Dalam mitologi Yunani purba, wujud seekor anjing berkepala tiga yang dipanggil sebagai Cerberus. Makhluk ini bertugas mengawal pintu masuk ke alam Hades, iaitu alam Neraka yang berkabus dan suram. Di sana, roh orang-orang yang telah mati dibenarkan masuk namun dilarang sama sekali untuk keluar. Di zaman purba, anjing sering digambarkan sebagai haiwan liar dan gemar berkeliaran secara bergerombolan di jalanan untuk menggeledah makanan di pinggir bandar.

Makhluk mitos bernama Cerberus ini tidak hanya mengambil pengaruh anjing yang digeruni di zaman purba, malah ia turut menggabungkan beberapa ekor makhluk di dalam satu badan sekaligus membuatkannya sebagai suatu makhluk yang amat menakutkan.

CERBERUS SI PENJAGA NERAKA YUNANI


Nama Cerberus berasal daripada perkataan Yunani yang berbunyi ‘Kerberos’, bermaksud ‘dinampak’. Bagi masyarakat Yunani, Cerberus merupakan seekor anjing raksasa berkepala tiga ataupun ‘penjaga neraka’ yang berekor naga, berkulit ular dan bercakar singa. Tiga buah kepalanya itu dianggap sebagai simbol yang mewakili masa lalu, masa kini dan masa hadapan. Terdapat juga pendapat yang mengatakan ia adalah simbol kepada kelahiran, masa muda dan usia tua.

Ancaman terbesar yang dimiliki oleh Cerberus sudah tentu terletak pada penampilannya yang kelihatan sangat menggerunkan. Betapa menggerunkannya Cerberus ini hinggakan sesiapa sahaja yang memandangkanya akan berubah menjadi batu. Turut dikatakan bahawa Cerberus memiliki taring yang tajam dan gigitannya pula beracun. Racun yang menitis ke tanah akan menumbuhkan tumbuhan yang dikenali sebagai ‘wabak serigala’.

Ilustrasi Cerberus si Anjing Hades. Mitologi Yunani

IBU BAPA CERBERUS YANG JAUH LEBIH MENGGERUNKAN

Bapa kepada Cerberus adalah Typhon, raksasa paling kuat dan paling menggerunkan dalam mitologi Yunani. Ia turut dipercayai sebagai salah satu dewa mereka. Typhon adalah seekor naga yang berupaya menghembuskan api. Matanya merah menyala dan dikatakan bahawa Typhon memiliki seratus kepala dan seratus sayap hinggakan ia turut dgeruni oleh dewa-dewa Olympia sendiri. 

Ke mana sahaja Typhon pergi, ia akan menyebarkan ketakutan dan malapetaka ke tempat tersebut – sesuai dengan misinya yang mahu memusnahkan dunia dan menyukarkan tugas Zeus sebagai ketua dewa.
Ibu Cerberus pula adalah Echidna, suatu makhluk yang berupa separuh manusia dan separuh ular.

Echidna dikenali sebagai ‘ibu segala raksasa’. Ia memiliki mata yang hitam pekat, berkepala dan berbatang tubuh wanita yang jelita. Namun, bahagian bawah badannya berupa ular. Masyarakat Yunani purba mempercayai bahawa Echinda menghuni sebuah gua dan gemar mengumpan manusia dengan menggunakan tubuhnya sebelum memakan mereka secara mentah-mentah.

CERBERUS DAN ORPHEUS


Tugas utama Cerberus adalah sebagai pengawal Alam Neraka Yunani dan berkhidmat dengan setia kepada Dewa Hades. Kawasan utama yang dikawalnya terletak di sepanjang tebing Sungai Styx, iaitu sebatang sungai yang membentuk sempadan antara Alam Kehidupan (Dunia) dan Alam Neraka.

Cerberus menjaga gerbang Hades dan menghalang orang-orang yang telah mati agar tidak keluar darinya dan menghindarkan orang-orang yang masih hidup agar tidak memasukinya tanpa izin Hades.
Di sebatang lagi sungai di Alam Neraka yang bernama Acheron, Cerberus turut mengawal kemasukan roh-roh si mati namun akan membaham sesiapa sahaja yang cuba berpatah-balik dan kembali ke Alam Kehidupan tanpa izin.

Charon, dikenali sebagai pembawa feri bertugas membawa roh-roh mati ke Sungai Styx dan memasuki Hades. Pelukis: Alexander Litovchenko. 1860.

Cerberus menghiasi sejumlah kisah mitologi sebagai seekor makhluk penjaga neraka. Dalam mitos-mitos tersebut, terdapat juga beberapa kisah yang melibatkan beberapa orang wira yang berjaya menundukkan Cerberus. Kejadian pertama berlaku apabila Orpheus, seorang pemusik masyhur dalam mitologi Yunani menyelinap masuk ke Alam Neraka dengan menidurkan Cerberus menerusi mainan alat musiknya (dikenali sebagai lyre).

Pemusik dari kota Thracia itu dipandang tinggi di Yunani dan beliau mengecap kebahagian apabila berkahwin dengan pari-pari (bidadari) bernama Eurydice. Pada suatu hari, Eurydice digigit oleh seekor ular dan meninggal dunia akibat kejadian itu. Hal ini begitu mendukakan hati Orpheus hinggakan beliau enggan lagi bernyanyi dan bermain musik. Beliau kemudiannya mengambil keputusan untuk mengembara ke Alam Neraka untuk cuba menyelamatkan Eurydice.

Mainan musiknya berjaya memikat dan melembutkan hati Charon, si pembawa feri yang bertugas mengangkut roh-roh si mati menyeberangi Sungai Styx. Charon lantas bersetuju untuk membawa Orpheus memasuki Alam Neraka walaupun pada waktu itu Orpheus masih lagi hidup. Semasa bertembung dengan Cerberus, raksasa berkepala tiga itu tundur dan tidur setelah dibuaikan dengan mainan musik Orpheus. Makanya, Orpheus pun berjaya melalui kawasan itu dengan selamat.

Hades dan isterinya, Persephone mengurniakan keizinan kepada Orpheus untuk membawa pulang Eurydice dengan satu syarat: Eurydice mesti berjalan di belakang Oprheus ketika mereka menuju ke Alam Kehidupan dan Orpheus turut dilarang dari memandang Eurydice. Ketika mereka berdua hampir tiba di permukaan Alam Kehidupan, Orpheus yang dipenuhi rasa teruja bertindak menoleh ke belakang untuk melihat Eurydice. 

Lantas, Eurydice pun tiba-tiba berubah menjadi makhluk yang mengerikan dan ditarik semula memasuki Alam Neraka buat selama-lamanya. Nasib malang Orpheus berlanjutan apabila tidak lama kemudian tubuhnya dikerat oleh maenad-maenad Thracia, iaitu wanita-wanita penyembah Dewa Dionysus.

Orpheus membawa Eurydice keluar dari Alam Neraka setelah memainkan lyre kepada Cerberus. Lukisan oleh Edward Poytner, 1862

CERBERUS MELAWAN HERCULES

Kisah paling masyhur berkenaan Cerberus melibatkan kehadiran separa dewa yang bernama Hercules (Heracles). Sebagai tugas terakhir daripada 12 buah tugasan, Eurystheus, si raja Tiryns mengarahkan supaya Hercules menangkap dan membawa pulang Cerberus hidup-hidup. Eurystheus berasa yakin bahawa Hercules akan gagal dalam tugasan kali ini.

Hercules lantas pergi ke Alam Neraka dan menemui Hades. Menurut Hades, jika Hercules mampu menundukkan Cerberus tanpa menggunakan sebarang senjata, beliau dibenarkan untuk membawa anjing itu keluar meninggalkan Alam Neraka. Setelah itu, Hercelus pun menemukan Cerberus di tebing Sungai Acheron. Di sana, beliau bergelut dengan makhluk ganas itu dengan tangan kosong.

Walaupun sebagai seorang manusia yang dianggap paling kuat di dunia, pertarungan tersebut memerlukan Hercules mengerahkan segenap tenaganya. Lama-kelamaan, Cerberus mula kepenatan dan kehabisan nafas apabila dicekik oleh wira Yunani itu. Cerberus lantas tunduk kepada Hercules.

Cerberus merupakan salah satu daripada beberapa ekor makhluk yang dapat kekal hidup setelah bertembung dengan Hecules. Tetap, tidak seperti makhluk-makhluk luar biasa lain, Cerberus masih dapat pulang dengan selamat ke Hades di mana ia terus menyambung tugasnya sebagai pengawal gerbang masuk ke Alam Neraka.

CERBERUS DAN PENJAGA-PENJAGA NERAKA DALAM KEBUDAYAAN LAIN

Nama Cerberus tercantum dalam banyak karya sastera so;a, walaupun gambaran mengenai makhluk ini sering berbeza dalam pelbagai budaya dan penulis. Dalam karya Dante yang berjudul Inferno, Cerberus dicatatkan sebagai anjing yang mengawal lingkungan (tingkat) neraka yang ketiga dan bukannya keseluruhan Alam Neraka. Tingkat yang dimaksudkan tersebut adalah tingkat pelahap dan Cerberus juga dijadikan sebagai personafikasi selera yang tak terkawal, di dalam karya itu.

Dalam sejumlah karya sastera Rom pula, Cerberus muncul dalam beberapa karya masyhur seperti karya Virgil yang berjudul Aenid. Kisah yang melibatkan Orpheus dan Cerberus ini turut tercantum dalam karya Plato yang berjudul Symposium dan karya Homer yang berjudul Illiad.
Mitologi Norse turut mempunyai suatu makhluk yang mirip dengan Cerberus. Dalam mitologi tersebut, Alam Neraka dipercayai dikawal oleh seekor anjing bermata empat yang bernama Garm. Di Mesir, Cerberus mungkin ditampilkan sebagai Anubis, iaitu anjing yang melindungi makam dan bertugas membawa roh si mati ke Alam Neraka.

Sebahagian penulis seperti penyair Yunani yang bernama Hesiod dan Horace mendakwa bahawa Cerberus memiliki sebanyak 50 atau 100 kepala. Dalam catatan lain, turut dikatakan bahawa Cerberus ini adalah gabungan antara singa, anjing dan serigala.

Budaya pop juga tidak tinggal dari menghasilkan sebuah karakter yang berinspirasikan daripada Cerberus di mana makhluk ini muncul dalam filem Harry Potter, The Philosopher’s Stone sebagai Fluffy. Dalam filem tersebut, Fluffy ditidurkan oleh alunan seruling yang dimainkan oleh Harry Potter, mirip dengan kisah Orpheus.

DIOLAH DAN DITERJEMAHKAN DARI:

Bryan Hilliard. (11 Jun 2019). Cerberus: Legendary Hell Hound of the Underworld. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/myths-legends-europe/cerberus-legendary-hell-hound-underworld-003142


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.