Cerita Sebenar Poligami

0
1361
views

Bila kita berbicara tentang soal poligami ini, pasti ada dalam kalangan kaum Adam yang menyengih macam kerang busuk. Bagi kaum Hawa pula, ini satu topik perbincangan yang pasti dielak dalam perbualan seharian. Walaupun ada sesetengah menganggap ia satu mimpi ngeri, ada juga yang menerima dan bersetuju dengan hukum perbuatan ini. Dan institusi ini menarik perhatian Allahyarham Tan Sri P. Ramlee menerusi filem arahan dan lakonannya, Madu 3. Antara lagu yang dinyanyikan beliau ialah Madu 3:

Hai senangnya dalam hati
Kalau beristeri dua
Terasa dunia
Ana yang punya

Rangkap awal ini saja boleh menggambarkan ekspresi kegembiraan si lelaki bila dapat melakukannya. Tetapi P. Ramlee turut menyindir sikap sesetengah lelaki yang bersifat buaya darat dan tidak bertanggungjawab yang memberi nama buruk kepada institusi ini menerusi rangkap lain lagu sama:

Mesti pandai membohong
Mesti pandai temberang
Tetapi jangan sampai
Eh pecah tembelang

Bagi yang bersikap pendek akal, mereka sanggup melakukan apa saja untuk menjayakannya walaupun ini bermakna menipu keluarga, berkahwin di luar negara tanpa kebenaran atau lebih buruk, berkahwin menggunakan sindiket. Ini mengakibatkan pelbagai masalah di kemudian hari termasuk keluarga berantakan dan menyukarkan pelbagai urusan untuk isteri kedua, ketiga atau keempat apabila perkahwinan tidak didaftarkan. Justeru, apa sebenarnya poligami ini?

SEJARAH POLIGAMI

 Poligami sudah wujud sebelum kedatangan Islam lagi. Ini berdasarkan satu hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar r.a, “Bahawasanya seorang lelaki bernama Ghailan bin Salamah At-Thaqafi masuk Islam dan mempunyai 10 orang isteri pada zaman jahiliyah, di mana kesemua isterinya turut mengucap dua kalimah syahadah. Nabi s.a.w kemudian memerintahkan beliau memilih empat (untuk dipertahankan) dari kalangan mereka.” (Riwayat Tirmidzi)

Para ulama yang membahaskan hadis ini menyatakan Ghailan bin Salamah mempunyai 10 orang isteri sebelum memeluk Islam. Dan semasa beliau memeluk Islam, kesemua isterinya turut memeluk Islam. Pada ketika itulah, baginda menyampaikan hadis di atas iaitu mengekalkan empat orang dari kalangan isteri-isterinya dan menceraikan yang lain. Ini berdasarkan syariat agama di mana seorang lelaki hanya boleh mempunyai empat orang isteri sahaja. Ini dikukuhkan lagi dengan satu jalur hadis lain yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah dan Ahmad yang menceritakan kisah yang sama.

HUKUM POLIGAMI

  1. Harus – hukum asal poligami menurut jumhur ulama ialah harus. Namun menurut Imam as-Syafie rahimahullah, hukum tersebut boleh saja bertukar kepada sunat, makruh atau haram mengikut situasi seseorang individu.
  2. Makruh – makruh sekiranya tujuan berpoligami setakat nak berseronok saja sementara si suami meragui keupayaannya berlaku adil kepada isteri-isteri dari segi zahir dan batin. Ini kerana poligami itu dibuat bukan atas dasar keperluan dan berpotensi membawa kemudaratan kepada isteri-isterinya. Justeru, jika merasa ragu, segera abaikan rancangan berpoligami demi menjaga maslahat diri sendiri dan isteri tercinta.
  3. Haram – haram sekiranya si suami yakin dia tidak boleh berlaku adil kepada isteri-isteri dari segi zahir dan batin atas sebab kemiskinan, kelemahannya atau atas sebab prejudis dan jika ia diteruskan, ia boleh membawa kemudaratan kepada isteri-isteri lain.
  4. Sunat – sunat sekiranya si suami berkahwin atas sebab mahu mendapatkan zuriat kerana isteri mengalami kemandulan atau tidak sihat serta mempunyai keinginan batin yang kuat sehingga seorang isteri tidak dapat melayaninya. Tiada halangan bagi individu ini berpoligami sekiranya ia merasa yakin mampu berlaku adil kepada isteri-isterinya dari segi zahir dan batin.

SYARAT POLIGAMI

a) membatasi jumlah isteri yang dikahwini. Firman Allah s.w.t dalam ayat 3, Surah An-Nisa, “Maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat.”

Waqaf Saham

b) dilarang mengumpulkan wanita-wanita yang masih ada ikatan persaudaraan sebagai isteri-isteri seperti kakak dan adik atau ibu dan anaknya. Dalam satu riwayat, Ummu Habibah r.a mencadangkan kepada Nabi s.a.w mengambil adik perempuannya sebagai isteri. Baginda membalas cadangan beliau dengan bersabda, “Sesungguhnya dia tidak halal untukku.” (Riwayat Bukhari dan Nasa’i)

c) berlaku adil:

  • berlaku adil kepada diri sendiri iaitu percaya boleh menyara kehidupan isteri-isteri dan anak-anak dan berlaku adil kepada mereka.
  • berlaku adil kepada para isteri iaitu memenuhi hak mereka dari segi nafkah asas, tempat tinggal, kemudahan asas, sihat dari segi fizikal untuk memenuhi keperluan zahir lain dan mempunyai kemampuan dan keinginan seksual. Perlu diingat, keperluan isteri-isteri berbeza mengikut keperluan mereka dan ini seharusnya dipertimbangkan bagi memastikan keadilan kepada mereka.
  • berlaku adil dalam soal giliran iaitu bukan saja dalam soal menggauli isteri-isteri mengikut giliran tetapi juga dalam soal memberi kasih sayang kepada mereka.
  • berlaku adil dalam soal memberi kasih sayang dan tidak bersikap berat sebelah. Nabi s.a.w mengingatkan kita agar tidak berlaku sedemikian berdasarkan hadis ini, “Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri- isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya); oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awan-awan).”

    d) Memelihara dan bersikap kasih sayang terhadap anak-anak. Dalam soal ini, suami bukan saja harus bijak memberi kasih sayang dan perhatian yang saksama kepada anak-anak tetapi juga dalam soal pengagihan nafkah mereka. Ini kerana keperluan mereka berbeza mengikut umur dan tahap pendidikan mereka. Justeru, berusahalah memastikan poligami tidak menjejaskan perkahwinan sedia ada dan berkuasa menanggung nafkah. Sekiranya si suami gagal berbuat demikian, maka poligami pada saat itu adalah berdosa.

GILIRAN BERMALAM

Bila mana seseorang itu mengamalkan poligami dan bermalam di rumah salah seorang isterinya, maka dia mesti juga bermalam dengan isteri-isterinya yang lain. Hukum perbuatan ini adalah sunat dan bukan wajib. Sunat bagi si suami membahagikan waktu malam dan tidur bersama serta tidak meninggalkannya. Sekiranya si suami menggunakan lebihan waktu malam bersama dengan salah seorang  isterinya, maka dia harus  menggantikannya dengan isteri-isteri yang lain juga. Syariat membenarkan giliran bermalam ini tidak melebihi tiga hari dan tiga malam dan sekiranya ia diteruskan, maka hukumnya adalah haram. Haram juga bagi si suami hanya menghabiskan waktu malam dengan salah seorang isteri tetapi menggunakan waktu siang bersama dengan isteri-isteri yang lain.

Bila mana si suami berkahwin kali kedua, ketiga atau keempat, wajib baginya bermalam tujuh hari dan tujuh malam berturut-turut sekiranya isteri yang dinikahinya itu bertaraf anak dara. Sekiranya si isteri yang dinikahi itu berstatus janda, wajib baginya bermalam tiga hari dan tiga malam. Selepas habis tempoh tersebut, barulah boleh bagi si suami membuat giliran secara sama rata ke atas isteri-isterinya. Wajib bagi si suami melaksanakan gilirannya sekalipun ada ketikanya, salah seorang isteri mengalami haid atau nifas. Bagi isteri yang bersikap nusyuz (derhaka), tindakannya itu boleh menyebabkan hak giliran yang diterima digugurkan. Sekiranya si suami tinggal bersendirian, diharuskan dia memanggil mereka datang menemuinya.

Sekiranya si suami mahu mengumpulkan isteri-isterinya di bawah satu bumbung, perbuatan tersebut ditegah keras melainkan sekiranya isteri-isteri itu merelakan perbuatannya. Namun perbuatan sebegini tidak diharuskan Ibnu Qudamah atas sebab ia boleh saja mencetuskan cemburu dan permusuhan sesama madu apabila mereka dikumpulkan tanpa kerelaan mereka. Pendapat beliau disokong oleh Imam al-Qurtubi dan Imam Nawawi. Ini ditambah dengan sikap Rasulullah s.a.w sendiri yang tidak pernah mengumpulkan isteri-isteri baginda dalam satu rumah.

BAHAYA BIAS DALAM POLIGAMI

Kita selalu mendengar cerita sikap sesetengah suami yang mengabaikan isteri atau melebih-lebihkan isteri yang baru dikahwini berbanding isteri atau isteri-isterinya sebelum ini. Nasihat saya kepada sesetengah suami yang bersikap dajal ini, hentikan dan berusahalah berlaku adil kepada isteri-isteri anda. Jika anda tetap meneruskan tabiat buruk ini, maka Rasulullah s.a.w memberi ancaman kepada orang seperti anda. Sabda baginda, “Sesiapa yang mempunyai dua orang isteri dan dia cenderung kepada salah seorang daripadanya, pada hari kiamat dia akan datang dengan sebahagian badannya senget.” (Riwayat Abu Daud dan Tirmidzi)

PSIKOLOGI PIHAK LELAKI & WANITA BERKENAAN POLIGAMI

  1. Perbezaan umur. Lumrah bagi sesetengah lelaki berusia mensasarkan wanita jauh lebih muda dan jelita sebagai isteri barunya. Wanita pula mengharapkan lelaki yang lebih tua tetapi mereka juga berharap perbezaan umur tidaklah terlalu ketara. Bagaimanapun, berdasarkan satu kajian, wanita tidak terlalu tertarik dengan lelaki muda. Ini ditambah pula dengan faktor budaya dan generasi berkenaan soal ini. Namun persamaan bagi kedua-dua lelaki dan wanita ialah mereka tetap mengimpikan cinta, kasih sayang dan hubungan mesra, di mana ia tiada beza dalam mana-mana budaya masyarakat.
  2. Cemburu. Satu kajian mendedahkan 83% responden wanita merasa tertekan sekiranya mendapati pasangan mereka bercinta dengan orang lain sementara perkara ini tidak berlaku kepada lelaki. Ini berlaku kerana mereka bimbang sekiranya suami mempunyai hubungan emosi dengan orang lain, mereka merasakan komitmen dan pengorbanan yang dibuat bersifat sia-sia. Dan tambah menyakitkan apabila pasangan atau suami meninggalkan mereka dan mengahwini orang baru ini. Bagi lelaki pula, mereka benci sekiranya pasangan mereka bermain kayu tiga di belakang mereka.
  3. Rendah diri. Sesetengah kes yang dilaporkan menunjukkan isteri merasa rendah diri apabila si suami berkahwin lagi. Antara persoalan yang timbul seperti apa lebihnya si dia dan apa kurangnya saya berlegar dalam fikiran dan ini boleh menyinggung perasaan si isteri. Wujud satu kes seorang isteri menentang keras perkahwinan kedua suaminya kerana wanita yang dipilihnya itu mempunyai akhlak yang lebih rendah daripadanya. Maka, ada wanita tidak menentang poligami selagi mana calon yang dipilih itu setara atau lebih baik daripada mereka.
  4. Berahsia. Ini satu perkara yang berlaku dalam poligami yang selalu terpapar dalam kisah masyarakat atau dalam bentuk drama mahupun filem seperti Madu 3 dan Isteri-Isteri Ayah. Alasan yang selalu digunakan pelaku untuk menjaga kerukunan rumah tangga dan menjaga perasaan isteri serta anak-anak. Namun bila mana tembelang sudah pecah, siapa yang tak makan hati dengan sikap suami sebegini? Walaupun Enakmen Undang-Undang Syariah dan Keluarga Islam menyatakan keizinan isteri tidak diperlukan untuk berpoligami, apalah salah memberitahu isteri tentang hasrat tersebut sebagai menghormati kedudukannya sebagai isteri.

LANGKAH-LANGKAH SEKIRANYA MAHU BERPOLIGAMI

Bagi yang mahu berpoligami kerana yakin dengan kemampuannya dari segi zahir dan batin serta boleh berlaku adil kepada isteri-isteri, Ustaz Dr Zaharuddin Abdul Rahman menyediakan beberapa panduan:

  • mengadakan solat istikharah dan berdoa memohon petunjuk berkenaan soal ini selama beberapa bulan bagi mendapat petunjuk dan kemudahan dari Ilahi.
  • sentiasa berbincang dengan isteri sedia ada dan menyakinkannya akan manfaat yang diterima di dunia dan akhirat dari perkahwinan kedua, ketiga atau keempat buat kesemua pihak terlibat.
  • meminang bakal isteri kedua, ketiga atau keempat dengan kehadiran isteri atau isteri-isteri sedia ada yang bersama-sama menjelaskan dan mencadangkan tarikh perkahwinan.
  • dapatkan restu dari keluarga dan keluarga mentua.
  • maklumkan dan jelaskan situasi sebenar kepada keluarga mertua sedia ada untuk dapatkan restu dan keredhaan mereka.
  • maklumkan kepada anak-anak tujuan poligami sebagai memahamkan mereka kepada tentang poligami yang baik dari segi syarak.
  • mengharmonikan hubungan isteri atau isteri-isteri dengan bakal isteri melalui pertemuan bersama dan perbincangan hati ke hati.
  • memulakan proses undang-undang berkaitan poligami iaitu memohon izin di Mahkamah Syariah. Di sini, hakim akan meneliti permohonan, sebab dan bukti yang melayakkan seseorang itu berpoligami atau tidak. Sekiranya merasakan proses itu dihalang secara salah atau tidak adil dan menyusahkan, berkahwin di luar negara seperti di Thailand boleh dilakukan tetapi sebagai jalan terakhir.
  • tetapkan perincian nafkah, giliran dan pembahagian harta sepencarian bagi isteri dan anak-anak sedia ada. Ini bagi menjamin keadilan dari segi material dan fizikal selain menghargai kedudukan dan jasa isteri.
  • bersabar dan menangani sikap cemburu isteri atau isteri-isteri dengan hikmah, rasional dan bijaksana.
  • mewujudkan elemen kasih sayang dan lemah lembut dalam aspek komunikasi.
  • tidak bernikah secara rahsia.
  • peka dengan perasaan isteri-isteri dan mantapkan aspek kerohanian termasuk solat.

SUMBER

  1. Abdul Rahman, Ustaz Dr Zaharuddin. (2013). Zaharuddin.net. Dr Zaharuddin Menjelaskan Poligami Syarie. http://zaharuddin.net/senarai-lengkap-artikel/3/component/jcomments/feed/com_content/1021.html
  2. Haiyon, Ustaz Khairuddin. JAIS. BICARA POLIGAMI SIRI 1. http://www.jais.gov.my/article/bicara-poligami-siri-i
  3. Haiyon, Ustaz Khairuddin. JAIS. BICARA POLIGAMI SIRI 2. http://www.jais.gov.my/article/bicara-poligami-siri-2
  4. Kosmo. (2013). Psikologi berpoligami. http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0607&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm
  5. Akmal Dunya, Syahidatul. (2017). Sinar Harian. Tepis kekeliruan berpoligami. http://www.sinarharian.com.my/fikry/tepis-kekeliruan-berpoligami-1.625943
  6. Utusan Malaysia. (2001). Poligami perasaan isteri tertekan. http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0122&pub=utusan_malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_03.htm

 

 

Previous articleSerang Hendap Komunis Di Bukit Begunan, Simanggang 1970
Next articleMelayu Itu Pendatang Di Pulau Borneo?
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here