Chupacabra: Haiwan Penghisap Darah Amerika

222

Chupacabra (bermaksud penghisap darah kambing dalam bahasa Sepanyol) adalah haiwan lagenda yang menjadi buah mulut warga Amerika sejak rekod pertama kali penampakkan di Puerto Rico. Nama ini diambil sempena tabiat haiwan ini menghisap darah haiwan ternakan sehingga kering, terutamanya kambing.

Ciri-ciri tubuh Chupacabra adalah pelbagai. Yang paling biasa adalah tubuhnya berupa reptilia, tidak berbulu, berkulit kelabu-kehijauan dan berkuku panjang. Tingginya lebih kurang saiz 0.9 hingga 1.2 meter dan mampu berdiri seperti kangaroo. Tabiat pemakanannya tidak seperti pemangsa lain, ia menghisap darah mangsa sehingga meninggalkan kesan tiga atau dua lubang di leher. Chupacabra juga memakan habis sebahagian organ mangsa.

Sejarah Chupacabra bermula dari 1995 di Puerto Rico. Lapan ekor kambing biri-biri telah mati dan lehernya telah ditebuk dan kehilangan banyak darah. Beberapa bulan kemudian iaitu bulan Ogos, seorang saksi bernama Madelyne Tolentino melaporkan pernah melihat Chupacabra di kota Canóvanas, di mana kota itu pernah dilaporkan bahawa banyak haiwan ternakan dan peliharaan para peladang mati dengan keadaan yang sama.

Pada tahun 1975, kota kecil Moca dilanda kes kematian haiwan ternakan yang sama. Kemudian, makhluk penghisap darah itu warga kota gelarkan sebagai El Vampiro de Moca atau Pontianak Moca. Pada andaian awal, mereka menjangkakan bahawa kematian haiwan ternakan ini adalah kerja kumpulan ajaran Satan. Namun berita tentang Chupacabra tersebar dan warga Moca mengetahui ini kerja haiwan dahagakan darah.

Rupa Chupacabra dan cara mematikan haiwan ternakan mengikut keterangan saksi kejadian.

Sejak kes Puerto Rico itu, pelawak bernama Silverio Pérez mengambil kesempatan dengan menamakan makhluk itu dengan nama Chupacabra ketika dia bertugas sebagai DJ radio tempatan. Kemudian, negara lain juga dilaporkan telah menemui makhluk yang sama seperti di Republik Dominican, Argentina, Bolivia, Chile, Columbia, Mexico, Brazil, Honduras, El Salvador, Nicaragua, Panama, AS, dan Peru. Pokoknya hampir seluruh benua Amerika telah menyaksikan makhluk yang menggugat rezeki para peladang.

Chupacabra juga telah ‘menakluk’ negara luar dari benua Amerika. Di Manipur, India banyak haiwan domestik dan ayam telha mati dengan cara yang aneh dan rakyatnya mengesyaki ini adalah perbuatan Chupacabra. Beberapa saksi juga telah menyaksikan  penampakan haiwan aneh ini di depan mata.

Dari Chupacabra inilah, lahir pelbagai teori untuk menyelesaikan kewujudan haiwan penghisap darah ini. Sesetengah pengkaji UFO beranggapan bahawa Chupacabra adalah ‘anjing’ makhluk asing yang bertugas untuk mencari benda hidup bagi dijadikan sebagai kajian. Manakala sebilangan pemburu Chupacabra pula beranggapan Chupacabra adalah haiwan rekaan tentera AS bagi menguji kekuatannya sebagai senjata biologi. Malah dikatakan haiwan ini kononnya bersenyawa dengan spesis anjing atau dubuk untuk menghasilkan baka yang kuat.

Tapi, persoalannya sekarang, adakah Chupacabra ini wujud?

Dalam lima tahun penyiasatan oleh penyiasat bernama Benjamin Radford yang telah didokumtasikan dalam buku Tracking the Chupacabra pada tahun 2011, konklusi dari saksi penampakkan Madelyne Tolentino adalah berdasarkan makhluk Sil yang ditayangkan dalam filem seram Species. Identiti Sil amat sama dengan ciri Chupacabra yang Tolentino saksikan. Tambahan pula sebelum penampakkan Tolentino mengaku bahawa pada waktu itu dia telah menonton filem seram itu. Maka, kenyataan saksi itu bagi Radford adalah meragukan.

Radford juga bahagikan kes Chupacabra kepada 2 kategori: laporan Puerto Rico dan Amerika Latin di mana haiwan ternakan diserang dan darahnya kering, dan laporan AS di mana penampakkan yang disyaki Chupacabra sebenarnya adalah anjing atau spesis koyote yang mengalami penyakit kulit yang dikenali sebagai mange, menyebabkan haiwan kehilangan bulu dan disalah anggap sebagai makhluk penghisap darah.

Akhir Oktober 2010, seorang biologis dari University of Michigan iaitu Barry O’Conner menyatakan bahawa semua kes penampakkan Chupacabra di AS adalah koyote yang dijangkiti oleh kutu Sarcoptes scabiei yang mengakibatkan keguguran bulu, kulit menebal dan bauan tidak menyenangkan.

Anjing yang dijangkiti penyakit kulit mange. Sebab penyakit inilah mengundang salah faham bahawa anjing ini dianggap sebagai Chupacabra.

Dalam kes haiwan ternakan mati kerana kehilangan darah, memang saksi percaya bahawa kematian itu bukan kerja anjing atau koyote tapi kepercayaan mereka itu adalah salah. Memang anjing dan koyote menyerang mangsa. Buktinya jelas gigitan mereka menembusi kulit sehingga tinggalkan kesan lubang tapi dalah kes ini ia tidak menjamah mangsa tersebut.

Ada dua sebab yang logikal, sama ada ia tidak berpengalaman atau tidak berselera kerana sakit. Jadi mangsa yang diterkam dibiarkan hidup dan kemudian mati kerana kehilangan darah dan kejutan peredaran darah. O’Connor mengandaikan terhadap serangan kambing biri-biri bahawa ini sememangnya kerja koyote yang sakit kerana memburu biri-biri adalah mudah berbanding memburu arnab atau rusa.

Dari bukti-bukti saintifik ini, para saintis percaya kewujudan Chupacabra hanyalah mitos atau lagenda urban masyarakat yang menginginkan kemisterian dalam komuniti mereka. Jadi anda percaya dengan kewujudan haiwan aneh ini?

RUJUKAN:

1. Radford, Benjamin. “Slaying the Vampire: Solving the Chupacabra Mystery” Skeptical Inquirer, Vol. 35 No. 3, May/June 2011, Pages 45–48

2. Ross-Flannigan, Nancy (25 October 2010). “Scary chupacabras monster is as much victim as villain”The University Record. University of Michigan..

3. Than, Ker (28 October 2010). “Chupacabra Science: How Evolution Made a Mythical Monster”National Geographic. National Geographic Society. Retrieved 14 July 2019

4. Selena, Katie (14 February 2018). “The Truth Behind The Legend of The Chupacabra”. All That’s Interesting Website. Retrieved 14 July 2019

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.