Sesiapa yang pernah menonton filem adaptasi karya Alexandre Dumas, ‘Three Musketeers’ pasti akan mengingati watak antagonis Cardinal Richelieu yang digambarkan sebagai penjahat dan kuasa di sebalik takhta kerajaan Perancis.

Namun bagi pengamat sejarah politik dan Perancis secara khususnya, imej ‘the Red Cardinal’ tidaklah seburuk seperti yang dicanangkan Hollywood. Di Perancis, nama Richelieu dijulang sebaris dengan Napoleon Bonaparte kerana meletakkan Perancis sebagai kuasa utama Eropah. Bahkan, nama Richelieu begitu harum sekali dijulang di Universiti Sorbonne. Jadi siapakah beliau sebenarnya?

Dilahirkan ke dalam keluarga bangsawan Richelieu dari daerah Poitou pada 9 September 1585, Armand du Plessis membesar di dalam keadaan Eropah yang sedang edan dek peperangan antara golongan Katolik dan Protestan. Malah, Richelieu sendiri menjadi anak yatim pada usia 5 tahun setelah bapanya terkorban dalam French War of Religions.

Pada usia 29 tahun, beliau telah diundi bagi mewakili golongan agamawan daerah Poitou di dalam Estates General (Les États généraux), iaitu badan perundangan utama semasa zaman pra-Revolusi[1]. Di situ, tokoh kepimpinan beliau terserlah dan akhirnya dilantik mewakili Estet Pertama dalam memastikan kepentingan Estet Pertama terpelihara.

Pada waktu tersebut, Raja Louis XIII tidak mempunya kuasa mutlak kerana masih lagi berusia belasan tahun. Kuasa sebenar dipegang oleh ibu kepada Louis XIII, Marie de Medici yang berasal daripada keluarga Medici yang paling berpengaruh di Eropah. Marie de’Medici pula memberikan kebebasan kepada penasihat yang paling dipercayai iaitu Concino Concini untuk mengurus pentadbiran negara.

Terpesona dek karisma dan kemahiran pentadbiran Richelieu yang cuma berusia 29 tahun, beliau telah dilantik sebagai Ketua Almoner (serupa Pentadbir Harta Wakaf) bagi Ratu Anne of Austria oleh Marie de Medici. Bakat beliau juga amat disedari oleh Concino Concini. Pada usia 31 tahun, beliau dilantik sebagai Menteri Luar Perancis.

Namun Concino Concini amat dibenci oleh rakyat Perancis. Selain berketurunan Itali, beliau dilihat umpama kaduk naik junjung. Louis XIII yang membesar di bawah bayangan ibunya dan tindakan biadab Concini akhirnya membuahkan murka sang raja muda. Selang beberapa lama, Richelieu menyaksikan sendiri ‘palace coup’ rampasan pemerintahan kuasa dari Marie de Medici oleh Louis XIII pada tahun 1617.

Di atas jambatan berhampiran Istana Louvre di kota Paris yang masih kekal sehingga kini, Concini diserang oleh tentera kerahan Louis XIII dan disorak oleh seantero rakyat kota Paris. Badan beliau dicincang sehingga lumat dan dihumban ke dalam Sungai Seine. Isteri Concini hanya mampu melihat sang suami diperlakukan sedemikian rupa. Beliau akhirnya dihukum pancung dan dibakar badannya atas tuduhan mengamalkan sihir.

Semasa mayat Concini dirobek dan dicincang, Richelieu dikatakan berada di jambatan berkenaan di dalam kereta kudanya. Apabila dihalang para perusuh, beliau membuka pintu kereta sambal menjerit ‘Vive le Roi!’ sambal disorak semua perusuh. Keringat membasahi badan, Richelieu kini sedar bahawa ‘survival game’ di istana amat berbahaya. Dalam tahun yang mendatang, beliau membayangkan kehidupan beliau sebagai “closer to Zeus, and its thunder too”, yang membawa maksud ‘semakin hampir dengan Sang Penguasa, semakin dahsyat permainan politik’.

Semasa rampasan kuasa 1617 tersebut, Richelieu kehilangan portfolionya. Namun, dek kerana beliau kekal meneruskan persahabatan beliau bersama proksi pro-Louis XIII semasa pentadbiran Concini – Richelieu kekal sebagai salah seorang pentadbir kerajaan Perancis. Namun lumrah politik, beliau hilang kepercayaan kerajaan baru. Umpama penjawat awam yang tidak mendapat restu sang menteri, Richeliu ‘dipindahkan’ untuk berkhidmat sebagai ‘SUSK’ kepada Marie de Medici yang dihalau keluar dari Paris dan menetap di Blois.

Semasa terbuang, Richelieu menggunakan kemahiran diplomasi beliau untuk menyelamatkan semula kedudukan beliau. Kemahiran beliau nyata terbukti apabila Richelieu berjaya meredakan ketegangan antara sang ibu (Marie) dan anak (Louis). Ketika itu juga Louis XIII amat memerlukan kepakaran Richelieu bagi mengukuhkan pentadbiran beliau yang mula goyah.

Richelieu kembali sebagai salah satu penasihat Kerajaan Perancis pada tahun 1621. Daripada seorang pentadbir yang dianggap ‘pensabotaj utama’, Richelieu akhirnya dilihat sebagai aset utama Kerajaan Perancis. Pada tahun 1622, Louis XIII sendiri telah menulis kepada Pope Gregory XV untuk menaikkan pangkat beliau sebagai Kardinal – dan diperkenankan. Pada tahun 1624, beliau dilantik sebagai Perdana Menteri Perancis (principal ministre d’État).

Semasa pentadbiran beliau, Cardinal Richelieu giat memperkemaskan pentadbiran birokrasi Perancis dan memusatkan pentadbiran kerajaan Louis XIII di Paris. Sungguhpun seorang yang memahami prinsip moral dan berfahaman Katolik, beliau sedar bahawa realiti pentadbiran dan politik memerlukan tindakan yang pragmatik dalam percaturan kenegaraan. Malah, Richelieu berkata “nothing is as dangerous for the state as those who would govern kingdoms with maxims found in books”.

Atas sebab pragmatisme juga Perancis bekerjasama dengan kerajaan-kerajaan Protestan bagi menghakis kuasa pentadbiran Habsburg, iaitu kuasa utama Eropah pada ketika itu yang berfahaman Katolik. Dengan ‘grand plan’ untuk menjadikan Perancis sebagai kuasa utama, beliau telah bersekutu bersama Sweden (Protestan) untuk menumpaskan Sepanyol (Katolik) dan melemahkan Habsburg.

Bahkan, beliau turut bersekongkol dengan kuasa-kuasa Protestan iaitu Belanda, Denmark, Inggeris dan Kerajaan Palatinate bagi melemahkan Holy Roman Empire. Percaturan realis beliau ini akhirnya telah menimbulkan kemarahan Pope Urban VIII dan juga Marie de Medici sendiri. Perancangan geostrategik Cardinal Richelieu akhirnya membuahkan hasil, apabila Perancis menjadi kuasa utama Eropah di bawah pentadbiran Louis XIV.

Sebagai seorang pragmatis yang berkecenderungan nasionalis, Cardinal Richelieu telah menubuhkan Académie française, iaitu badan autoriti Bahasa Perancis pada tahun 1645. Peranan yang dimainkan serupa dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) iaitu dalam memastikan standar bahasa kebangsaan terjaga dan terpelihara.

Sekiranya DBP mempunyai Munsyi Dewan, pakar bahasa di Académie française pula dikenali sebagai ‘les immortels’ (the immortals). Seperti DBP, Académie française juga senasib kerana dituduh ‘lapuk’ dan diperkecilkan golongan liberal kerana memperkenalkan perakataan yang dirasakan ‘janggal’ bagi menggantikan perkataan-perkataan popular dalam Bahasa Inggeris.

Berbalik kepada Richelieu, beliau dilihat sebagai seorang yang benar-benar berkhidmat kepada kesatuan entiti Perancis, dan bukannya personaliti politik. Secara peribadi, Richelieu amat menekankan kepentingan ‘order’ berbanding ‘chaos’. Bagi beliau, ‘order’ amat penting dalam memastikan pentadbiran dalaman Perancis berjalan dengan lancar. Keamanan dalaman Perancis juga membolehkan beliau mencongak dalam memastikan kekuasaan Perancis di Eropah berpanjangan. Sehingga kini, Perancis masih lagi satu kuasa Eropah yang disegani. Empayar Habsburg pula cuma menjadi nota kaki dalam sejarah Perancis.

Sumber:

  1. Blanchard, J., 2016. Éminence: Cardinal Richelieu and the Rise of France. 1st ed. London: Walker Books.
  2. Levi, A., 2000. Cardinal Richelieu: And the Making of France. 1st ed. Cambridge: Da Capo Press.

Nota Kaki:

[1] Berbading dengan Parlimen di mana pungutan suara para wakil adalah berdasarkan majoriti, undian di dalam Estates General adalah berdasarkan blok atau ‘estet’. Estet pertama merangkumi golongan agamawan Katolik, Estet Kedua adalah golongan bangsawan manakala wakil paling ramai adalah dari Estet Ketiga yang mewakili rakyat keseluruhannya. Sistem ini memastikan undian sentiasa berpihak kepada ‘establishment’ (Estet Pertama dan Kedua) berbanding suara majoriti (Estet Ketiga).


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Syed Nizamuddin bin Sayed Khassim merupakan pegawai tadbir dan diplomatik berkelulusan Ijazah dalam Pentadbiran Awam (Masters in Public Administration) dari Universiti Malaya. Beliau juga turut memperoleh Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Sains Pentadbiran dari UiTM Sarawak.

Comments are closed.