Cara Eropah Kendali Gelombang Kedua Covid-19

647

https://bit.ky/kombowww

Hari ini terdapat lebih 300 kes baru Covid-19 dilaporkan sekaligus mencetuskan kebimbangan tentang gelombang ketiga pandemik itu di negara ini. Tatkala ramai menyeranah golongan politikus sejak pengumuman itu semalam, Eropah turut berdepan gelombang kedua Covid-19 berikutan pertambahan kes yang tinggi di benua itu.

Tidak seperti sebelum ini di mana perintah berkurung dilaksanakan di seluruh negara, kali ini perintah berkurung hanya dilaksanakan secara bersasar dan di peringkat wilayah. Ia dibuat bukan saja untuk membolehkan ekonomi negara terus dibuka tetapi beradaptasi dengan perubahan ciri pandemik itu sendiri.

Ini kerana pakar-pakar perubatan di Eropah mendapati kluster-kluster jangkitan baru Covid-19 terdiri daripada golongan muda yang dilihat mempunyai kemungkinan lebih rendah m4t1 akibat pandemik berkenaan. Data turut menunjukkan pertambahan kes sebegini tidaklah seteruk berbanding pada Mac dan tidaklah membebankan perkhidmatan kesihatan.

Justeru, tidak hairanlah mengapa kerajaan dan pihak berkuasa mensasarkan tempat-tempat di mana golongan muda selalu berkumpul dan bersosial sebagai mencegah penularan Covid-19. Di negara-negara Eropah, tempat-tempat seperti restoran, bar atau tempat-tempat awam yang dikunjungi mereka dihadkan bilangan individu yang berkunjung atau dipendekkan waktu operasinya.

Namun begitu, semua ini boleh berubah sekiranya kadar pesakit warga emas yang jatuh sakit akibat Covid-19 bertambah secara mendadak. Ini berikutan pertambahan kes pesakit Covid-19 membabitkan warga emas di Sepanyol dan Perancis yang dimasukkan di hospital-hospital sejak dua minggu lepas. Jika ia dibiarkan sahaja, tidak mustahil perkhidmatan kesihatan bakal berdepan tekanan lambakan pesakit seperti pada Mac lepas.

Berikut bagaimana empat negara Eropah bertindak balas terhadap pertambahan kes Covid-19:

  • Sepanyol
Rajah 1: Protes jalanan di Madrid sejak 20 September lalu yang membantah perintah berkurung separa yang diperkenalkan wilayah berkenaan. Sumber: https://www.nytimes.com/2020/09/30/world/europe/covid-lockdown-madrid-spain.html

Selepas berdepan pertambahan kes Covid-19 sejak Julai lepas, ini menjadikan Sepanyol sebagai negara yang mempunyai kadar jangkitan tertinggi di Eropah. Sejak dua minggu lepas, 122,000 kes dilaporkan dan 1/3 daripadanya dilaporkan di ibu kota negara itu, Madrid. Ketika ini, jumlah kes sebenar mencecah lebih 640,000 kes dengan hospital-hospital kini berdepan prospek tekanan bilangan pesakit yang terlampau ramai.

Pada 18 September lalu, presiden wilayah Madrid, Isabel Ayuso Diaz mengumumkan langkah-langkah pencegahan penularan Covid-19. Ini termasuklah perintah berkurung secara separa di mana penduduk perlu memberi alasan kukuh sekiranya perlu keluar dan mengehadkan bilangan pelanggan dalam restoran atau premis-premis runcit.

Arahan ini memberi kesan kepada 850,000 orang penduduk termasuk yang menetap di kawasan miskin wilayah berkenaan. Apabila arahan ini dikuatkuasakan, ratusan orang mengadakan protes jalanan pada 20 September lalu. Bagi mereka, apa yang dilakukan Diaz bukan melindungi golongan yang terkesan tetapi menyemarakkan lagi diskriminasi terhadap golongan yang berisiko.

  • Perancis
Rajah 2: Orang ramai memakai topeng di Dataran Trocadero berhampiran Menara Eiffel sambil memakai topeng muka. Sumber: https://www.trtworld.com/life/france-reports-over-7-000-cases-in-post-lockdown-record-latest-updates-39269

Pada 19 September lepas, Perancis merekodkan pertambahan kes harian sebanyak 13,498 kes. Ketika ini, bilangan kes Covid-19 di Perancis sebanyak 453,763 kes sekaligus menjadikan negara tersebut mempunyai kadar jangkitan kedua tertinggi selepas Sepanyol.

Sebarang arahan tentang peraturan Covid-19 termasuk perintah berkurung kini diletakkan di bawah bidang kuasa pihak berkuasa Perancis. Perdana Menteri Jean Castex menyifatkan perintah berkurung yang dilaksanakan secara menyeluruh di seluruh negara boleh memberi kesan negatif kepada ekonomi negara itu.

Di tempat-tempat di mana bilangan kesnya tinggi seperti Paris, Marseille dan Bordeaux, pihak berkuasa memperkenalkan pelbagai langkah untuk mencegah penularan Covid-19. Di Bordeaux dan Marseille, tarian tidak dibenarkan di bar-bar sementara syarikat-syarikat tempatan termasuk penganjur acara perkahwinan perlu mengarahkan pekerja mereka bekerja dari rumah.

Marseille dan Paris turut menyaksikan penjualan dan pengambilan alkohol selepas jam 8.00 malam dilarang. Di Paris, pihak berkuasa tempatan menguatkuasakan perintah mandatori memakai topeng muka di khalayak. Unit polis anti-rusuhan turut digerakkan bagi memastikan pematuhan orang ramai terhadap peraturan-peraturan ini.

Di sebalik pengenalan peraturan-peraturan baru itu, Paris mengumumkan pada 20 September lepas bahawa perintah kuarantin di sekolah-sekolah rendah dilonggarkan. Ini berikutan wujud bukti kanak-kanak membawa risiko rendah sebagai pembawa jangkitan Covid-19. Sekolah hanya akan ditutup sekiranya terdapat tiga kes pelajar positif Covid-19.

  • Ireland
Rajah 3: Dua pelari melepasi papan tanda pusat ujian Covid-19 di Newbridge, Kildare. Sumber: https://www.irishtimes.com/news/health/covid-19-testing-irish-pharma-firms-source-raw-material-to-make-reagent-1.4221266

Ketika ini, Ireland merekodkan 33,121 kes Covid-19 kes dengan 188 kes baru dilaporkan pada 22 September lepas. Dublin yang diterajui Micheal Martin memperkenalkan pelan “Hidup Bersama Covid” membabitkan lima tahap berbeza. Ibu negara Ireland itu diletakkan pada tahap ketiga sementara baki seluruh negara diletakkan pada tahap kedua.

Di bawah tahap kedua, sekolah, restoran dan pub dibenarkan beroperasi tetapi bilangan individu di premis-premis ini dihadkan. Sementara di Dublin, perkumpulan sosial dalaman hanya dihadkan kepada enam orang dan pelawat mestilah daripada isi rumah yang sama. Muzium dan tarikan kebudayaan lain diarah tutup manakala restoran, kafe dan pub hanya dibuka untuk perkhidmatan bungkusan makanan atau makan di luar.

Pada sesi penerangan Covid-19 pada 21 September lalu, Liz Canavan iaitu penolong setiausaha agung Jabatan Taoiseach (Pejabat Perdana Menteri Ireland) mendedahkan wujud trend membimbangkan Covid-19 di tempat-tempat lain. Ini menunjukkan sekatan yang sedang dikuatkuasakan di Dublin boleh disambung ke bahagian-bahagian lain negara itu.

  • Jerman
Rajah 4: Berikutan penularan Covid-19 di Bavaria, acara Oktoberfest yang sepatutnya dilangsungkan Oktober ini dibatalkan di Bavaria. Sumber: https://www.nst.com.my/world/world/2020/04/586324/covid-19-germanys-oktoberfest-cancelled

Jerman dianggap antara negara yang cemerlang menangani penularan Covid-19 termasuk dari segi kaedah mengesan, menjejak dan menguji populasinya. Namun begitu, pertambahan kes Covid-19 di negara itu sedikit membimbangkan dengan 1,345 kes dilaporkan pada 20 September lepas. Ini berikutan pertambahan kes membabitkan negara-negara anggota EU terutama yang mempunyai sejarah perjalanan ke Jerman.

Bavaria antara negeri Jerman yang terkesan dengan Covid-19. Sejak 22 September lalu, Bavaria memperkenalkan peraturan seperti mengehadkan perkumpulan sosial kepada lima orang atau dua isi rumah, larangan pengambilan alkohol di tempat-tempat awam dan mengehadkan waktu operasi restoran. Peraturan-peraturan ini merupakan antara yang paling tegas diperkenalkan di Jerman sejak pendekatan Covid-19 Jerman dilonggarkan pada Mei lalu.

RUJUKAN:

Godin, Melissa. (2020). Europe’s COVID-19 Cases Are Spiking. Here’s How 4 Different Countries Are Trying to Stop A Second Wave. Time. https://time.com/5892349/europe-covid-19-lockdowns/

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.