Sejarah filem Melayu dipercayai bermula pada awal tahun 1930-an di mana filem berbahasa Melayu pertama yang diterbitkan ialah ­Leila Majnun (1934). Filem-filem Melayu sebelum Perang Dunia Kedua telah ditakdirkan pupus buat selama-lamanya. Apabila tamat perang, kegiatan perfileman Melayu kembali aktif dengan Seruan Merdeka (1947) menjadi filem Melayu pertama yang diterbitkan pasca perang.

Kebanyakan filem-filem terbitan dua studio gergasi, Malay Film Productions dan Cathay-Keris Film telah mendapat sambutan yang hangat. Kedua-dua studio tersebut bersaing sesama sendiri untuk menerbitkan filem-filem yang mampu memberi pulangan lumayan kepada mereka.

Boleh dikatakan majoriti filem-filem Melayu pada 1950-an menggunakan bahasa Inggeris pada credit title. Hal ini terjadi kerana filem-filem di era itu diarahkan oleh barisan pengarah dari India yang cuma fasih berbahasa Inggeris.

Terdapat juga filem-filem yang menggunakan bahasa Melayu pada credit title namun tidak diterjemahkan dengan istilah perfileman yang tepat. Walaupun ada usaha penggunaan bahasa Melayu pada credit title selepas anak-anak Melayu seperti P. Ramlee, Jamil Sulong, Omar Rojik, S. Roomai Noor dan Hussain Haniff diangkat menjadi pengarah, namun istilah-istilah yang digunakan pada pembukaan karya mereka itu tidak seragam dan masih kucar kacir.

Dengan tujuan ingin menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam perusahaan filem dan berusaha untuk mencari kesesuaian serta persamaan dalam menggunakan istilah-istilah perfileman, maka penerbit dari studio Cathay-Keris Film Productions, Mr. Tom Hodge telah meminta Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) supaya memberikan penterjemahan istilah-istilah yang digunakan untuk kata-kata perkenalan pada credit title.

Dalam sepucuk surat yang ditandatangani oleh Encik Abdul Rahman Yusof, Ketua Penterjemah DBP ketika itu, maka telah dicadangkan penggunaan istilah-istilah seperti berikut:

1. Film Producer – Pengeluar Filem
2. Film Director – Pengarah Filem
3. Director of Photography or Cameraman – Pengarah Foto atau Jurukamera
4. Film Editor – Penyunting Filem
5. Laboratory Manager – Pengurus Makmal
6. Sound Recordist or Sound Engineer – Perakam Bunyi atau Jurutera Bunyi
7. Music Composer – Pencipta Muzik
8. Art Director – Pengarah Seni Lukis
9. Story – Penulis Cerita
10. Script or Scenario – Penulis Cerita Filem
11. Dialogue Writer – Penulis Kata Bual
12. Assistant – Pembantu
13. The End – Tamat
14. Present – Mempersembahkan
15. Dubbing Editor – Penyunting Dubbing
16. Dances – Guru Tarian

Dalam masa yang sama juga, pihak Cathay-Keris telah membuat perhubungan rasmi dengan pihak Shaw Brothers yang menerajui Malay Film Productions, Merdeka Film Studio dan Malayan Film Unit bagi penggunaan bersama istilah-istilah itu.

Hasil daripada usaha murni Mr. Tom Hodge yang menggalakkan penggunaan Bahasa Melayu dalam industri perfileman dapat dilihat apabila menonton filem-filem yang diterbitkan pada tahun 1962 dan ke atas. Penggunaan Bahasa Melayu pada credit title jelas kelihatan terutamanya pada filem-filem terbitan studio Cathay-Keris Film.

Pihak studio lain turut menyambut baik usaha Cathay-Keris Film. Filem-filem yang diterbitkan oleh mereka selepas itu menggunakan istilah-istilah perfileman yang diterjemahkan oleh DBP.

Kisah ini bolehlah dianggap sebagai antara usaha awal penggiat dunia perfileman di tanah air kita berjuang untuk memartabatkan penggunaan bahasa Melayu.

Sumber:

  • Layar Perak dan Sejarahnya oleh M. Amin dan WAHBA (Fajar Bakti, 1998)
  • Singapore Cinema by Raphaël Millet (Editions Didier Millet, 2006)
  • Malaysian Cinema in a Bottle by Hassan Abd Muthalib (Merpati Jingga, 2013)
  • Cathay minta Dewan menterjemahkan istilah2 perfileman. Berita Harian, 24 Mac 1962
  • Kelab Filem & Muzik Melayu Klasik https://bit.ly/2MV1E2X

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang peminat sejarah filem tanah air. Suka menonton filem-filem Melayu hitam putih, terutama sekali arahan Hussain Haniff dan M. Amin.

Comments are closed.