Tetapi malang setelah jadi permaisuri
Suaminya di tawan oleh ketujuh puteri
Siti Zubaidah menangis siang dan malam
Memikir suaminya yang di dalam tawanan

Kepada peminat kesusasteraan Melayu klasik, anda mesti pernah terdengar bait syair ini. Ya, bait ini berasal dari satu syair Melayu klasik terkenal iatu Syair Siti Zubaidah Perang Cina yang dikarang sekitar abad ke 19. Syair Siti Zubaidah menceritakan mengenai pengorbanan Siti Zubaidah, permaisuri kepada Sultan Zainal Abdin yang menjadi pemerintah Kembayat Negara. Apabila suaminya diculik oleh tujuh orang puteri China(pada masa itu Kembayat Negara sedang berperang dengan China), Siti Zubaidah yang sedang sarat mengandung sanggup meredah rimba dan menyamar sebagai lelaki untuk menyelamatkan suaminya yang ditawan dan diletakkan di dalam sebuah perigi beracun.

Kisah berakhir apabila berlakunya peperangan antara tentera Kembayat Negara dan China di mana kemenangan berpihak kepada tentera Kembayat Negara. Maharaja China berjaya dibunuh dan tujuh orang puteri tersebut berjaya ditawan. Tujuh orang puteri tersebut memeluk Islam dan dibebaskan. Puteri tertua, Kilan Chahaya akhirnya dikahwinkan dengan Sultan Zainal Abidin dan baginda berjaya bertemu dengan permaisurinya semula yang selama ini menyamar dirinya sebagai lelaki.

Apa yang menariknya, syair klasik Melayu ini menceritakan mengenai kisah konflik politik yang berlaku di Asia Tenggara sekitar abad ke 14 dahulu. Para sejarawan dan pengkaji kesusaasteraan Melayu sebulat suara berpendapat bahawa watak Sultan Zainal Abidin yang merupakan suami Siti Zubaidah adalah merujuk pada seorang raja kerajaan Champa iatu raja Che Bong Nga. Negara Kembayat Negara yang diperintah oleh Sultan Zainal Abidin merujuk pada kerajaan Champa, salah satu kerajaan rumpun Melayu paling masyhur di tanah besar Asia Tenggara.

Latar Belakang Champa

Champa merupakan kerajaan yang diasaskan oleh kaum Melayu Cham, salah satu etnik besar dalam rumpun Austronesia, yang bersaudara dengan Melayu dan Jawa.

Kerajaan Champa paling awal dikatakan ditubuhkan sekitar tahun 192 Masihi dan mencapai puncak zaman kegemilangannya pada abad ke7 hinnga ke 10. Pada masa itu, kerajaan Champa mengawal dan memonopoli perdagangan rempah ratus dan sutera antara China, Kepulauan Melayu, India serta Empayar Islam Abbasiyah di Timur Tengah(berpusat di Baghdad).

Champa uga pernah mengekang serangan dari kerajaan China di utara pada masa Dinasti Sui. Champa juga adalah antara kerajaan yang berjaya mengekang serangan Empayar Mongol di bawah Dinasti Yuan. Di kala kerajaan kerajaan di Eropah dan kerajaan Islam di Timur Tengah musnah diserang oleh tentera Mongol, di alam Melayu pula, dua kerajaan rumpun Melayu berjaya mengekang perluasan kuasa Mongol dengan jayanya di tanah mereka, iatu Majapahit dan CHAMPA.

Pada mulanya, kerajaan ini menganut agama Hindu ajaran Shivaisma, namun menurut pakar sejarah, Champa telah memeluk agama Islam sekitar abad ke 10 yang dibawa oleh pedagang Arab ke Champa berdasarkan bukti arkeologi. Champa boleh dikatakan antara kerajaan paling awal menerima Islam di Asia Tenggara.

Namun, kerajaan ini mulai lemah apabila muncul entiti politik asing mulai muncul di benua tersebut. Champa pernah menghadapi serangan Khmer, tetapi musuh politik paling hebat buat Champa ialah kerajaan Annam yang muncul di utara Vietnam dan selatan China. Kerajaan Annam diasaskan oleh etnik Dai Viet, satu etnik kecinaan yang berhijrah dari China Selatan. Orang Dai Viet meneruskan penaklukan dan perluasan kuasa mereka ke selatan, di mana Champa selalu menjadi mangsa mereka.

Semenjak abad ke 9, Champa sering menghadapi serangan dari tentera Dai Viet dan kadangkala Champa sendiri menyerang wilayah Dai Viet. Namun, Champa selalu kalah dalam peperangan dan akhirnya ditolak jauh sehingga ke selatan, akibat perluasan kuasa orang Viet.

Namun, Champa kembali bangkit menentang perluasan kuasa Dai Viet apabila seorang raja menaiki takhta Champa sekitar akhir kurun ke 14. Raja tersebut bernama Po Binasaur atau Raja Che Bong Nga (Che Bunga). Pangkat “Che” dalam masyarakat Champa pada masa itu selalunya merujuk kepada jeneral tentera. Dalam catatan Dai Viet, baginda digelar sebagai Raja Merah.

Permulaan Sebuah Legasi Besar

Raja Che Bong Nga menaiki takhta Champa (atau Kembayat Negara menurut syair tersebut) pada tahun 1335 apabila bapanya, Raja Tra Hoa Bo De menyerahkan kuasa pada baginda. Dalam syair tersebut, jelas bahawa watak Sultan Darman Syah iatu ayahanda Sultan Z. Abidin adalah Raja Tra Hoa sendiri, iatu ayahanda kepada Che Bong Nga.

Diceritakan Raja Che Bong Nga(beragama Islam) berkahwin dengan Dewi Nareswari(Siti Zubaidah) iatu anak perempuan Raja Bharubhasa yang memerintah Kerajaan Jembal di Kelantan pada masa itu. Raja Bharubhasa menurut sejarah Kelantan dikenali sebagai Sultan Mahmud Syah Sultan Jidah.

Memikirkan nasib bangsa Cham dan kerajaan Champa yang asyik kalah dalam perjuangan mengekang kemaraan Dai Viet, baginda memutuskan untuk membalas dendam terhadap Dai Viet. Sebelum itu, baginda berjaya menyatukan seluruh rakyat Champa untuk bergabung menentang Dai Viet.

Champa Menyerang Balas

Pada tahun 1361, baginda bersama tentera-tenteranya melancarkan serangan pertama ke atas Dai Viet dan berjaya menakluk wilayah Nghe An pada tahun 1363.

Hal ini menimbulkan kemurkaan Maharaja Dai Viet iatu Maharaja Dhuong Nhut Le (1369~1371) kerana banyak wilayah Dai Viet yang dirampas dari Champa akhirnya kembali dituntut semula. Maharaja Dai Viet cuba menyerang balas tetapi gagal. Sehingga Maharaja Dhuong meninggal dunia, berlaku konflik istana apabila permaisuri raja, Duong Khuong mahu menabalkan anakandanya sebagai raja baru tetapi ditentang oleh saudara raja sendiri, Tran Nghe Tong.

Tran Nghe Tong menabalkan dirinya sebagai raja dan Duong Khuong dipenjarakan namun berjaya melepaskan diri dari penjara dan lari ke kota Bal-Ngwe, ibu kota Champa pada masa itu. Di sana, beliau meminta Raja Che Bong Nga untuk menyerang Dai Viet.

Penaklukan Hanoi

Mengambil kesempatan dari keadaan politik yang tidak stabil di negara jirannya dan bantuan dari Empayar Ming yang baru berkuasa di China pada masa itu, Raja Che Bong Nga lalu mengarahkan serangan ke wilayah Dai Viet dan berjaya menakluk Hanoi, ibu kota Dai Viet pada tahun 1370. Di sana, baginda menaikkan Permaisuri Duong Khuong sebagai pemerintah Dai Viet.

Champa dan Dai Viet masing masing berada dalam keadaan aman dan tiada perang sehingga berlakunya insiden kapal dagang milik saudagar Dai Viet dibakar di pelabuhan Bal-Ngwe akibat perbuatan sabotaj oleh seorang pembesar Viet yang tidak sukakan perdamaian dengan Champa.

Pengorbanan Seorang Permaisuri

Kerajaan Dai Viet akhirnya meniup semboyan perang mereka ke atas Champa. Duong Khuong menabalkan ayahandanya, Tran Due Thong sebagai maharaja Dai Viet pada tahun 1372. Duong Khuong bersama enam orang saudara perempuannya berada di barisan hadapan tentera untuk menentang tentera Champa.

Berlaku satu peperangan antara Dai Viet dengan Champa di mana Raja Che Bong Nga keluar dari istana secara senyap tanpa pengetahuan permaisurinya, Siti Zubaidah(Dewi Nareswari), namun akhirnya Raja Che Bong Nga dan empat orang pengawal setianya ditangkap dan ditawan oleh Duong Khuong dan enam orang puteri Viet.

Che Bong Nga dan empat pengawalnya ditawan dan dibawa ke Hanoi lalu dimasukkan ke dalam satu perigi beracun seperti yang tertulis dalam syair Siti Zubaidah tersebut.

Syair ini sekali lagi menceritakan mengenai pengorbanan dan kepayahan permaisuri Siti Zubaidah yang sedang hamil, keluar mengembara merentasi hutan rimba untuk ke kota Hanoi mencari suaminya. Beliau menyamar sebagai seorang pahlawan lelaki yang gagah. Dengan menggunakan tipu muslihat, beliau berjaya membebaskan Che Bong Nga (Sultan Zainal Abidin) dan pengikutya dari perigi beracun.

Che Bong Nga dan pengikutnya yang lemah akibat racun di dalam perigi itu dibawa oleh Dewi Nareswari menaiki empat ekor kuda, melepaskan diri keluar dari Hanoi menuju ke kota Bal-Ngwe dan dirawat di sana sehingga sembuh.

Marah akibat Raja Che Bong Nga berjaya melepaskan diri, Raja Tran Due Thong dan Duong Khuong menyiapkan tentera besar untuk melanggar Champa.

Champa Menjerat Dai-Viet

Pada tahun 1377, Raja Tran Due Thong dan jeneralnya Le Qui Ly mengetuai tentera seramai 120, 000 orang untuk menyerang kota Bal-Ngwe. Sesampainya tentera Dai Viet ke kota tersebut, baginda melihat seorang askar Cham menyembah baginda sambil berkata bahawa raja Champa sudah berundur bersama pengikutnya. Kota Indrapura kini kosong dan raja Dai Viet boleh masuk kedalam kota itu.

Dengan penuh yakinnya, Raja Dai Viet itu masuk ke dalam kota Bal-Ngwe bersama tenteranya. Namun apabila tiba di pintu utama kota, rombongan tentera diraja dai Viet diserang secara hendap oleh tentera Champa. Tentera Dai Viet tidak bersedia untuk menyerang balas kerana terkepung dengan asakan tentera Champa.

Dalam pertempuran itu, raja Viet, Raja Tran Due Thong meninggal dunia dibunuh bersama para pengikutnya dan pembesarnya. Hanya sebahagian kecil sahaja yang terselamat dari kepungan itu lalu pulang ke Hanoi.

Puteri Viet Membalas Dendam

Duong Khuong yang marah atas kematian ayahandanya menggerakan tenteranya ke Bal-Ngwe. Berlaku peperangan antara tentera Champa diketuai Che Bong Nga dan tentera Viet diketuai Duong Khuong.

Che Bong Nga turut disokong oleh bantuan tentera Melayu dari Segenting Kra. Permaisurinya, Zubaidah turut menyertai peperangan tersebut dengan menyamar sebagai lelaki tanpa diketahui suaminya. Dalam perang ini, tentera Champa mencapai kemenangan dan Duong Khuong dan enam orang puteri Viet berjaya ditawan.

Duong Khuong dibebaskan setelah memeluk agama Islam dan berkahwin dengan Che Bong Nga. Pada masa itu, permaisuri Siti Zubaidah turut membongkarkan identitinya di hadapan suaminya yang selama ini menyamar sebagai seorang lelaki walaupun ada di sisi suaminya. Che Bong Nga akhirnya bertemu semula dengan permaisurinya.

Di Hanoi pula Tran Da Hien ditabalkan sebagai raja Dai Viet menggantikan Tran Due Thong yang mati dibunuh di Champa.

Berdasarkan Syair Siti Zubaidah, watak Kilan Chahaya, puteri sulung di kalangan enam puteri China mempunyai kepersisan dengan perwatakan Duong Khuong.

Hanoi Ditakluki Oleh Champa

Hanoi, ibu kota Dai Viet sekali lagi ditawan oleh tentera Che Bong Nga pada tahun 1388. Tentera Champa berjaya merampas banyak harta rampasan perang dan sebahagiannya dijadikan hadiah kepada Maharaja Ming China. Raja Dai Viet berundur ke pedalaman.

Champa mulai bangkit bukan sahaja mengekang perluasan kuasa Dai Viet, malahan berjaya menawan ibu kota mereka sebanyak dua kali. Che Bong Nga, raja Champa berjaya membangkitkan Champa menjadi sebuah kerajaan yang disegani pada masa itu. Ancaman Dai Viet berjaya dipatahkan.

Namun sayang seribu kali sayang, kemunculan Che Bong Nga dalam sejarah Champa disifatkan sebagai ”sinar matahari yang penghabisan sebelum terbenam”. Champa tidak sempat untuk mengembalikan zaman kegemilangannya semula.

Akibat Sebuah Pengkhianatan

Pada bulan Februari 1390, Raja Che Bong Nga membawa tenteranya berkawal di Sungai Hoang Giang. Kesempatan ini digunakan oleh Raja Tran De Hien untuk menghantar anakandanya, Tran Khat Chan untuk menghalang tentera Champa di Sungai Hoa Trieu. Tentera Champa menyedari kemunculan tentera Dai Viet lalu mengejar mereka.

Dalam kebimbangan, terbit satu harapan pada Tran Khat Chan untuk menghapuskan Che Bong Nga. Seorang laksamana Champa, La Khai telah berbuat khianat kepada Champa dengan memberitahu lokasi perahu Che Bong Nga kepada tentera Dai Viet.

Tran Khat Chan yang gembira dengan maklumat yang diberikan La Khai, terus menghantar tenteranya menuju ke tempat Che Bong Nga melabuhkan perahunya secara senyap senyap. Selepas terkepung oleh tentera Viet, akhirnya terbunuhnya Che Bong Nga di dalam perahunya menyebabkan pertahanan tentera Champa kucar kacir, namun La Khai pandai mengambil kesempatan mengumpan tentera Champa supaya pulang ke Bal-Ngwe. Jenazah Che Bong Nga turut dibawa dan dikebumikan di sana.

Sementara itu, Laksamana La Khai berjaya merebut takhta kerajaan dengan gelaran Jaya Simhavarman. Keturunan Che Bong Nga diusir dari istana dan terpaksa berundur.

Selepas kemangkatan raja Che Bong Nga, kerajaan Champa akhirnya jatuh merosot dan mula menunjukkan kelemahan. Kelemahan pemerintahan La Khai menyebabkan dia dibunuh oleh panglimanya sendiri.

Sementara itu, Dai Viet meneruskan semula perluasan kuasa mereka ke selatan setelah raja Che Bong Nga sudah tiada lagi mahu mengekang gerakan mereka. Pemerintah seterusnya adalah lemah dan tidak mampu mempertahankan kedaulatan Champa. Ibu kota Champa akhirnya ditakluk oleh Dai Viet pada tahun 1471.

Orang Champa yang kini ditekan teruk oleh Dai Viet akhirnya menjadi pelarian. Ada antara mereka yang berhijrah ke wilayah Kemboja, terutamanya di Siem Reap dan Kompong Thom. Ada di antara mereka berhijrah ke Kelantan dan Melaka, dijadikan pembesar di sana. Kesultanan Acheh pula diasaskan oleh seorang putera diraja Champa, Syah Po Ling anak Raja Syah Po Kubah.

Iktibar

Kebangkitan Che Bong Nga sepatutnya dijadikan iktibar oleh masyarakat negara kita supaya mempertahankan negara kita dari anasir luar yang mencurigakan kita. Selain itu, pengorbanan Siti Zubaidah (Dewi Nareswari) juga perlu menjadi contoh kepada generasi Muslimah zaman kini. Pengkhianatan La Khai juga perlu dielakkan oleh kita kerana perbuatan khianat semestinya buruk akibatnya pada masyarakat dan negara. Sejarah Melayu sendiri telah membuktikan pengkhianatan sahaja mampu menjatuhkan sebuah kerajaan yang agung.  Bersama sama kita belajar dari sejarah masa lampau untuk menjadi orang yang lebih baik pada hari esok.

Bacaan Lanjut: 

Hugh Dyson Walker (2012) East Asia: A New History. Pearson

Ahmad Jelaini Halimi. (2008) Sejarah dan Tamadun Bangsa Melayu. Utusan Publication

Nhung Tuyet Tran, Anthony Reid (2006) Viet Nam: Borderless Histories. The University Of Winconsin Press

Nisriwani Yahaya & Syed Zulflida (2003) 101 Puteri Dunia Melayu: Sejarah Dan Legenda. Jabatan Muzium Malaysia.

Mohamad Zain Bin Musa (2009) Kerajaan Champa – Hubungannya Dengan Vietnam. ATMA – UKM.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Raja Ariff Danial bin Raja Azhar, bernasabkan Bugis berbangsakan Melayu. Seorang anak Parit Buntar, Perak yang baru sahaja mencapai umur layak mengundi, kini sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang Sejarah di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor. Seorang pencinta sejarah, dan sentiasa berusaha mendalami ilmu sejarahnya selagi masih diizinkan bernyawa olehNya.

6 Comments

  1. Bukan melayu. Champa orang malai.. Melayu srivijaya. Champa bukan srivijaya, langkasuka bukan srivijaya.. Suka2 hati hampa ja nak claim hampa punya. Syok sendiri bangsa palsu Ni

  2. Sorry Ye siapa Yg tulis sejarah champa di atas Ni Lain sikit Ye! Harap Nk tulis Tu kena sahih Dlu. Sy Ni keturunan champa OK ?

    • rasa macam da sahih sebab ada diletakkan sumber.. mungkin sis / bro boleh contact admin secara terus untuk diperbetulkan mana fakta yang salah .. jangan lupa sumbernya sekali.. kita semua belajar kan.. 😉

Reply To Izatul Cancel Reply