Chatroom (2010) : Sisi Gelap Alam Siber

0
391
views

Marcapada ini, alam siber tidak asing lagi bagi masyarakat dunia. Baik si kecil mahupun golongon dewasa melayari alam siber dalam kehidupan seharian. Tidak dapat dinafikan alam siber telah menjadi salah satu kepentingan dalam kehidupan manusia, untuk mendapatkan informasi, mencari sesuap rezeki mahupun berhubung di antara satu sama lain meskipun berada di benua berbeza. Namun begitu, seperti sifat segala apa yang tercipta di muka bumi ini, di sebalik jutaan kebaikan terselit juga keburukan yang perlu kita ambil tahu dan ambil berat, jika bukan untuk diri sendiri, untuk masyarakat sekeliling.

Chatroom merupakan sebuah filem arahan Hideo Nakata. Hideo Nakata terkenal sebagai pengarah filem-filem seram Jepun seperti Ring, The Ring 2, Dark Water dan lain-lain. Chatroom merupakan sebuah filem Inggeris yang bergenre thriller, dibintangi oleh pelakon-pelakon British seperti Aaron Johnson, Imogen Poots, Matthew Beard, Hannah Murray  dan Daniel Kaluuya.

Filem ini mengisahkan tentang 5 orang remaja yang berkenalan melalui ruangan bual ataupun chatroom. William, seorang remaja lelaki yang mempunyai sejarah kemurungan telah menubuhkan sebuah ruangan bual yang dinamakan Chelsea Teens!. Ruangan tersebut kemudiannya dimasuki oleh 4 orang remaja lain iaitu, Mo, Eva, Emily dan Jim. Mereka berkomunikasi sesama sendiri tentang masalah yang membelenggu dan orang-orang yang mereka benci. Namun begitu, ruangan yang asalnya bersifat positif berubah menjadi tragedi apabila kemurungan yang tidak dapat dibendung menghasut Jim untuk membunuh diri.

Di antara keunikan filem Chatroom ini ialah ruangan bual ataupun chatroom divisualisasikan sebagai bilik. Di hadapan setiap bilik disertakan pula nama ruangan bual. Justeru, sesiapa pun boleh memilih untuk masuk ke ‘bilik’ yang disukai. Bilik-bilik yang cuma boleh diakses oleh orang tertentu ataupun mereka yang memegang kata kunci (password) mempunyai mesin kod di luar ‘bilik’, sebagai langkah keselamatan ataupun privasi.

Buli Siber

Menerusi filem ini, penonton akan diperlihatkan dengan jelas salah satu isu serius yang dikaitkan dengan dunia siber, iaitu, buli siber. Buli siber ini secara asasnya sama sahaja seperti buli di dunia nyata, bezanya cuma buli siber dilakukan di alam siber menerusi teknologi seperti telefon bimbit, komputer dan lain-lain.

Buli siber termasuklah menghantar mahupun berkongsi maklumat peribadi orang lain dengan tujuan mengugut dan memalukan di medium terbuka di mana sesiapa pun boleh melihat dan berkongsi maklumat yang sama. Tak kurang juga, komentar-komentar berbaur hasutan, kejian dan kecaman yang dihantar di media sosial, yang mampu memberi kesan terhadap mangsa yang dibuli. Kebiasaannya, buli siber dikesan di media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan juga di forum mahupun ruangan bual permainan video.

Buli siber lebih berbahaya daripada buli secara fizikal. Hal ini kerana, buli siber mempunyai ciri-ciri seperti berikut:

  1. Berterusan, di mana internet boleh diakses selama 24 jam menggunakan telefon bimbit
  2. Kekal, di mana segala informasi, gambar mahupun penulisan yang dimuatnaik ke alam siber akan kekal sehinggalah dipadam oleh pemilik
  3. Sukar dikesan, baik si pembuli yang boleh bersembunyi di sebalik akaun palsu mahupun si mangsa yang kebiasaanya tidak menunjukkan kecederaan fizikal tetapi terjejas emosi dan mental.

Pada zaman teknologi ini, kebanyakan daripada kita memiliki telefon bimbit yang dilengkapi kemudahan akses internet. Bukan sahaja golongan dewasa, tetapi kanak-kanak juga diberikan telefon bimbit untuk memudahkan mereka menghubungi ibu bapa dan rakan-rakan. Kemudahan yang boleh diakses 24 jam ini mendedahkan pengguna pada informasi yang boleh didapati di hujung jari. Meskipun begitu, pengguna juga terdedah dengan bahaya alam siber.

Waqaf Saham

Filem Chatroom memperlihatkan penggunaan telefon bimbit dan komputer untuk tujuan komunikasi. Kelima-lima watak utama dapat mengakses internet melalui telefon bimbit dan komputer. Mereka mampu berkomunikasi bila-bila masa dan di mana sahaja, baik di meja makan bersama keluarga mahupun di tempat awam.

Ruangan bual Chelsea Teens! merangkumi 5 orang remaja yang berbeza masalah dan personaliti. Perbincangan sesama mereka berjalan tanpa pengawasan orang dewasa dan tanpa pengetahuan ibu bapa masing-masing. Terdapat juga ruangan bual lain yang terdiri daripada golongan dewasa yang membuli seorang kanak-kanak lelaki sehingga kanak-kanak tersebut membunuh diri. Babak ini menunjukkan bahawa tiada siapa pun yang terkecuali menjadi mangsa buli siber, selagi mereka mempunyai akses ke alam siber.

Menerusi filem ini juga, diperkenalkan sebuah ruangan bual yang dinamakan Dorfli Place. Luarannya kelihatan suci namun ruangan bual ini bertujuan memerangkap mereka yang mempunyai masalah kemurungan dan menghasut sehingga mereka membunuh diri. Moderatornya akan berlakon seolah-olah ingin berkawan dan memberikan nasihat. Realitinya, dia akan mengambil kesempatan di atas kerunsingan mangsa dan menghasut mereka menamatkan nyawa masing-masing.

Gambar profil yang dikongsi di akaun juga terdedah kepada orang ramai. Justeru, mereka yang berniat jahat boleh mengecam mangsa dengan mudah menerusi gambar profil yang digunakan. Sebagai contoh, William sendiri menyimpan gambar rakan-rakan bualnya bagi tujuan pengecaman. Jim yang pada awalnya tidak menunjukkan gambar profil telah dipaksa William untuk mendedahkan diri.

Penggunaan akaun palsu pula boleh dilihat menerusi babak di mana William mendedahkan penipuan yang dilakukan oleh seorang leaki tua yang menyamar sebagai kanak-kanak perempuan di alam maya. Penyamaran tersebut dilakukan bagi memerangkap mangsa-mangsa sexual grooming mahupun paedophilia yang targetnya juga adalah kanak-kanak.

Pengajaran       

Buli siber ini sering diambil ringan oleh masyarakat. Buktinya, hampir setiap hari kita dapat lihat pelbagai jenis komen berbentuk kecaman dan makian di media sosial yang ditujukan sewenang-wenangnya terhadap mangsa. Apatah lagi di ruangan bual atau chatrooms yang pelbagai, dan lebih membimbangkan dipelopori oleh golongan remaja, yang tidak diketahui isi perbualannya.

Pada zaman ini, kebanyakan daripada kita lebih menumpukan perhatian pada telefon bimbit walaupun orang-orang yang disayangi berada di hadapan mata. Ada juga yang terlalu sibuk bekerja dan mencari rezeki sekali gus membiarkan emosi anak-anak terabai. Hal ini menyebabkan anak-anak kecil dan muda remaja akhirnya berpaling pada telefon bimbit dan internet bagi menghilangkan rasa bosan dan sunyi sekali gus mendedahkan mereka pada risiko buli siber yang berbahaya.

Alam siber pula merupakan platform di mana manusia boleh menjadi sesiapa sahaja, dengan menyembunyikan personaliti sebenar di alam nyata. Sukar untuk mengesan golongan yang berniat jahat di sebalik profil mereka. Kanak-kanak dan golongan remaja terdedah kepada risiko di sebalik penyamaran ini apabila mereka berbual dengan orang yang tidak dikenali di alam siber.

Jika kita merupakan ibu bapa yang menyediakan telefon bimbit bagi kegunaan anak-anak yang masih kecil, adakah kita memantau penggunaan mereka? Adakah kita meluangkan masa bersama keluarga untuk berbincang mengenai masalah yang membelenggu mereka? Sebagai pengguna dewasa pula, adakah kita turut sama membuli dan menyebarkan maklumat peribadi orang lain atas niat mengecam, mengugut mahupun menjadi keyboard warrior?

Justeru, ibu bapa perlu meluangkan masa bersama anak-anak dan memantau aktiviti atas talian yang dilakukan oleh mereka, terutamanya bagi anak kecil yang kurang peka akan bahaya alam siber. Para remaja yang mempunyai masalah perlu berhati-hati dan bijak memilih rakan taulan mahupun kaunselor yang boleh membantu, membimbing dan memberi nasihat berbanding meluahkan masalah peribadi kepada orang yang tidak dikenali di internet. Pengguna internet, seperti kita semua, perlu mempunyai sifat bertanggungjawab dan sentiasa memastikan setiap ayat yang ditaip di media sosial bukanlah satu bentuk buli siber yang boleh memberi kesan buruk ke atas orang lain. Sebagaimana kita tidak menyokong buli secara fizikal, jangan lah kita menyokong buli siber kerana buli tetap buli, tidak kira di mana dan bagaimana pun ia terjadi.

Bacaan lanjut: