Baru-baru ini, jualan Ikan Talang masin di Kelantan melonjak dek permintaan tinggi dari luar negeri.

Ikan ini direkodkan mampu membesar sepanjang 110 cm dengan berat mencapai 11 kilogram. Dengan isi dagingnya yang padat, ia sesuai dibuat ikan masin. Apatah lagi, ia menjadi menu lazat kegemaran ramai apabila dibuat masak lemak nenas dan masak asam. Popularitinya tidak ditandingi saban musim kenduri perkahwinan.
Dalam Bahasa Inggeris, ia bernama Talang Queenfish (nama saintifik: Scomberoides commersonnianus). Di Malaysia, ikan ini turut mempunyai banyak nama lain: Belakang, Seliat, Talang, dan Talang-talang.

Malah, ia turut dinamakan Talang Lima Jari kerana keunikan sebaris bintik pudar gelap sebesar cap jari yang terdapat kedua-dua belah garisan sisi badan peraknya. Bahkan, keunikan ini juga mencetuskan lagenda kepada masyarakat Cina tempatan untuk menamakannya Ikan Tuan Sam Poh (三保公鱼) sempena nama timangan Laksamana Zheng He. Nama sedemikian turut mendapat tempat dalam Kamus Bahasa Malaysia yang disusun oleh En. Yang Quee Yee dan Puan Chan Meow Wah. Sekiranya menurut istilah umum, ia bernama Ikan Shanban (舢板鱼).

kan Tuan Sam Poh (三保公魚) disebut dalam istilah Talang dalam Kamus Umum Bahasa Malaysia susunan En. Yang Quee Yee.

Diriwayatkan, kala pelayaran di Nusantara, Armada Khazanah pimpinan Laksamana Zheng He terlanggar batu karang. Kemalangan ini mengakibatkan air melimpah masuk ke dalam kapal tersebut. Kederasan airnya turut menghalang para anak kapal daripada bertindak segera untuk menutupi kerosakan lubangnya.

Dalam detik-detik huru-hara ini, lantas Zheng He mengangkat tangan berdoa memohon pertolongan daripada Yang Maha Berkuasa. Tanpa disangka mereka, paras air dalam Armada Khazanah telahpun berhenti. Maka, Zheng He pun mengarahkan agar Armada Khazanah dilabuhkan sauh berhampiran darat terdekat untuk kerja-kerja pembaikian dan penyiasatan.

Alangkah terkejutnya apabila mereka menjumpai seekor ikan terperangkap (tersumbatlah ????) pada lubang kerosakan tersebut. Tanpa membuang masa, Zheng He menarik keluar ikan ini dengan berhati-hati. Dengan penuh kesyukuran, Zheng He melepaskan semula ikan ini ke dalam laut dengan selamatnya. Pada saat itulah, terjadi suatu keramat apabila jari jemari beliau yang memegang ikan tersebut meninggalkan cap jari.

Demi mengenang peristiwa ajaib ini, ikan se-spesis ini dinamakan Ikan Tuan Sam Poh oleh generasi selepasnya. Sebenarnya lagenda ini hanya terkenal di kalangan masyarakat Cina di Nusantara dan tidak kedengaran di China. Hal demikian mungkin disebabkan laksamana tersohor ini lebih dikenang oleh para perantau Cina.

Menurut pengkaji bebas kebudayaan Cina En. Lee Eng Kew, kebanyakan lagenda perihal Zheng He dan keramatnya mempunyai suatu persamaan, iaitu titah pertuturan Maharaja China bersamaan dengan bisikan keramat baginda「奉旨出巡皇帝嘴」. Oleh yang demikian, perintah pelayaran Laksamana Zheng He ini juga dipandang sebagai kembara suci dan kejadiannya mempunyai keramat.

Kendatipun, di sesetengah tempat seperti Sabah dan Sarawak, Ikan Talang lebih dikenali di kalangan masyarakat Cina situ sebagai Ikan Topekong (大伯公鱼).

Siapakah Topekong, atau dalam sebutan asalnya dalam loghat Hokkien, “Tua Pek Kong”? Nama Tua Pek dalam konteks Melayu bermaksud ‘Pak Long’, dan Kong adalah panggilan hormat seiring dengan Tuan, Tok, dan Datuk. Beliau adalah seorang Tok Penghulu sebuah komuniti Cina di salah sebuah kawasan Nusantara. Setelah kewafatannya, komuniti yang terhutang budi dengannya pun membina sebuah tokong demi mengenang jasanya. Malah, terdapat kira-kira 76 tokong Topekong di seluruh Sarawak.

Lagenda versi Topekong pula meriwayatkan bahawa semasa beliau sedang mengayuh sampan, tiba-tiba seekor ikan terlompat keluar dari laut lalu jatuh ke dalam sampannya. Demi menyelamatkan nyawa ikan tersebut, beliau segera melepaskannya semula ke dalam laut. Kala mengambil ikan ini, cap jari Topekong tercetak pada badannya.

Oleh sebab begitu popularnya Topekong ini di kalangan masyarakat Cina yang menyembahnya, Ikan Talang kurang mendapat sambutan di Sabah dan Sarawak. Mereka tidak mahu memakannya atas dasar menghormati Topekong. Di pasar pagi situ, tidak banyak gerai ikan yang menjualnya. Seorang penjual ikan di Sarawak apabila ditemuramah menyatakan, kebanyakan pembeli Ikan Talangnya adalah penganut Kristian dan orang Iban.

Kisah ini mengingatkan penulis kepada lagenda mubaligh Katolik St Francis Xavier dan ketam merah (Charybdis feriata). Pada badan ketam ini terdapat corak berbentuk salib yang menurut lagendanya, dilukis oleh St Francis sebagai tanda termakbul doanya dan rasa kesyukuran kepada si ketam ini yang mendapatkan balik loket salibnya yang hilang semasa dalam pelayaran mengharungi taufan. Oleh sebab itulah, sebahagian penganut Kristian tidak memakan ketam jenis ini. Sebaliknya mereka mengawet cangkerang badannya sebagai barang keagamaan terutamanya azimat suci.

Memerhatikan beberapa contoh riwayat lagenda ini, kita dapat memahami bagaimana masyarakat dahulukala melestarikan legasi tokoh-tokoh mereka dengan kisah-kisah yang dinisbahkan kepada perkara-perkara semulajadi. Seandainya cap jari pada Mykad menjadi lestari identiti ‘DNA’ kita walaupun telah sekian meninggalkan dunia ini, demikian juga ‘cap jari’ Zheng He & Tua Pek Kong pada Ikan Talang yang masih dapat kita hayati sehingga kini. Inilah erti legasi yang perlu difahami.

RUJUKAN:

Andrew Hossie, Creature Feature: Holy Crab! The crucifix crab Charybdis feriata (Linneaus, 1758), Western Australian Museum

Chong Kok Hoong, Muhammad Suhail Ahmad, Abdul Hakim Shahbuddin. Laksamana Zheng He: Teladan Merentasi Zaman, Kuala Lumpur: Kelab Generasi Tamadun Dunia (GPTD), 2019, ms 189–190.

Ikan Talang, MyAgro, Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani.

Info Spesies – Kenali Ikan Talang (update), Umpan.

Lee Eng Kew 李永球, Tuan Sambao dan Lagenda Ikan ⟨三保公和鱼的传说⟩《AhKew(李永球)~不敢为天下先……..》,2006年4月8日,http://ahkew.blogkaki.net/viewblog-29656/

Scomberoides commersonianus, Fisheries Research Institute Malaysia, Jabatan Perikanan Malaysia,
https://www.dof.gov.my/…/databas…/store_view_page/29/124

The Great Explorer Cheng Ho (2012 Edition), Singapore: Asiapac Books Pte Ltd, ms 119–122.

Yang Kui Yee 楊貴誼 & Chan Meow Wah 陳妙華 (pnyt), Kamus Umum Bahasa Malaysia《馬來語大辭典》Kuala Lumpur : World Book Co., 1972.

R.S.N. Murali, Rare crab re-appears in Malacca, The Star, 27 Sept 2011, https://www.thestar.com.my/…/rare-crab-reappears-in…

Nama Punca Tak Laku: Ikan Topekong Kurang Diminati ⟨名字拖累销量.大伯公鱼乏人问津⟩, Sin Chew Daily《星洲日报》Edisi Sarawak, 2014年10月26日,

Chang Yi, ‘The name Sibu predates its establishment’, Borneo Post, 3 Jan 2016, http://www.theborneopost.com/…/the-name-sibu-predates…/

Isu Kepercayaan Punca Cina Tidak Memakan Ikan Topekong ⟨信仰问题华人不吃伯公鱼乏人问津⟩ See Hua Daily News《诗华日报》Edisi Utara Sarawak, 2017年7月25日,

Sharifah Mahsinah Abdullah, ‘Salted talang fish gaining popularity outside Kelantan as people look for cheaper food items’, New Straits Times, 20 Aug 2021, https://www.nst.com.my/…/salted-talang-fish-gaining…


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Semenjak kembali kepada ad-Dīn dan melanjutkan pengajian di Universiti Perguruan Beijing (北京师范大学), kajian Islām di China menjadi penyemarak minatnya terhadap sejarah. Walaupun salasilahnya bersambung daripada Guǎngdōng, China, dirinya lebih giat menyambung titik-titik perpaduan di Nūsantara.

Comments are closed.