Cikgu Awang Daud merupakan nama yang tidak asing dalam dunia persilatan Melayu di Malaysia khususnya dalam Pertubuhan Silat Seni Gayong. Malah beliau antara orang yang sempat merasa air tangan Almarhum Dato’ Meor Abdul Rahman sebagai anak didik Mahaguru Silat Seni Gayong itu bersama Cikgu Abdul Majid ketika itu.

Cikgu Hj Awang  Bin  Daud antara Gurulatih Tertinggi Silat Seni Gayong. Beliau juga adalah Grandmaster di Awang Daud Martial Art Academy diasaskan oleh beliau sendiri yang berpusat di Gurun Kedah.

Dilahirkan pada 1 Febuari 1945 di Kampung Sungai Ibor, Gurun Kedah, Cikgu Awang Daud mula mengenali seni beladiri dan mula bergiat aktif ketika berumur 17 tahun dengan mempelajari Silat dari bapa saudaranya Datuk Deraham seorang pembesar Istana negeri Kedah.

Setelah 6 bulan merasai tangan bapa saudaranya beliau mempelajari Muay Thai apabila menemui Musa Tawasik seorang guru Muay Thai terkenal serta tenaga pengajar Tentera Thailand.

Sesudah setahun mempelajari gaya tendang dan tumbuk, masanya sudah tiba untuk menguji sejauh mana ilmu di dada. Sebulan sekali, beliau menyertai pertandingan Muay Thai seperti di Naratiwat, Yala dan Pattani. Beliau mencapai banyak kejayaan ketika itu sehingga diberi gelaran ‘Tiger Gurun’. Nama ‘Tiger Gurun’ amat digeruni dan terkenal tidak hanya di sekitar Kedah tetapi sehingga memasuki beberapa daerah di Thailand.

Beliau mula mempelajari Seni Silat Gayong setelah mengenali Cikgu Abdul Majid Mat Isa yang merupakan Guru Silat Seni  Gayong ketika itu.

Pada tahun 1962, beliau antara murid terawal yang dihantar keluar untuk mempelajari Silat Seni Gayong di School of Gayong yang bertempat di Woodland, Singapura dan mendapat Diploma of Seni Gayong School. Pengiktirafan Program Diploma Seni Gyong School merupakan satu pengiktirafan yang bukan semua anak-anak Gayong mampu untuk lulus pada ketika itu. Dicatatkan hanya beberapa orang sahaja yang lulus dalam program tersebut.

(Diploma yang diterima oleh Cikgu Awang Daud. Rujukan gambar Institut Silat Seni Gayong iSG)

Almarhum Dato’ Meor Abdul Rahman merupakan orang yang bertanggungjawab membentuk dan melatih Cikgu Awang Daud. Dato’ Meor Abdul Rahman juga pernah menyatakan bahawa Cikgu Hj Awang Daud akan menjadi seorang Mahaguru (Grandmaster).

Walaupun beliau bukanlah generasi terawal yang mempelajari Silat Seni Gayong, oleh kerana kelebihan tertentu dan kepakarannya, Dato Meor Abdul Rahman telah menganugerahkan gelaran khas iaitu Panglima Harimau Singa Berantai dan ianya adalah gelaran mutlak milik beliau daripada Mahaguru Silat Seni Gayong.

Cikgu Hj Awang Daud telah diberi tanggungjawab untuk melatih Angkatan Tentera TTS (Tempur Tanpa Senjata) yang berpengkalan di Woodland ketika itu. Beliau amat pakar dalam Super Combat Seni Gayong, hal ini diakui sendiri oleh Mahaguru ketika dipertanggunjawabkan untuk mengajar Tentera British ketika itu.

Pada tahun 1969 Cikgu Awang Daud pulang ke Kedah namun diminta oleh Mahaguru untuk mengembangkan sayap Silat Seni Gayong di Kelantan. Arahan dari Mahaguru tidak mampu ditolak, sebaliknya dirasakan satu amanah dan wajar dibanggakan kerana dipilih oleh Mahaguru sendiri.

Memetik wawancara majalah Seni Beladiri keluaran April 2004 ketika ditemubual oleh wartawan Azlan Ghanie, Cikgu Awang Daud berkongsi kisahnya ketika berada di Kelantan.

“ Selama lapan tahun saya di Kelantan, boleh dikatakan setiap dua malam ada tetamu hendak mencuba. Saya sudah tidak kisah kerana perkara ini bagai lumrah perjuangan seorang guru ketika itu. Selain menepis permainan cara batin, permainan fizikal juga perlu dihadapi,” ujarnya.

Sepanjang berada di Kelantan beliau terpaksa bertarung dengan 33 perguruan.

Sesudah menjejak keluar Kelantan, Cikgu Awang Daud pernah terlibat dalam dunia lakonan filem dan drama antaranya Loceng Maut, Sumpah di Bumi Mekah (gandingan bersama Datuk Rahim Razali dan Ahmad Yatim), drama Tumasik Oh Tumasik, Jebat Satu Lagenda, Semutar Hitam, Pendekar Kelana, Tuah dan Jebat serta menjadi montaj untuk siri TV Mahaguru.

Pada awal tahun 1970an beliau telah diamanahkan oleh Pemerintah Angkatan Tentera Malaysia untuk melatih Angkatan Tentera Malaysia TTS, begitu juga dengan Polis Diraja Malaysia tidak lama selepas itu.

Awang Daud Martial Art Academy merupakan sebuah akedemi yang sudah lama beliau fikirkan. Sejak berada di Kelantan, rancangan untuk menubuhkan akedemi berkenaan sudah lama tertanam. Awang Daud Martial Art Academy berkonsep bebas untuk semua bangsa dan agama untuk disertai dan permainan utama tetap seni Gayong.

Cikgu Awang Daud berkahwin dengan Hajjah Fatimah dan dikurniakan empat orang anak iaitu Siti Zuraidah, Zulkarnain (telah kembali ke Rahmatullah), Zulhardi dan Zulkifli.

RUJUKAN:

Panglima Harimau Singa Berantai. https://khalifahgayong.wordpress.com/2010/02/01/mantan-pengarah-majlis-gurulatih-psspgm/

Institut Silat Seni Gayong – ISG / School of Gayong.  https://web.facebook.com/Institut-Silat-Seni-Gayong-ISG-School-of-Gayong-1451314734878655

ADMAA Malaysia. https://web.facebook.com/ADMAA-Malaysia-2089770261089008

 

 

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Comments are closed.