Catatan Dari Perbatasan – Kapten Hardev Singh

0
2519
views

Kalau diceritakan tentang perjuangan zaman Insurgensi (1968-1989), akan ada sesetengah pembaca yang mencemik. Kata mereka, “Benda dah lepas, nak ingat-ingat apa lagi dah..” ataupun “Ahh..itu cerita lama. Buat apa nak ungkit-ungkit. Sekarang ni kita berperang bukan dengan senjata, tapi berperang bab ekonomi..”

Bab-bab sebegini, saya tak mau komen. Yang saya tumpukan, adalah kisah perjuangan anak bangsa ketika itu, di sebuah negara yang masih bertatih menikmati kemerdekaan yang secara relatifnya baru dinikmati. Ketika itu, ada anak-anak bangsa yang sanggup mengorbankan usia remaja dan muda mereka dei menumpahkan bakti – bukan untuk diri mereka sendiri, sebaliknya untuk warisan bangsa yang pada satu hari (seperti sekarang), tidak akan ingat pun nama mereka.

Kenapa? Kerana pada hari ini, ketika kisah mereka semakin pudar di celah lipatan masa, ada pula yang berusaha bersungguh-sungguh mengangkat kisah musuh yang satu ketika dulu membuat onar di bumi ini. Sanggup puak-puak ini merantau sekian jarak, kononnya demi menyelak lembaran sejarah yang terpesong dek mereka “yang menang”(kitalah tu), malah usaha mereka didanakan pula oleh puak tertentu yang mahu sejarah itu diterbalikkan, dan mereka – meski kalah, diangkat sebagai wira sebenar.

Antara cabaran tergetir pernah dihadapi oleh pasukan keselamatan kita, adalah semasa Op Kota di Gubir. Gubir sememangnya tercatat sebagai antara medan paling berdarah sepanjang peperangan ketika itu. Terletak di sempadan Kedah-Thailand, ia menyaksikan sekian banyak anak bangsa yang kehilangan nyawa dan anggota badan mereka. Saya rasa, mungkin tak keterlaluan kalau saya miripkan suasana di situ ketika itu dengan Normandy semasa Perang Dunia Kedua. Ada kisah yang sempat dikedepankan, dan ada pula yang hanya luput ditelan masa. Antara manusia yang tumpah jasanya di situ ketika itu, adalah mendiang kapten Hardev Singh.

Tarikh 7 April 1975, jam 1640 (4.40 petang), mencatat sejarah hitam apabila satu seranghendap dilancarkan oleh pihak musuh ke atas konvoi 3x kenderaan yang membawa 1x platun daripada Kompeni Delta, pasukan 7 Rejimen Renjer Diraja (RRD) diketuai oleh Lt.M. Syed Ikmal Hashim. Mereka sedang dalam perjalanan balik selepas penyerahan tugas kepada Platun 9, Batalion ke-13 Askar Wataniah di Mong Gajah, dengan tujuan untuk singgah di Gubir dalam perjalanan ke Sg. Petani. Turut mengiringi mereka ketika itu adalah sebuah kenderaan tinjau berperisai Ferret daripada Skuadron B, 2 Rejimen Tinjau. 2x daripada kenderaan tersebut diserang teruk, sehingga mengorbankan lebih aripada 6x anggota.

Antaranya adalah Pemandu Hussain daripada Platun C , 20 Kompeni Angkut. Menurut Hj. Othman Md Saat yang ketika itu bertugas di Kem 6 Briged Sungai Petani,Kedah, sebaik konvoi kecil itu melalui kawasan tersebut yang terletak tidak jauh daripada Kem Gubir, tembakan merudum dilepaskan. Banyak yang terkena tembakan sebaik mereka melompat turun daripada trak – seorang demi seorang. Pemandu trak – rakan kepada Hj. Othman, daripada 20 Kompeni Angkut, merupakan antara dua pemandu yang turut menjadi mangsa. Kulit kepala beliau terkoyak dalam serangan itu. Seorang anggota yang membawa Ferret juga telah terputus empat jarinya ketika tertutup tingkap pemerhati kecil di bahagian pemandu dengan kuat. Akibatnya jarinya tersangkut, lalu terus terkapit serta- merta ketika cuba melindungi diri daripada tumpuan tembakan ke arah tingkap kecil tersebut.

Ketika itu, cuacanya gelap dan bumi disiram hujan lebat. Pergerakan itu menyaksikan kenderaan Ferret tersebut berada pada kedudukan paling belakang, menyusuri ketiga-tiga trak 3 tan itu. Hanya selepas 15 minit perjalanan – ketika trak pertama sampai ke kedudukan GR 186800 dan sedang mendaki satu tebing, satu serangan tiba-tiba menghujan konvoi tersebut dari tiga arah berbeza. Trak pertama terhenti di sebelah kanan jalan balak itu apabila dihentam satu tembakan peluru 40 mm daripada pelancar grenad M79 yang mengenai bahagian bonet hadapannya. Trak kedua turut terkena tembakan, lalu terhenti pada kedudukan kira-kira 25 ela daripada trak pertama. Meski terkejut, tanpa berlengah, anggota-anggota yang ada di atas trak segera membalas tembakan. Syed Ikmal sendiri sempat melemparkan dua ketul grenad ke arah musuh.

Menyedari situasi kelam-kabut itu, pemandu trak ketiga menghentikan kenderaan itu kira-kira 400 meter di belakang trak kedua yang masih dihujani tembakan. Ketua kenderaan Ferret segera dimaklumkan keadaan tersebut, dan ia segera meluru ke hadapan untuk memberi perlindungan kepada kedua-dua trak yang tersekat di dalam serangan tanpa duga itu. Namun, nasib tidak menyebelahi mereka. Meski keadaan kenderaan tersebut berperisai, ternyata serangan tertumpu dan bertali arus daripada musuh telah menyebabkan kenderaan Ferret itu menjadi tidak efektif. Musuh ternyata mendapat kedudukan sempurna kerana mereka berada di tanah tinggi di tepi jalan tersebut. Bantuan daripada Ferret tersebut gagal, malah radio dan antenanya juga musnah dek serangan bertali arus, menyebabkan mereka tidak dapat meminta bantuan. Malah, senjata mesingan Browning pada kenderaan tersebut juga telah ditembusi sebutir peluru musuh.

Sungguh, rancangan licik itu begitu teliti. Seorang demi seorang anggota yang turun mencari perlindungan menjadi mangsa peluru tidak bermata. Mayat mereka bersusun di bawah trak seperti sardin. Hanya seorang saja yang terselamat, kerana tindakannya menunggu di atas trak sehingga bantuan tiba. Melihat serangan menghujani rakan mereka, anggota-anggota daripada trak kedua di belakang trak tersebut, membalas serangan itu, meski mereka sendiri terhimpit. Bukit di kedua belah jalan tanah merah itu dihujankan dengan tembakan, meski mereka sendiri tidak nampak kelibat musuh di dalam serangan yang bertali arus itu. Ditibai dengan serangan balas, musuh akhirnya berundur seperti anjing bercawat ekor, melalui terowong jalan tikus ke Sempadan Thailand (terowong inilah yang dimusnahkan oleh pasukan kita seperti dalam kisah 18 vs 300 sebelum ini). Usai pertempuran itu, ketibaan pasukan bantuan menemui suasana pilu yang tertinggal. Pemeriksaan mendapati banyak kayu-kayu bercabang yang dicacak oleh musuh untuk meletakkan laras senjata mereka bagi mendapatkan tenangan tepat ke atas pasukan kita yang disasarkan. Terdapat juga kuih pau yang masih suam – tanda betapa musuh sudah bersedia di lokasi serangan itu. Mereka yang terkorban diterbangkan ke Kem Sungai Petani untuk disempurnakan. Buat sekian kalinya, parit madrasah kem pada petang itu menyaksikan airnya menjadi merah seperti sirap ketika jenazah-jenazah itu dimandikan.

Waqaf Saham

Melihatkan ia tidak mampu memberikan bantuan kepada kedua-dua trak yang sedang berada dalam situasi cemas itu, kenderaan Ferret tersebut cuba dipecut untuk meminta bantuan daripada Markas di Gubir. Namun, ia digagalkan pula oleh tembakan grenad M79 yang telah menembusi plet besi yang melindungi bahagian enjinnya. Di belakang kenderaan Ferret itu, anggota daripada kedua-dua trak yang terhimpit dek serangan, cuba mencari perlindungan di bahagian sisi trak mereka. Trak ketiga sementara itu, cuba maju bagi memberikan bantuan kepada rakan-rakan mereka, namun mereka juga dihujani pula oleh serangan. Ia membuatkan kedudukan mereka terputus daripada rakan-rakan yang memrlukan bantuan. Musuh nampaknya benar-benar nekad untuk mengorbankan kedua-dua trak yang berada dalam lingkungan tembakan efektif mereka itu. Kedudukan mereka di atas tebing menyebabkan mereka memiliki kelebihan taktikal ketika itu. Trak pertama terutamanya, menjadi mangsa korban. Kebanyakan mangsa datangnya daripada trak malang itu. Syed Ikhmal Hashim sendiri berdepan keadaan getir bila salah seorang musuh yang turun daripada tebing, siap sedia mahu mencantasnya dengan menggunakan parang. Namun, seorang musuh wanita telah menghentikan tindakan tersebut – “Biar dia hidup dan ceritakan apa yang dah terjadi”, katanya.

Situasi ketika itu memang sangat genting. Meski dihimpit daripada segenap arah, ternyata anggota pasukan keselamatan kita tidak mudah menyerah kalah dan nekad berjuang habis-habisan. Kenderaan Ferret yang sudah tidak lagi dapat bergerak telah diserbu oleh musuh. Kru yang berada di dalamnya telah mengunci pintu kenderaan itu, dan memusingkan laras turret ke serata arah untuk menjatuhkan musuh yang cuba memanjat. Ada di antara musuh yang cuba membuka pintu kenderaan itu dan melemparkan grenad ke dalamnya. Mujurlah usahanya gagal. Kalau tidak, pasti kru yang berada di dalamnya turut terkorban. Pada ketika yang sama, anggota-anggota daripada trak ketiga cuba sedaya upaya membalas tembakan kembali. Meski menerima balasan tembakan yang jauh lebih berat, mereka tidak berhenti. Musuh ketika itu ternyata tidak dapat menghampiri trak kedua dan ketiga itu. Anggota yang terperangkap di trak kedua berada dalam kedudukan di mana trak ketiga mampu memberikan tembakan perlindungan yang berkesa. Sudahnya, trak pertamalah yang menerima hentaman tidak henti. Selama 25 minit, anggota pasukan terpaksa berjuang demi nyawa mereka. Hanya sekitar jam 1715 (5.15 petang), musuh berundur. Berita tentang seranghendap itu telah sampai ke Gubir. Dua platun daripada Kompeni C, Batalion ke-13 Askar Wataniah sampai ke lokasi – lewat selama 45 minit, dan menemui 6x anggota telah terkorban. 8x pula cedera parah.

Siasatan kejadian kemudiannya mendapati bahawa musuh telah pun sebulan merancang serangan itu. Mereka telah merancang segalanya dengan sempurna – malah, telah meneka dengan tepat kedudukan perlindungan yang akan dicari oleh anggota pasukan yang mencari perlindungan. Kesemua laluan keluar yang mungkin diambil oleh anggota pasukan juga telah dipasang jerangkap samar. Ketiga-tiga kedudukan serangan telah ditetapkan supaya ia mampu menghasilkan tembakan berkekuatan maksima ke atas konvoi tersebut. Mereka juga telah merancang tempoh serangan itu. Sebaik dilancarkan, mereka harus segera memastikan kerosakan sebanyak yang boleh. Kalau mereka berlambat, bantuan yang tiba akan membuatkan mereka sendiri terperangkap. Sebelumnya, pertempuran secara berdepan dengan pasukan keselamatan tidak pernah menyebalahi mereka. Maka, ia adalah sesuatu yang cuba mereka elakkan dalam seranghendap itu.

Lt.M. Syed Ikhmal Hashim sendiri terselamat, namun mengalami kecederaan. Beberapa tahun kemudian, beliau meninggalkan perkhidmatan. Beliau kemudiannya menyertai pasukan Wataniah sebagai Pegawai Sukarela. Saya tidak mempunyai senarai lengkap mereka yang terkorban (kalau ada yang tahu, bolehlah hubungi saya), namun daripada cerita yang saya dapati, suasana yang tertinggal selepas pertempuran tersebut nyata sangat menyayat hati. Anggota-anggota pasukan keselamatan kita bertindan di bawah trak yang diserang itu. Ada yang cedera berlumuran darah. Ada yang sudah berhenti bernyawa. Salah seorangnya – anggota RRD, ditemui dengan tangan masih memegang senjata dan dalam kedudukan membalas serangan. Pada ruang peluru di senjatanya, tersangkut satu kelongsong kosong yang telah mengakibatkan tembakannya tersekat. Dalam dia cuba melepaskan halangan itu melalui TSM (tindakan serta merta), nyawanya melayang hanya dalam beberapa saat.

Adat berpasukan – cubit paha kanan, paha kiri terasa juga. Berita seranghendap itu ternyata membuatkan pasukan keselamatan kita diselubungi emosi marah. Pihak 6 Briged merancang satu operasi bagi memburu kumpulan musuh yang aktif di kawasan itu secara besar-besaran. Makin dibiarkan, makin melampau mereka. Ketika pasukan keselamatan terpaksa mematuhi segala aturan dan undang-undang, musuh pula selamba boleh bertindak ikut suka, dan bila terhimpit, pandai pula menyebut tentang undag-undang peperangan yang memberikan mereka perlindungan (dah macam main polis sentri..siap boleh cop untuk mendapatkan rehat). Namun, belum sempat ia dilancarkan – tiga hari selepas insiden serang hendap itu, Pegawai Perisik atau IO Briged tersebut yang bernama Kapten Hardev Singh telah terkorban ketika mengetuai sebuah pasukan pendahulu. Beliau ketika itu menaiki sebuah kenderaan Land Rover yang telah dibuang pintu kiri dan kanan serta tailboardnya (supaya senang terjun kalau-kalau berlaku serangan), disertai oleh konvoi trak yg membawa satu kompeni daripada pasukan 17 RAMD (Rejimen Askar Melayu Diraja). Namun, nasib malang sedia menunggu mereka.

Mengikut catatan Mejar (B) Nor Ibrahim bin Sulaiman TUDM, beliau ketika itu ditugaskan untuk membuat penghantaran keluar/masuk trup (Troop lift) pasukan Tentera Darat yang beroperasi di Kem Gubir. Pagi itu, sebelum memulakan tugasnya, beliau sempat bersarapan dengan Hardev – yang merupakan rakan selatihan beliau semasa di Maktab Tentera Diraja, di Mes Pegawai 6 Briged. Hardev memberitahu yang beliau juga dalam perjalanan ke sana, dan akan bertemu dengannya nanti. Selepas sarapan, beliau meneruskan tugasnya. Sejurus selepas beberapa kali penerbangan (sortie troop lift/TL), ketika beliau baru hendak berhenti sekitar jam 1100, bunyi tembakan merudum daripada kawasan berdekatan Kem Gubir. Tidak lama kemudian, sebuah Land Rover yang ditembusi peluru, meluru masuk ke kem. Mengikut pemandunya yang berada dalam keadaan cemas, konvoi ke kawasan operasi telah diserang hendap. Kapten Hardev Singh turut terkorban, katanya.

Setelah pasukan bantuan tiba dan kawasan tersebut disahkan selamat, Tuan Nor Ibrahim (ketika itu Kapt. (U)) telah diarahkan mengikut pesawat Nuri lain yang juga terlibat dalam TL sebagai penunjuk arah, untuk mengambil mayat di situ. Usaha mengeluarkan jenazah terpaksa dilakukan secara winching oleh pesawat yang terapung, memandangkan di kawasan itu tiada tempat untuk mendarat. Beliau sendiri telah menarik mayat rakannya itu – Hardev, ke dalam nesawat, dan pada hari itu, pakaian beliau (flying suit) basah dengan darah rakannya yang baru saja pagi itu bersarapan bersamanya.

Menurut mereka yang terselamat, Kapt. Hardev mengalami kecederaan parah semasa serangan itu. Namun, dalam keadaan begitu, beliau masih mempamerkan semangat jitu anak juang, apabila masih sanggup mencabar musuh dengan kata-katanya apabila dipaksa menyerah. Keengganan beliau menyebabkan beliau kemudian dikerumuni dan hayatnya dihabiskan. Jenazah beliau ditemui di atas tanah, dengan 18 kesan tembakan jarak dekat, dan tangan yang hampir putus dan terkulai. Musuh kemudian lari dengan membawa bersama senjata, dan set radio. Yang terkorban dalam seranghendap itu adalah :

1) Kapten Hardev Singh – 6 Briged, asal Kuala Lumpur
2) Kpl. Mohd. Adzahar Mokhtar – Pasukan Peninjau 1, asal Beranang Hilir, Selangor
3) Perajurit Osman Zakaria – Pasukan Peninjau 1, asal Ipoh
4) Perajurit Kadir Sitam – Pasukan Peninjau 1, asal Gemas
5) Perajurit Zainuddin Ahmad – Pasukan Peninjau 1, asal Mantin

Selain daripada Allahyarham Osman dan Zainuddin, yang lan-lain sudah berkahwin. Malah, mendiang Hardev ketika itu baru saja 16 hari menyambut ulangtahun pertama perkahwinannya dengan Puan Kuldip kaur yang bertugas sebagai seorang setiausaha dengan MISC. Abangnya – Ranjit Singh, yang ketika itu berusia 30 tahun, juga bertugas dalam pasukan Tentera Darat. Mendiang Hardev penah bersekolah di SMK Cohcrane, sebelum menyertai pasukan Tentera Darat pada tahun 1968.

Bukanlah niat saya untuk mengungkit kisah hitam yang mungkin akan menyedihkan keluarga beliau dan lain-lain yang telah gugur sekiranya mereka terbaca nukilan ini, namun apa yang cuba saya sampaikan adalah betapa kemerdekaan dan kebebasan kita pada hari ini, bukanlah sesuatu yang mudah kita dapat dan pertahankan sepertimana yang dikatakan oleh ramai yang cuba mengubah sejarah. Ramai daripada kita tidak nampak, kerana kejadian itu berlaku dalam tahun 1975. Ia berlaku jauh daripada mata kalangan kita, maka ramai yang tidak tahu. Kebebasan ini dibina atas darah-darah pejuang yang segar mengalir, demi keengganan mereka menyerah kalah atau memberi laluan mudah kepada musuh untuk bertapak. Lihat saja keberanian yg dipamerkan oleh Kapt. Hardev hingga ke penghujung nyawanya. Ianya bukan tentang bangsa atau agama yg berbeza. Ianya tentang mendaulatkan tanah yang kita pijak dan langit yg kita junjung ini. Mereka boleh saja menyerah dengan alasan, namun itu tidak menjadi pilihan mereka, walau sehingga ke titisandarah terakhir…=WRA=

P.S: Nukilan ini diambil daripada pelbagai sumber. Sekiranya anda terlibat dengan insiden tersebut, atau mempunyai maklumat berkenaannya yang boleh ditambah, sila hubungi saya, supaya ia dapat direkodkan bagi tatapan generasi akan datang. Terima kasih di atas maklumat-maklumat yang mungkin saya lupa sebut sumbernya. Kepada mereka yang berkenaan, jika anda inginkan kredit bagi kisah yang anda ceritakan, sila hubungi saya juga.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here