Choshu Berlima – Pelopor Pemodenan Pemulihan Meiji

846

Seperti kita semua sedia maklum, Jepun merupakan sebuah negara maju sehingga menjadi sebahagian daripada kumpulan Harimau Asia (negara Asia yang mempunyai ekonomi yang kuat). Namun untuk mencapai tahap itu bukan sesuatu yang mudah dan memerlukan asas yang kuat. Asas tersebut dimulakan semasa era Pemulihan Meiji yang menyaksikan era pemodenan dan kemajuan Jepun sehingga setaraf dengan kuasa-kuasa Barat ketika itu. Semua ini tidak akan berlaku tanpa kelibat lima individu yang digelar sebagai Choshu Berlima, arkitek pemodenan era Meiji.

Choshu Berlima

Pada hari-hari terakhir Keshogunan Tokugawa, lima samurai dari Choshu (kini dikenali sebagai daerah Yamaguchi) mengambil keputusan meninggalkan tanah air secara senyap-senyap dan berhijrah ke Britain. Ianya bukan sesuatu yang mudah tetapi perlu dilakukan demi memastikan negara tercinta tidak lagi mudah diperkotak-katikkan oleh pihak asing. Lima individu dari Choshu yang berhijrah pada 27 Jun 1863 ini ialah Ito Hirobumi, Inoue Kaoru, Inoue Masaru, Endo Kinsuke dan Yamao Yozo. Kelima-lima samurai ini kemudiannya akan menjadi pemain penting dalam kerajaan semasa era Pemulihan Meiji.

Semasa berada di perantauan, mereka berlima mula mempelajari Bahasa Inggeris, melawat pelbagai kemudahan dan loji yang wujud ketika itu dan mempelajari analisis kimia di University College London. Namun Ito dan Inoue Kaoru terpaksa memendekkan tempoh mereka di Britain apabila mendapat tahu berita pengeboman Shimonoseki antara tahun 1863 hingga 1864 oleh pakatan tentera laut asing yang mahu menguasai Selat Shimonoseki. Tiga lagi samurai terus kekal di Britain untuk menghadiri lebih banyak syarahan saintifik. Endo pulang ke tanah air pada awal tahun 1866. Dua lagi rakannya, Inoue Masaru dan Yamao pula mempunyai cerita tersendiri.

Inoue Masaru berjaya meraih diploma dari University College dan dikatakan menggunakan peluang melawat landasan-landasan keretapi dan lombong-lombong. Yamao pula mengembara ke Glasgow di mana beliau bekerja sebagai pelatih jurutera di limbungan kapal di siang hari dan mempelajari teknologi di Anderson’s College pada waktu malam. Selepas berada di perantauan selama enam tahun, kedua-duanya akhirnya pulang ke Jepun pada awal tahun 1869.

Ito Hirobumi dan Inoue Kaoru

Rajah 2: Inoue Kaoru dan Ito Hirobumi. Kredit: https://www.nippon.com/en/column/g00580/meiji-modernizers-the-choshu-five.html

Selepas pengembaraan pendek mereka di Britain, Ito dan Inoue mula meningkat naik dalam sistem politik Choshu. Selepas Keshogunan Tokugawa disingkirkan dan kuasa maharaja dipulihkan, kedua-duanya memanfaatkan pengalaman mereka di luar negara dengan bekerja sebagai birokrat di pelabuhan-pelabuhan yang dibuka kepada kuasa-kuasa asing. Tidak lama kemudian, mereka berdua menjadi pegawai tinggi Kementerian Kewangan yang bertanggungjawab untuk projek-projek pemodenan, kewangan dan pentadbiran sivil.

Pada masa inilah, Ito membuat kesilapan besar dengan mencadangkan penggantian domain dengan daerah-daerah moden. Ia memang satu idea yang ke hadapan tetapi ramai tidak bersetuju dengan ideanya sehingga menyebabkan beliau diberi penurunan pangkat. Akibatnya, kedua-duanya bersedia menawarkan perletakan jawatan mereka tetapi ditolak kerana kerajaan menghargai pengalaman dan pengetahuan yang ditimba mereka di Britain. Akhirnya, idea beliau dilaksanakan melalui pengenalan sistem daerah moden dan pemerintahan pusat pada 29 Ogos 1871.

Inoue pula mula mendaki kedudukan dengan menjadi Timbalan Menteri Kewangan. Di sini, beliau memperkenalkan idea belanjawan tahunan untuk kementerian-kementerian dan menyediakan asas membuat keputusan pada sistem belanjawan terkini berdasarkan penilaian pendapatan. Walaupun beliau kemudiannya meletak jawatan pada tahun 1873, Inoue kembali menyertai kerajaan beberapa tahun kemudian selepas mengadakan lawatan ke luar negara pada tahun 1876. Ito pula memulakan dua tempoh pengajian luar negara pada akhir tahun 1870 sebelum dilantik sebagai kaunselor pada tahun 1873.

Kedua-duanya menjadi tunjang penting sistem politik Jepun untuk tahun-tahun seterusnya. Inoue merupakan Menteri Luar Jepun yang pertama dan turut memegang peranan sebagai Menteri Dalam Negeri. Ito pula bertanggungjawab menubuhkan Sistem Kabinet dan merupakan Perdana Menteri pertama Jepun. Beliau juga bertanggungjawab memperkenalkan reformasi pentadbiran dan politik di mana ia masih bertahan sehingga ke hari ini seperti menyumbang kepada pembentukan Perlembagaan Meiji dan mewujudkan Perhimpunan Kebangsaan pada tahun 1890.

Yamao Yozo

Selepas kembali ke Jepun, Yamao menyertai Kementerian Hal Ehwal Popular pada tahun 1870 dan diberi tugas mengendalikan limbungan kapal Yokosuka. Bagaimanapun, usaha pemodenan kementerian dikritik ramai berikutan kekurangan dana dan ia akhirnya menjadi isu politik. Untuk mengelak perkara ini berulang, Yamao mencadangkan penubuhan Kementerian Perindustrian yang boleh memberi fokus kepada projek pemodenan dengan bebas. Idea kementerian ini membolehkan ia memantau pelbagai projek kerajaan membabitkan sektor seperti landasan keretapi, perlombongan, rumah api, telegraf dan pembinaan kapal.

Rajah 3: Pejabat Kementerian Perindustrian yang ditubuhkan oleh Yamao. Kredit: https://www.nippon.com/en/column/g00580/meiji-modernizers-the-choshu-five.html?pnum=2

Yamao menjadi tokoh utama dalam kementerian berkenaan dan bertanggungjawab merencana projek-projek pemodenan Jepun. Tatkala kerajaan Meiji masih bertatih dalam soal amalan dan peraturan, wujud sedikit kelonggaran bagi Yamao untuk terus bekerja walaupun menimbulkan kemarahan pegawai seperti tidak mahu berada di pejabat dan tidak mengendahkan arahan bila menggubal polisi dan mendapatkan dana. Terdapat beberapa projek pemodenan yang mendapat sentuhan Yamao seperti perkhidmatan keretapi pertama antara Tokyo dengan Yokohama pada tahun 1872 dan sistem telegraf antara Tokyo dan Nagasaki pada tahun 1873.

Beliau juga amat menitikberatkan pembangunan insan jurutera dan ini diterjemahkan melalui penubuhan Kolej Kejuruteraan Diraja (kini Fakulti Kejuruteraan Universiti Tokyo). Yamao terus kekal di situ sehingga Oktober 1881. Beliau mengisi beberapa jawatan di beberapa kementerian tetapi tidak berupaya mengulangi pencapaiannya di Kementerian Perindustrian berikutan ketika itu, kerajaan tidak lagi aktif mengusahakan projek-projek pemodenan.

Inoue Masaru

Rajah 4: Inoue Masaru. Kredit: https://www.nippon.com/en/column/g00580/meiji-modernizers-the-choshu-five.html?pnum=2

Tatkala Inoue Kaoru menjadi arkitek penting sistem politik Jepun, Inoue Masaru pula diberi tanggungjawab menguruskan operasi perlombongan dan Mint Jepun pada tahun 1869. Dalam kedua-dua organisasi ini, penasihat-penasihat asing mengetuai usaha pemodenan dan Inoue dipilih kerana berupaya bekerjasama dengan mereka. Pada separuh masa pertama era Meiji (1868-1912), penasihat-penasihat luar yang mengetuai usaha ini dari segi sistem dan teknologi terbaru.

Pada tahun 1871, Inoue menyertai Yamao di Kementerian Perindustrian dan mengambil alih divisyen keretapi yang ketika itu bergantung kepada pakar-pakar asing. Selepas landasan Tokyo-Yokohama diselesaikan pada tahun 1872, ini disusuli pula dengan landasan Osaka-Kobe (1874) dan landasan Kyoto-Osaka (1877). Bagi merealisasikan impian melihat pakar-pakar tempatan menguasai industri keretapi, beliau melantik pekerja-pekerja yang mempunyai pengalaman luar dan jurutera-jurutera terlatih. Akibatnya, bilangan pakar asing yang diupah menurun dan teknokrat yang dilantik sebagai penterjemah tidak lagi mempunyai peranan.

Generasi ini kemudiannya disertai generasi baru pelajar yang lulus dari Kolej Kejuruteraan Diraja dan Fakulti Sains Universiti Tokyo. Generasi ini bertanggungjawab mengembangkan lagi rangkaian keretapi sedia ada iaitu Landasan Tokaido (Landasan Shinbashi, Tokyo hingga Kobe) pada tahun 1899 dan Landasan Shin’etsu (Landasan Takasaki-Naoetsu) di pesisir Laut Jepun pada tahun 1893. Dua landasan ini memerlukan penggunaan teknologi baru seperti pembinaan jambatan di sungai-sungai utama dan pembinaan seksyen landasan di kawasan pergunungan. Selepas Inoue bersara pada tahun 1893, pengembangan rangkaian landasan yang direncana terus berjalan lancar.

Endo Kinsuke

Tidak seperti rakan-rakannya yang lain, Endo lambat sedikit dalam memberi sumbangan kepada pentadbiran Meiji. Pada tahun 1868, beliau diberi kepercayaan mengetuai unit kastam di daerah Hyogo sebelum dilantik sebagai pegawai kanan dalam kumpulan pengurusan logistik dan perdagangan. Kedua-dua jawatan ini amat sesuai untuk beliau kerana memerlukannya bertutur dengan fasih dalam Bahasa Inggeris dan terletak di kawasan pelabuhan penuh dengan pedagang-pedagang asing.

Endo kemudiannya mengisi peranan pengurusan di Mint Jepun pada tahun 1870 dan mula beroperasi setahun kemudian. Memandangkan mesin yang menghasilkan duit diimport dari Barat, beliau mengisi peranan teknokrat yang bekerja dengan panduan pakar-pakar asing untuk menghasilkan mata wang moden. Namun disebabkan had hubungan pakar asing dengan teknokrat Jepun tidak dinyatakan dengan jelas, ini menimbulkan kesukaran kepada Endo. Sebelum meninggalkan Mint Jepun pada tahun 1874, kontrak ramai pakar asing ditamatkan berikutan kepantasan jurutera-jurutera Jepun menguasai kemahiran pembuatan mata wang Jepun. Sejak itu, usaha ini diteruskan oleh pekerja-pekerja Jepun.

Endo kemudiannya kembali ke Mint Jepun sebagai ketua pada November 1881. Dan seperti mana Inoue di divisyen landasan keretapi, generasi baru pekerja diambil dari Kolej Kejuruteraan Diraja dan Fakulti Sains Universiti Tokyo. Selepas berkecimpung dalam agensi berkenaan selama 12 tahun, Endo akhirnya bersara pada Jun 1893 dan dianggap pelopor mata wang moden Jepun.

RUJUKAN:

Kashihara, Hiroki. (2018). Meiji Modernizers: The Chōshū Five. Nippon.com. https://www.nippon.com/en/column/g00580/meiji-modernizers-the-choshu-five.html

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.