Cimpanzi, Bahasa & Kemampuan Kognitif

15

Washoe (*sebutan Wa-show) merupakan seekor cimpanzi betina dari Afrika. Washoe merupakan hidupan bukan manusia pertama yang mempelajari tentang bagaimana untuk berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat.

Washoe dibesarkan dengan penuh kasih sayang oleh pasangan ahli psikologi Beatrix dan Allen Gardner dan cara ia dibesarkan adalah hampir sama seperti bayi manusia.

Seperti kanak-kanak manusia, Washoe turut mempunyai akses kepada pakaian, sikat, berus gigi, mainan dan buku! (Cimpanzi pun baca buku). Selain itu rutin harian Washoe terdiri daripada aktiviti bermain dan menaiki kereta bersama ‘keluarga angkatnya’.

Pada tahun 1967, Allen dan Beatrix telah memulakan sebuah projek bagi mengajarkan bahasa isyarat (ASL), kepada Washoe di fasiliti Universiti Nevada yang terletak di Reno dan juga di kediaman mereka.

Sebelum ini, projek yang hampir sama pernah dilaksanakan kepada cimpanzi bernama Gua dan Vicki, iaitu dengan mengajarkan cimpanzi untuk bertutur secara lisan seperti manusia. Walau bagaimanapun, projek tersebut gagal.

Beatrix dan Allen Gardner percaya terdapat kepincangan dalam projek tersebut. Oleh kerana cimpanzi tidak mempunyai kebolehan fizikal untuk bertutur. Jadi penyelesaian kepada permasalahan ini adalah dengan mengajarkan cimpanzi bahasa isyarat.

Teknik pembelajaran bahasa isyarat yang digunakan adalah, pengajar akan hanya cuba untuk berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat dan bukannya bertutur secara lisan. Ini dilakukan bagi mengelakkan Washoe menjadi terkeliru.

Menariknya, teknik ini juga turut digunakan bagi mengajar bahasa isyarat kepada kanak-kanak manusia yang pekak dan bisu dengan berkesan.

Apabila Washoe berumur 5 tahun, pasangan Beatrix dan Allen Gardner berbuat keputusan untuk memulakan projek yang baru.

Washoe kemudian dipindahkan ke bawah jagaan pasangan Roger dan Deborah Fouts, yang berada di Universiti Oklahoma (Institute of Primate Studies).

Semasa berada di sana, salah seorang daripada penjaga Washoe bernama Kat, mengalami keguguran. Kat kemudian berbuat keputusan untuk mengambil masa dengan bercuti selama beberapa minggu.

Sekembalinya Kat untuk bertugas, Washoe menunjukkan kelakuan seperti ia sedang bersedih, kerana telah ditinggalkan oleh Kat untuk masa yang lama. Kat membuat bahasa isyarat meminta maaf, dan membuat isyarat “bayi saya mati” kepada Washoe.

Washoe yang seakan-akan terkejut setelah mengetahui perkara itu hanya merenung ke arah Kat beberapa ketika sebelum memandang ke bawah.

Seterusnya, Washoe merenung mata Kat kemudian memberi tindak balas dengan bahasa isyarat perkataan “menangis”. Washoe bertindak melalukan jarinya ke pipi sebagai mimik air mata. Washoe kemudian meminta untuk dipeluk Kat.

Washoe juga turut pernah merasai kehilangan 2 ekor anaknya. Seekor daripada anaknya mati sejurus selepas lahir akibat masalah jantung. Manakala seekor lagi mati selepas 2 bulan akibat jangkitan bakteria Staphylococcus.

Kelakuan Washoe yang memahami serta bersimpati terhadap nasib Kat, seakan membuktikan kemampuan kognitif dan emosi yang dimiliki oleh cimpanzi.

Selain itu, dalam peristiwa lain iaitu apabila Washoe ditunjukkan imejnya didalam cermin dan ditanyakan tentang apa yang ia lihat, Washoe menjawab dalam bahasa isyarat “Saya, Washoe.”

Menurut pakar primat Jane Goodall, beliau percaya bahawa ini mungkin menunjukkan sebahagian dari peringkat ‘self awareness’ cimpanzi.

Oh ya, sebagai pengubat luka, Washoe akhirnya diberikan seekor anak cimpanzi berumur 10 bulan untuk dijaga. Menakjubkan apabila Washoe dengan inisiatif sendiri, mengajarkan anaknya bernama Loulis itu bahasa isyarat, walaupun tanpa sebarang arahan atau galakan dari penjaga manusia.

Dalam masa singkat 8 hari sahaja, Loulis telah berjaya membuat bahasa isyarat yang pertama. Kedua-dua ibu dan anak itu seringkali dilihat berkomunikasi dengan bahasa isyarat dan bukan sahaja dari bunyi-bunyian.

Washoe menghembuskan nafasnya yang terakhir pada tarikh 30 Oktober 2007, berumur 42 tahun.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.