Cerita Tersirat Di Sebalik Mission Impossible

0
5511
views

Figure 1: Sumber http://www.moviesinfocus.com/10-things-you-need-to-know-before-you-see-mission-impossible-rogue-nation/

Bila kita menonton siri televisyen lama atau siri filem Mission Impossible, banyak perkara kita boleh ingat. Bagi yang meminati siri televisyen, kita sentiasa menantikan ‘plot twist’ yang membantu IMF merosakkan rancangan penjahat pada minggu tersebut. Bagi siri filem pula yang dibintangi Tom Cruise, kita pasti takkan lupa aksi-aksi yang mendebarkan dalam filem tersebut dari bergayut di Burj Khalifa (Mission Impossible – Ghost Protocol) sampailah bergayut pada pesawat Airbus A400 (Mission Impossible – Rogue Nation). Tapi di sebalik semua ini, terdapat banyak tema dan persoalan di sebalik Mission Impossible.

  1. PROPAGANDA JADI BAHAN HIBURAN
Barisan pelakon utama Mission Impossible termasuk pelakon yang memegang watak ketua unit IMF, Peter Graves (Jim Phelps).

Bukanlah sesuatu yang asing bagi mana-mana negara maju dan berpengaruh terutama kuasa-kuasa besar mempromosikan nilai-nilai dan propaganda mereka kepada orang di luar sana. Dan Amerika Syarikat tidak terkecuali melakukannya untuk menunjukkan prestij mereka sebagai kuasa besar dunia dan kononnya polis dunia dalam memerangi ancaman keganasan. Bukan sikit-sikit filem atau siri televisyen mereka menampilkan tema ini termasuklah Mission Impossible. Kebanyakan episod dalam siri televisyen sebenarnya diinspirasikan daripada operasi-operasi sebenar yang dijalankan Agensi Perisikan Pusat (CIA).

Contoh paling mudah, satu episod iaitu The Brothers dari siri televisyen tersebut mengambil inspirasi daripada Operasi Ajax. Operasi Ajax ialah satu operasi rahsia yang dirancang CIA dan Perkhidmatan Perisikan Rahsia (SIS/MI6) yang diketuai cucu Theodore Roosevelt, Kermit Roosevelt Jr untuk menggulingkan Perdana Menteri Iran pada ketika itu, Mohammad Mossadegh antara 15-19 Ogos 1953. Motif operasi ialah bagi negara blok Barat mendapatkan semula tempat mereka dalam industri minyak Iran dan mengukuhkan kuasa Shah Iran, Mohammad Reza Pahlavi. Namun operasi ini hampir berakhir dengan kegagalan berikutan tindakan Mossadegh yang mencium plot rampasan kuasa ke atasnya dan mengarahkan semua individu terlibat dalam plot tersebut termasuk individu yang bakal menggantikan beliau dalam kerajaan baru, Jeneral Fazlollah Zahedi ditahan. Shah Iran sendiri terpaksa melarikan diri ke Rome, Itali atas alasan ‘mahu bercuti seketika’. Namun, Zahedi yang mendapat sokongan tentera menggerakkan tentera dan rakyat yang anti-komunis, di samping bantuan halus daripada CIA berjaya menggulingkan Mossadegh. Dan apabila Shah Iran mendapat tahu kejayaan operasi tersebut, baginda bertitah, “Aku tahu mereka menyayangi aku.” Selepas kerajaan baru pimpinan Zahedi dibentuk, baginda pulang ke Iran diiringi Pengarah CIA, Allen Dulles.

Dan ini menjadi inspirasi episod Mission Impossible ini berdasarkan taklimat seorang pegawai tidak dikenali kepada Jim Phelps:

“Good morning, Mr. Phelps. The man you’re looking at is King Selim III of Qamadan, a good friend of the West. Unknown to the world, the king has been imprisoned somewhere for over six months by his younger brother, Prince Samandal. With the king in his power, Samandal now controls the huge oil royalties which are Qamadan’s main source of revenue… Your mission, Jim, should you decide to accept it, is to rescue King Selim and restore him to his throne.”

(Babak pembukaan episod The Brothers, Mission Impossible, 14 Disember 1969)

  1. PENGKHIANATAN

 

Dalam siri filem Mission Impossible, pengkhianatan bukanlah sesuatu yang baru dihadapi protagonis Ethan Hunt (Tom Cruise). Dalam setiap filem, elemen ini tidak akan terlepas sebagai asas kepada plot penceritaan atau menambah elemen pada watak filem tersebut. Senarai pengkhianatan dalam siri ini:

a) Mission Impossible (1996) – Hunt dikhianati mentornya sendiri, Jim Phelps (Jon Voight) dan isterinya, Claire (Emmanuele Beart) dan dijadikan kambing hitam untuk pembunuhan rakan sepasukan IMF. Phelps mengkhianati IMF kerana bosan dengan cara hidupnya dan melihat peluang menjual maklumat perisikan sebagai dana persaraannya.

Waqaf Saham

b) Mission Impossible 2 (2000) – Sean Ambrose (Dougray Scott), seorang lagi ejen IMF mengkhianati organisasi tersebut dengan menggunakan identiti Hunt untuk membawa masuk saintis Vladimir Nekhorvich (Rade Sherbedgia) bagi mendapatkan akses kepada senjata biologi, Chimera dan penawarnya, Bellerophon. Ambrose turut mempunyai motif sama seperti Phelps iaitu menggunakan Chimera sebagai peluang menjadi kaya dalam sekelip mata menerusi pengambilalihan saham syarikat yang menghasilkan virus tersebut, Biocyte.

c) Mission Impossible III (2006) – Hunt dikhianati oleh rakan baiknya dalam IMF, Pengarah Operasi IMF, John Musgrave (Billy Crudup). Musgrave bekerjasama dengan pengedar senjata yang juga sasaran utama agensi tersebut, Owen Davian (Philip Seymour Hoffman) dengan mendedahkan identiti Lindsay Farris (Keri Russell) sebagai ejen yang menyamar dan membantu Davian melarikan diri semasa dibawa ke penjara. Musgrave turut membantu pengedar senjata tersebut menculik isteri Hunt, Julia Meade (Michelle Monaghan). Motif Musgrave dalam filem ini lebih kepada ideologi iaitu mengembalikan semula hegemoni Amerika Syarikat dalam melawan keganasan dan mengubah mana-mana kerajaan/rejim yang tidak sehaluan dengan pentadbiran Uncle Sam.

d) Mission Impossible – Ghost Protocol (2011) – Penasihat nuklear Rusia merangkap suspek utama IMF, Kurt Hendricks (Michael Nyqvist) mengkhianati Rusia dengan meletupkan Kremlin dan menjadikan pasukan IMF pimpinan Hunt sebagai kambing hitam dalam insiden tersebut. Hendricks mencuri beg taktikal nuklear, kod pelancaran peluru berpandu dan akses kepada satelit taktikal Rusia untuk melancarkan peluru berpandu nuklear ke atas Amerika Syarikat. Motif Hendricks ialah mahu melihat perang nuklear sebagai satu cara memaksa evolusi manusia ke satu tahap yang lebih tinggi dan melihatnya sebahagian daripada orde alam.

e) Mission Impossible – Rogue Nation (2015) – Solomon Lane (Sean Harris), seorang bekas perisik MI6 mengambil alih projek Syndicate yang diinspirasikan oleh bekas ketuanya, Atlee dan menjadikan organisasi tersebut versi gelap IMF. Lane mengkhianati negaranya sendiri kerana merasakan terlalu banyak darah orang yang tidak berdosa ditumpahkan demi menjayakan agenda negara-negara masing. Dengan Syndicate, inilah peluangnya untuk menjatuhkan negara-negara demokratik dan membentuk orde dunia baru.

Lane mengkhianati negaranya sendiri kerana merasakan Britain dan negara-negara Barat menumpahkan darah orang tak bersalah atas sebab sia-sia. Sumber: http://missionimpossible.wikia.com/wiki/Solomon_Lane

Pengkhianatan bukanlah satu perkara asing dalam dunia perisikan dan motif bagi mereka yang melakukannya juga berbeza-beza. Ada melakukannya atas sebab wang atau ideologi tetapi ada juga yang melakukannya kerana dipaksa. Dalam artikel saya terdahulu, anda pasti mengenali Maurice Dejean yang dipaksa menjadi aset Soviet Union untuk mengelak hubungan sulitnya dengan seorang pelakon wanita Rusia didedahkan kepada umum. Begitu juga dengan kisah bekas Setiausaha Politik Tun Dr Mahathir Mohamad, Siddiq Ghouse yang ditahan polis kerana disyaki menjadi aset Soviet Union. Menurut salah seorang kenalan Siddiq, Tan Sri Megat Junid Megat Ayub, motif Siddiq lebih kepada kebendaan berbanding ideologi.

  1. ANTI-IMF (ANTI-BARAT)
Antara operasi Syndicate ialah cubaan bunuh ke atas Kanselor Austria oleh Ilsa Faust (Rebecca Ferguson). Sumber: http://www.comingsoon.net/movie/mission-impossible-rogue-nation-2015#/slide/1

Dalam filem Mission Impossible – Rogue Nation, kita diperkenalkan kepada Syndicate. Berbeza dengan National Crime Syndicate yang lebih memfokuskan kepada aktiviti jenayah domestik dan didominasi oleh kumpulan-kumpulan kongsi gelap dalam siri televisyen, Syndicate pada asalnya ditubuhkan untuk menjadi alat perisikan Britain dalam memerangi keganasan. Tetapi selepas diambil alih oleh Lane, organisasi tersebut fokus kepada aktiviti keganasan sehingga menarik perhatian IMF pada akhir babak Mission Impossible – Ghost Protocol dan Rogue Nation. Dan memandangkan Syndicate dianggotai oleh perisik dan mempunyai modus operandi seperti mana-mana agensi perisikan lain, mereka turut menggunakan pendekatan sama seperti IMF. Tidak hairanlah apabila Hunt memperkenalkan kewujudan organisasi tersebut kepada Benji Dunn (Simon Pegg), Dunn menganggapnya versi gelap IMF. Tanpa disedari, kisah Syndicate ini mirip kepada pembentukan beberapa kumpulan yang dibiayai pihak perisikan asing seperti yang direkodkan dalam sejarah.

Pada tahun 1970-an dan 1980-an, CIA membiayai kumpulan mujahidin yang berjuang melawan pendudukan Rusia di Afghanistan menerusi Operasi Cyclone. CIA memilih membiayai kumpulan tersebut berbanding kumpulan lain yang melawan tentera Soviet ketika itu kerana kumpulan ini mendapat sokongan Presiden Pakistan ketika itu, Zia-ul-Haq. Berdasarkan rekod, operasi tersebut merupakan operasi paling lama dan paling lama yang pernah dijalankan agensi tersebut. Pembiayaan operasi pada mulanya hanyalah mencecah kos $20-$30 juta dolar pada tahun 1980. Namun kos tersebut meningkat kepada $630 juta pada tahun 1987. Walaupun Rusia sudah keluar dari Afghanistan, CIA terus membiayai kumpulan tersebut apabila perang saudara di Afghanistan tercetus pada 1989 antara kelompok mujahidin dengan kumpulan pimpinan yang dipimpin Mohammad Najibullah. Sesetengah pejuang yang dipimpin Osama bin Laden kemudian berpecah dan membentuk kumpulan yang jadi mimpi ngeri Amerika untuk dekad seterusnya, Al-Qaeda.

Pada tahun 1950-an dan 1960-an, selepas Fidel Castro berjaya merampas kuasa di Cuba, Presiden Dwight D. Eisenhower yang bimbang dengan hala tuju kerajaan pimpinannya, mula merancang untuk menjatuhkan individu paling berkuasa di Cuba ketika itu. Eisenhower menyalurkan dana $13.1 juta dolar kepada CIA untuk merancang operasi tersebut. Pelan rampasan kuasa tersebut hanya akan ditentukan oleh pengganti Eisenhower, John F. Kennedy sama ada diteruskan atau sebaliknya. Sementara Kennedy mempertimbangkan pro dan kontra operasi tersebut, CIA mula melatih, memberi senjata api dan memberi dana kepada kumpulan militan anti-Castro termasuk berlatih di Miami, Louisiana, Panama dan Guatemala. Kennedy akhirnya membenarkan operasi pada 4 April 1961. Dan seperti semua sedia maklum, serangan yang dilancarkan militan anti-Castro di Bay of Pigs berakhir dengan kegagalan berikutan keengganan Kennedy menyokong militan dengan serangan udara dan serangan dari laut. Walaupun ada sesetengah mereka meneruskan perjuangan melawan Castro, sebahagian lagi yang menyimpan rasa tidak puas hati terhadap Kennedy dan berharap JFK dibunuh seperti yang diceritakan seorang bekas pegawai perisikan kepada Bob Baer dalam satu episod dokumentari penyiasatan, Tracking Oswald.

SUMBER:

  1. Chengu, Garikai. (2014). Centre of Research for Globalization. Amerika Created Al-Qaeda And ISIS Terror Group. https://www.globalresearch.ca/america-created-al-qaeda-and-the-isis-terror-group/5402881
  2. Little, Douglas. (2004). Universiti Clark. Mission Impossible: The CIA and the Cult of Covert Action in the Middle East. http://www.blackwellpublishing.com/content/BPL_Images/Journal_Samples/DIPH0145-2096~28~5~446%5C446.pdf
  3. UPI. (1981). Malaysia expells three Soviet spies, arrests official. https://www.upi.com/Archives/1981/07/13/Malaysia-expells-three-Soviet-spies-arrests-official/8561363844800/
  4. Jabatan Negara Amerika Syarikat. (1982). Foreign Affairs Note. http://insidethecoldwar.org/sites/default/files/documents/Report%20on%20the%20Expulsion%20of%20Soviet%20Representatives%20from%20Foreign%20Countries%201970-81%20February%201982.pdf
  5. Marshall, Andrew. (1998). The Independent. Terror ‘blowback’ burns CIA. http://www.independent.co.uk/news/terror-blowback-burns-cia-1182087.html
  6. Robarge, Dr. David S. (2007). CIA. All the Shah’s Men: An American Coup and the Roots of Middle East Terror. https://www.cia.gov/library/center-for-the-study-of-intelligence/csi-publications/csi-studies/studies/vol48no2/article10.html
  7. Voss, Michael. (2011). BBC. Bay of Pigs: The ‘perfect failure’ of Cuba. http://www.bbc.com/news/world-latin-america-13066561
  8. CIA. (2016). The Bay of Pigs Invasion. https://www.cia.gov/news-information/featured-story-archive/2016-featured-story-archive/the-bay-of-pigs-invasion.html

 

 

 

 

Previous articleAlat Terjemahan Terkenal – Google Translate
Next articleTentera Gerila Sufi Yang Digeruni Belanda
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.