Change (2008): Drama Realiti Politik Dari Jepun

0
509
views

Tengok ramai duk mention Husna, teringin den melihat ada penerbit TV tempatan yang berani menongkah arus perubahan. Takkan asyik nak menghidang cerita pasal perampas lelaki orang, pemain kayu tiga, cinta empat segi, kahwin paksa rela, suamiku playboy, mertuaku datuk.

Alang-alang dah masuk ke era Malaysia Baharu, mungkin boleh cuba menghasilkan drama tanah air bertema politik yang pertama pula, contohnya seperti drama “Change” yang ditayangkan di Fuji TV Jepun pada tahun 2008, setahun sebelum kerajaan Liberal Democratic Party yang memerintah Jepun selama 54 tahun tumbang dalam pilihanraya 2009.

Jetpack Langkawi

Change dibintangi oleh abam Takuya Kimura yang memegang watak sebagai Keita Asakura, perdana menteri Jepun termuda dalam sejarah (fiksyen). Dalam plot cerita ini, Asakura asalnya seorang guru sekolah, tapi secara kebetulan telah dipilih sebagai PM.

Sebenarnya pemilihan Asakura dirancang oleh Shoichi Kanbayashi, “godfather” dalam Parti Seiyu. Kanbayashi cuma nak jadikan Asakura sebagai bidak catur dan kambing hitam: mula-mula guna dia untuk meraih sokongan orang muda dan perbaiki imej parti, seterusnya guna skandal untuk mengusir dia dari jawatan PM. Maka selepas itu bolehlah Kanbayashi mengambil alih.

Jadi tema yang cuba ditonjolkan oleh drama ini ialah jurang antara idea (idealisme) dan realiti (realisme) politik. Asakura seorang yang suci murni, jujur dan berintegriti, tapi kualiti moral dia ini tidak membantunya bertahan lama dalam dunia politik. Akibat stres dan tekanan, Asakura akhirnya meletak jawatan sebagai PM.

Secara ideal, orang anggap politik sekadar nak melaksana janji kepada rakyat dan berkhidmat untuk rakyat. Asakura pun berfikir begitu. Tapi secara realiti, politik adalah lebih daripada itu. ‘Real politics’ ialah ‘balance of interest’: bagaimana kita nak menguruskan pertembungan kepentingan antara segmen-segmen berbeza dalam masyarakat.

Untuk memastikan kepentingan semua terjaga, kena tahu seni imbangan kuasa (‘balance of power’) antara pihak-pihak berkepentingan. Tapi malangnya seni politik ini tak dapat dipelajari dalam buku-buku falsafah Jean-Paul Sartre, Edward Said, Jurgen Habermas mahupun Muhammad Asad. Jadi golongan bijak pandai, intelektual dan “theoretician” tak semestinya sesuai untuk berpolitik, malah mereka selalu tergolong sebagai ahli politik yang paling gagal.

Dalam satu episod, Asakura nak memberhentikan amalan menghidangkan teh dalam mesyuarat pejabat PM. Sebabnya Asakura perasan selalunya orang tak minum teh tu, membazir. Idea bagus, nak jimat duit rakyat. Tapi masa dia buat keputusan, dia tak terfikir bahawa tindakannya akan menjejaskan periuk nasi betapa ramai pembekal teh. Betapa banyak kajian tentang impak dan pelan pelaksanaan yang harus dibuat. Betapa ramai stakeholder yang harus consult. Betapa banyak Plan B Plan C dan “damage control” yang harus dirancang.

Melontarkan idea memang syok. Melaungkan slogan memang murah. Tapi dengan tiadanya pengalaman dan wisdom berpolitik, tanpa adanya perancangan yang teliti, akhirnya niat murni Asakura hanya menimbulkan kemarahan orang ramai dan dia failed miserably dalam karier politiknya.

Itu sebabnya tak kira rakyat atau ahli politik, perlu ada expectation yang realistik pasal politik. Itu yang Otto von Bismarck maksudkan dengan ungkapan “politics is the art of the possible, the attainable, and the next best”. Politik adalah tentang apa yang kita boleh dan mampu capai, bukan apa yang kita hendak capai dan bermimpi untuk capai.

Cerita panjang lagi kang jadi spoiler pulak. Cuma tu lah, kalau kita buat drama seperti ini mungkin rakyat kita akan lebih educated dan matang tentang hal-hal politik. Malaysia dah baharu, takkan kita harus dibelenggui oleh hiburan KRT bawang kunyit halia sengkuang lagi kan?