Cara Sultan Acheh Mencintai Baginda Rasulullah S.A.W

656

Sultan-sultan dan rakyat jelata di Alam Melayu telah dididik oleh para ulama untuk mencintai Rasulullah SAW. Kecintaan kepada Rasulullah SAW juga menjadi pembakar gerakan-gerakan jihad dalam sejarah penentangan penjajah di rantau ini.

Terdapat satu kisah menarik tentang cara Sultan Iskandar Thani di Aceh menunjukkan cara kecintaan baginda kepada Rasulullah SAW sebagaimana yang dinukilkan oleh Syeikh Nuruddin ar-Raniri, ulama penasihat Sultan Iskandar Thani di dalam Bustanus Salatin pada tahun 1638 M.

Sultan Iskandar Thani adalah putera kerabat diraja Pahang yang telah dibawa oleh Sultan Iskandar Muda ke Aceh. Menjelang kemangkatan Sultan Iskandar Muda, baginda telah berwasiat agar Sultan Iskandar Thani ditabalkan menjadi Sultan Aceh. Sebagai mana Sultan Iskandar Muda, Sultan Iskandar Thani juga dikenali sebagai sultan yang soleh.

Semasa zaman pemerintahan Sultan Iskandar Muda, baginda banyak memnafaatkan kepintaran jurutera-jurutera Daulah Uthmaniyah dalam membangunkan taman-taman yang indah di Banda Aceh. Pembinaan taman-taman ini berterusan pada zaman Sultan Iskandar Thani.

Salah satu taman yang dibina dinamakan sebagai Dewala Kandang. Sebagai lambang kecintaan baginda kepada Rasulullah SAW, Sultan Iskandar Thani telah mensyaratkan kepada sesiapa yang masuk ke Dewala Kandang tersebut hendaklah mengucapkan selawat ke atas Rasulullah SAW.

Dalam Busatnus Salatin, Syeikh Nuruddin ar-Raniri mencatatkan seperti berikut:-
“…dan Dewala Kandang itu diturap dengan batu putih, diukir pelbagai warna dan naqsh (ukiran)…..Dan barangsiapa masuk ke dalam kandang itu adalah ia mengucap selawat akan Nabi SAW. Dan adalah dewala yang di dalam itu beberapa beteterapan batu putih belazuardi, perbuatan orang benua Turki.”

Inilah salah satu tanda usaha sultan-sultan di Alam melayu dalam menjunjung kecintaan mereka pada Nabi SAW. Tatkala Rasulullah SAW dihina, saya berpesan kepada diri saya sendiri untuk perbanyakkan selawat ke atas Nabi SAW.

اللهم صل على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه اجمعين

Gambar: Pintu Khop, salah satu taman yang dibina oleh Sultan Iskandar Muda

Maktab Penyelidikan
Tamadun Alam Melayu dan Islam

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.