Celakalah Orang Yang Membuli SBP Raja Permaisuri Agong

3,369

Telatah dan gelagat SBP YDP Agong Sultan Abdullah dari Pahang bersama isterinya sememangnya mencuit hati. Inilah seorang insan yang darahnya pekat dengan ketulenan diraja dimana landasan genetiknya menemui raja-raja agung dalam Kesultanan Melayu Melaka sendiri.

Meskipun dilahirkan dengan darjat sedemikian, baginda masih tidak angkuh dan bersifat hidung tinggi. Dalam sebuah perutusan, Sultan Abdullah siap meletakkan tangan di dada, tunduk sebagai tanda hormat kepada rakyatnya, serta menutup dengan lafaz salam lagi.

Meskipun terhidangnya perwatakan yang begitu rendah diri, Sultan Abdullah tidak terlepas daripada kritikan awam. Walaupun kritikan sedemikian setepatnya ditujukan kepada isteri baginda, jelas sekali halatuju kritikan tersebut takkan sama sekali melepaskan baginda pun. Seperti sedia maklum, Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah mempunyai akaun Twitter yang digunakan sebagai penghubung antara raja dan rakyat.

Pelbagai pertukaran telah dibuat. Salah satu daripadanya ialah pakaian ditiru pasangan pertunangan yang dipuji baginda. Pembawaan sedemikian semestinya menambat hati pengguna-pengguna atas talian. Dan dari sinilah datangnya kecaman yang membuli sampai baginda menutup akaunnya. Penutupan akaun ini turut membawa pakej penghinaan bahawa baginda “acah nak jadi artis” pun.

Lebih tajam lagi, kasih rakyat kepada Tunku Azizah dikecam seolah-olah “menyembah berhala” yang duit makan mereka dibayar rakyat.

Salah satu kecaman juga menyatakan mereka obses dengan diri sendiri, yakni narsis.

Benar kata orang, bahawa apabila tiada kerja, unsur negatif akan menggocakkan jiwa. Hantaran-hantaran sedemikian merupakan bukti kukuh yang menyokong kenyataan tersebut. Naiknya hantaran-hantaran sebegini di lubuk liberal menunjukkan dengan jelas kedudukan diraja dalam kaca mata mereka.

Negara-Negara Monarki dan Dasar Pro-Raja

Di seluruh dunia, terdapat suatu terminologi bagi sebarang kelakuan anti-raja. Perkataan tersebut mempunyai etimologi Perancis iaitu lese-majeste, bermaksud sebarang jenayah terhadap air muka raja. Perbuatan sebegini ialah jenayah besar di zaman pemerintahan Rom.

Dalam skop moden, Malaysia seharusnya memartabatkan penguatkuasaan terhadap lese-majeste. Di Denmark, ketua monarki dipelihara dibawah undang-undang kanun keseksaan yang menghukum penjara empat hingga lapan bulan bagi penghina raja. Walaupun Jerman merupakan sebuah republik, penghinaan terhadap Presiden Persekutuan masih lagi salah di sisi undang-undang dibawah Kanun Keseksaan 90:1-4.

Netherlands memperuntukkan perlindungan undang-undang kepada bukan sahaja raja. Malah pewaris dan kaum keluarga diraja turut menikmatinya. Bermakna sesiapa yang menghina mereka bakal berdepan dengan penjara lima tahun. Kerana menggelar Ratu-Puteri Beatrix sebagai “pelacur berkanser”, seorang dewasa Belanda dipenjarakan seminggu dan didenda €400 lagi.

Dibawah Kanun Keseksaan Sepanyol, terdapat dua artikel menjenayahkan amalan mengaibkan keluarga diraja termasuk juga nenek moyang diraja yang sudahpun mangkat. Hukuman penjara boleh mencecah dua tahun pun.

Dan negara yang seringkali menggunakan undang-undang sebagai perisai terhadap institusi monarki ialah Thailand. Pada November 2018, sekurang-kurangnya 127 orang telah dihukum dibawah bidangkuasa perundangan dalam masa empat tahun sahaja. Thailand sememangnya menjulang maruah keluarga diraja, yang mana salah seorang penghina iaitu Daranee Chanchoengsilpakul dijatuhkan hukuman penjara 18 tahun atas tiga komen negatif terhadap keluarga diraja. Setelah puas memohon rayuan dan pengampunan, Daranee akhirnya dibebaskan selepas lapan tahun di sebalik tirai besi.

Penghinaan terhadap keluarga diraja tidak terhad kepada kenyataan semata-mata. Nopporn Suppipat merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif bagi Wind Energy Holding dengan aset sekurang-kurangnya AS$800 juta. Selepas rampasan kuasa 2014, siasatan korupsi dalam keluarga diraja Puteri Srirasmi Suwadee mendapati beliau telah mendatangkan aib (bersekongkol dalam rasuah) kepada institusi monarki. Beliau pun melarikan diri ke Perancis dengan permohonan suaka.

Jika begini Thailand mampu jaga imej monarkinya, tentu sekali Malaysia dengan tuduhan-tuduhan rambang seperti berhala, narsis dan sebagainya berkemampuan. Kalau setakat melepaskan batok di tangga, nescaya suatu hari monarki negara boleh terhakis sampaikan raja dilihat tiada guna kerana tidak buat apa-apa. Namun pada ketika raja angkat jari saja, terus golongan sebegini melompat.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.