Kita kini sedang dalam kekalutan dan keserabutan yang sama menyaksikan hampir setiap kerajaan di dunia sedang gigih melawan ancaman COVID-19 terhadap negara masing-masing, termasuklah Malaysia.

Menariknya, China pula sedang cuba mengubah naratif dan imejnya dari sebuah negara yang dikenalpasti menjadi punca bencana dan kekacauan ini kepada seolah-olah cahaya harapan banyak negara yang sedang terkapai-kapai kelemasan.

Ya, China sedang mengubah perspektif dunia supaya melihat mereka kini sebagai ‘beacon of hope’ dengan membantu banyak negara-negara yang terkesan dengan COVID-19 ini.

Mereka bukan sahaja menghantar topeng muka dan sarung tangan ke Asia Tenggara, Eropah, Amerika Selatan, Afrika, Eropah dan banyak lagi negara yang dilanda wabak, malah menghantar juga bantuan kepakaran perubatan, doktor, petugas kesihatan dan perunding bencana ke negara-negara terbabit.

Dengan keadaan di China malah Wuhan sendiri yang jelas semakin sihat, mesin-mesin industrinya kembali dihidupkan untuk bekerja seperti sebelumnya.

Rakyat China dan kerajaan Xi Jinping bukan sahaja menjadi contoh bagaimana sebuah negara mampu keluar dari bencana COVID-19 malah turut sama memimpin negara lain untuk bangkit bersamanya.

Ia masa yang sesuai ketika ini kerana sentimen anti-China dek perang dagang Amerika-China masih berlaku. Ia dibuat sedang Trump mengambil jalan melabel COVID-19 sebagai ‘Chinese Virus’ yang memburukkan lagi persepsi rakyat Amerika terhadap masyarakat Cina Amerika dalam dan luar negara.

Tindakan Trump menyemarakkan api perkauman ini pastinya kerana mahu merapatkan saf dan barisan bagi cuba sekali lagi memenangi pilihanraya presiden yang pernah menggunakan cara yang sama sebelum ini.

Namun, tajuk berita utama media di seluruh dunia memang giat menulis betapa China dilihat sedang gigih membantu negara-negara yang berhadapan dengan pandemik ini atas semangat persaudaraan dan kesihatan sejagat. Wah gitu.

Kelmarin satu dunia China dilihat membantu sekutu Amerika di Eropah iaitu UK dan Itali, malah bekerjasama dengan Perancis meneraju usaha menghentikan penularan COVID-19 di benua itu.

Semalam pula Serbia, iaitu sekutu kuat dan ‘adik’ kepada Russia pula memanggil China sebagai ‘abang’, malah Presiden Vucic mencium pula bendera China ketika menyambut kehadiran delegasi doktor dan pakar perubatan China untuk membantu mereka menghadapi ancaman yang sama.

Ini naratif sama yang sedang diperhatikan oleh semua negara di dunia ketika ini, baik sekutu dan seteru China mahupun Amerika.

Sememangnya, China sedang menggunakan ‘soft power’ krisis COVID-19 ini bagi menawan hati rakan dan seteru mereka di seluruh dunia. Membeli jiwa, hati dan pengaruh supaya dilihat sebagai penyelamat di masa-masa sukar sebegini.

Langkah bijak ini diambil pentadbiran Xi Jinping sementara Amerika sedang berkira-kira tentang keperluan kit ujian COVID-19 terhadap rakyatnya juga sementara UK baru sedar kepentingan ‘lockdown’ di segenap negaranya.

Ia strategi cerdik dibuat beliau sedang EU meninggalkan Itali nyawa-nyawa ikan atas katil hospital dan ketika Russia baru sedang bersiap sedia dengan badai yang bakal datang kerana didakwa sedang cuba menyembunyikan hakikat sebenar ancaman pandemik ini.

China bertindak ketika ‘musuh’ nya sedang bergelut dan menghadapi masa sukar sendirian.

Xi Jinping sendiri pastinya lebih arif dengan apa yang pernah ditulis Sun Tzu;

“Rompaklah rumah yang sedang terbakar;”

Memang jelas, China kini sedang mengambil peluang dan kesempatan ketika sekutu dan seteru mereka sedang dalam kesempitan dan kesususahan, dalam masa yang sama membina pengaruh di mata dunia.

Kerana selama menghadapi ancaman COVID-19 sebelum ini pun, China juga secara tidak langsung mempraktikkan apa yang Sun Tzu pernah katakan iaitu;

“Benarkan dirimu dilihat seolah-olah tidak terurus. Benarkan dirimu dilihat begitu misteri hingga tidak langsung berbunyi. Hanya dengan cara itu kamu boleh menjadi penentu kepada nasib musuhmu.”

Jika Mao Zedong mencetuskan Revolusi Kebudayaan di China suatu ketika dahulu, Xi Jinping pula sedang mencipta revolusi global, membuka jalannya sendiri dengan China Baharu.

Seperti apa yang disimpulkan oleh Elizabeth Economy dalam bukunya berjudul ‘Third Revolution’, Beijing kini sedang menggerakkan ‘Revolusi Ketiga’, iaitu satu strategi untuk mengembalikan mereka kepada kegemilangan dan kedudukan tinggi dalam sejarah lampau.

Elizabeth juga menulis bahawa China sedang mencipta satu acuan dan norma antarabangsa demi mencapai objektif geostrategiknya yang tersendiri.

Ini menurutnya dilaksanakan dengan cara yang halus namun dalam masa yang sama memperlihatkan pada semua akan keupayaan politik dan ekonomi mereka yang besar dan gagah, gerakan sama ketika Deng Xiaoping mencetuskan Revolusi Kedua, 30 tahun yang lalu.

China mampu melakukannya kerana mereka adalah sebuah negara yang kuat jatidiri, memiliki keyakinan dan kepercayaan kepada nilai sejarah lampau, memiliki kebersamaan identiti, budaya dan bahasa secara rasmi dan paling penting tegas memaksakan ke atas seluruh rakyatnya, ideologi yang memacu negara atas jalan yang satu. Membentuk struktur masyarakat dan kerajaannya untuk bergerak atas landasan yang sama.

Fuh nampak eh kuek boto puji komunih dalam duo hari nia. Semalam Cuba, hari ni China.

Dasar macai, cam nia lah.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pensyarah yang minatnya pada sejarah dan warisan Melayu. Membaca kerana hobi dan menulis kembali untuk terus berkongsi.

Comments are closed.