Dalam sejarah Perancis, l’hommage national atau pemakaman negara diberikan kepada para jeneral, mantan presiden, wira kebangsaan dan mangsa-mangsa keganasan. Sekali-sekala, para penulis diberikan penghormatan ini. Namun, jarang sekali penghormatan ini diberikan kepada para penyanyi. Bagaimanapun, penyanyi berketurunan Armenia bernama Charles Aznavour ini berjaya meraih tempat di kalangan warga Perancis sehingga dihormati sekian rupa? Siapakah Charles Aznavour dan apa yang istimewa tentang beliau sehingga Presiden dan seantero kabinet Perancis menghadiri penghormatan terakhir beliau?

Jika Amerika mempunyai Frank Sinatra, Indonesia memiliki Broery Marantika dan Malaysia menjulang P.Ramlee – Perancis meletak Charles Aznavour sebagai suara emas mereka. Charles Aznavour dilahirkan di Paris pada tahun 1924 kepada pasangan pelarian dari Armenia. Bagi menampung kehidupan keluarga, beliau berhenti sekolah pada usia 9 tahun dan menjinakkan diri dalam dunia persembahan pentas. Tanpa pendidikan formal dan berlatarkan keluarga pelarian, beliau mempelajari Bahasa Perancis hanya dengan membaca surat khabar dan buku.

Namun Aznavour dikatakan tidak mempunyai tarikan popular. Dalam erti kata lain, ‘stage presence’ beliau masih belum dapat dirasai. Tambahan pula, wajah beliau dikatakan kurang tampan untuk menarik ramai peminat seperti Elvis Presley. Suara beliau dikatakan tidak mempunyai tarikan komersil; ditempelak dan dilabel sebagai ‘Aznovoice’. Antara kritikan paling berbisa yang dilemparkan kepada beliau adalah, “Quasimodo bersuara sumbang”. Namun Aznavour tidak mudah menyerah kalah dan kekal meneruskan usaha beliau biar diejek. Beliau mencatat tiga halangan utama dalam kariernya ketika itu “tiada suara, tiada rupa dan tiada nasib”.

Charles Aznavour juga pernah bekerjasama bersama Edith Piaf; diva agung Perancis. Mereka bertemu apabila Aznavour membuat persembahan pembukaan untuk Edith Piaf di kabaret popular, Moulin Rouge. Walaupun mereka berhubung rapat – Aznavour lebih banyak meluangkan masa menjadi pembantu Edith Piaf berbanding ‘rakan sekutu’ – beliau sekadar menjadi setiausaha dan pemandu kepada Edith Piaf. Harus diingat, pada ketika itu Edith Piaf sudahpun menjadi diva popular dengan hit seperti ‘La Vie en Rose’ berkumandang di setiap corong radio di Eropah. Kehadiran Aznavour di samping Edith Piaf dilihat kelakar dan tidak masuk akal. Namun Edith Piaf tidak pernah menyerah dalam menggilap bakat yang ada pada Aznavour. Bagi Edith Piaf, Aznavour adalah bayangan kehidupan beliau sendiri – anak seni yang dibesarkan di jalanan kota Paris.

Biarpun Edith Piaf banyak membantu Aznavour dalam latihan vokal, orang awam masih lagi tidak dapat menerima Aznavour sebagai seorang penyanyi yang berbakat. Di mata orang awam, Aznavour masih lagi “Quasimodo bersuara sumbang”.

“Fortis Fortuna adiuvat” – ‘fortune favours the bold’ merupakan pepatah yang sesuai digunakan dalam kisah Aznavour. Berbekalkan azam dan kesungguhan, nasib Aznavour berubah serta merta pada suatu malam di Dewan Muzik Alhambra-Maurice Chevalier pada 9 Oktober 1958. Beliau menyanyikan lagu tulisan beliau sendiri yang bertajuk Je Me Voyais Déjà (Aku Sudah Melihat Diriku), tentang seorang penyanyi gagal dari pedalaman yang membayangkan dirinya Berjaya suatu hari nanti. Sebaik sahaja tamat lagu tersebut, para hadirin kelihatan tidak teruja – menyebabkan Aznavour berasa sangat kecewa. Namun selaku seorang yang ‘sporting’ dan pemaaf – Aznavour kembali ke pentas di hujung program dan mendapat ‘standing ovation’ daripada seluruh hadirin. Nyata para hadirin bukanlah tidak teruja dengan persembahan beliau – tetapi terlampau terpaku dan tersentuh dengan persembahan daripada “Quasimodo bersuara sumbang” itu tadi.

Aznavour menjadi penyanyi nombor 1 di Perancis dan bercita-cita menjadi penyanyi nombor 1 di Amerika. Di mana ramai penyanyi Perancis lain gagal untuk ‘ke seberang’ akibat kekangan bahasa, Aznavour bertungkus lumus mempelajari Bahasa Inggeris dan slanga Amerika bagi menembusi pasaran Amerika.

Aznavour akhirnya menembusi pasaran global. Beliau berduet dan berkolaborasi dengan deretan artis-artis popular lain seperti Andrea Bocelli, Elton John, Fred Astaire, Josh Groban, Luciano Pavarotti, Ray Charles dan Shirley Bassey.

Biarpun Berjaya, beliau tidak pernah melupakan leluhur beliau di Armenia dan tragedi pembunuhan beramai-ramai kaum Armenia. Biarpun kini membawa nama Perancis ke pentas dunia, beliau tidak pernah malu mengakui asal-usul beliau. Dalam masa yang sama, beliau bertutur dalam bahasa Perancis dan memahami jiwa orang Perancis – menimbulkan rasa kagum dan cinta rakyat Perancis terhadap beliau.

Beliau tidak pernah duduk diam biarpun sudah jauh dilanjut usia. Biarpun pada usia 90an, beliau masih lagi menggagahi pentas untuk menyanyi di konsert-konsert antarabangsa. Beliau berseloroh bahawa beliau mempunyai perancangan untuk mengadakan konsert sehingga berusia 120 tahun. Bahkan, 3 hari sebelum meninggal dunia – beliau sempat muncul di kaca televisyen untuk sesi bual bicara membincangkan konsert yang akan datang. Namun ajal beliau tiba pada 1 Oktober 2018.

Kehidupan beliau yang bersahaja, berasal daripada keluarga susah, dibesarkan di jalanan, dan semangat tidak pernah kalah menjadi inspirasi kepada seluruh warga Perancis. Pada hari Jumaat, 5 Oktober 2018, beliau diberikan penghormatan terakhir di Les Invalides, di mana Napoleon Bonaparte dikebumikan – dihadiri Presiden Emmanuel Macron dan diratapi segenap lapisan masyarakat Perancis.

Selamat tinggal, Charles Aznavour!


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Syed Nizamuddin bin Sayed Khassim merupakan pegawai tadbir dan diplomatik berkelulusan Ijazah dalam Pentadbiran Awam (Masters in Public Administration) dari Universiti Malaya. Beliau juga turut memperoleh Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Sains Pentadbiran dari UiTM Sarawak.

Comments are closed.