Cara Psikologi Melawan Komunis

1,136

https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Selain penentangan bersenjata melawan komunis di Tanah Melayu, pada 8 September 1955 adalah hari pertama bermulanya Tawaran Pengampunan Beramai-Ramai” (TPR), sebahagian agenda “winning hearts and minds” ketika Darurat Pertama.

Diumumkan oleh Pesuruhjaya Tinggi Tanah Melayu ketika itu, Sir Donald MacGillivray, TPR memujuk komunis keluar dari hutan dan kembali ke masyarakat yang sama mahukan sebuah negara yang (akan) merdeka dan ditadbir anak jati Tanah Melayu dan mahu sama hidup aman sentosa.

Dalam masa sama perarakan turut dianjurkan di pekan-pekan utama serentak oleh masyarakat berbilang bangsa Tanah Melayu. Lengkap dengan sepanduk dan kain rentang, mengedarkan hebahan dan menyatakan sokongan kepada inisiatif tersebut, selain memujuk komunis untuk keluar dari hutan.

Segenap rakyat dan orang awam ketika itu berarak dan bersatu atas keinginan sama; mahukan sebuah Tanah Melayu yang bebas merdeka dari ancaman komunis. Pekan-pekan “panas” yang menyumbang kepada statistik s3rangan dan sabotaj komunis adalah sasaran penganjuran perarakan ini.

Kuala Lumpur, Seremban, Melaka, Kedah Ipoh, Pulau Pinang, Seberang Perai, Kluang dan lain-lain pekan dan bandar utama turut sama menganjurkan perarakan besar-besaran ini.

Tidak cukup dengan edaran risalah rumah ke rumah, risalah turut dilepaskan dari udara di dalam hutan Tanah Melayu, supaya ia sampai tepat pada sasarannya; KOMUNIS. Lagipun, selepas PRU pertama Julai 1955, negara pasti merdeka, bersama atau tanpa komunis yang insaf ini.

Ini antara risalah yang diedarkan juga yang dilepaskan dari udara.

Keinsafan komunis untuk kembali kepada masyarakat ini dituntut tegas dan diberi jaminan keselamatan tidak akan diapa-apakan jika atas niat keluar menyerah diri kepada pihak berkuasa dan kerajaan.

Risalah perisytiharan pengampunan beramai-ramai itu telah ditandatangani bersama oleh Tunku Abdul Rahman, Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu dan Lt. Jeneral Bourne, Pengarah Gerakan menentang pengganas-pengganas komunis di Tanah Melayu.

Komunis yang menerima TPR tidak akan didakwa bersabit sebarang kesalahan yang dilakukan sepanjang tempoh Darurat. Kerajaan memberi jaminan bahawa komunis insaf ini akan dibantu, diberi peluang membina keluarga dengan aman dengan syarat mereka mesti meninggalkan komunis.

Sesungguhnya perisytiharan TPR itu membuktikan hasrat Kerajaan Perikatan pimpinan TAR jujur dan ikhlas untuk membentuk sebuah negara Persekutuan Tanah Melayu ke arah mencapai kemerdekaan, keamanan dan kemakmuran berterusan menjelang merdeka dan sebuah negara yang berdaulat.

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.