Chivalry Juruterbang Pesawat WWII

2,076

Pada 20 Disember 1943, seorang juruterbang sedang menerbangkan pesawat B17 ‘Ye Olde Pub’ Bomber di ruang udara Jerman sewaktu kemuncak perang dunia kedua. Juruterbang ini yang masih dalam belasan tahun adalah Leftenan Charles ‘Charlie’ Brown (Brown) beserta beberapa orang anak kapal yang lain  dalam formasi 379th Bombardment Group untuk mengebom satu kawasan di Jerman.

Malangnya, pesawat mereka mengalami kerosakan akibat ditembak oleh flak gun. Penembak yang duduk di belakang pesawat tersebut (tailgunner) yang bernama Sarjan Hugh sudah pun maut, dan pesawat mereka yang rosak mulai ketinggalan daripada formasi pengeboman tersebut.

Disebabkan itu, pesawat ini menjadi sasaran beberapa pesawat pejuang Jerman yang tidak henti-henti menembak menyebabkan pesawat Brown mengalami kerosakan kritikal di bahagian belakang beserta sistem elektrik, hidraulik dan telekomunikasi. Dalam percubaan untuk mengelak t3mb4k4n mesingan yang bertalu-talu, Brown sendiri dit3mb4k di bahunya, menyebabkan dia mengalami kesakitan dan hampir pengsan.

Pesawat Brown mulai menjunam dan ditinggalkan oleh pesawat pejuang Jerman yang pasti dia akan terhempas. Mereka menukar sasaran menyerang pesawat lain dan Brown pula mencuba sedaya-upaya untuk mengawal pesawatnya yang rosak teruk itu.

Ajaibnya, dia berjaya mengekalkan pesawatnya pada ketinggian 300 meter dan cuba untuk menghala ke England yang terletak lebih kurang 420 kilometer daripada lokasinya ketika itu. Sedang Brown sedaya upaya mengawal pesawat tersebut, tiba-tiba sebuah pesawat pejuang Jerman jenis Messerschmitt BF109 G6 mulai menghampiri mereka daripada belakang.

Pesawat ini dikemudi oleh seorang juruterbang Jerman bernama Franz Stigler (Stigler), iaitu seorang juruterbang veteran daripada tentera udara Jerman. Dia menerbangkan pesawatnya ke sebelah kanan pesawat Brown, sambil memberi isyarat supaya Brown mendaratkan pesawatnya. Brown yang terdesak hanya mampu menggelengkan kepalanya, tanda tidak setuju kerana dia tidak ingin diambil sebagai tawanan perang.

Melihatkan keadaan itu, Stigler menerbangkan pesawatnya ke belakang dan sedikit atas daripada pesawat Brown. Brown tahu, dia akan m4t1 dit3mb4k oleh pesawat Stigler, dan hanya menunggu masa sahaja. Namun, perkara sebaliknya yang berlaku. Kedudukan pesawat Stigler itu berada dalam kedudukan ‘escort’ bagi Brown mengemudi pesawatnya keluar daripada ruang udara Jerman.

Bukan itu sahaja, rata-rata flak gun yang terletak di perairan Jerman dan Perancis juga tidak menembak ke arah pesawat Brown memandangkan pesawat Stigler berada begitu hampir dengannya (mengelakkan friendly fire). Setelah Brown berjaya keluar daripada ruang udara Jerman dan berada pada posisi yang selamat, Stigler sekali lagi menghampirinya daripada belah kanan seraya menunjukkan tanda tabik hormat kepada Brown sebelum meninggalkan mereka

Brown akhirnya berjaya mendaratkan pesawatnya di 448th Bomb Group Norfolk, Timur Anglia. Kesemua anak kapalnya kecuali Sgt Hugh selamat dengan kecederaan yang tidak kekal.

Selepas itu, Brown menceritakan pengalamannya kepada rakan-rakan juruterbangnya, namun, mereka tidak mempercayainya. Kisah itu juga diarahkan oleh pihak tentera udara Amerika Syarikat supaya dirahsiakan, kerana mereka tidak mahu imej yang baik muncul daripada musuh mereka ketika itu. Brown berkhidmat sehingga tahun 1965, dan pada tahun 1986, semasa perjumpaan bekas juruterbang pesawat pejuang yang bernama ‘Gatjering of the Eagles”, Brown, seorang pesara berpangkat kolonel kali pertama menceritakan pengalamannya secara terbuka.

Sekali lagi pada waktu itu, ramai orang mempersoalkan kebenaran cerita tersebut, sehingga ke satu tahap di mana Brown sendiri mulai mempersoalkan dirinya yang mungkin mengalami delusi akibat kecederaan yang dialaminya ketika itu. Namun, dia tidak berputus asa, dan mula membuka arkib dan dokumen peperangan Jerman. 4 tahun kemudian, setelah ceritanya tersebar ke orang ramai, dia akhirnya dihubungi oleh Stigler sendiri melalui sepucuk surat yang diutuskan.

Rupa-rupanya, Stigler, sewaktu peperangan tamat berpindah ke Kanada dan memulakan perniagaan di sana. Dia mengesahkan setiap satu rentetan peristiwa yang diceritakan oleh Brown. Sudah tentu ketika itu, Stigler tidak menceritakan kepada sesiapa kerana perbuatan itu dikira membelot tentera Jerman sendiri. Hanya setelah cerita tersebut tersebar ke pengetahuan orang ramai, barulah dia tampil untuk mengesahkannya.

Ketika pesawat B17 itu melintas di atasnya, Stigler sebenarnya sedang mengisi minyak pesawat Messerschmittnya, dan dia terus berlepas untuk memintas pesawat tersebut. Namun, dia tidak sanggup untuk menembak pesawat Brown sewaktu itu, walhal, Stigler mempunyai rekod berjaya menghapuskan 29 pesawat AS sewaktu itu.

Ketika ditanya sebab mengapa dia tidak menembak pesawat Brown ketika itu, dia berkata terdapat beberapa sebab iaitu satu, pesawat Brown memang tidak berupaya untuk menembak lagi, kedua, dia amat kagum melihat bagaimana pesawat tersebut yang hampir hancur berkecai masih lagi berupaya untuk terbang.

Setelah kedua-dua mereka tahu lokasi masing-masing, iaitu Brown yang tinggal di Seattle, Amerika Syarikat dan Stigler tinggal di Vancouver, British Columbia (Canada), mereka menjadi sahabat akrab selepas itu sehinggalah Stigler meninggal dunia pada bulan Mac 2008. Peristiwa ini mendapat nama jolokan “The Aerial Chivalry”.

Ini adalah merupakan beberapa kisah-kisah menarik dan menunjukkan walau bagaimana teruk sekalipun kekejaman manusia yang suka akan peperangan, masih ada sifat perikemanusiaan tersemat di dalam diri yang menjadikan seseorang itu manusia.

Malangnya, kisah-kisah ini selalunya tidak mendapat perhatian, dan kebanyakkannya juga dirahsiakan atas dasar ingin meminta rakyat supaya turut membenci dan menyertai mereka untuk menumpaskan mana-mana negara yang dianggap sebagai musuh.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.