Ching Shih – Dari Pelacur, Menjadi Lanun

867

Ching Shih (atau Zheng Shi) adalah seorang pelacur China yang menjadi lanun wanita yang memimpin Armada Panji Merah. Armada ini berkembang pesat di bawah kepimpinannya, terutama berikutan penyimpanan harta rampasan yang semakin meningkat dan sistem perdagangan yang tersusun.

Setelah beberapa tempoh, Ching Shih mendapatkan pengampunan yang ditawarkan oleh pentadbiran China, namun terlebih dahulu berunding demi mengekalkan harta kekayaan yang diraihnya sepanjang bergelar raja lanun.

Tidak banyak yang kita ketahui tentang hari-hari awal Ching Shing. Beliau dilahirkan di wilayah Guangdong, China pada tahun 1775 dan nama asalnya adalah Shil Ciang Gu. Beliau bekerja sebagai seorang pelacur di rumah pelacuran terapung di Canton.

Pada tahun 1801, seorang lanun yang bernama Zheng Yi, pemimpin Armada Panji Merah menyedari kejelitaan yang dimiliki oleh Ching Shih. Lantas, beliau berhajat untuk memperisterinya. Terdapat pelbagai catatan yang menceritakan tentang perkahwinan mereka.

Menurut satu catatan, Zheng Yi mengutuskan sebuah pasukan penyerang dan mengarahkan agar mereka menjarah rumah pelacuran itu. Beliau turut memerintahkan agar mereka membawakan kepadanya Ching Shih, pelacur kegemaran beliau. Lanun-lanun itu melaksanakan perintah tersebut, dan Zheng Yi dan Ching Shih pun berkahwin.

Dalam catatan lain, diceritakan bahawa Zheng Yi sekadar mengajak Ching Shih agar berkahwin. Wanita itu menerima lamaran tersebut dengan syarat, beliau diberikan sebahagian kuasa dalam organisasi Armada Panji Merah dan meraih pembahagian yang sama rata dalam harta rampasan.

Walaupun terdapat kepelbagain versi tentang perkahwinan mereka, Ching Shih dan Zheng Yi memimpin Armada Panji Merah secara bersama.

Potret Ching Shih

Dengan keduanya saling berganding bahu, Armada Panji Merah berkembang pesat dari 200 buah kapal kepada lebih 600 buah kapal dan seterusnya mencecah 1700-1800 buah kapal. Armada mereka diberikan kod warna tertentu, dengan armada utama diberi kod Merah dan saki-bakinya pula berkod Hitam, Putih, Biru, Kuning dan Hijau. Mereka turut membentuk Pakatan Lanun Canton dengan seorang lanun lain yang bernama Wu Shi’er. Zheng Yi meninggal dunia pada tahun 1807, hanya enam tahun selepas mengahwini Ching Shih.

Menjelang kem4tiannya, Armada Panji Merah terdiri daripada 50 000 – 70 000 orang lanun. Ching Shih yang tidak mahu kembali hidup sebagai pelacur, mengambil peluang untuk menjadi raja lanun. Beliau boleh sahaja mundur daripada organisasi berkenaan dan membenarkan Chang Pao, orang kedua setelah Zheng Yi-, mengambil-alih kepimpinan. Chang Pao sebelum ini turut diambil sebagai anak angkat oleh Zheng Yi dan Ching Shih. Namun, Ching Shih dahagakan kuasa dan nama. Dengan sokongan Chang Pao, Ching Shih menjadi ketua Armada Panji Merah.

Lengkukan unik ‘kapal jong’ China. Armada lanun mengibarkan panji merah

Ching Shih merupakan seorang ketua lanun yang tegas. Beliau banyak menumpu pada bisnes dan strategi ketenteraan. Beliau turut membentuk organisasi ala kerajaan, di mana armada lanunnya digabungjalinkan dan dilindungi oleh undang-undang dan cukai.

Mana-mana harta rampasa yang diraih perlu terlebih dahulu diserahkan kepada kepimpinan armada untuk didaftarkan, sebelum ia boleh diagihkan. Mana-mana kapal lanun yang berjaya merampas sesebuah kapal bersama harta kekayaannya diberikan hak untuk mengekalkan (memiliki) 20% dari nilai keseluruhannya, sambil baki 80% yang lain dimasukkan ke dalam dana kolektif armada.

Ching Shih melaksanakan peraturan yang sangat ketat berkenaan layanan terhadap tawanan, terutama tawanan perempuan. Tawanan wanita yang dianggap berupa-paras hodoh akan dibebaskan tanpa diapa-apakan. Mana-mana lanun yang berhajat untuk mengahwini tawanan wanita yang jelita dibenarkan berbuat demikian, namun diperintahkan supaya berlaku setia dan menjaga kebajikannya. Berlaku curang atau mer0gol merupakan satu jenayah di mana pelakunya akan dijatuhi hukuman bvnuh.

Hukuman keras merupakan satu kebiasaan bagi lanun-lanun Armada Panji Hitam yang tidak mematuhi kod perndangan. Para pembelot akan diburu habis-habisan, dan telinga mereka akan dipotong sebaik ditangkap. Hukuman-hukuman lain antaranya termasuklah cambuk dan kerat anggota badan.

Ching Shih, ratu lanun China

Armada Ching Shih banyak menguasai kampung di pesisiran pantai. Bahkan, mereka mengenakan cukai ke atas kampung-kampung berkenaan. Kawasan yang dikuasai ini meliputi Macau hingga ke Canton. Ching Shih dipanggil sebagai Penggegar Laut China Selatan”. Beliau lazim menghukum sesiapa sahaja yang menentangnya dengan memaku kaki mereka pada dek kapal dan memukul mereka.

Sebilangan sejarawan berpendapat bahawa Ching Shih turut bergiat sebagai penyeludup candu. Ada juga yang menyatakan bahawa aktiviti beliau hanya terhad kepada penj4rahan, r0mpakan dan cukai yang dikenakan ke atas kampung-kampung yang dikuasai.

Kapal-kapal tentera laut China, Portugal dan British semuanya tewas di tangan armada Ching Shih. Lantaran beliau tidak dapat ditewaskan, China menawarkan pengampunan kepada kesemua lanun dengan harapan dapat menamatkan penguasaan Ching Shih ke atas laut.

Rundingan awal di antara Chang Pao dan pegawai kerajaan, Zhang Bai Long tidak berjalan lancar. Kerajaan China menghendaki kesemua lanun itu tunduk melutut kepada mereka. Persetujuan tentang harta rampasan juga tidak mencapai kata putus. Namun, Ching Shih kemudiannya mengendalikan hal ini sendirian – berjalan memasuki pejabat Zhang Bai Long tanpa senjata sambil ditemani oleh 17 orang wanita dan kanak-kanak yang buta huruf. Perjanjian berjaya dimeterai antara mereka berdua.

Ching Shih dibenarkan untuk menyimpan segala hartanya. Berkenaan soal melutus, Zhang Bai Long bersetuju untuk menjadi saksi perkahwinan antara Ching Shih dan Chang Pao, di mana dengan demikian, mereka berdua sememangnya perlu melutut di hadapan Zhang Bai Long si saksi perkahwinan sebagai tanda penghargaan.

Peristiwa ini menandakan tamatnya karier Ching Shih sebagai lanun. Menerusi perkahwinannya dengan Chang Pao, beliau dikurniakan seorang anak. Selepas kem4tian Chang Pao, Ching Shih pulang ke Canton dan membuka rumah perjudian. Beliau kekal menetap di Canton sehingga meninggal dunia pada tahun 1844.

Kisah Chin Shih sememangnya merupakan sebuah cerita klasik yang kaya dengan pelbagai unsur. Menerusi sifatnya yang gagah dan berani, Ching Shih menjadi seorang lanun yang berkuasa dan memimpin sebuah armada yang besar. Seiring peredaran masa, kekayaannya semakin bertambah dan apabila pengampunan ditawarkan oleh kerajaan, beliau sama sekali tidak melepaskan peluang. Menerusi perbincangan di meja rundingan, Ching Shih berjaya pulang dengan membawa segala kekayaannya.

Penulis Sarah Brenman dan kartunis Harry Harrison pernah bekerjasama dalam menghasilkan sebuah siri kanak-kanak yang laris di pasaran, yang berjudul Chinese Calendar Tales. Kisah-kisah ini menggunakan setiap simbol zodiak China sebagai dasar untuk menceritakan elemen-elemen kebudayaan China yang tertentu.

Penceritaan seputar kisah hidup Ching Shih turut ditampilkan, dengan melibatkan seekor anjing laut fiksyen yang bernama Desmon. Brennan memaklumkan kepada South China Morning Post tentang faktor beliau memilih Ching Shih sebagai karakter utama:

[…] suatu ketika saya menulis beberapa buah artikel tentang figura-figura sejarah dan salah satunya ialah Ching Shih. Semasa menulis tentang beliau, saya berasa, “Betapa beliau ini seorang wanita yang mengagumkan”. Beliau menjadi lanun yang paling hebat di dunia – Hanya tuhan sahaja tahu mengapa dunia barat hanya mengenali Blackbeard, yang cuma memiliki satu perempat dari armada wanita ini – justeru saya terfikir, “Baiklah, (kisah ini) tentang sebuah perahu nelayan, di sana terdapat seekor anjing, dan wajib ada lanun di laut itu, dan lanun itu semestinya Ching Shih’. Begitulah ilham saya untuk menggandingkan mereka berdua.”

TERJEMAHAN:

M R Reese. (25 Mei 2018). Ching Shih – from Prostitute to Pirate Lord. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/ching-shih-prostitute-pirate-lord-002582

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.