Cara Menjadi Peminat Muzik Yang Baik

441

Muzik tempatan, terutamanya independent agak sukar bersaing dengan arus perdana. Tak kisahlah dari segi genre apa pun: rock, brit-pop, punk, folk, punk, grunge dan sebagainya. Jika tiada peminat yang menyokong, maka scene ini akan mati begitu sahaja. Pentingnya menyokong bukanlah sekadar bercakap “Saya sokong band ini!” dan akhirnya mendengar lagu-lagu band tersebut dari platform yang tidak sepatutnya.

  • Beli ‘merchandise’ asli dari band kesayangan

Jika anda adalah penyokong tegar muzik indie, sewajarnya anda membeli merchandise yang dikeluarkan dari band kesayangan anda. T-Shirt, CD dan sebagainya. Kadangkala hasil duit yang anda sumbangkan untuk band inilah mereka mampu mengeluarkan lagu-lagu baru. Semuanya memerlukan wang. Selain anda boleh menjadikan ‘merchandise’ sebagai koleksi, cara ini juga mempromosi band secara tidak langsung.

  • Dengar lagu dari platform yang ‘halal’

Kini dengan kemudahan platform digital seperti Spotify, Joox, Apple Music dan sebagainya pendengar boleh mendengar pelbagai jenis lagu. Bantuan stream setiap hari mampu menjana pendapatan band-band sedia ada (meskipun sedikit). Dengarlah lagu mereka setiap hari supaya mereka dapat royalti dari hasil kerja mereka. Pemuzik berkerah tenaga untuk buat lagu. Berjaga malam, kos untuk merakam, mastering dan macam-macam lagi pengorbanan mereka semata-mata untuk menghiburkan anda.

  • Promosi melalui media sosial

Jika anda bermain media sosial setiap hari, apalah salahnya anda berkongsi lagu-lagu yang anda dengar di media sosial? Mudah, tekan butang kongsi sahaja. Mungkin ada orang diluar sana ingin mendengar lagu-lagu dari band anda. Siapa tahu dengan cara anda mempromosi anda dapat memberi rezeki kepada band kesayangan anda?

  • Jangan Memaksa dan Raikan Perbezaan

Peminat muzik yang baik tidak memaksa orang untuk menyukai  muziknya. Kita tidak boleh memaksa, kita hanya mampu memujuk. Contohnya, anda meminati muzik Korea (BTS, Blackpink, 2NE1 dan sebagainya), anda tidak boleh memaksa dan kemudian melabel orang lain dengan label yang buruk (poser contohnya). Citarasa muzik setiap orang sememangnya berbeza. Tetapi, bersikap terbukalah. Raikan setiap muzik yang ada dan jangan membenci antara satu sama lain!

  • Datang Gig

Menikmati muzik secara langsung adalah salah satu tanda peminat muzik yang sebenar. Anda boleh mendengar ketukan dram, petikan gitar, dan melihat suasana riuh-rendah peminat menyanyikan lagu bersama-sama. Malah, band-band ini akan menghargai anda selaku peminat. Datanglah gig tidak kisah berbayar mahupun percuma.

Kerana usaha anda inilah yang akan menghidupkan dan mengimarahkan ‘scene’ indie ini. Tiket berbayar adalah untuk membayar band-band yang ‘perform’. Jika tiada siapa datang, bagaimana pihak penganjur mahu membayar band-band ini? Jika anda mengatakan tiket gig adalah terlalu mahal, kita perlu ambil kira kos overhed, penata bunyi dan lain-lain.

Perbezaan ‘preferences’ setiap muzik akan ada. Ia bukan soal pembikin muzik yang silap. Peminat, sewajarnya menjaga etika ketika memperkenalkan muzik yang anda suka pada orang lain. Sematkan diri dengan perkataan ‘hormat’, itu sudah cukup. Barulah industri muzik Malaysia diraikan tanpa kata-kata negatif.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.