Cao Cao: Si Antihero Terkenal Dalam Sejarah China

955

Nama Cao Cao tidak lagi asing kepada peminat francais Dynasty Warrior dan Romance Of Three Kingdom. Anda boleh memilih untuk mewakili watak beliau dalam kedua-dua permainan video, sambil meneroka keindahan sejarah China. Untuk pengetahuan pembaca, sesungguhnya watak Cao Cao benar-benar wujud. Jolokkan yang selalu disematkan pada tokoh ini ialah seorang antihero dalam sejarah China.

Antihero pula ialah gelaran yang selalu diberikan kepada watak utama dalam sebuah jalan cerita yang tidak menepati ciri-ciri hero yang biasanya didendangkan dalam karya-karya kreatif di dunia. Mereka biasanya selalu digambarkan pentingkan diri, selalu menggunakan matlamat menghalalkan cara dan agak berhelah dalam mencapai matlamat utama mereka. Dalam rencana ini, Cao Cao merupakan watak utama ketika zaman kejatuhan Han, ketika China terhumban ke dalam antara fasa paling menarik dalam sejarah mereka, Zaman Tiga Kerajaan.

Jadi, dari manakah sejarah mengenai tokoh paling popular di China mahu dimulakan? Tentunya pada detik kelahirannya. Pada setiap keagungan yang dicipta, haruslah bermula dengan detik kelahirannya pada sekitar 155 Masihi, Cao-Cao lahir. Bumi Qiao iaitu Bozhou, Anhui di China pada zaman moden ini menyaksikan kelahiran tokoh ini.

Disebalik kelahirannya, ada pelbagai kisah yang agak samar antara legenda dan fakta. Ada yang mengaitkannya datang dari rahim seorang wanita bernama Ding dan juga Cao Song, anak angkat kepada seorang sida yang berkuasa disebalik tabir politik China iaitu Cao Teng. Ada pula yang mengatakan bahawa nama asal keluarga mereka ialah Xiahou sebelum menukarkan nama kepada Cao. Ketika awal usianya, pernah berjumpa dengan seorang peramal yang terkenal. Kata peramal itu, Cao Cao akan menjadi seorang pemimpin yang berkaliber pada waktu aman, serta antihero pada ketika kekacauan. Cao Cao hanya ketawa mendengarkan ramalan tersebut.

Pada awal kariernya, Cao Cao merupakan seorang ketua polis yang berkhidmat di sebuah kota di China bernama Luo Yang. Reputasinya ketika itu seringkali dikaitkan sebagai pejuang keadilan yang tidak pernah takut untuk mengambil tindakan kepada orang kaya dan pembesar yang melanggar undang-undang. Kemudian, ketika Pemberontakkan Serban Kuning yang telah menggegarkan Empayar Han, Cao Cao mendapat reputasi meruntuhkan pemberontakkan tersebut, menambahkan popularitinya lagi.

Pemberontakan yang berasal daripada kumpulan kultus yang mendapat inspirasi daripada Tibet dan sedikit tempias pengaruh ajaran Taoism, ia telah menghumbankan seluruh China ketika it uke ambang perang saudara antara warlord yang mengambil kesempatan pada kekacauan itu. Pada zaman kemuncaknya, ahli serban kuning ini mencecah sehingga 3 juta orang ahli. Populariti yang dicapai adalah kerana usaha kultus tersebut memperjuangkan hak orang miskin dan mengkritik penindasan ke atas kaum wanita.

Wilayah kekuasaan China oleh warlord-warlod di China selepas kejatuhan Dinasti Han

Selepas pemberontakkan Serban Kuning ini berjaya dipatahkan, perang-perang saudara berlaku dalam sejarah China yang berpunca daripada warlord yang mahukan kekuasaan. Sebuah kota bernama Luoyang habis dijarah. Antara siri peperangan yang terkenal ialah Pertempuran Guandu (199-200 Masihi) antara Cao Cao dan seorang lagi warlord China ketika itu bernama Yuan Shao yang berakhir dengan kekalahan Yuan Shao, lantas menjadikan Cao Cao sebagai warlord paling berkuasa di China ketika itu. Ini ialah pertempuran ajaib kerana kerana 20, 000 orang tentera Wei di bawah Cao Cao berjaya mengalahkan 100, 000 orang tentera Yuan Shao.

Selebihnya adalah mengenai usaha Cao Cao untuk meluaskan empayarnya menuju ke Selatan China, menggunakan maharaja sebagai alat tunggangan selepas Maharaja Han ketika itu mencari perlindungan dibawahnya, dan tentang bagaimana dia salah menggunakan kuasa semata-mata untuk memastikan kekuasaannya terhalang. Kemuncak ambisi Cao Cao ialah beliau menabalkan dirinya sebagai raja Wei pada sekitar 216 Masihi, mengatasi gelaran dan pangkat yang disandangnya sebelum ini. Antara babak kekejaman yang diletakkan kepada Cao Cao ialah bagaimana dia menghabiskan nyawa-nyawa penduduk Xuzhou hanya semata-mata ayahnya dibunuh disitu.

“Aku lebih rela mengkhianati dunia daripada dunia mengkhianati aku.” – Cao Cao

Kata-kata ini dituturkan oleh Cao Cao selepas membunuh sebuah keluarga yang memberikan perlindungan untuknya pada satu masa saat terbawah dan terendah dalam hidupnya. Alasannya, Cao Cao melakukannya kerana paranoid akan dikhianati oleh keluarga tersebut.

Namun, perluasan kuasa Cao Cao tersekat dalam Pertempuran Chi Bi (208 Masihi) di Selatan China di tangan pakatan Wei dan Shu. Kekalahan dalam pertempuran ini adalah kerana beberapa faktor seperti terkena wabak penyakit yang datang dari kawasan hutan di Selatan, salah faham bentuk muka bumi Selatan dan tentunya kebijaksanaan Zhuge Liang dan Zhao Yu dalam meelawannya. Diceritakan bagaimana 200, 000 orang tentera Wei di bawah Cao Cao dikalahkan oleh 50, 000 orang pakatan tentera Selatan. Habis kapal-kapal yang dibawa oleh Cao Cao menyeberangi Sungai Yangtze dijilat api yang menjadi sebahagian daripada helah Shu-Wu mengalahkan Wei.

Api-api yang marak membakar kapal-kapal Cao Cao.

Namun demikian, reformasi-reformasi pentadbiran yang dilakukan oleh Cao Cao patut juga dikenang selain daripada kisah machiavelli Cao Cao memanjat takhta kuasa serta kemenangan dan kekalahan beliau dalam peperangan. Antara langkah memperbaiki sistem di China pada waktu itu yang paling diingati ialah memperkenalkan undang-undang yang mengurangkan pembaziran dalam pentadbiran. Contohnya seperti melarang pengunaan batu jade yang agak mahal semata-mata untuk upacara pengebumian.

Selain itu, beliau juga memperkenalkan sebuah istem yang dipanggil jiupin Zhongzheng yang melibatkan sistem 9 pangkat dalam sistem pentadbiran kerajaan untuk pegawal kerajaan kemudian akan terus digunakan oleh China untuk beberapa buah dinasti selepas itu. Cao Cao juga mengalakkan pendidikan dibawah pentadbirannya meskipun ketika itu waktu perang. Disegenap empayarnya, pegawal-pegawal kerajaan diutuskan untuk mencari bakat-bakat agar mereka tidak ketinggalan belajar disekolah-sekolah terpilih.

Ketika kebuluran berlaku kerana serangan belalang juta ke atas tanaman, banyak tentera yang mengalami kekalahan sebelum menyertai perang. Maka Cao Cao memperkenalkan sebuah dasar pertanian ampuh yang memberi manfaat kepada kerajaannya. Contohnya, Cao Cao telah mengumpulkan mangsa-mangsa perang disebuah kawasan yang tidak dibangunkan, lantas diserapkan program-program pertanian yang kemudian bukan sahaja membantu meningkatkan kualiti tenteranya dan kerajaannya, bahkan membangunkan taraf hidup rakyat dibawah pentadbirannya.

Pada tahun 202 Masihi, Cao Cao menghembuskan nafasnya. Cao Pi anaknya mewarisi takhtanya melakukan sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh ayahnya iaitu menggulingkan maharaja dan menubuhkan Dinasti Wei yang akan berdiri selama beberapa puluh tahun (221-265 Masihi). Cao Pi akan memanggil dirinya sebagai Maharaja Wen daripada Wei manakala Cao Cao diberikan gelaran Maharaja Wu. Kebanyakan kisah hidup tokoh ini dicatatkan dalam sebuah autobiografi paling tua di China iaitu Apologia.

Pada tahun 2008, arkeologis di China mendakwa telah menemui makam Cao Cao sekitar Xigaoxue, Provinsi Henan di China, Malangnya, makam ini pernah dijarah pada waktu silamnya oleh penjarah makam. Luasnya dalam sekitar 8000 kaki. Terdapat sebuah inskripsi tertulis Raja Wu dari Wei mengaitkan terus pemilik makam itu ialah Cao Cao. Selain 250 buah relik purba, turut dijumpai sisa-sisa jasad seorang lelaki dalam pertengahan 60-an, seorang wanita 50-an bersama dengan seorang gadis berusia 20-an.

Tapak arkeologis yang dikaitkan dengan Cao Cao.

Dipercayai jasad itu milik Cao Cao, isteri dan hambanya. Namun, kesahihan makam ini dipertikaikan oleh sebahagian sarjana yang mendakwa bahawa ia mungkin palsu, dan sebahagian sarjana lain pula mengatakan ia milik Cao Huan dan ayahnya Cao Hui, yang merupakan keturunan Cao Cao. Walaupun demikian, ia tetap tidak menafikan bahawa Cao Cao adalah salah satu watak yang sangat warna-warni dalam sejarah China.

Rujukan:

Luo Guanzhong (1986). Romance of the Three Kingdoms.

Chen Shou (2002). Records of Three Kingdoms.

Cartwright, M. (2017). Cao Cao. Ancient History Encyclopedia. https://www.ancient.eu/Cao_Cao/

Peng, Wenqing. (2016). Cao Cao: A Villain Hero. History To The Public. http://historytothepublic.org/cao-cao-villain-hero/

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.