Bagi yang pernah berkunjung ke Muzium British, ada satu pameran piala era Rom yang berusia 1,600 tahun yang dikenali sebagai Cawan Lycurgus. Mungkin ada menganggap ia satu lagi artifak biasa Rom. Tetapi ia sebenarnya petunjuk penguasaan Rom sebagai pelopor nanoteknologi yang terawal.

Rasa ada meloncat dari kerusi lepas baca. Tetapi ini bukan berita palsu. Jika cahaya dihalakan ke cawan dari bahagian lantai, ia berwarna hijau jed. Tetapi jika dihala dari bahagian belakang, ia kelihatan berwarna merah darah.

Rajah 1: Warna Cawan Lycurgus bila disimbah cahaya dari bahagian belakang.
Rajah 2: Warna Cawan Lycurgus bila disimbah cahaya dari belah hadapan.

Jangan risau, bukan anda seorang saja merasa pelik dengan fenomena Cawan Lycurgus ini. Sejak diserahkan kepada Muzium British pada tahun 50-an, ia membuatkan kepala ramai saintis yang mengkaji cawan itu berasap.

Jawapan kepada fenomena ini hanya dapat diperoleh pada tahun 90-an. Apabila sekumpulan pengkaji dari England mengambil kepingan cawan yang pecah di bawah mikroskop, mereka merasa terkejut kerana artisan-artisan Rom merupakan pelopor awal dalam bidang nanoteknologi.

Untuk mendapatkan warna berbeza-beza apabila disimbahi dengan cahaya, artisan Rom mencampurkan kaca dengan partikel emas dan perak yang telah dikisar sehingga mencapai saiz 50 nanometer dari segi diameter.

Dari situ, ia harus dicampur mengikut kadar yang bersesuaian bagi mendapatkan kesan cahaya berkenaan. Bagi ahli arkeologi Ian Freestone dari University College London, apa yang dilakukan artisan Rom pada era mereka merupakan sesuatu yang luar biasa.

Caranya mudah sahaja. Apabila cawan disimbahi dengan cahaya, elektron-elektron daripada partikel kecil besi ini akan bergetar dan mengubah warna bergantung kepada kedudukan pemerhati.

Kisah Cawan Lycurgus ini menarik perhatian seorang jurutera dari Universiti Ilinois, Gang Logan Liu. Liu yang menjadikan nanoteknologi sebagai kaedah mendiagnosis penyakit dan rakan-rakannya melihat kisah ini menawarkan pelbagai potensi nanoteknologi yang boleh diteroka.

Komennya, “Orang Rom tahu bagaimana membuat dan menggunakan nanopartikel untuk objek seni yang indah. Kami ingin melihat sekiranya ia mempunyai ciri aplikasi saintifik.”

Sekiranya Cawan Lycurgus itu diisi dengan pelbagai jenis air, Liu mengesyaki kehadiran cecair berkenaan turut mengubah interaksi elektron yang bergetar sekaligus turut mempengaruhi perubahan warnanya.

Memandangkan cawan tersebut merupakan artifak berharga, para saintis cuba mereplika ciri cawan berkenaan pada sebuah pinggan plastik. Ia kemudiannya ditebuk dengan lubang-lubang sebelum disembur dengan nanopartikel emas dan perak.

Apabila ia sudah kering, mereka menguji pelbagai jenis cairan pada lubang-lubang berkenaan. Bila cairan seperti air, minyak, air gula dan air garam dituang, ia menghasilkan pelbagai warna yang berbeza dan mudah dikenalpasti dari hijau muda (air) kepada merah (minyak).

Prototaip yang dihasilkan mereka 100 kali ganda lebih sensitif berbanding alat pengesan komersial yang biasa. Ini kerana ia berupaya mengesan perubahan tahap garam dalam cairan yang dituang lebih tepat daripada alat yang dinyatakan.

Dengan prototaip sebegini, aplikasi penggunaannya juga banyak daripada pengesan patogen menggunakan sampel air liur atau urin hinggalah menghalang cubaan pengg4nas membawa cairan merbahaya dalam pesawat.

Jadi, apa sejarah di sebalik cawan ini? Cawan Lycurgus berkemungkinan dibuat di Rom atau Iskandariah antara 290 hingga 325 Masihi. Ia kemudiannya dikatakan berada dalam simpanan pihak gereja di Perancis sehingga Revolusi Perancis tercetus.

Cawan tersebut kemudiannya bertukar tangan sebanyak beberapa kali sebelum ia dimiliki oleh keluarga Rothschild. Lionel Rothschild kemudiannya meminjamkan cawan itu untuk dipamerkan di Muzium Albert dan Victoria, London tetapi hilang dari pandangan hinggalah tahun 50-an.

Pada tahun 1958, keluarga Rothschild menjual Cawan Lycurgus kepada Muzium British dengan nilai 20,000 paun sterling dengan 2,000 paun kepada Dana Kesenian British.

RUJUKAN:

Merali, Zeeya. (2020). This 1,600-Year-Old Goblet Shows that the Romans Were Nanotechnology Pioneers. Smithsonian Magazine. https://www.smithsonianmag.com/history/this-1600-year-old-goblet-shows-that-the-romans-were-nanotechnology-pioneers-787224/


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.