Semua maklum status Korea Selatan hari ini sebagai sebuah negara yang maju dan makmur. Tetapi tidak ramai tahu, kemakmuran ini disumbang oleh sekumpulan konglomerat yang mendominasi ekonomi negara itu yang dikenali sebagai chaebol. Dan berikutan peranannya sebagai enjin pembangunan negara, ia turut mendedahkan sisi buruk chaebol termasuk rasuah dan penyelewengan.

Apa itu chaebol? Chaebol ialah gabungan dua perkataan Korea iaitu chae (bermaksud kekayaan) dan bol (puak). Secara ringkas, chaebol ialah syarikat-syarikat yang dimiliki dan diuruskan oleh keluarga-keluarga dan mempunyai anak-anak syarikat dalam pelbagai bidang. Bagi membolehkan anak-anak syarikat ini dapat dikawal dengan mudah, chaebol biasanya meletakkan ahli keluarga sebagai pemilik atau orang penting dalam struktur pengurusan.

Bagi membolehkan syarikat dapat beroperasi dan menjana keuntungan, chaebol banyak bergantung kepada hubungan mereka dengan kerajaan. Menerusi hubungan sebegini, ini membolehkan mereka mendapat pelbagai kelebihan seperti subsidi, pinjaman dan insentif cukai. Ini sekaligus membolehkan mereka menjadi tunjang utama ekonomi Korea Selatan.

Kalau mengikut definisi ini, terdapat 40 syarikat konglomerat yang memenuhi parameter definisi yang dinyatakan. Hakikatnya, terdapat beberapa konglomerat saja yang mempunyai kekuatan kewangan yang kuat dan menguasai sebahagian besar pasaran saham Korea Selatan.

Chaebol bertanggungjawab mendorong pelaburan masuk ke Korea Selatan terutama dalam kajian dan penyelidikan (R&D) serta mengupah ramai ahli profesional dari seluruh dunia. Salah satu chaebol utama Korea Selatan iaitu Samsung menerusi Samsung Electronics mengupah lebih 300,000 orang pekerja di seluruh dunia. Bilangan itu jauh lebih ramai berbanding Google (88,000 orang) dan Apple (123,000 orang).

Berikut beberapa chaebol yang kita kenali sebagai konglomerat berstatus gergasi:

  • Samsung

Diasaskan pada 1938 dan bermula sebagai sebuah syarikat pengeksport barangan secara kecil-kecilan. Pada awalnya, mereka hanya mengeksport buah-buahan, ikan kering dan mi ke China. Kini dikenali sebagai pengeluar barangan elektronik menerusi Samsung Electronics.

Selain pengeluaran barangan elektronik, Samsung turut melebarkan sayap dalam bidang insurans, perkapalan, perhotelan (hotel mewah), hiburan (taman tema) dan pendidikan (universiti). Kini diuruskan oleh ahli keluarga Lee berstatus generasi kedua dan ketiga yang dianggap keluarga kedua terkaya di Asia menurut majalah Forbes.

  • Hyundai

Bermula sebagai firma pembinaan pada tahun 1947, ia berkembang sehingga mempunyai anak syarikat dalam bidang automotif, perkapalan, kewangan dan elektronik. Selepas krisis kewangan 2003 dan kematian pengasasnya Chang Ju-yung[1], syarikat dipecahkan kepada lima cabang syarikat berbeza. Sudah pasti yang paling terkenal ialah Hyundai Motors (pembuat kereta ketiga terbesar di dunia) dan Hyundai Heavy Industries (pembuat kapal terbesar di dunia).

  • SK Group

Dikenali juga dengan nama SK Holdings, syarikat ini bermula pada awal tahun 50-an sebagai Sunkyong Textiles sebelum diambil alih oleh keluarga Chey. Kini memantau operasi 80 anak syarikat di bawahnya dalam pelbagai bidang dari tenaga hingga telekomunikasi. Antara anak syarikatnya yang terkenal ialah SK Telecom (firma telekomunikasi terbesar di Korea Selatan) dan pembuat cip memori kedua terbesar di dunia, SK Hynix.

  • LG

LG Corporation diambil sempena nama dua syarikat yang digabungkan iaitu Lucky dan Goldstar. Syarikat ini muncul pada 1947 sebagai pemain industri plastik dan kimia. Pada tahun 60-an, di bawah pemantauan keluarga Koo, lebih banyak pelaburan diperuntukkan dalam bidang elektronik, rangkaian telekomunikasi dan tenaga.

Pada tahun 2005, LG dipisahkan dan menjadi entiti berasingan yang dikenali sebagai GS. GS ialah sebuah chaebol yang memberi perhatian kepada bisnes terasnya iaitu sukan, tenaga, peruncitan dan pembinaan.

Tidak ramai tahu chaebol ini sebenarnya meniru model zaibatsu[2] Jepun memandangkan Korea ketika itu masih di bawah pendudukan Jepun semasa Per-ang Dunia Kedua (WWII). Selepas Per-ang Korea tercetus dan dua negara Korea terbentuk, banyak bantuan dihulurkan oleh negara-negara Barat termasuk Amerika Syarikat bagi membantu Korea Selatan membina semula ekonominya.

Antara industri yang menjadi tumpuan pembinaan semula ialah industri gas dan minyak, pembinaan, kimia dan besi. Dan chaebol terus berkembang terutama selepas era pemerintahan Presiden Park Chung-hee[3] yang bermula pada 1963. Chung-hee melihat model zaibatsu sebagai model terbaik untuk membantu Korea Selatan maju tanpa mengharapkan sokongan kuasa-kuasa besar lebih-lebih lagi dalam mendepani Korea Utara.

Rajah 1: Park Chung-hee

Bagi memastikan kedudukannya tidak dicabar dan menjadikan kegiatan eksport sebagai pendorong utama pembangunan, keutamaan pinjaman diberi kepada firma-firma pengeksport dan melindungi industri domestik daripada saingan pengeluar-pengeluar asing.

Begitupun, ada beza antara zaibatsu dengan chaebol. Kebanyakan model perniagaan zaibatsu berkisar kepada pemilikan perniagaan sekitar bank yang menjadi sumber modal mereka. Sebaliknya, chaebol mendapat pinjaman daripada bank-bank yang dimiliknegarakan oleh Chung-hee bagi memastikan mereka tidak keputusan dana diperlukan untuk memajukan perniagaan mereka.

Sedikit demi sedikit, chaebol mula melebarkan sayap mereka ke bidang-bidang lain sekaligus dapat mengakses pasaran perdagangan asing. Kadar eksport meningkat daripada 4% (1961) kepada 40% daripada KDNK Korea Selatan sekaligus menjadikan ia antara kadar tertinggi di dunia. Purata pendapatan rakyat turut berubah daripada AS$120 (1961) kepada AS$27,000 hari ini.

Walaupun Korea Selatan menikmati kemakmuran di bawah Chung-hee, ia tidak memadamkan kebencian rakyat terhadap rejim autokratiknya itu. Dengan situasi ekonomi negara itu semakin perlahan, ramai menyatakan ketidakpuasan hati kepadanya. Ini membawa kepada peristiwa pembun-uhan Chung-hee pada 26 Oktober 1979.

Di sebalik kemelut politik termasuk perlaksanaan junta ten-tera di bawah Chun Doo-hwan[4] dan proses pengembalian demokrasi pada 1987, hubungan chaebol-chaebol dengan kerajaan tidak terjejas langsung. Begitupun, 90-an menyaksikan kerajaan melaksanakan reformasi-reformasi yang melayakkannya menyertai Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WHO) dan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

Antara reformasi yang digerakkan oleh pengganti Doo-hwan iaitu Roh Tae-woo dan Kim Young-sam[5] ialah pembentukan kesatuan pekerja, suasana bekerja yang lebih baik dan menghapuskan hubungan chaebol dengan kerajaan. Bagaimanapun, untuk perkara ketiga itu, agak sukar untuk dilakukan memandangkan chaebol bersedia melakukan apa saja untuk hidup termasuk melobi kerajaan atau penggubal undang-undang agar menyebelahi mereka.

Rajah 2: Kim Young-sam

Bagaimanapun, krisis ekonomi 1997 menyaksikan semua konglomerat dunia termasuk chaebol-chaebol berpeluh memikirkan sama ada mereka akan terselamat atau tidak daripada musibah ekonomi itu. Kejatuhan Kia Motors pada 1997 memaksa Young-sam mendapatkan pinjaman daripada Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) dengan kos pinjaman berjumlah AS$58 bilion.

Sebelum krisis kewangan 1997, banyak chaebol meminjam secara agresif dengan institusi-institusi kewangan Korea bagi membolehkan mereka mengembangkan operasi mereka ke bidang-bidang baru. Malangnya, dengan krisis tersebut, ia mengakibatkan banyak konglomerat termasuk sesetengah chaebol gulung tikar.

Begitupun, pinjaman IMF turut disertakan dengan beberapa syarat. IMF mahukan Korea Selatan menstruktur semula ekonominya termasuk mengurangkan defisit hutang kerajaan, menstruktur semula institusi kewangan yang terjejas, melonggarkan peraturan perdagangan dan pelaburan antarabangsa. Dan bagi melemahkan pengaruh chaebol, Korea Selatan turut memotong subsidi dan melaksanakan pendekatan perniagaan secara telus.

Bagi chaebol-chaebol, hubungan dengan kerajaan harus dijaga walaupun ada saja halangan atau bantahan keras daripada orang ramai. Bagi mereka, sokongan kepada chaebol boleh diibaratkan sebagai sokongan usaha berterusan mereka membawa kemakmuran kepada Korea Selatan. Dan ini mendorong mereka melakukan apa saja untuk meraih sokongan kerajaan atau parti politik termasuk rasuah.

Profesor Rhyu Sang-young dari Universiti Yonsei, Seoul menyifatkan kedua-dua pihak tidak boleh dipisahkan bak irama dan lagu. Bukan satu rahsia ramai ahli politik meminta chaebol menyuntik dana kempen dan menyokong kempen mereka sebagai tukaran kepada sokongan polisi yang bersifat pro-chaebol. Pandangan Profesor Sang-young disokong oleh Profesor Kang Won-taek dari Universiti Kebangsaan Seoul dan melihatnya sebagai normal sehingga beberapa tahun kebelakangan ini.

Disebabkan hubungan ini dan kemerosotan pertumbuhan ekonomi Korea Selatan kepada satu digit beberapa tahun kebelakangan ini, ia sudah mengundang kemarahan dalam kalangan orang ramai. Menurut penulis buku South Korea at the Crossroads, Scott A. Snyder, chaebol bukan lagi jentera pertumbuhan ekonomi Korea Selatan tetapi lebih kepada pembiaya ahli-ahli politik dan penyumbang utama ketidaksaksamaan dalam masyarakat.

Bukan sedikit yang ditahan atas kesalahan rasuah termasuk dari Hyundai, Samsung, SK dan Lotte. Bagaimanapun, pemimpin-pemimpin chaebol ini tidak pernah duduk lama di pen-jara kerana hanya perlu membayar denda yang tinggi, diberi pengampunan oleh presiden atau hukuman ditangguhkan oleh mahkamah.

Rajah 3: Lee Kun-hee

Bagi kes denda tinggi dan diberi pengampunan presiden, maka kisah pengerusi Samsung, mendiang Lee Kun-hee menjadi perhatian. Kun-hee disabitkan bersalah sebanyak dua kali oleh mahkamah pada 1996 dan 2008 atas kesalahan rasuah (1996) dan mengelak membayar cukai (2008).

Untuk keputusan perbicaraan 1996, beliau dihukum pen-jara selama dua tahun. Bagaimanapun, hukuman tersebut ditarik balik dan Kun-hee diberi pengampunan setahun kemudian. Begitu juga pada 2008 apabila hukuman pen-jaranya selama tiga tahun ditangguhkan dan digantikan dengan bayaran denda AS$93 juta. Dan seperti kes 1996, Kun-hee diberi pengampunan pada 2009.

Letusan kes rasuah membabitkan chaebol juga yang akhirnya menjadi punca kejatuhan Presiden Park Geun-hye[6]. Pada April 2018, beliau dihukum pen-jara 24 tahun dan didenda AS$17 juta kerana meminta rasuah daripada majoriti chaebol utama Korea Selatan. Manakala bekas presiden Lee Myung-bak[7] pula ditahan pada Mac 2018 atas kesalahan rasuah dan ironinya, salah satunya sebagai tukaran kepada pengampunan Kun-hee pada 2009.

Untuk menyingkirkan chaebol yang dilihat kini tercemar dengan imej rasuah bukan sesuatu yang mudah. Walaupun perlantikan ahli lembaga pengarah dibuat mengikut standard ketelusan antarabangsa, bohonglah jika chaebol berusaha mengekalkan kedudukan dengan melantik ahli-ahli yang pro-mereka. Selain itu, chaebol juga turut mempunyai pegangan saham signifikan dalam anak-anak syarikat mereka.

Demi memastikan monopoli mereka terus terpelihara, usah terkejut melihat mereka membuli syarikat-syarikat baru terutama dari industri kecil dan sederhana (IKS). Dan walaupun mereka membuat pelaburan yang banyak dalam soal R&D, mereka lebih rela meniru ciptaan pesaing mereka atau menyerap mereka ke dalam syarikat. Dengan perangai sebegini rupa, amat sukar bagi syarikat-syarikat baru untuk bertahan.

Di samping itu, chaebol dilihat turut menyumbang kepada ketidaksaksamaan gaji yang besar dengan purata gaji pekerja IKS 63% lebih sedikit berbanding yang bekerja bersama chaebol. Dan ini sesuatu yang harus ditangani segera kerana Korea Selatan berdepan pertumbuhan pekerjaan yang terhad dan kadar pengangguran yang tinggi dalam kalangan generasi muda.

Rajah 4: Moon Jae-in

Bagi Presiden Moon Jae-in[8], cabaran ini merupakan cabaran utama yang perlu ditangani memandangkan beliau dipilih rakyat atas platform anti-chaebol pada 2017. Bagaimanapun, untuk penggal awal pemerintahannya, sukar untuk beliau melaksanakan reformasi anti-chaebol kerana kekurangan sokongan majoriti di Parlimen.

Pada tahun lepas, beliau dipilih semula sebagai presiden untuk penggal kedua dan ramai berharap reformasi anti-chaebol ini dapat direalisasikan. Harapan mereka bertambah dengan pemergian Kun-hee pada Oktober 2020 akibat sa-kit jantung.

Bagi menjayakan agenda anti-chaebol, Jae-in melantik Kim Sang-jo[9] sebagai Pengerusi Suruhanjaya Perdagangan Saksama (FTC) dan meminda Akta Perdagangan dan Komersial Saksama. Pindaan akta tersebut membolehkan lebih banyak ruang digunakan untuk menyingkirkan chaebol daripada terus berkuasa.

Bagaimanapun, dengan melihat perkembangan semasa terutama pandemik Covid-19, chaebol akan terus bertahan sekurang-kurangnya buat masa ini. Ini kerana dengan situasi Covid-19, negara itu akan terus bergantung kepada chaebol untuk memacu pertumbuhan ekonominya. Justeru, usah terkejut agenda anti-chaebol Jae-in terpaksa diketepikan bagi membolehkan agenda pemulihan ekonomi Korea Selatan terus berjalan.

NOTA KAKI:

[1] Ahli perniagaan dan dermawan Korea Selatan. Antara orang bertanggungjawab melobi Seoul sebagai tuan rumah Sukan Olimpik 1988 dan berusaha memulihkan kembali hubungan Korea Selatan-Korea Utara. Meninggal dunia pada 21 Mac 2001.

[2] Konglomerat kewangan dan perindustrian Jepun yang muncul selepas Era Pemulihan Meiji dan wujud sehingga WWII. Struktur umum zaibatsu biasanya syarikat induk dikawal oleh keluarga pemilik dengan bank sebagai pembiaya kewangan anak-anak syarikat. Dibubarkan oleh Amerika Syarikat pasca-WWII.

[3] Presiden Korea Selatan yang ketiga dan arkitek kemajuan ekonomi Korea Selatan yang dikenali sebagai Keajaiban Sungai Han. Mengetuai gerakan rampasan kuasa ten-tera pada 16 Mei 1961 sebelum menjadi presiden pada 1963.

[4] Presiden kelima Korea Selatan dan arkitek di sebalik rampasan kuasa ten-tera 12 Disember 1979. Diberi gelaran Penyem-belih Gwangju kerana mengarahkan ten-tera menghentikan protes rakyat di situ pada 17 Mei 1980 yang dikatakan membu-nuh 1,000-2,000 penduduk.

[5] Presiden ketujuh Korea Selatan dan pemimpin pembangkang selama 30 tahun. Dianggap pesaing rapat kepada Park Chung-hee dan Chun Doo-hwan. Merupakan presiden awam pertama Korea Selatan dalam tempoh 30 tahun pada 1992.

[6] Presiden ke-11 Korea Selatan dan anak kepada Park Chung-hee.

[7] Presiden ke-10 Korea Selatan dan bekas ahli perniagaan. Pernah berkhidmat sebagai Datuk Bandar Seoul.

[8] Presiden ke-12 Korea Selatan. Pernah berkhidmat sebagai ketua staf Presiden Roh Moo-hyun dari 2007 hingga 2008.

[9] Profesor perdagangan antarabangsa dari Universiti Hansung. Antara seorang daripada empat pegawai/menteri yang bersama Jae-in dari penggal pertamanya pada 2017.

RUJUKAN:

Albert, E. (2018). South Korea’s Chaebol Challenge. Council on Foreign Relations.

Schwak, J. (2020). Chaebol reform still an uphill battle after Lee Kun-hee. East Asia Forum.

Pham, S. (2017). South Korea’s long history of light sentences for business leaders. CNN.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.