Filem Captain America, Civil War (CACW) bukan sekadar menayangkan kekentalan ‘bicep’ Captain America menahan helikopter dan fesyen rambut Black Widow yang sentiasa bertukar-tukar setiap kali filem Avengers, tetapi mengetengahkan isu persengkataan dan konflik global dan hubungan antarabangsa. Di sebalik ceritanya yang berkisarkan superhero, persoalan utama filem ini ialah, apakah yang perlu dilakukan oleh negara kuasa besar seperti US dalam mengendalikan permasalahan kewujudan entiti luar yang berkuasa yang dikenali sebagai ‘superhero’.

Jika diperhatikan, ini ialah isu antara dua puak superhero tentang dilemma mereka mengenai Sokovia Accord. Sokovia Accord merupakan satu akta untuk memantau kegiatan superhero atas alasan kuasa mereka merupakan ancaman kepada umat manusia dan tindakan mereka mengundang boleh kemusnahan besar di tempat mereka berada. Tetapi jika dilihat dari sudut ilmiah, sebenarnya ini ialah isu antara dua pendekatan dalam teori perdana hubungan antarabangsa, iaitu Realisme dan Liberalisme.

Apa isu negara US dalam filem ini sebenarnya? Tidakkah ahli-ahli Avengers ini terdiri daripada orang baik-baik? Kenapa tidak hanya percaya bahawa mereka membawa kebaikan dan biarkan sahaja mereka selamatkan dunia? Ini bukan dalam US sahaja. Avengers adalah penyelamat dunia, maka perlukah mereka dibiarkan ‘masuk’ negara lain tanpa sebarang sekatan dan bergerak secara indipenden tanpa pengawasan badan berkanun?

Secara teori, struktur sistem antarabangsa telah memaksa negara-negara untuk bimbang dan secara tidak langsung bertindak agresif terhadap negara lain. Tambahan pula, dalam era globalisasi ini konsep ‘sempadan’ tidak lagi relevan untuk dipakai oleh jenayah rentas sempadan dan syarikat swasta seperti Avengers. Maka dalam soal ini, kebimbangan negara terhadap kebebasan superhero dalam melakukan kerja mereka menyebabkan mereka terpaksa bertindak mengekang kekuasaan superhero. Sebelum itu kita baca apa yang tersurat dalam filem tersebut.

Apa Dalam Filem

Sokovia Accord memuatkan paradigma Liberalisme hubungan antarabangsa. Di bawah perjanjian ini, pihak aktor negara PBB akan ‘bekerjasama’ dengan Avengers untuk kebaikan sejagat. Maka, banyaklah peraturan yang akan ditetapkan oleh PBB kepada Avengers, menyebabkan kekangan bagi mereka untuk menyelamatkan dunia. Kekangan yang paling ketara ialah sempadan negara. Di bawah perjanjian ini, mereka tidak lagi boleh sesuka hati masuk negara lain tanpa pengawasan dan keizinan. Tony Stark (Ironman) memilih untuk menandatangani perjanjian ini setelah melihat kasualti yang telah dilakukan oleh Avengers di beberapa negara.

Pada pandangannya sebagai pendukung Liberalisme, kerjasama dengan aktor negara walaupun terpaksa menerima beberapa peraturan, itulah yang membezakan mereka dengan terorist dan supervilen. Sebagai permulaan, hormat dan patuh pada aturan dunia dan undang-undang antarabangsa (padahal habis jahanam lapangan terbang mereka kerjakan semata-mata kerana nak tangkap seorang penjenayah).

Captain America pula seorang Realis. Beliau lebih fokus dari sudut keselamatan dan agenda tersendiri (dalam kes menyelamatkan Winter Soldier) terlebih dahulu, dan berhujah untuk tidak menandatangani Sokovia Accord kerana ia akan menyebabkan Avengers kurang berupaya untuk respon pada jenayah dan supervilen, terutamanya dalam situasi yang genting.tapi tidaklah bermakna Realis menolak kerjasama. Captain America juga mempersoalkan agenda setiap negara adalah berbeza dan boleh berubah. Jika mereka tandatangan perjanjian ini, mereka terpaksa mengikut telunjuk pihak PBB yang boleh mengubah agenda mereka ikut keadaan.

Melalui filem ini kita akan membahaskan terlebih dahulu keadaan dan situasi sistem hubungan antarabangsa yang menyebabkan negara-negara bertindak sedemikian terhadap The Avengers.

Keadaan Anarki dan Akibatnya

Konsep anarki ialah sistem antarabangsa kita tidak ada badan autoriti yang mengawal pergerakan dan menguatkuasakan undang-undang seluruh dunia. Mengikut pandangan Realisme, keadaan anarki menyebabkan negara akan bertindak bagi memastikan kelangsungan hidup dan keselamatan.

Manakala Liberalisme menggunakan anarki sebagai satu tunjangan bagi negara-negara untuk memelihara kepentingan mereka dengan menubuhkan rejim antarabangsa dan institusi kerjasama. Dalam filem ini, US mempersoalkan The Avengers untuk menjalankan kegiatan heroic mereka di negara luar, seperti Sokovia.

Setelah beberapa orang di Sokovia dan cedera dan meninggal, lalu dunia berpaling muka kepada Avengers, dan jikalau Avengers boleh bertindak di negara lain tanpa pengawasan, adakah ini bermakna aktor terbesar Realisme iaitu negara lain juga boleh bertindak demikian? Bolehkah US menjalankan misi menentang terorisme di negara lain? Ataupun perlu mereka tubuhkan satu syarikat swasta untuk melakukannya?

CACW memperdebatkan sejauh mana kita harus mengorbankan kebebasan kita atas nama keselamatan. Realisme dan Liberalisme kedua-duanya bersetuju bahawa keselamatan nasional dan kebajikan ekonomi itu penting, tetapi mereka berselisih mengenai penekanan relatif kedua-dua matlamat ini.

Realisme melihat anarki lebih memberi tekanan kepada kelakuan negara/bukan negara berbanding Liberalisme. Tetapi Liberalime melihat kerjasama antara aktor akan menjurus lebih kepada isu ekonomi berbanding isu keselamatan. Dalam hal ini, jika lihat dari sudut yang berbeza, kerjasama Avengers dengan negara-negara yang terlibat menjamin kegiatan ekonomi mereka.

Mereka tidak mahu rakyat kehilangan mata pencarian kerana kegiatan heroic yang berlaku. Malah, kalau difikirkan, jika tempat itu sentiasa menjadi tumpuan supervilaIn, mahukah pelabur dari luar negara melabur dalam negara tersebut? Bagi Liberalis, jika kegiatan ekonomi maju, pendapatan rakyat bertambah, maka jenayah akan berkurang.

Setakat ini sahaja terlebih dahulu. Sebenarnya dalam satu filem yang hebat, banyak idea dan konteks yang dipertontonkan. Satu artikel tidak memberi keadilan kepada filem yang mendapat kutipan tertinggi 2016 ini. Penulis terpaksa menulis sedikit demi sedikit untuk memberi penghadaman yang sempurna kepada pembaca. Harapan penulis hanya ingin menabur minat menonton filem secara ilmiah. Apabila menonton secara ilmiah, tidak boleh lari daripada membaca. Maka secara tidak langsung menarik minat membaca dalam kalangan masyarakat.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Ahmad Naqib Syahmi bin Jaafar. Bekas pensyarah Kolej Profesional MARA Indera Mahkota, Kuantan. Sekarang pelajar separuh masa sarjana media komunikasi dan pengajian perang di UiTM Shah Alam.

Comments are closed.