Langkahku ke dalam dunia pertahanan bermula pada 27 Disember 1976. Ianya tarikh yang takkan aku lupakan..kerana sebagai anak muda yang bersemangat menjaga maruah tanahnya, aku tekad melepaskan kehidupan remajaku demi pertiwi. Selama 1 bulan, aku menjalani latihan di PLAW ( sekarang PUSWATAN atau Pusat Latihan Askar Wataniah) di Jalan Tambun, Ipoh. Aku tinggalkan kampung halaman, dan aku tumpahkan peluh mudaku di bawah terik matahari… demi kepercayaan bahawa aku harus berdiri di barisan hadapan perjuangan. Ianya adalah zaman yang agak getir..yang sudah dilupakan ramai pada hari ini. Kekejaman komunis berada di puncaknya. Ideologi yang mereka bawa menghalalkan sebarang cara bagi mereka berusaha merampas tanah ini… demi nafsu buas mereka yang bertopengkan perjuangan. Ramai anak bangsa kita yang terpedaya… dan lupa siapa sebenarnya yang sepatutnya mereka lindungi.

Keratan berita kisah PW(I) Ielias Ibrahim yang masih beliau simpan sehingga kini

Tamat saja latihan, aku telah dikerah sepenuh masa ke dalam Pasukan Pertahanan Perak (PPT) atau LDC Perak dan ditempatkan di platun 19. Istilah anggota baru atau tak berpengalaman tidak wujud. Sebaik melangkah kaki, aku telah diberikan tugasan yang sudahpun cukup mencabar iaitu membuat sekatan jalan raya (RCP) di Jalan Lintang, Sg. Siput yang memang terkenal sebagai kawasan panas kegiatan komunis. Selama 4 bulan aku di situ. Setiap saat nyawa aku dan rakan-rakanku di hujung tanduk..namun kami tak pernah gentar atau berundur.

Pada masa itu, Projek Lebuhraya Timur-Barat (PLTB) telahpun bermula. Melihatkan bagaimana projek ini akan membantut dan mengganggu usaha-usaha mereka, pengganas komunis (PGK) mula mengatur tindakan-tindakan ganas demi memastikan ianya gagal. Sepanjang masa-masa pekerja-pekerja JKR yang terlibat, akan disabotaj dan diserang oleh PGK ini. Itu telah menimbulkan keperluan untuk satu pasukan keselamatan membantu melindungi mereka, dan PPT Perak dipanggil.

Maka Ops Kota PLTB dilancarkan. Bersama-sama anggota-anggota lain dari PPT Johor, Selangor dan Kedah..aku di antara yang dihantar bagi operasi ini. Kami yang merupakan anggota Wataniah pada ketika itu, berada di bawah naungan dan pemerintahan 11 Batalion Infantri Askar wataniah. Bersama-sama rakan-rakan lain dari negeri Perak, aku telah ditempatkan di Pos 8 dibawah pengetuaan Lkpl. Md Zaki. Bersama-samaku adalah Pbt. Abdul halim, Pbt. Tajuddin, Pbt. Ali dan beberapa orang lagi. Bersama-sama kami adalah anggota-anggota 11 Inf. Askar Wataniah diketuai Kapten Rajah. Lebih kurang 18 orang kami di pos itu ketika itu.

Isnin 15 Ogos 1977, mencatat kenangan getir yang takkan aku lupakan sepanjang hayatku. Peristiwa yang membuatkan aku menyaksikan rakan-rakanku tumbang di depan mata..dan aku sendiri hampir kehilangan nyawa. Parut kenangannya..aku bawa sampai ke hari ini…

Hari itu, kami dalam perjalanan mengambil catuan makanan (ransum) di Pos 5 Tek D Kompeni 11 MTA. Lebih kurang 42 orang kami masa tu – dari pos 6,7 dan 8, bergerak ke pos 5 seperti biasa. Arahan kepada kami adalah untuk berhenti rehat di pos-pos tertentu yang telah ditetapkan di sepanjang laluan menuju destinasi kami. Jarak setiap satunya adalah 2 km, bersamaan 2 petak peta.

Sampai di pos 6, kami pun berehat melepaskan lelah. Ada yang memasak air, dan mengalas perut dengan biskut keras. Lebih kurang 15 minit berehat, kedengaran suara mengarahkan PPT Perak berjalan dulu. Lkpl. Md Zaki dengan segera mengerahkan Pbt. Abdul Halim, Pbt. Tajuddin, Pbt. Ali dan aku sendiri untuk bergerak. Maka kamipun meneruskan perjalanan di pilot track tanah merah itu; Pbt Halim di depan sekali sebagai tinjau pertama, diikuti Tajuddin, Lkpl. Md Zaki, Ali dan aku di belakang sekali.

Baru berjalan lebih kurang 500 meter, tiba-tiba Halim memberikan isyarat supaya kami berhenti. Dia menunjukkan ke arah sesuatu di sebelah kiri pilot track itu. Tajuddin melintasi Halim dan melihat ada selonggok kulit binatang. “Bekas harimau makan ,” katanya. Dia terus melangkah ke depan, mendahului Lkpl. Zaki. Hatiku mula berasa tak sedap..seakan ada sesuatu yang tak kena..sementelah mula kedengaran bunyi monyet di sebelah kanan pilot track itu.Lebih kurang 100 meter ke depan, tiba-tiba kedengaran letupan kuat di hadapan, diikuti semburan dari sebelah kanan. Komunis!

“Allah!!!!Allah!!Allah!!!Aku kena Halim!!!” Kedengaran suara Tajuddin yang sudah terkena tembakan. Dengan tindakan refleks, aku melompat dan mengelongsor ke bahagian kiri track. Dapat aku dengar suara Ali mengerang di belakangku. Pandanganku kelam..dan aku terasa pedih di kening. Bila diraba, terasa ada cecair yang mengalir hingga ke pipi kanan. Topi hutanku tersangkut di duri pokok rotan. Di sekelilingku, selain suara mengerang rakan-rakanku, yang. kedengaran hanyalah bunyi tembakan.

Aku tercari-cari tempat berlindung, tapi nampaknya semuanya jauh ke bawah. Dengan semata-mata tawakkal, aku berlindung di rimbunan pokok rotan itu. Hanya Tuhan yang tahu apa perasaanku tika itu. Takut, sedih, geram – bercampur baur. Peluang untuk selamat dan hidup memang tipis sekali memandangkan musuh begitu ramai. Fikiranku buntu..tak tahu apa nak dibuat. Aku hanya menunggu arahan daripada Lkpl. Mad Zaki, tapi tak kedengaran pun suaranya. Aku memekik memanggilnya, namun tak ada balasan yang kedengaran. Peluru musuh bertebaran menghala ke arahku, dan yang mampu aku lakukan hanya mengelak ke kiri dan kanan.

Tiba-tiba kedengaran satu suara bertelo cina dan melayu siam.. “Hoi Melayu!Mana mau lali? Selah dili..talak selah dili..semua mampus!” . Makin resah hatiku mendengar kata-kata itu. Aku mengambil sekepal tanah merah..kuusap ke muka dan aku berdoa . “ Ya Allah..kalau sampai ajalku hari ini..biarlah mukaku sempurna. Dada bersarang peluru aku rela..namun menyerah tidak sekali!”

Aku bertekad. Sebelum mati, dapat bunuh musuh seorang pun jadilah. Biar mati melawan.. namun aku takkan berganjak dari situ. Biarlah aku gugur bersama rakan-rakanku.

Tiba-tiba kedengaran suatu benda dibaling oleh musuh berhampiran kedudukan Halim. Suara Tajuddin yang mengerang tadi sudah hilang. Rupanya penderitaannya sudah berakhir. Dalam otakku, tak ada benda lain yang aku fikir, melainkan yang dibaling tadi pasti bom tangan. Halim pun pasti berfikir begitu, menyebabkan dia mengelakkan diri. Malang sekali, rupanya yang dibaling itu adalah seketul batu. Sebaik ternampak pergerakan Halim, musuh mula menyemburkan tembakan ke arahnya. 6 butir peluru menembusi badan dan lengannya.

“Allah..Allah..Lias..aku kena tembak Lias…” rintihnya. Namun aku tak dapat melakukan apa-apa, kerana kedudukanku di bawah sedangkan musuh di atas. Menembak secara membuta akan hanya membazirkan peluru dan mendedahkan kedudukanku.Aku tidak dapat pergi membantu Halim walaupun hatiku pedih mendengar rintihannya memanggil aku meminta bantuan, kerana aku sendiri berada dalam serangan.

Lebih kurang jam 1140, tembakan bantuan mula sampai ke kedudukan kami di kiri dan kanan. Namun, musuh yang mungkin sudah terasyik dengan kejayaan mereka menyerang hendap kami tidak juga lari. Sehingga lebih kurang jam 1245, aku dengar ketukan kayu-kayu kecil bertalu-talu dari musuh, diiringi suara mereka menjerit “Asi..masi..asi..masi..asi..masi.”.

Tiba-tiba, terdengar bunyi senjata dicekah dan ditembak ke bumi. Aku cukup arif dengan bunyi senjata yang juga aku gunakan itu, iaitu SLR 7.62mm. Ya Allah..bagai gugur jantungku bila mengenangkan, itu pasti arwah Ali yang ditembak lagi meskipun sudah tidak bernyawa. Makin mendidih darahku..

Dalam kekalutan itu, aku terpandang 2 orang musuh berlari-lari anak di antara pokok-pokok di sebelah kiriku. Begitu taktikal sekali pergerakan mereka. Pergerakan mereka itu aku ikuti dengan laras senjataku. Tiba-tiba saja mereka hilang dari pandangan. Jantungku mula berdebar. Ya Allah..matilah aku, bisik hati kecilku. Entah dari mana, tiba-tiba muncul seoarng komunis lelaki dengan laras M16nya terhunus. Matanya meligas mencari kedudukanku, pasti sedang mencari aku untuk dikorbankan kepada muncung senjata itu. Aku nampak jelas mukanya – bajunya berwarna hijau dan dia tidak bertopi dengan pouches di pinggang hadapannya. Orangnya kurus. Tanpa membuang masa, aku menghala senjata ke arahnya. Dengan lafaz Allahuakbar, aku lepaskan 2 tembakan.

Dam.Dam.

Dia tercampak ke belakang dan sempat melepaskan tembakan rambang sebelum mengelupur dan perlahan-lahan diam. Perasaan puas mula menjalar di segenap sanubariku. Urat-uratku seakan kembali diserap semangat yang datang entah dari mana dan ketakutan berhadapan kematian mula hilang. Aku menunggu peluang menjatuhkan seorang lagi.

Kemudian aku dengar suara seakan-akan seorang perempuan memanggil-manggil sambil terhendap-hendap di celah pokok. “See Meng..See Meng..See Meng..” Mungkin dia sedang memanggil kawannya yang tumbang tadi. Kemudian aku nampak dia berlindung di sebalik sebuah busut jantan. Laras senjatanya kelihatan disisi busut itu, sementara kepalanya di belakang busut itu.

Aku mula mengarahkan senjataku ke arah busut itu pula. Aku yakin, senjataku itu mempunyai kemampuan menembusinya. “Tam!Tam!”…diikuti bunyi mengeruh dan menggelupur seperti ayam disembelih, sebelum senyap. Alhamdulillah..musuh kedua tumbang ditanganku.

Tiba-tiba terdengar suara garau dari atas bukit bercakap dalam bahasa cina, mungkin memberi arahan kepada pasukan itu dan mencari 2 rakan mereka yang telah hilang. Ketika itu, aku nampak 3 orang PGK di sebelah kananku. Seorang daripadanya menunjuk-nunjuk kepada sesuatu, dan salah seorang daripada mereka menuju ke arah yang ditunjukkan itu. Mulanya, aku menghala senjata ke arah mereka. Namun, mata yang dimasuki darah yang semakin kabur membuatkan aku mengubah niatku. Ia membuatkan aku hampir tak dapat membezakan hijau baju mereka dan warna hijau pokok pisang hutan yang berada di situ. Sementelah pula, aku berada dalam kedudukan mengiring dan mereka berada dalam jarak 300 meter di celah-celahnya. Pasti sasaranku akan tersipi dan mendedahkan kedudukanku.

Bila aku cuba lihat semula, mereka sudah hilang daripada pandangan. Hatiku kembali cemas. Dengan pandangan yang semakin kabur..apa kemungkinan yang bakal terjadi?

Tanpa disangka, seorang musuh tiba-tiba muncul di depanku dengan muncung karbinnya menghala ke arahku. Terkedu aku dibuatnya. Matanya tepat menghala ke arahku dalam jarak antara 15 ke 20 meter. Sekilas datang idea di kepalaku. Aku membatukan diri dan membeliakkan mata..berpura-pura mati. Dia sangkakan aku memang benar-benar sudah mati lalu dia menghampiriku. Tanpa membuang masa, aku lepaskan 2 butir tembakan dari SLR yang berada di pinggangku tanpa menenang terlebih dulu. Akibat tembakan itu, dia tertolak ke belakang dan sempat melepaskan tembakan rambang sebelum jatuh ke dalam semak. Alhamdulillah..musuh ke-3 telah tumbang.

Kalau diikutkan, perasaan takut menguasai diri dan harapan untuk hidup memang sangat tipis, memandangkan begitu ramai musuh pada ketika itu. Namun, alang-alang menyeluk pekasam… kalau mati sekalipun, hatiku puas kerana dapat menjatuhkan sebanyak mana musuh durjana yang mampu.

Aku kembali mendengar suara Halim merintih kesakitan..”Allah..Allah..Allah..”. Hatiku bertekad..Aku akan pertahankan tempatku ini hingga ke titisan darah terakhir. Rasa kesal, dendam, geram, sedih..semuanya bercampur baur ketika itu.

Aku tertanya… dimanakah rakan-rakan pasukan daripada 11 Inf Wataniah yang ramai di pos 6 ketika itu? Kenapa mereka tidak datang membantu sedangkan mereka mempunyai senjata M16 dan GPMG yang jauh kuat berbanding SLR aku ini? Kesedihan menyelubungi hatiku kerana tak mampu menyelamatkan rakan-rakanku yang gugur, iaitu Tajuddin dan Ali, dek kerana aku terkepung oleh musuh.

Sehinggalah jam lebih kurang 1445, aku mendengar musuh menembak menggunakan Lancer M79 40 mm ke bawah gaung dan ke arah Tek pos 5 – tempat kami sepatutnya mengambil catuan makanan. Tembakan pertama, kedengaran bunyi “pup!” sebaik peluru keluar daripada laras. Letupan hanya kedengaran selepas tembakan kedua setelah ia mengenai sasaran.

Makin lama, semua bunyi semakin perlahan dan diikuti oleh ketukan kayu kecil bertalu-talu dan suara musuh melaung “ Asi masi..asi masi..asi masi..”. Akhirnya ia hilang terus daripada pendengaran. Aku yakin mereka telah berundur dan lari mengikut permatang bukit itu menghala ke Selatan Thailand.

Secara ringkas, dalam pertempuran itu :

Gugur sebagai Pahlawan Negara :

  1. Allahyarham Pbt Ali B Hassan
  2. Allahyarham Pbt Tajuddin B Mansor

Cedera parah

  1. Pbt Abdul Halim B Hassan

Cedera ringan :

  1. LKpl Md Zaki B Shamsuddin

Musuh tewas

  1. 1x PGK wanita
  2. 2x PGK lelaki

Senjata dirampas

  1. 2x M16
  2. 1x carbine

3.3x grenade

Barang rampasan :

  1. wang siam dan Malaysia – nilai RM1800.00
  2. 600x peluru

Apa yang berlaku selepas serangan itu? Kenapa tak ada bantuan dikirim kepada kami? Kalau diikuntukan, jarak kumpulan anggota 11 MTA yang berehat di pos 6 bukanlah jauh sangat – lebih kurang 800 meter sahaja. Kalau di dalam hutan, bunyi tembakan di jarak 2000 meter masih boleh didengar jelas.Di pos 5, 7 dan 8 pun dikatakan mereka boleh dengar – macam mercun raya cina kata mereka. Jadi aku tak faham mengapa mereka tak membantu.

Bila aku yakin komunis telah melarikan diri baru lah aku membuka pek dan mendapatkan Halim yang cedera . Dua tiga kali aku membaling batu kecil ke arahnya, memberi isyarat yang aku akan mendekati nya – takut- takut dia terkejut dan tertembak aku . Bila dia perasan, aku dengar suaranya yang sayu berkata..“Lias.. hati hati booby trap .”.

Aku sebak bila memikirkan, walau dalam saat begitu, beliau masih ingatkan aku yang masih mentah dalam dunia ketenteraan ini . Aku pandang sekeliling kawasan tanah merah itu – tak pasti ada atau tidak jerangkap samar yang dikatakannya. Tapi, pandanganku tidak mengesan sebarang ancaman, lalu Aku merangkak mendapat kan beliau .

Ya Allah… muka dan perutnya berlumuran darah merah hingga bertukar ke warna merun. Dia memeluk aku membuatkan aku hampir nak pitam. Inilah kali pertama kejadian sebegitu berlaku padaku dan aku terkial-kial menahan hanyir bau darah itu. Malah menengok darah yang begitu banyak tu pun meninggalkan kenangan yang tak dapat aku lupakan. Rasa nak terkeluar muntah, namun aku telan balik. Kalau tidak, dah tentu muntah aku kena ke muka dan badan Halim. Bayang kan seksanya ketika itu – masam pahit dendam geram aku telan.

“Lias.. jangan tinggal kan aku.. nanti aku pi tak dan nak mengucap..” rintih Halim.

“Kalau aku pi.. sampaikan salam pada isteri aku dan anak anak ya Lias.”

Aku tak dapat menahan perasaan sebak mendengar kata-katanya itu.. lalu aku menangis semahu- mahunya sambil memeluknya. Tuhan saja yang mengetahui perasaan aku yang tak tentu arah – antara sedih, geram, dendam, dan tak dapat nak diluah kan perasaan aku ketika itu .Waktu itu hatiku masih tidak yakin musuh sudah berundur.

Setelah aku ikat perut Halim dengan tuala hijaunya, aku memberitahu nya, musuh dah aku tembak mampus 3 orang. Dengan wajah yang tenang dan gembira dia lepas kan aku daripada pelukannya. Lantas, aku merangkak untuk mengambil topi hutanku yang tersangkut di duri rotan di tebing pilot track. Aku berada dalam kedudukan kaki ke bawah dengan senjata bersedia di kedua tangan. Tekad di hatiku, kalau nampak lembaga, akan aku tembak.

Pada jam lebih kurang 1600, kelihatan 4 lembaga di sebelah kiriku, menghampiri dari arah pos 5. Tanpa membuang masa, aku menenang ke arah kepala lembaga manusia itu yang aku sangka komunis. Tapi, nasib baik aku ternampak ada alat di telinga kiri kanan mereka. Di tangan mereka ada alat seakan penyedut vakum . Mine detector! Lantas aku menjerit, “ Orang kampung !”.

Mendengar jeritanku, mereka segera melompat dan meniarap.

“ Op! Op! Siapa kamu?” Mereka melaung.

“ Aku Pbt. Alias dari Askar Wataniah Tuan!” balasku

“ Jangan banyak begerak.. booby trap banyak!” sahut mereka.

“Tolong tuan.. kawan aku cedera parah !” Aku menjerit lagi.

“ Sabo… sabo… sabo..” katanya.

Di dalam hati, aku hanya mampu berdoa. Cepatlah mereka datang selamatkan kami. Tak sanggup dan tak rela aku melihat Halim yang makin lemah dengan darah yang masih membuak-buak keluar dari lukanya.

Lebih kurang jam 1745, lebih kurang 20 ke 30 orang datang membantu dari Pos 5 – tempat tek D kompeni 11 MTA . Yang sedihnya ada diantara kumpulan tersebut pergi menjemput kumpulan yang ada di pos 6 tanpa mempedulikan kami. Yang sungguh aku kesalkan adalah tindakan mereka yang tidak berani membantu kami semasa diserang hendap dan dikepung komunis jahanam itu. Niat mahu melepaskan geram dengan menembak kawan- kawan yang pengecut itu tidak kesampaian setelah senjata aku diambil oleh salah seorang anggota – Pegawai Waran atau Sarjan, aku tak pasti .

Yang mampu aku lakukan hanya meraung semahu- mahu nya bila seseorang memeluk aku. Pilu rasanya mengenangkan bagaimana rakan-rakanku terbunuh di depan mata, dan ada yang hanya selamat tapi mungkin tak mampu hidup lagi selepas ini, dek kerana tindakan sebilangan anggota pasukan yang pengecut. Fahamlah aku adat dunia – tak semua yang menyarung seragam pasukan itu mempunyai keberanian dan kesanggupan mempertahankan rakan bila berada dalam keadaan yang genting.

Di mana-mana saja akan ada manusia-manusia sebegini – yang sembangnya kencang, tapi bila berdepan dengan keadaan sebenar, dialah yang akan terlebih dulu melarikan dan menyelamatkan diri. Bagaimana kalau mereka yang terperangkap?Bagaimana kalau mereka yang ditembak dan tersiksa menanti bantuan?

Peristiwa itu bukan saja meninggalkan parut di keningku..tapi lebih utama, meninggalkan parut mendalam di hatiku…

Bila senjata aku diambil , aku telah ditanya, “Siapa ketua kamu yop ?”. Lantas aku kata “ Koperal Zaki Tuan”. Lalu mereka pun memanggil, “Koperal Zaki !Koperal Zaki !Koperal Zaki!”. Tiba- tiba di jarak 100 meter, aku nampak Koperal Zaki dalam keadaan terhoyong- hayang meluru ke arahku. Dia menerpa dan memelukku. Nampaknya dia cuba berkata sesuatu sambil menunjuk ke arah senjata SLRnya.

Aku nampak senjata itu mengalami kerosakan. Kelopaknya telah ditembak tapi tidak boleh dikeluarkan dan tak boleh menembak lagi. Dia menunjukkan belakang badannya yang bercalar ditembak komunis. Ketika itu, aku tidak faham apa yang dikatakan sebab ketika itu aku jadi kaku. Cuma air mata mengalir bersama darah dari mata kananku yang cedera itu. Aku menangis sekuatnya sambil memberitahunya, “Kpl.. AbangTajuddin dan Abang Ali dah mati kpl..”. Aku faham.. siapa pun yang berada d itempat dan keadaan begitu akan mencari perlindungan dan menyelamatkan nyawa sendiri dahulu.

Kesedihan dan perasaan aku ketika itu tidak dapat aku gambarkan apabila melihat sendiri mayat arwah Tajuddin hancur pinggang dan peha, dan arwah Ali, kepalanya hancur dan dadanya penuh lubang peluru. Allahuakbar …bila aku lihat betapa kejamnya Komunis ketika itu. Sehingga kini, aku masih berdendam pada musuh durjana itu.

Selepas penerimaan pingat PGB

“Mereka yang cuba mengubah sejarah dan memutarbelitkan kisah, adalah sebab mereka tidak pernah merasa dan mengalami apa yang aku dan teman- teman seperjuangan yang lain alami. Begitu azab dan sensara menghadapi musuh dan betapa kejam dan zalimnya mereka. Sebelum aku diserang hendap, ada pasukan lain yang juga diserang oleh mereka . Komunis yang diketuai oleh Chin Peng gampang yang kini dah pun mampus… kekejamannya setiap kali berjaya membunuh pasukan keselamatan tak dapat digambarkan dengan kata-kata. Mayat yang ditinggalkan sungguh menyayat hati dan bertujuan menjatuhkan moral pasukan keselamatan ketika itu. Mereka bertindak memotong mayat sesuka hati mereka dan tambah sayu dan sedih apabila maaf cakap… kemaluan anggota dipotong dan dimasukkan kedalam mulut. Bayang kanlah betapa zalimnya komunis gampang itu….”

Ielias Ibrahim adalah satu-satunya anggota wataniah setakat ini, yang telah menerima Bintang Kehormat, Panglima gagah Berani (PGB). Bintang ini telah dikurniakan kepada beliau atas kejayaan membunuh 3 anggota komunis secara bersendirian di dalam insiden serang hendap di projek Lebuhraya Timur-Barat pada 15 Ogos 1977. Pingat ini telah dianugerahkan kepada beliau pada 29 Ogos 1977 oleh DYMMSPBYDA ke -6, Tuanku Yahya Petra (Sultan Kelantan). Pada 12 Disember 1977, beliau juga telah dianugerahkan Pingat keberanian Handal Perak (PKH) oleh Almarhum Sultan Idris Al-mutawakkil Allallahi Shah, Sultan Perak.

Pada 12 November 1977, beliau telah ditukarkan ke Batalion ke-14 MTA kem Batu Uban dan dinaikkan ke pangkat LKpl. Pada 1 Mac 1979 beliau telah diserapkan ke Batalion ke-9 Rejimen Renjer Diraja sbg Pegawai Waran 1. Jawatan terakhir beliau adalah sebagai RSM..=WRA=

* sumber : diceritakan sendiri oleh PW1(B) Ielias Ibrahim, ditulis semula oleh =WRA=

 

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Aenid Abdullah, berkelulusan B.Ed.TESL ( Hons.) daripada Universiti Of Exeter, United Kingdom dalam bidang Bahasa Inggeris adalah anak desa berasal dari sebuah desa kecil di Kedah. Meski sudah jauh merantau, beliau tidak pernah lekang daripada kesukaannya terhadap sambal belacan,durian,petai dan harum bumi Malaysia tatkala disimbah hujan. Kecintaannya yang paling besar adalah terhadap dunia pertahanan, senjata, motorsikal berkuasa tinggi dan aktiviti-aktiviti mencabar.

Leave A Reply