh Prometheus.

Sebagai hukuman, Zeus memerintahkan Hephaistos agar memaku Prometheus di Gunung Caucasos di mana pada setiap hari, seekor helang akan memakan hati Prometheus sehingga habis. Hati tersebut kemudiannya tumbuh semula pada waktu malam dan helang itu kembali semula untuk memakannya lagi dan lagi. Hukuman ini berlaku secara berterusan, sehinggalah muncul Heracles di Zaman Perwira.

Prometheus mencipta manusia daripada tanah dan air

Zeus kemudiannya melanjutkan penderitaan manusia-manusia perak. Beliau membahagikan tahun kepada empat musim, yang mana hal ini membuatkan manusia mula menanam bijirin dan bersusah-payah mencari tempat berteduh. Jika mereka meninggal dunia, Zeus menghantar roh mereka kepada Hades dan tidak lagi menjadikan mereka sebagai semangat atau hantu di muka bumi. Namun, penderitaan mereka tidak berakhir setakat itu.

Zeus memerintahkan Hephaistos aar mencipta seorang manusia yang telah diubah sifatnya di mana ia mengandungi segala macam penipuan dan ketidaksenangan. Manusia ini dikenali sebagai Pandora.
Sebelum Prometheus dipaku di Gunung Caucos, beliau khuatir Zeus akan menyedari hakikat tentang manusia-manusia ciptaannya. Justeru itu, beliau berpesan kepada adiknya, Epimetheus agar menjaga manusia perak sepanjang ketiadaannya dan berwaspada dengan sebarang hadian pemberian dewata Olympia.

Namun, Epimetheus diperdaya oleh Hermes yang menghadiahkannya Pandora. Jika dicantumkan kenyataan daripada versi Babrios dari kurun ke-2M dan Hesiod dari kurun ke-4SM, dapat disimpulkan bahawa Pandora mempunyai satu balang besar yang di dalamnya diisi dengan segala perkara yang baik mahupun jahat.

Sebaik sahaja balang ini dibuka, segala kejahatan terlepas ke dunia sementara segala yang baik pulang hilang. Apa yang tinggal hanyalah harapan, yang masih tersisa untuk terus membantu manusia-manusia perak menghadapi kejahatan-kejahatan yang tidak dapat dinampak.
Selepas menyaksikan nasib yang diterima oleh Prometheus dan kejahatan-kejahatan yang dilepaskan oleh Pandora, manusia-manusia perak enggan memuliakan dan memuja Zeus. Sebagai balasan, Zeus pun menghapuskan mereka semua dari muka bumi.

MANUSIA GANGSA CIPTAAN ZEUS DAN BANJIR


Pada Zaman Olympus, Zeus berhasrat untuk mencipta semula manusia yang memiliki rupa bentuk sepertinya. Beliau merasakan bentuk tersebut jauh lebih sesuai berbanding manusia-manusia ciptaan Titan. Kali ini, manusia dicipta daripada kayu keras pokok ash (sejenis pokok dari genus fraxinus). Manusia-manusia ini sangat gemar berperang dan memiliki tubuh yang kuat.

Mereka memiliki ilmu kaji logam dan pengetahuan tentang api. Mereka juga mahir membina rumah dan baju perisai daripada gangsa. Apa yang dilaparkan oleh mereka hanyalah untuk menjamah daging dan menumpahkan darah dengan berperang. Tidak seperti manusia-manusia sebelum ini, mereka memuliakan dan memuja Zeus sebagai pencipta dan membenci para Titan.

Namun, manusia-manusia gangsa ini berterusan menggunakan kesemua haiwan, logam dan sumber bumi sampaikan melebihi dari yang sepatutnya. Hal ini membuatkan dewata Olympia sentiasa sibuk dan Zeus sendiri semakin jemu dengan kedegilan mereka. Lantas, beliau memutuskan untuk membersihkan bumi dengan banjir besar.

Dengan kebijaksanaan Prometheus, beliau sempat melahirkan seorang anak lelaki yang bernama Deucalion. Deucalion ini berkahwin dengan Pyrrhea, anak perempuan Pandora. Kedua pasangan ini memerintah kerajaan Phthia. Mereka dimaklumkan tentang rancangan Zeus yang mahu membanjirkan bumi, lalu mereka pun menghasilkan sebuah peti besar yang diisi dengan bekalan.

Sebaik sahaja hujan mula turun dengan lebat, Deucalion dan Pyrrhea segera masuk dan menutup peti yang mereka bina. Zeus membanjirkan bumi dengan hujan lebat yang tidak pernah berlaku sejak zaman Pontus, si laut lahir.

Deucalion dan Pyrrhea dibawa meredah laut selama sembilan hari penuh sehinggalah mereka berlabuh di Parnassos. Pada masa itu, hujan sudah pun berhenti. Maka, Deucalion dan Pyrrhea keluar dari peti. Selepas mengekspresikan kesyukuran kerana masih diberi peluang untuk hidup, Deucalion memuja Zeus dan mengorbankan haiwan sebagai persembahan.
Zeus tersentuh dengan sembah korban yang mereka lakukan, lantas mengurniakan Deucalion dan Pyrrhea satu hajat untuk dipenuhi. Mereka berdua sememangnya menyimpan rasa simpati terhadap manusia gangsa yang selama sembilan hari suntuk, mereka mendengar jeritan-jeritan mereka yang mati lemas ditelan banjir. Justeru itu, mereka sama-sama berhajat untuk menciptakan manusia semula.

Walaupun terkejut dengan permintaan itu, Zeus tetap jua terikat dengan kewajipan untuk memenuhi permohonan tersebut. Maka, Deucalion dan Pyrrhea pun mencipta manusia daripada batu. Kumpulan manusia ini kemudiannya melahirkan Zaman Wira, zaman di mana manusia hidup bersama dengan makhluk separa-dewa. Setelah hilangnya wira-wira ini, datang pula manusia dari Zaman Besi yang daripada zaman inilah semua manusia moden berasal.

Deucalion dan Pyrrha mencipta manusia daripada batu

HESIOD MENUKILKAN MITOS PENCIPTAAN YUNANI

Dalam kegelapan pengetahuan tentang hari-hari di zaman purba, para muse (pemberi ilham) meniupkan inspirasi kepada seorang pengembala kambing yang bernama Hesiod untuk menulis tentang hikayat ini agar manusia terus memperingati zaman-zaman tersebut. Seandainya hikayat tentang Perang Titan ini benar-benar berlaku, maka para dewa yang muncul di dalam hikayat ini tidak lain adalah sebuah keluarga yang memiliki satu sifat lazim, iaitu perampas kuasa yang terus-menerus terlibat dalam konflik dan sengketa.

Hesiod menyebutkan Titan sebagai yang bertanggungjawab menciptakan manusia. Bermula dari Cronos hinggalah Prometheus dan kemudiannya, Deucalion dan Pyrrhea, kelihatan seolah-olah kemenjadian manusia semakin lama semakin buruk sifat dan bentuknya. Walau bagaimanapun, manusia secara keseluruhannya diciptakan bersandarkan bentuk dan keperibadian Titan yang mengasihi mereka, dan bukannya para Olympia yang membenci mereka.

TERJEMAHAN DARI:

B.B. Wagner. (13 Oktober 2019). Battle of the Gods, When Titans Took on Zeus. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/myths-legends-europe/titanomachy-0012714

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.