Salah satu cabang daripada Rukun Iman ialah beriman kepada para nabi dan rasul. Penulis pernah menulis berkenaan para nabi dan rasul sebelum ini iaitu dalam artikel penulis yang bertajuk: “Nabi-Nabi Berbangsa Arab Sahajakah?” siaran pada 2 Ogos 2017. Dalam artikel kali ini, penulis berminat untuk membahaskan mengenai ciri dan sifat kenabian dan kerasulan. Adakah kriteria para nabi dan rasul yang dipilih oleh Allah SWT melalui wahyu? Apakah sifat yang wajib dimiliki oleh mereka? Adakah semestinya mereka daripada kalangan jantina lelaki? Bagaimana dengan konsep nabi dalam agama samawi yang lain seperti Yahudi dan Kristian?

Sebelum berbincang mengenai persoalan kenabian dan kerasulan dengan lebih jauh, seeloknya kita bincangkan terlebih dahulu maksud “nabi” dan “rasul.” Nabi bermaksud seseorang yang diwahyukan oleh Allah SWT mengenai berita-berita dari langit (Lawh Mahfuz) untuk dirinya secara khusus dan dia tidak diperintahkan supaya menyampaikannya kepada orang lain. Rasul pula bermaksud seseorang yang diutuskan oleh Allah SWT dan dia diperintahkan untuk menyampaikan wahyu yang disampaikan kepadanya melalui perantaraan malaikat Jibril kepada orang lain. Beberapa orang nabi dan rasul dikurniakan kitab dan suhuf sebagai panduan hidup kepada dirinya dan umat mereka.

Para nabi dan rasul boleh dibahagikan kepada lima golongan mengikut skop penyampaian dakwah mereka. Ada nabi dan rasul yang diutus untuk dirinya sendiri, ada yang diutus kepada ahli keluarga dan anak-anak mereka, ada yang diutus kepada sesebuah kawasan, ada yang diutus kepada sesebuah negara, dan ada pula yang diutus kepada seluruh umat manusia. Rasul itu semestinya seorang nabi, tetapi seorang nabi itu tidak semestinya seorang rasul.

Peranan para rasul adalah pelbagai disebutkan di dalam al-Qur’an. Mereka diperintahkan sebagai seorang pemimpin umat (Surah ar-Ra’du, ayat 7), saksi umat (Surah al-Qasas, ayat 75) pemberi ingatan (Surah al-Ghasyiyyah, ayat 21), pembawa berita gembira (Surah al-Isra’, ayat 105, al-Ma’idah, 19) dan pemberi ancaman (Surah asy-Syu’ara’, ayat 208; Fatir, ayat 24; al-An’am, 130).

Para nabi dan rasul itu adalah dipilih oleh Allah SWT dalam kalangan manusia. Apakah kriteria pemilihan tersebut? Penulis akan membincangkan tentang sifat-sifat fizikal yang perlu dimiliki oleh para nabi dan rasul terlebih dahulu dahulu sebelum membincangkan mengenai sifat-sifat keperibadian mereka.

Pertama, pengutusan para nabi dan rasul adalah dalam kalangan manusia sendiri. Ini dinyatakan oleh Allah SWT di dalam al-Qur’an dalam Surah Ali Imran, ayat 164, Surah al-Furqan, ayat 7, Surah ar-Ra’du, ayat 38 dan beberapa ayat lain. Para nabi dan rasul itu bersifat fizikal seperti manusia normal, berkelakuan seperti manusia normal yang lain seperti makan, minum, tidur, berkahwin, beranak-pinak, bekerja, membuang hajat, berperasaan, sakit yang tidak mengaibkan dan mati serta bercakap dengan bahasa yang mudah difahami oleh kaumnya, Ini kerana para nabi dan rasul diutuskan supaya diikuti segala dakwahnya, kelakuannya, ucapannya dan sifatnya. Bagaimanakah untuk dicontohi sekiranya para rasul adalah daripada kalangan para malaikat yang tidak berfizikal seperti manusia, tidak berjantina seperti manusia, tidak memerlukan keperluan asas seperti makan, minum untuk terus hidup seperti manusia dan tidak menetap di alam bumi ini? Manusia memerlukan seseorang nabi dan rasul daripada kalangan manusia itu sendiri supaya mereka dapat berbincang, melihat dengan mata kepala mereka sendiri, berurusan dan bergaul dalam kalangan mereka serta memahami bahasa, adat dan kehidupan mereka.

Kedua, seseorang rasul itu perlulah daripada kalangan orang-orang yang bebas merdeka. Ini bermaksud mereka bukanlah daripada kalangan hamba yang dimiliki. Ini kerana para rasul perlu memimpin umat atau kaum mereka. Oleh itu, mereka perlu bebas daripada dimiliki oleh sesiapa pun.

Ketiga, seseorang rasul itu adalah daripada kalangan lelaki. Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah al-Anbiya’, ayat 7. Tetapi, ada juga ayat al-Qur’an yang mengisyaratkan bahawa terdapat juga beberapa orang wanita yang dikurniakan wahyu oleh Allah SWT seperti seorang nabi dan rasul seperti ibu Nabi Musa (Surah al-Qasas, ayat 7) dan ibu Nabi Isa iaitu Maryam (Surah Maryam, ayat 24). Surah al-Anbiya’ ayat 7 menjelaskan bahawa para rasul itu lelaki, tetapi tiada penjelasan terperinci dalam al-Qur’an yang menyatakan bahawa para nabi itu mesti seorang lelaki. Walaupun majoriti pendapat para ulama Ahlus Sunnah wal Jamaa’ah menolak status kenabian dan kerasulan daripada kalangan wanita, tetapi ada juga beberapa orang ulama yang berpendapat bahawa Hawa, Sarah, Hajar, ibu Nabi Musa, Asiah dan Maryam berstatus nabi seperti Imam al-Asy’ari, Imam al-Qurtubi dan Ibn Hazm al-Andalusi.

Para rasul perlu dalam kalangan lelaki kerana mereka perlu bercampur gaul dengan masyarakatnya atau kaumnya dalam menyampaikan dakwah. Bagaimana mereka hendak bercampur gaul dengan masyarakat sekiranya mereka seorang wanita? Lebih-lebih lagi jika mereka seorang isteri dan juga seorang ibu? Islam amat memelihara darjat wanita dan ini amat penting untuk menjaga kehormatan dirinya serta mengelakkan sebarang fitnah.

Sifat fizikal seorang nabi dan rasul yang keempat ialah sihat dan cerdas akalnya seperti firman Allah SWT dalam Surah al-Qalam, ayat 2. Ini bermaksud para nabi dan rasul bukanlah seorang gila atau mempunyai masalah mental atau lembab akalnya. Ini penting bagi menghadapi segala macam hujah yang dilontarkan oleh kaum mereka yang menolak risalah dakwah yang disampaikan.

Kita beralih pula kepada perbincangan mengenai sifat-sifat keperibadian yang wajib dimiliki oleh setiap para nabi dan rasul. Pertama-tama sekali, mereka wajib memiliki sifat sentiasa berkata benar (Siddiq). Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam beberapa ayat di dalam al-Qur’an seperti Surah Maryam ayat 41, 56 dan 54. Tugas utama para nabi dan rasul adalah menyampaikan kebenaran daripada wahyu yang mereka terima, oleh itu mereka perlulah seorang yang dikenali oleh kaum mereka sebagai seorang yang sentiasa berkata benar dan dipercayai. Nabi Muhammad SAW sendiri amat dikenali sebagai seorang yang sentiasa berkata benar dan dipercayai oleh kaumnya sejak baginda kecil lagi sehingga baginda digelar “al-Amin.” Oleh itu, amatlah mustahil bagi seorang nabi dan rasul itu bersifat pendusta (al-Kazzab).

Selain itu, sifat keperibadian seorang nabi dan rasul yang wajib ada ialah amanah. Ini diceritakan oleh Allah SWT dalam beberapa ayat di dalam al-Qur’an seperti Surah al-Qasas, ayat 26, Surah Yusuf, ayat 54, Surah al-A’raf, ayat 68, Surah asy-Syu’ara’ ayat 107, 125, 143 dan beberapa ayat lain lagi. Disebabkan sifat amanah Nabi Muhammad SAW memperniagakan barangan dagangan Khadijah RA menyebabkan beliau jatuh hati dengan baginda, para pelanggan ramai membeli barangan dagangan baginda. Sifat amanah baginda amat dikenali oleh orang ramai sejak sebelum pengutusan baginda sebagai seorang rasul lagi. Oleh itu, amat mustahil seseorang nabi dan rasul itu bersifat khianat.

Sifat keperibadian para rasul yang ketiga ialah menyampaikan (tabligh). Ini berdasarkan firman Allah SWT di dalam al-Quran dalam Surah al-Ma’idah, ayat 67. Menyampaikan dakwah adalah tugas utama seorang rasul dan oleh sebab itu juga seseorang rasul itu diutuskan. Itu adalah kewajipan utama seorang rasul walaupun mereka, ahli keluarga mereka dan pengikut mereka ditimpa bahaya, diugut bunuh, dirampas harta benda, disakiti, diseksa dan diusir. Tiada seorang rasul pun yang tidak melalui ujian berat tersebut dalam menyampaikan dakwah kepada kaum mereka terutamanya kelima-lima orang rasul Ulul Azmi, golongan yang paling berat dan penyabar dalam menghadapi ujian-ujian tersebut. Ada dalam kalangan mereka begitu sabar dalam menyampaikan dakwah kepada kaumnya selama puluhan malah ratusan tahun seperti Nabi Nuh AS. Amatlah mustahil seseorang rasul itu bersifat menyembunyikan (kitman).

Keempat, ialah sifat bijaksana (fatonah). Jika kita membaca al-Qur’an, menghayati kisah-kisah para nabi dan rasul, kita dapat membaca hujah-hujah mereka dalam menangkis segala hujah kaum mereka yang mempersoalkan dan menafikan dakwah mereka. Contoh hujah rasul yang paling menarik dan bijaksana bagi penulis ialah hujah Nabi Ibrahim dengan kaumnya tatkala baginda bertindak memecahkan berhala-berhala besar kaumnya (Surah al-Anbiya’ ayat 57-67). Bagaimana baginda menyuruh kaumnya bertanya sendiri kepada sebuah berhala paling besar yang tidak dirosakkannya tentang siapa yang merosakkan berhala-berhala yang lain. Betapa kaumnya dapat menerima mesej tersebut bahawa berhala-berhala tersebut tidak mampu melawan atau mempertahankan dirinya sendiri sedangkan ianya disembah untuk melindungi mereka daripada sebarang bencana. Begitu juga hujah Nabi Ibrahim dengan pemerintah kaumnya (Namrud) yang menyuruh Namrud menggerakkan matahari dari arah yang bertentangan sekiranya beliau betul-betul adalah Tuhan sebagaimana yang didakwanya (Surah al-Baqarah, ayat 258).

Ini menunjukkan hujah ilmiah dan intelektual amat penting dalam berdakwah dan sifat bijaksana ini wajib ada pada setiap nabi dan rasul. Ini kerana sesungguhnya kebenaran itu tidak mampu dipatahkan oleh kebatilan dengan hujah-hujah ilmiah. Oleh itu, amatlah mustahil bagi seorang nabi dan rasul itu bersifat bodoh (al-Jahl).

Sifat seterusnya yang perlu ada pada seorang nabi dan rasul ialah bersifat maksum. Maksum di sini bermaksud terpelihara sepenuhnya daripada dosa besar terutamanya dosa kufur sama ada sebelum dan selepas kenabian dan kerasulan. Amatlah mustahil bagi seorang nabi dan rasul yang dipilih oleh Allah SWT terjebak dengan dosa-dosa besar. Mereka juga terpelihara daripada sebarang dosa-dosa kecil selepas pengutusan mereka. Walau bagaimanapun, sebagai seorang manusia biasa, mereka juga tidak terlepas daripada melakukan kesilapan kecil. Tetapi sebagai seorang utusan Tuhan, mereka sentiasa diperingatkan melalui wahyu dan mereka sentiasa bertaubat dengan kesilapan yang mereka lakukan.

Selain dikurniakan kitab dan suhuf sebagai panduan dan pegangan hidup, dalam membantu usaha dakwah para rasul, mereka dikurniakan mukjizat, suatu keajaiban yang kebanyakan masa dituntut oleh kaum mereka bagi membuktikan kerasulan dan kebenaran risalah mereka. Tetapi kebanyakan kaum mereka masih tetap mengingkarinya.

Berbincang mengenai konsep nabi dalam agama samawi yang lain seperti Yahudi dan Kristian, mereka juga percaya dengan konsep kenabian. Penganut agama Yahudi percaya dengan pengutusan para nabi yang silih berganti memimpin bangsa Bani Israel mereka. Akan tetapi mereka tidak beriman kepada Nabi Isa AS dan Nabi Muhammad SAW. Penganut agama Kristian juga mempercayai para nabi daripada kalangan bangsa Bani Israel sebagaimana kepercayaan penganut Yahudi. Penganut agama Kristian tidak beriman kepada Nabi Muhammad SAW. Sedangkan kita umat Islam, kita diwajibkan beriman dengan Nabi Muhammad SAW dan semua para nabi dan rasul yang diutuskan sebelum baginda, tiada pengecualian, tiada perbezaan darjat antara mereka. Mereka semua menyampaikan mesej yang sama kepada kaum masing-masing iaitu:

 

“HEAR, O ISRAEL, THE LORD OUR GOD IS ONE LORD!”

“اعْبُدُوا اللَّهَ مَا لَكُمْ مِنْ إِلَٰهٍ غَيْرُهُ”

 

Sesungguhnya, Nabi Muhammad SAW adalah penutup sekalian para nabi dan rasul. Tiada lagi pengutusan para nabi dan rasul selepas baginda melainkan orang-orang yang berdusta. Ini berdasarkan ayat al-Qur’an dalam Surah al-Ahzab ayat 33 yang menyatakan secara jelas bahawa Nabi Muhammad SAW adalah “khotam an-Nabiyyin” (penutup sekalian para nabi). Ada yang berhujah bahawa ianya “penutup segala nabi” bukan “penutup segala rasul,” ini menyebabkan mereka mendakwa bahawa pengutusan rasul masih berjalan selepas baginda. Sepertimana yang dinyatakan sebelum ini, nabi tidak semestinya seorang rasul, tetapi rasul semestinya seorang nabi. Penutup sekalian para nabi juga bermaksud penutup sekalian para rasul.

Bagaimana pula dengan status Nabi Isa AS yang akan diturunkan sebelum kiamat nanti sepertimana yang dinyatakan dalam al-Qur’an (Surah an-Nisa’, ayat 159) dan Bible? Menurut al-Qur’an, sememangnya baginda akan diturunkan semula ke bumi sebelum kiamat, tetapi bukan sebagai seorang nabi atau rasul yang membawa syariat baharu, melainkan sebagai seorang saksi yang membenarkan kerasulan Nabi Muhammad SAW dan menegaskan kepada orang-orang yang menyembah baginda sebagai salah satu Tuhan dalam kepercayaan Triniti mereka bahawa baginda hanyalah menyampaikan risalah tauhid yang mengabdikan diri hanya kepada Allah SWT yang maha esa. Mana-mana individu yang mendakwa diri mereka adalah nabi dan rasul yang diutuskan oleh Tuhan selepas Nabi Muhammad SAW adalah pendusta semata-mata yang bukan sahaja sesat malah menyesatkan. Mereka dan pengikut mereka wajib bertaubat dan dikenakan hukuman sekiranya masih berdegil.

Sungguhpun pengutusan para nabi dan rasul telah tiada, namun usaha dakwah mereka diwarisi oleh para ulama dan kita sebagai individu muslim sendiri wajar meneruskan usaha dakwah mengikut cara dan kreativiti masing-masing sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah an-Nahl, ayat 125. Sebagai penutup, kenangkanlah sifat pengorbanan dan jerih perih para nabi dan rasul dalam menyampaikan risalah tauhid sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah at-Taubah ayat 128:

“Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang rasul daripada golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad SAW), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat inginkan kebaikan bagi kamu, (dan) dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.”

Untuk rujukan lebih lanjut berkenaan ciri dan sifat nabi dan rasul menurut Islam, para pembaca boleh merujuk bahan-bahan rujukan ilmiah di bawah:

– Al-Buti, Muhammad Sa’id Ramadan, Keyakinan Hakiki, Kewujudan Maha Pencipta dan Tugas Makhluk di Alam Semesta, (terj. Muhammad Sulaiman Yassin), Petaling Jaya: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), 1996.

– Abdul Rashid Mahmud, Keunggulan Akidah Tauhid, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), 2007.

– Wan Zailan Kamaruddin, Siapa Itu Nabi-Nabi? Kuala Lumpur: PTS Milenia Sdn. Bhd., 2005.

– Nuh ‘Ali Salman, Al-Mukhtasar al-Mufid fi Syarh Jawharah at-Tawhid, Kuala Lumpur: Albayan Corporation Sdn. Bhd., 2003.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

MA. (Malaya), BUs. (IsHis&Civ)(Malaya)

Comments are closed.