Kira-kira 5 minit perjalanan kaki daripada Masjid Darul Muttaqin di Jalan Sungai Udang, Klang, terdapat sebuah tokong Taoisme bernama Tokong Chen Her Sam Poh (郑和三宝宫)¹. Menariknya, di halaman tokong ini terdapat sebuah replika Armada Khazanah, lengkap dengan patung-patung anak kapal dan bendera-bendera yang tertera nama Zheng He. Ia menjadi tarikan pengunjung yang sukar terlepas pandangan.

Gerbang utama tokong, dengan bendera-bendera bertulisankan Sambao Gong (三宝公), nama gelaran Zheng He.

Dalam tokong ini, kami dipertemukan dengan Sifu Low Chee Eu 刘志由, cucu kepada mendiang nenek Puan Guan Ah Mui 阮亚梅. Puan Guan merupakan pengasas tokong ini sekitar 1943. Di samping memegang jawatan ‘keduniaan’, beliau turut memegang jawatan ‘spiritual’, iaitu sebagai pawang² dalam upacara bersawai.

Alkisahnya, nenek Guan berasal dari provinsi Fujian, China, dan berhijrah ke Klang. Beliau dipercayai menemui kebolehan mengamalkan Tâng-ki 童乩³, iaitu menjemput ‘roh dewa’, di mana dewa pertama yang menurun kepadanya bukanlah dari China, tetapi roh yang memperkenalkan dirinya sebagai Laksamana Hang Tuah. Sejak hari itu, Puan Guan menyembah Laksamana ini sebagai Datuk Hang Utama (Nádū Hàn Dàgōng / 拿督汉大公).

Suatu hari, saat beliau tersungkur dan jatuh di atas tanah, kelihatan bayangan berupa Laksamana Zheng He muncul di atas langit biru. Bertitik tolak daripada peristiwa ini, neneknya percaya bahawa itulah tanda manifestasi Laksamana Zheng He kepadanya, dan berazam untuk membina sebuah tokong bernama Tokong Sam Poh (三宝宫) untuk menyembah Zheng He. Asalnya tokong tersebut dibina daripada kayu dan ringkas strukturnya serta kecil dibandingkan dengan struktur masakini yang diubahsuai pada tahun 2011.

Replika Armada Khazanah di halaman tokong, lengkap dengan patung-patung tentera Ming.

Sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir, nenek Guan mewasiatkan keyakinannya bahawa tokong Zheng He ini akan berkembang maju. Tidak disangka sangka juga, Sifu Low mewarisi daripada neneknya kebolehan Tâng-ki juga. Menurut kepercayaan amalan ini, para dewa telah ‘memilih’ beliau sebagai perantara dalam komunikasi dengan manusia dunia ini. Sejak 4 tahun lepas, beliau berjaya menjemput ‘roh semangat’ Zheng He ke dalam jasadnya.

Malah, setelah peninggalannya, salah seorang ahli keluarganya mendakwa bertemu dengan Zheng He dalam mimpinya. Dalam mimpi ini, Zheng He bertutur bukan melalui bibir tetapi melalui hati. Beliau memerintahkan agar tokong ini mesti diperkembangkan demi manfaat ramai. Di samping itu, kelihatan Zheng He diiringi beberapa pegawai tentera manakala persekitarannya dikelilingi awam. Gambaran yang sempat dirakamkan dalam ingatan ahli keluarganya inilah yang dilukiskan sebagai latar berhala dalam tokong tersebut oleh pelukis upahan dari China.

Tambah Sifu Low lagi, tokong Zheng He tidak mempunyai sebarang gambaran naga, baik patung mahupun lukisan. Beliau menjelaskan bahawa ini juga adalah sebahagian daripada ‘pantang’ Zheng He. Pernah patung naga cuba didirikan di atas bumbung, namun akhirnya terpaksa dibatalkan hasrat kerana kerap terputus. Dinding luaran tokong pula dihiasi dengan lukisan-lukisan yang mengisahkan perlayaran Zheng He.

Sifu Low turut menceritakan, dipercayai Laksamana Zheng He berkawan rapat dengan Laksamana Hang Tuah. Sebab inilah patung berhala Hang Tuah sentiasa diletakkan bersebelahan dengan patung Zheng He.

Bagi Tokong Chen Her Sam Poh Klang, 21 haribulan 7 dalam Kalendar Cina dipercayai adalah hari jadi (Hari Kebesaran) Zheng He, manakala 20 haribulan 7 dipercayai adalah hari kelahiran Hang Tuah. Biasanya, upacara menurun dilaksanakan pada setiap malam anak bulan dan bulan purnama (hari pertama dan ke-15 menurut Kalendar Cina).⁴

Kiri: Laksamana Hang Tuah @ Datuk Hang Utama (拿督汉大)
Kanan: Laksamana Zheng He @ Sam Poh Kong (三宝公)

Antara dewa-dewa lain yang dipuja di sini selain Zheng He dan Hang Tuah termasuklah:

• Hu Yebo / Tuan Harimau 虎爷伯
(dipercayai Zheng He melantik Hu Yebo sebagai timbalannya untuk menguruskan hal-ehwal tokong)

• Fa Zhugong 法主公

• Avalokiteśvara Bodhisattava / Dewi Guanyin 观音菩萨

• Raja Monyet Sun Wukong 齐天大圣

• Maitreya Buddha 如来佛祖

• Lima Batalion Tentera 五營将军

Tokong ini adalah di bawah pengurusan Persatuan Penganut Chen Her Sam Poh Klang, Selangor yang berdaftar di bawah Pendaftar Persatuan Malaysia (ROS) dan Persekutuan Pertubuhan Agama Tao Malaysia (马来西亚道教总会). Kata Sifu Low, pihak pengurusan tokong tidak mengenakan sebarang bayaran untuk sesi rundingan bersama semangat dewa-dewi semasa upacara menurun.

[Perkongsian ini adalah sebahagian daripada laporan lawatan penulis pada 8 Ogos 2019 lepas, dan digabungkan dengan kunjungan-kunjungan terkini.]
.
???????????????? & ????????????????????
???????????????????????? ???????????????????? ???????? ~ 鄭和之遺 ~ لڬسي چيڠ هو
ᴡᴡᴡ.ғᴀᴄᴇʙᴏᴏᴋ.ᴄᴏᴍ/ʟᴇɢᴀsɪᴢʜᴇɴɢʜᴇ
.
NOTA-NOTA

[1] Alamat:

Tokong Chen Her Sam Poh Klang Selangor
雪兰莪巴生直落玻璃郑和三宝宫
Lot 469, Jalan Hassan off Sungai Bertek, Klang, Selangor Darul Ehsan.
Tokong ini boleh dicari dalam Google Maps dengan kata kunci “Sanbao Gong”.

[2] Istilah ‘perantara’ dipilih kerana Sifu Low bukanlah seorang pawang/dukun. Sebaliknya,
beliau hanyalah ‘terpilih’ untuk masa-masa tertentu sebagai tempat roh semangat dewa untuk berkomunikasi dengan para penganutnya.

[3] Tang-Ki 童乩 ialah sebutan Bahasa Hokkien untuk sebutan Mandarin iaitu tóngjī. Amalan menjemput roh semangat dewa ini dipercayai berasal daripada ritual masyarakat pra-Cina seperti puak-puak Yao 瑤, Dai 傣, dan Li 黎 di selatan China kira-kira 5,000 tahun lalu. Ritual ini dikatakan lebih popular di kalangan rakyat jelata kerana dengan Tang-Ki, mereka boleh berunding dengan para dewa secara langsung, berbanding kepercayaan kepada Tuhan yang hanya boleh disembah dan didoa oleh Maharaja China sahaja. Sepanjang zaman, Tang-Ki lebih popular di kalangan masyarakat provinsi Fujian iaitu bumi asal Bahasa Hokkien. Apabila mereka berhijrah ke negara lain, mereka membawa bersama-sama amalam ini. Rujuk Magaret Chan, Ritual is Theatre, Theatre is Ritual : Tang-ki: Chinese Spirit Medium Worship, Singapore: SNP International Publishing Pte Ltd, 2006.

[4] Liew Kam Ba, History and Heritage of Zheng He in Malaysia (刘崇汉,历史与传说 – 郑和在马来西亚), Kuala Lumpur: Malaysia Chinese Cultural Society (马来西亚华人文化协会), 2016: 142


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Semenjak kembali kepada ad-Dīn dan melanjutkan pengajian di Universiti Perguruan Beijing (北京师范大学), kajian Islām di China menjadi penyemarak minatnya terhadap sejarah. Walaupun salasilahnya bersambung daripada Guǎngdōng, China, dirinya lebih giat menyambung titik-titik perpaduan di Nūsantara.

Comments are closed.