Cinta Adalah Ihsan

0
787
views

Di sebalik renyah kota Konya, ada seorang wanita yang menjual tubuhnya. Bekerja sebagai pelacur, menjadi kupu-kupu malam. Setiap hari dia melayani nafsu lelaki. Wanita ini hidup bersama beberapa perempuan lain dengan nasib yang sama. Lelaki-lelaki berhidung belang gemar melempiaskan syahwat di brothel, rumah maksiat wanita ini.

Satu hari Mevlana Rumi berjalan melintasi brothel, rumah pelacuran wanita berkenaan.

Tiba-tiba, wanita  itu datang berlari. Dia mendekati Rumi, jatuh di kakinya, dan mula memohon keampunan dengan air mata bercucuran bak hujan. Penuh keinsafan, dia menzahirkan penghormatan kepada sufi ini. Meski diri berdosa, rasa sayang kepada wali Allah masih mekar. Bagai oasis di tengah sahara, cinta menghilangkan dahaga kafilah jiwa.

 “Rabiah Rabiah Rabiah!” Respon anak Sultan Ulama’ ini kepada wanita.

“Mevlana..mevlana..” Wanita itu tidak putus menangis. Berteriak-teriak tanpa mempedulikan orang lain yang menghampiri. Orang ramai mengerumuni. Pelacur lain yang berasa di brothel keluar untuk melihat apa yang berlaku. Mereka kehairanan. Wanita yang mereka kenal kerap melayani lelaki, sekarang menangis teresak-esak seperti bayi di bawah kaki ulama’ Konya!

 “Alangkah kuatnya kamu, alangkah kuatnya kamu. Jika kamu tidak membebani beban berat kehidupan yang sukar ini, siapakah yang akan menenangkan lelaki-leaki buas yang tak dapat mengawal nafsu syahwat mereka dan hilang arah? Bagaimanakah perempuan baik dapat menjaga maruahnya?” Tutur Rumi satu persatu dengan tenang. Bagai embun dingin yang menitis lembut dari daun menghijau.

Seorang bangsawan yang mendengar kata-kata Rumi ini membalas, “Takde maknanya bagi seorang wali yang hebat seperti Rumi untuk meemberi simpati kepada perempuan murahan dan memuji mereka seperti ini”.

Rumi menjawab kritikan ini dengan berkata, “Wanita ini berkelakuan semata-mata menurut keadaanya. Dia tidak berpura-pura. Jika anda seorang lelaki sejati, cuba jadi seperti dia. Tinggalkan tabiat talam dua muka. Supaya apa yang ada di dalam dan luar anda sama. Jika bahagian dalam dan luar anda tidak sama, segala-galanya akan sia-sia “.

Semua yang mendengar jawapan hikmah Rumi terpana. Lantaran tersentuh hati.

Akhirnya pelacur ini bertaubat.

Dia benar-benar berubah. Jikalau dalam berbuat maksiat pun hatinya cuba dijaga, apatah lagi dalam berbuat taat. Wanita ini cepat naik darjat. Kerana hatinya yang jujur dan ikhlas, tanpa munafiq bermuka-muka. Dia menjadi wanita seperti Rabia al-Adawiyya dan membebaskan wanita yang dulu bekerja untuknya. Semua yang dimilikinya diinfaqkan kepada orang miskin.

Dia bukan lagi pelacur. Bahkan kerap duduk bersama wali Allah. Duduk bersimpuh di majlis zikrullah. Dia menjadi pengikut setia Mevlana Rumi hingga ke akhir hayatnya. Inspirasi tentang ‘Rabiatul Adawiyah’ sungguh-sungguh mengubah hidup 180 darjah.

Ada kala, detik seketika kan mengubah seluruh usia.

Refleksi

Rumi menampilkan akhlak Allah.

تخلقوا بأخلاق الله

“Berakhlaklah kamu dengan akhlak Allah”.

(Ihya’ Ulumiddin)

Mawar zikrullah di hatinya harum semerbak menyentuh jiwa.

Apa yang ditampilkan bukanlah dari kepura-puraan. Bukan dibuat-buat.

Akhlak Mevlana Rumi memang jujur & ikhlas. Berakar dari tauhid yang tulen.

Beginilah ‘Waris Muhammadi’ menyebarkan rahmat ke seluruh alam.

Apakah origin akhlak mulia yang jujur & ikhlas?

Asalnya akhlak mulia ialah Ihsan.

Dalam budaya orang melayu sendiri, istilah ‘ihsan’ sudah sebati bagi menggambarkan perbuatan baik yang berasal dari hati yang baik. Tidak berhukumkan graviti untung rugi. Tetapi ‘ihsan’ ialah perbuatan baik berasaskan belas kasihan dan perikemanusiaan. Berasaskan mengharap redha & wajah Allah. Sememangnya bangsa melayu menyimpan khazanah tasawuf aras tinggi dalam tradisinya. Tinggal dicungkil dan dipamer sebagai bekal mengharung hiruk pikuk akhir zaman.

Ihsan ialah muraqabah & musyahadah.

Ihsan ialah menapaki makrifatullah.

Ihsan ialah “Hendaklah engkau beribadah kepada Allah seakan-akan engkau melihatNya. Kalaupun engkau tidak melihatNya, sesungguhnya Dia melihatmu.” (HR Bukhari)

  • Ihsan ialah menyaksikan dalam setiap penjuru kehidupan, bahawa semuanya dari Allah.
  • Ihsan ialah menyukai pada orang lain, apa yang disukai diri sendiri, semuanya dari Allah.
  • Ihsan ialah menyedari Allah mengetahui apa saja, tiada terselindung dari Allah.
  • Ihsan ialah berikhtiar sehabis baik, dan bertawakkal kerana hakikatnya semua dari Allah.
  • Ihsan ialah membebaskan diri daripada sempitnya nafsu dan dunia, kepada keluasan Allah.
  • Ihsan ialah memahami bahawa manusia tidak boleh lari daripada qada’ dan qadar Allah.
  • Ihsan ialah memandang diri miskin dan memandang kaya segala-galanya hanyalah Allah.
  • Ihsan ialah melakukan kebaikan, sebagai langkah menghampiri Allah.
  • Ihsan ialah tidak terputus mengingati Allah, tiada apa pun yang terputus daripada Allah.
  • Ihsan ialah berbuat baik kepada makhluk, sedang hakikatnya berbuat baik kepada Allah.
  • Islam ialah menjaga hubungan dengan makhluk, bagi menjaga hubungan dengan Allah.
  • Ihsan ialah berkhidmat kepada makhluk, dengan mengharap ganjaran daripada Allah.
  • Ihsan ialah mengurus makluk, sedang hakikatnya melayani qada’ & qadar Allah.
  • Ihsan ialah beradab kepada makhluk, hakikatnya menyantuni iradah & qudrah Allah.
  • Ihsan ialah menggilap akhlak mulia supaya mencapai maqam akhlak Allah.
  • Ihsan ialah beradab dengan semua perkara, kerana tiada yang tidak dihantar oleh Allah
  • Ihsan ialah melenyapkan kehendak diri, dan memakai kehendak Allah
  • Ihsan ialah menyayangi makhluk, kerana setiap makhluk ialah ciptaan Allah.
  • Islam ialah mencintai makhluk, supaya dicintai Allah.
  • Ihsan ialah menyukai apa yang disukai Allah.
  • Ihsan ialah membenci apa yang dibenci Allah.
  • Ihsan ialah hasil yang baik daripada hati yang baik
  • Ihsan ialah mengusahakan seluruh aspek kehidupan sebagai ibadah kepada Allah
  • Ihsan ialah melihat segala-galanya bertalisimpul dengan Allah.
  • Ihsan ialah rahsia Allah.

Ihsan sebagaimana firman Allah, lantaran luasnya ihsan, tiada yang layak membalasnya selain Allah:

هَلْ جَزَآءُ ٱلْإِحْسَٰنِ إِلَّا ٱلْإِحْسَٰنُ

Tidak ada balasan kebaikan kecuali kebaikan (pula).

(QS. Al-Rahman: 60)

Ayat Quran berkaitan Ihsan

  • Berbuat baik kepada ibu bapa

وَإِذْ أَخَذْنَا مِيثَٰقَ بَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ لَا تَعْبُدُونَ إِلَّا ٱللَّهَ وَبِٱلْوَٰلِدَيْنِ إِحْسَانًا وَذِى ٱلْقُرْبَىٰ وَٱلْيَتَٰمَىٰ وَٱلْمَسَٰكِينِ وَقُولُوا۟ لِلنَّاسِ حُسْنًا وَأَقِيمُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتُوا۟ ٱلزَّكَوٰةَ ثُمَّ تَوَلَّيْتُمْ إِلَّا قَلِيلًا مِّنكُمْ وَأَنتُم مُّعْرِضُونَ

Dan (ingatlah), ketika Kami mengambil janji dari Bani Israil (yaitu): Janganlah kamu menyembah selain Allah, dan berbuat kebaikanlah kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta ucapkanlah kata-kata yang baik kepada manusia, dirikanlah shalat dan tunaikanlah zakat. Kemudian kamu tidak memenuhi janji itu, kecuali sebahagian kecil daripada kamu, dan kamu selalu berpaling.

(QS. Al-Baqarah: 83)

  • Kemaafan sesama manusia

ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ فِى ٱلسَّرَّآءِ وَٱلضَّرَّآءِ وَٱلْكَٰظِمِينَ ٱلْغَيْظَ وَٱلْعَافِينَ عَنِ ٱلنَّاسِ ۗ وَٱللَّهُ يُحِبُّ ٱلْمُحْسِنِينَ

(yaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.

(QS. Ali Imran: 134)

  • Ihsan bermakna Iman

فَأَثَٰبَهُمُ ٱللَّهُ بِمَا قَالُوا۟ جَنَّٰتٍ تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَٰرُ خَٰلِدِينَ فِيهَا ۚ وَذَٰلِكَ جَزَآءُ ٱلْمُحْسِنِينَ

Maka Allah memberi mereka pahala terhadap perkataan yang mereka ucapkan, (yaitu) surga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya, sedang mereka kekal di dalamnya. Dan itulah balasan (bagi) orang-orang yang berbuat kebaikan (yang ikhlas keimanannya).

(QS. Al-Maidah: 85)

  • Ihsan sebahagian daripada taat

لِّلَّذِينَ أَحْسَنُوا۟ ٱلْحُسْنَىٰ وَزِيَادَةٌ ۖ وَلَا يَرْهَقُ وُجُوهَهُمْ قَتَرٌ وَلَا ذِلَّةٌ ۚ أُو۟لَٰٓئِكَ أَصْحَٰبُ ٱلْجَنَّةِ ۖ هُمْ فِيهَا خَٰلِدُونَ

Bagi orang-orang yang berbuat baik, ada pahala yang terbaik (surga) dan tambahannya. Dan muka mereka tidak ditutupi debu hitam dan tidak (pula) kehinaan. Mereka itulah penghuni surga, mereka kekal di dalamnya.

(QS. Yunus: 26)

  • Ihsan ialah Ikhlas kepada agama & iman.

 

إِنَّ ٱللَّهَ يَأْمُرُ بِٱلْعَدْلِ وَٱلْإِحْسَٰنِ وَإِيتَآئِ ذِى ٱلْقُرْبَىٰ وَيَنْهَىٰ عَنِ ٱلْفَحْشَآءِ وَٱلْمُنكَرِ وَٱلْبَغْىِ ۚ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ

Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang dari perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran.

(QS. An-Nahl: 90)

  • Ihsan adalah kalimat kejayaan dan terselamat daripada neraka

 

إِنْ أَحْسَنتُمْ أَحْسَنتُمْ لِأَنفُسِكُمْ ۖ وَإِنْ أَسَأْتُمْ فَلَهَا ۚ فَإِذَا جَآءَ وَعْدُ ٱلْءَاخِرَةِ لِيَسُۥٓـُٔوا۟ وُجُوهَكُمْ وَلِيَدْخُلُوا۟ ٱلْمَسْجِدَ كَمَا دَخَلُوهُ أَوَّلَ مَرَّةٍ وَلِيُتَبِّرُوا۟ مَا عَلَوْا۟ تَتْبِيرًا

Jika kamu berbuat baik (berarti) kamu berbuat baik bagi dirimu sendiri dan jika kamu berbuat jahat, maka (kejahatan) itu bagi dirimu sendiri, dan apabila datang saat hukuman bagi (kejahatan) yang kedua, (Kami datangkan orang-orang lain) untuk menyuramkan muka-muka kamu dan mereka masuk ke dalam mesjid, sebagaimana musuh-musuhmu memasukinya pada kali pertama dan untuk membinasakan sehabis-habisnya apa saja yang mereka kuasai.

(QS. Isra’: 7)

  • Ihsan bermakna berbuat ihsan pada yang selayaknya.

وَٱبْتَغِ فِيمَآ ءَاتَىٰكَ ٱللَّهُ ٱلدَّارَ ٱلْءَاخِرَةَ ۖ وَلَا تَنسَ نَصِيبَكَ مِنَ ٱلدُّنْيَا ۖ وَأَحْسِن كَمَآ أَحْسَنَ ٱللَّهُ إِلَيْكَ ۖ وَلَا تَبْغِ ٱلْفَسَادَ فِى ٱلْأَرْضِ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلْمُفْسِدِينَ

Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik, kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerusakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerusakan.

(QS. Al-Qasas. 77)

  • Ihsan ialah bermujahadah dalam ketaatan

وَٱلَّذِينَ جَٰهَدُوا۟ فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا ۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَمَعَ ٱلْمُحْسِنِينَ

Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keridhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik.

(QS. Ankabut: 69)

  • Ihsan bermakna qiamullail

إِنَّ ٱلْمُتَّقِينَ فِى جَنَّٰتٍ وَعُيُونٍ

ءَاخِذِينَ مَآ ءَاتَىٰهُمْ رَبُّهُمْ ۚ إِنَّهُمْ كَانُوا۟ قَبْلَ ذَٰلِكَ مُحْسِنِينَ

Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa itu berada dalam taman-taman (surga) dan mata air-mata air,sambil menerima segala pemberian Rabb mereka. Sesungguhnya mereka sebelum itu di dunia adalah orang-orang yang berbuat kebaikan.

(QS. Zariaat: 15-16)

Tajalli

Tajalli bermaksud Allah menampakkan sifat-sifat & asma’-Nya kepada makhluk.

Hakikatnya, apabila Allah datangkan seseorang kepada sesuatu kepada kita, Allah ingin mentajalii sifatnya di atas muka bumi. Allah ingin makhluk-Nya mengenal sifat dan nama-Nya. Supaya apabila manusia dilayan dengan baik, dia mengenal kebaikan. Dari mana asal kebaikan kalau bukan Allah yang datangkan? Imam Ghazali menerangkan : “Bahawa Tajalli itu ialah terbuka Nur cahaya Allah bagi hati seseorang.”

“Hati yang bersih, di dalamnya ada Lampu yang ber-Cahaya, yang demikian itu adalah Hati orang mukmin.

(HR. Ahmad dan Ath Thabarani dari Abu Said al-Khudri)

Ihsan bagaikan warna.

Ia sukar digambarkan dengan bercerita.

Ihsan perlu ditunjukkan.

Setiap sesuatu yang berlaku di dunia ini tidak terlepas daripada kehendak dan kuasa Allah.

Allah ialah zat yang tidak terlihat di dunia. Mata kita tidak mampu memandang keagungan-Nya.

Oleh itu, Allah tidak tinggalkan kita. Ditakdirkan hamba-hamba-Nya menampakkan sifat-Nya.

Untuk apa?

Untuk kita mengenal Allah.

Berfirman Allah ﷻ: “Aku adalah perbendaharaan yang tersembunyi. Kerana itu aku rindu untuk dikenal. Maka aku ciptakan makhluk, sehingga melalui aku mereka mengenal-ku.”

(Hadis Qudsi. Futuhat makkiyah, ibnu arabi al-andalusi)

Allah Ta’ala berfirman, “Siapa yang memusuhi wali-Ku, maka Aku mengumumkan perang terhadapnya dari-Ku. Tidak ada yang paling Aku cintai dari seorang hamba kecuali beribadah kepada-Ku dengan sesuatu yang telah Aku wajibkan kepadanya. Adapun jika hamba-Ku selalu melaksanakan perbuatan sunah, niscaya Aku akan mencintanya. Jika Aku telah mencintainya, maka (Aku) menjadi pendengarannya yang dia mendengar dengannya, (Aku) menjadi penglihatan yang dia melihat dengannya, menjadi tangan yang dia memukul dengannya, menjadi kaki yang dia berjalan dengannya. Jika dia memohon kepada-Ku, niscaya akan Aku berikan dan jika dia minta ampun kepada-Ku, niscaya akan Aku ampuni, dan jika dia minta perlindungan kepada-Ku, niscaya akan Aku lindungi.”

(HR Al Bukhari)

التواب ialah Maha Penerima Taubat.

Apabila Allah datangkan seseorang mahu bertaubat, Allah inginkan tunjukkan sifat التواب. Jadi kita sekadar menampilkan akhlak Allah. Kita meniru akhlak Rasulullah yang melorongkan taubat para pendosa kembali kepada Allah. Kita memberikan harapan. Kita menarik manusia kembali kepada Allah. Kita tidak menutup pintu syurga, membukakan pintu neraka. Sedangkan sebenarnya yang ingin menerima taubat ialah Allah. Yang menarik ialah Allah. Kita sekadar alat bagi Allah.

الرحمن ialah Maha Penyayang

Apabila Allah datangkan seseorang untuk disayangi, Allah ingin tunjukkan nama-Nya  الرحمن. Apabila Allah membuat kita jatuh cinta. Sebenarnya Allah ingin menampakkan kasih-sayang-Nya melalui kasih-sayang kita. Untuk kita mengenal cinta, dan dengan cinta itu mencintai Tuhan. Cinta ialah anugerah. Hadiah dari Tuhan supaya kita saling menghargai nikmat kebersamaan. Jodoh yang dipertemukan pasti ada sebab tersendiri. Cinta tidak tercipta sia-sia. Cinta ialah bahtera mengenal Pencipta.

الرزاق ialah Maha Pemberi Rezeki

Apabila Allah datangkan seseorang yang memerlukan bantuan, Allah ingin tunjukkan nama-Nya الرزاق. Bila-bila masa dengan sedetik ‘kun fayakun’ keadaan boleh berubah, boleh jadi kita pula yang memerlukan bantuan. Tetapi Allah memilih hamba-Nya bagi membahagi-bahagi rezeki daripada khazanah-Nya yang tak pernah habis. Allah mahu menunjukkan kekayaan diri-Nya, maka diberikan kekayaan kepada hamba-Nya buat mengerti apa itu kaya. Allah menyempitkan rezeki hamba-Nya buat mengenal apa itu miskin. Biar dia akhir tafakkur, manusia mengerti betapa miskinnya diri dan betapa kaya tidak terhitungnya Allah.

الفتاح ialah Maha Pembuka

Apabila Allah datangkan kesempatan untuk berjuang, Allah tunjukkan nama-Nya الفتاح. Dengan keyakinan inilah Umar al-Khattab meruntuhkan empayar Parsi dalam 2 tahun sahaja dan dibuka sebagai negeri Islam. 2/3 negeri Empayar Byzantin pula dibuka Al-Faruq sebagai wilayah dilaungkan kalimat ‘Tiada Tuhan Selain Allah’. Bermula dari akidah yang benar, berlakulah kejayaan yang besar. Pembukaan Andalusia oleh Tariq Bin Ziyad bukan ekspedisi militari semata-mata, tetapi juga gerakan Tauhid membuka semenanjung Iberia dari Triniti kepada Tauhid. Allah yang menghantar tentera Islam dan memberi kemenangan, bila benar-benar layak menanggung amanat nama-Nya.

Rabiatul Adawiyah

Wanita yang disantuni Mevlana Rumi dengan dakwah yang berhikmah, akhirnya berubah daripada pelacur menjadi hamba Allah sebaik Rabiatul Adawiyah. Siapakah Rabiah yang dimaksudkan?

Rabiatul Adawiyah berjiwa Ihsan.

Rabiatul Adawiyah ialah seorang anak yang miskin. Rabiah bermaksud 4, iaitu dia ialah anak keempat daripada adikberadiknya. Setelah ketiadaan bapanya, Rabiah diperdaya dan dijual sebagai hamba. Dia dibeli oleh seorang lelaki bernama Husam. Rupa-rupanya Husam memang menyimpan perasaan cinta kepada Rabiah. Mereka saling cinta mencintai.

Sehinggalah suatu hari, Husam terbunuh. Kesedihan Rabiah bukan kepalang. Berhari-berhari air mata mengalir seperti zam zam. Sampailah pada suatu hari, Allah memalingkan hati Rabiah hanya kepada-Nya. Bermulalah perjalanan cinta seorang hamba mencintai Tuhannya.

Aku mengabdi kepada Tuhan

bukan karena takut neraka..

bukan pula karena mengharap masuk surga..

Tetapi aku mengabdi, karena cintaku pada-Nya

Ya Allah, jika aku menyembah-Mu

karena takut neraka, bakarlah aku didalamnya

Dan jika aku menyembah-Mu,

karena mengharap surga, campakkanlah aku darinya

Tetapi, jika aku menyembah-Mu

demi Engkau semata, janganlah engkau enggan

memperlihatkan keindahan wajah-Mu

yang abadi padaku

 

Kekasihku tidak menyamai kekasih yang lain bagaimanapun juga

Tidak selain Dia didalam hatiku

kekasihku gaib dalam penglihatanku dan pribadi ku sekalipun

Akan tetapi

Ia tidak pernah gaib dalam hatiku

walau sedetik pun

Alangkah buruknya,

Orang yang menyembah Allah

Lantaran mengharap syurga

Dan ingin diselamatkan dari api neraka

Seandainya surga dan neraka tak ada

Apakah engkau tidak akan menyembah-Nya?

Aku menyembah Allah

Lantaran mengharap ridha-Nya

Nikmat dan anugerah yang diberikan-Nya

Sudah cukup menggerakkan hatiku

Untuk menyembah-Mu

 

Ya Tuhan

Tenggelamkan diriku ke dalam lautan

Keikhlasan mencintai-Mu

Hingga tak ada sesuatu yang menyibukkanku

Selain berdzikir kepada-Mu”

(Rabiatul Adawiyah)

“Ketika gelap menyerkap, kekasih semakin ghairah. Setiap mata tertidur, melainkan aku yang menyerahkan hati kepada-Mu, tak bisa lelap seperti mereka. Sepanjang malam mataku memandang angkasa, menghitung bintang. Cinta-Nya begitu nyata mencuri tidurku dan aku tidak pasti apakah lelap mampu bertandang lagi.”

(Mevlana Rumi)

Rujukan:

  1. Al-Quran
  2. Hadis Nabawi
  3. Tazkiratul Awliya’. Attar.
  4. Risalatul Qusyairiah. Imam Qusyairi.
  5. https://www.thepatriots.asia/jalaluddin-rumi-tokoh-sufi-sepanjang-zaman/
  6. https://www.katabijaklogs.com/2015/07/islami-rabiatul-adawiyah.html?m=1

Previous articleConcordski: Pesawat Supersonik Pertama Dunia
Next articlePara Wanita Melayu Dalam Sejarah
Graduan Darul Quran JAKIM. Ahli grup Pena Ilmiah (sQQr). Pemuisi yang patah hati. Khadam mashayeikh yang gigih bertatih, terjatuh dan bangkit kembali dalam mengenali adab & ilmu. Obses terhadap dunia penulisan, puisi dan sejarah. Believe in love like always do.
SHARE