Catatan Terawal Mat Salleh Mengenai Durian

21,613

https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Rupanya, catatan terawal tentang durian di Nusantara telah dicatatkan oleh Nicolo Conti, seorang pengembara Itali di dalam “India in the Fifteenth Century being a Collection of Narratives of Voyages to India, in the Century Preceding The Portuguese Discovery of The Cape of Good Hope”, ditulis sekitar tahun 1400-an.

Catatan itu menyatakan bahawa “Duriano” dijumpai di sebuah kawasan yang bernama Taprobana di pulau “Sciamuthera”, di mana penduduknya mengamalkan kanibalisme.

“Duriano” atau durian ini digambarkan sebagai sejenis buah yang memiliki saiz seperti timun, dan apabila dibuka, ada lima ulas buah lain, yang merupa seperti limau yang lonjong.

Rasa durian seperti yang dicatat oleh Conti pula seperti rasa keju.

Catatan ini agak meragukan kerana kedudukan sebenar Taprobana yang merupakan sebuah pulau di Sri Lanka dan bukannya di “Sciamuthera” atau Sumatera.

Selepas itu, gambaran rupabentuk dan saiz durian yang dikatakan adalah seperti timun. Malah, tiada ciri unik durian dinyatakan di dalam catatan Conti iaitu sejenis buah yang memiliki duri.

Ada kemungkinan juga Conti telah menjumpai durian terawal yang amat berbeza dengan durian yang kita tahu seperti hari. Namun Conti ni sendiri mungkin dah ditipu dengan orang dekat kawasan tu. Entah ke petola ke nangka ke apa agaknya yang dia jumpa.

Seterusnya, catatan yang kedua paling awal tentang durian dinyatakan oleh Fernao Lopes de Castanheda, seorang pelayar dan sejarahwan Portugis, telah menemukan durian semasa beliau tiba di Melaka sekitar 1509.

Catatan beliau tentang durian dimuatkan di dalam “History of The Discovery and Conquest of India”, salah satu dokumen yang dimuatkan bersama di dalam “Portuguese Documents on Malacca From 1509 to 1511” susunan M.J Pintado.

Castanheda menyatakan bahawa orang Melaka memiliki tanah dan dusun buah-buahan yang luas, padanya ditanam juga buah “Durio” atau durian.

Buah itu digambarkan oleh Castanheda memiliki ciri buah Sitron yang besar, sejenis buah seakan lemon tetapi berkulit tebal dan menggerutu. Pokok Sitron adalah pokok berbuah yang biasa dijumpai di kawasan persisiran Mediterranian di Eropah.

Castanheda juga menyatakan bahawa durian memilki rasa yang sangat pelik, hingga beliau sendiri berpendapat ia adalah buah terlarang yang dicuri makan oleh Adam di syurga hingga menyebabkan Adam tercampak ke dunia.

Beliau turut melihat bagaimana dusun-dusun ini menjadi tempat rakyat Melaka ketika itu lari dari kesibukan dan hiruk-pikuk Melaka.

Macam “weekend getaway” lah, acah balik kampung hujung minggu. Balik tu pergi dusun, lepak-lepak makan buah.

Pada aku, catatan Castanheda ni lebih logik dan masuk akal kerana beliau juga menyatakan akan keanehan rasa durian sendiri, walaupun masih tidak menjelaskan rupabentuk fizikal unik berduri buah tersebut.

Orang Eropah memang rata-ratanya tak boleh terima rasa dan tekstur isi durian.

Tetapi, ada satu catatan lain, ketiga paling awal ditulis tentang durian di Nusantara iaitu catatan William Dampier di dalam “New Voyage Round the World, Vol. 1”.

Kapten William Dampier adalah seorang pegawai di dalam tentera laut British, mula mencatat penemuan-penemuan sepanjang pelayarannya mengelilingi dunia sejak tahun 1679 dan apabila tiba di kepulauan Mindanao, beliau telah menemukan pokok dan buah durian.

Pada catatannya, Dampier menyatakan bahawa durian merupakan sejenis buah bersaiz sebesar labu, manakala pokoknya pula seperti pokok epal. Dampier menulis buah sebagai “boughs”, menceritakan bagaimana durian memiliki kulit tebal atau”rind”, yang hanya berbuah pada batang atau pada pangkal dahan-dahan yang hampir dengan batang pokok bagi menampung berat “boughs” durian itu tadi.

Dampier turut mencatatkan apa yang akan dijumpai di dalam sebiji durian, iaitu pangsa denga ulas durian pada setiap pangsa yang digambarkan sebesar “pullets egg”, iaitu telur dari ayam yang baru mula belajar bertelur

Selanjutnya, Dampier menjelaskan fasa durian serta bila sesuai ianya dimakan. Dampier menulis bahawa durian memiliki bau yang sangat enak, isi durian pula putih seperti susu, tekstur lembut seperti krim manakala rasa yang sangat sedap bagi yang telah biasa dengannya. Namun menurut Dampier, bagi yang asing dengan durian, rasanya seperti bawang bakar.

Dampier memberikan gambaran lebih teliti tentang durian yang ditemuinya semasa di Mindanao walaupun sekali lagi tidak juga menjelaskan rupa luaran unik durian dengan duri seperti yang kita tahu hari ini.

Siapa tahu, mungkin durian-durian terawal yang wujud dan ditanam di Nusantara tidak memiliki ciri-ciri durian seperti durian yang kita kenal hari ini.

* Gambar adalah lukisan berjudul “Doorean”, sebuah karya cat air pada kertas, antara 477 lukisan sejarah alam mengenai tumbuh-tumbuhan dan haiwan di Melaka dan Singapura, milik asal William Farquhar, dilukis sekitar 1819-1823.

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.