DI abad ini, komputer dan laptop sentiasa menjadi peneman generasi terkini. Tidak kisah ia bertujuan sebagai tugasan, hiburan, dan sebagainya, alatan elektronik ini sentiasa mempengaruhi kehidupan kita. Namun tahukah kalian bahawa siapakah pencipta pertama komputer/laptop ini?

Jika kalian berfikir bahawa syarikat teknologi seperti Dell, Toshiba, dan sebagainya sebagai pencipta, sebenarnya salah. Syarikat-syarikat ini hanyalah mengembangkan dan merevolusikan penciptaan komputer/laptop mengikut cita rasa moden. Pencipta sebenar komputer/laptop ini adalah Charles Babbage.

Beliaulah yang kita harus memanggilnya sebagai ‘Bapa Komputer Dunia’. 26 Disember tahun ini adalah hari ulang tahun kelahiran beliau yang ke-228 tahun. Charles Babbage adalah ahli matematik, jurutera mekanik, pencipta, dan ahli falsafah. Beliau banyak melakukan kajian saintifik yang berbeza bidang namun kajian kegemarannya adalah perekaan peranti perisian komputer.

AWAL KEHIDUPAN BABBAGE

Tahun 1791, Babbage dilahirkan di 44 Crosby Row, Walworth Road, London. Dia adalah anak lelaki dari 4 orang adik-beradik pasangan Babbage: Betsy Plumleigh Teape dan Benjamin Babbage. Bapanya adalah pegawai bank yang pernah bekerjasama dengan rakan sejawatnya yang terkenal iaitu William Praed untuk menubuhkan bank Praed’s & Co. pada 1801.

Ketika Babbage berusia 8 tahun, dia bersekolah di luar kota iaitu Alphington sementara menyembuhkan demamnya yang hampir meragut nyawanya. Kemudian dia menyambung pengajian di King Edward VI Grammar School di Totnes, South Devon. Malangnya, keluarganya mengalami masalah kewangan sehingga Babbage harus kembali ke rumah dan memperoleh ilmu dari guru peribadinya.

Babbage seterusnya meneruskan pengajian di Holmwood Academy di Enfield, Middlesex. Akademik tersebut mempunyai perpustakaan dan tempat itulah membuatkan Babbage jatuh cinta kepada bidang matematik. Pada umur sekitar 16-17 tahun Babbage kembali ke rumahnya dan kembali belajar bersama gurau peribadinya. Kali ini gurunya adalah pensyarah University of Cambridge. Maka, Babbage berpeluang belajar subjek Classic kemudian dipilih untuk menyambung pengajian di universiti tersebut.

BABBAGE SEBAGAI MAHASISWA CAMBRIDGE

Babbage memulakan pengajiannya di Kolej Trinity pada Oktober 1810 dan berpindah ke kolej Peterhouse pada 1812 setelah mendapat kedudukan tertinggi dalam subjek Matematik. Dua tahun kemudian dia bergraduasi. Semasa di University of Cambridge, dia pernah bekerjasama dengan beberapa nama terkenal seperti John Herschel (pencipta fotografi) dan George Peacock (ahli matematik yang kembangkan Algebra) untuk menubuhkan organisasi kalkulus bernama Analytical Society.

Babbage juga pernah menjadi ahli kelab kokurikulum seperti Kelab Hantu iaitu kelab yang menyiasat fenomena paranormal dan The Extractors Club, kelab yang memindahkan ahli mereka ke rumah sakit jiwa kemudian membebaskannya.

Babbage kemudian menjadi pensyarah subjek astronomi di Royal Institution. Tahun 1816,dia dipilih sebagai ahli Fellow of the Royal Society, darjat tertinggi dalam institut tersebut apabila seseorang mempunyai sumbangan terhadap bidangnya. Tahun 1820, dia bersama rakan sejawatnya menubuhkan Astronomical Society (kemudian nama diubah kepada Royal Astronomical Society).

Tujuan asal organisasi ini adalah mencari cara mudah untuk pengiraan astronomical yang rumit dan menjadikan sebuah jadual yang selaras dengan pengiraan mudah. Formula Babbage memudahkan pengiraan sesuai dengan apa organisasi inginkan maka dia peroleh Gold Medal sebagai tanda usaha dan penghargaannya.

BABBAGE DAN MESINNYA

Jadual matematik adalah penting bagi era di mana Babbage hidup kerana ia adalah keperluan untuk membuat navigasi, kajian sains, dan kejuruteraan. Pada era itu jadual dibentuk melalui hasil tangan para pengkaji, jadi kesilapan ketika mengira dan membentuk jadual adalah perkara yang tidak boleh dielak.

Untuk menyelesaikan masalah utama ini, Babbage mencadangkan suatu peranti mekanikal yang mampu membuat pengiraan tanpa kesilapan. Ia mestilah tepat, jimat masa dan wang. Maka, beliau mula ciptakan suatu model enjin pengiraan yang kecil pada 1819 dan disiapkan pada 1822. Mesin itu dinamakan sebagai Difference Engine 0 dan ia mampu mengira dan mencetak jadual matematik seperti yang dijanjikan.

Lakaran Different Engine Babbage, mesin pengiraan dan penjadualan.

Kerajaan British berkenan dengan mesin Babbage tersebut kemudian beliau diberi dana sebanyak £1,700 untuk mencipta mesin dalam skala penuh atau Difference Engine 1. Mesin kali ini bertugas untuk mengira dan menjadualkan formula polynomial functions. Pada tahun seterusnya, sebanyak lebih £17,000 dibelanjakan untuk menjayakan projek ini.

Malangnya, bahagian-bahagian mesin yang diperlukan memerlukan kos yang banyak. Ia memerlukan 25,000 buah bahagian mesin. Jadi beratnya mesti mencecah 13 metrik tan dan setinggi 8 kaki (2.4 meter). Tahun 1833, projek Difference Engine 1 dihentikan.

Namun kegagalan ini tidak memutuskan semangat Babbage, malah beliau bersemangat untuk mencipta sebuah mesin pengiraan yang lebih canggih dari Difference Engine. Mesin canggih ini adalah komputer pertama yang melakukan kerja pengiraan asas.

Komputer ini diprogramkan menggunakan kad berkod, mengambil idea pembinaan mesin tenunan Jacquard yang juga mengait kain yang kompleks menggunakan kad berkod. Ciptaan pertama komputer dibina namun ia tidak dilengkapkan sepenuhnya. Babbage juga pernah mereka bentuk mesin cetak untuk pembinaan mesin seterusnya. Walaupun Babbage banyak projek untuk dibentangkan kepada kerajaan, malangnya British menghentikan pemberian dana bermula 1842. Sekitar tahun 1846 dan 1849, Babbage membina Difference Engine yang dinaiktaraf bernama Difference Engine 2.

Sepanjang Babbage hidup sebagai pereka cipta, dia hanya mampu mencipta mesin Difference Engine dan komputer pertama yang tidak dapat disiapkan. Namun hasil rekaan dan ciptaan beliau kemudian menjadi rujukan generasi kemudian untuk pembinaan komputer terkini, menggunakan konsep asas yang sama seperti Babbage ciptakan. Maka, atas menaiktaraf rekaan Babbage inilah beliau dianggap sebagai pelopor kepada penciptaan komputer mekanikal pertama dunia.

Different Engine No.2 yang dipamerkan dalam Science Museum, London.

SUMBANGAN BABBAGE SELAIN KOMPUTER

Babbage menerbutkan buku “On the Economy of Machinery and Manufactures” pada 1832 tentang pengeluaran industri yang diterima ramai. Buku itu juga menerangkan “Prinsip Babbage” tentang kelebihan pembahagian sektor pekerja dalam kilang. Beliau juga menerbitkan buku teologi bertajuk “On the Power, Wisdom and Goodness of God, as manifested in the Creation” pada tahun 1837.

Babbage juga menjadi pelopor kepada dua ciptaan: 1) Pilot atau penghadang hadapan keretapi wap, dan 2) alat ophthalmoscope, alat pemeriksaan mata namun alat Babbage ini tidak mendapat kepopulariti sehingga alat tersebut dipelopori semula oleh Hermann von Helmholtz.

KEHIDUPAN BERKELUARGA DAN AKHIR HIDUP BABBAGE

Pada 25 Julai 1814, Babbage berkahwin dengan pasangannya, Georgiana Whitmore di Gereja St. Michael, Teignmouth. Mereka berdua memperoleh 8 orang anak namun hanya 4 orang anak mereka saja yang hidup sehingga dewasa. Isterinya telah meninggal dunia di Worcester pada 1 September 1827.

Babbage seterusnya tinggal dan kerja selama lebih 40 tahun di 1 Dorset Street, Marylebone sehingga meninggal dunia pada umur 79 tahun, bertarikh 18 October 1871. Beliau dikebumikan di London’s Kensal Green Cemetery. Babbage dikatakan meninggal dunia akibat kegagalan buah pinggang namun akibat sebenar kemat1annya masih tidak diketahui.

Sekarang, Charles Babbage tidak sekadar diingati dan disegani oleh para akademik Eropah dan para pembangun teknologi perisian komputer, kisah beliau juga disebarkan kepada masyarakat melalui media hiburan. Dalam dunia hiburan, Babbage dikenali sebagai watak dari dunia Steampunk (genre fiksi sains berunsurkan dunia berteknologi wap). Dalam permainan video Civilization Revolution (2008), Babbage adalah watak Great Thinker. Filem pendek mengenai beliau juga diterbitkan pada 2008.

Charles Babbage dari FGO

Dalam permainan mobile game FGO (Fate/Grand Order), Charles Babbage adalah Servant kelas Caster. Karakternya agak berbeza kerana Babbage ini adalah robot yang diaktifkan dengan wap dan mempunyai penukul seperti saiz tubuhnya. Tubuhnya seperti robot berstim wap ini adalah simbolik kepada sumbangannya dalam menaiktaraf keretapi wap dan watak Steampunk dari dunia hiburan.

Rasanya kita boleh kenal siapakah Charles Babbage yang setanding Bill Gates dan Steve Jobs apabila kita berhadapan dengan komputer atau laptop, kan?

RUJUKAN:

Anthony Hyman (1 January 1985). Charles Babbage: Pioneer Of The Computer. Princeton University Press. p. 17.

Copeland, B. Jack (18 December 2000). “The Modern History of Computing”. The Modern History of Computing (Stanford Encyclopedia of Philosophy). Stanford Encyclopedia of Philosophy. Metaphysics Research Lab, Stanford University. Retrieved 26 December 2019.

Halacy, Daniel Stephen (1970). Charles Babbage, Father of the Computer. Crowell-Collier Press.

Swade, Doron (2002). The Difference Engine: Charles Babbage and the Quest to Build the First Computer. Penguin.

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang ulat buku dan pejuang alam sekitar. Penulis yang rajin tulis tentang flora dan fauna serta sejarah dunia. Dan tak terkecuali peminat Fate.

Comments are closed.