Cangkir Keadilan : Ajaran Ahli Falsafah Yunani Tentang Bahaya Sifat Tamak

807

Zaman dahulu, raja-raja sering digambarkan sebagai tidak adil dan tamak. Sudah menjadi lumrah bagi sekalian para raja memakai Jubah Kesombongan dan Selendang Kemegahan. Kemewahan mereka terpancar dari perbuatan meminum wain dari piala-piala emas. Mereka tidak minum dari cawan seperti layaknya rakyat marhaen.

Gambaran-gambaran sebegini membawa kepada pembinaan sebuah falsafah. Falsafah ini dinamakan sebagai Cangkir Keadilan. Cangkir Keadilan adalah satu cawan minum yang dicipta dengan begitu bijak. Di tengah-tengah cawan, terdapat satu bahagian yang menyerupai sifon.

Sifon adalah satu tiub yang berbentuk “U” terbalik. Ia boleh membuatkan cecair mengalir dari bawah ke atas melebihi paras takungan air walau tanpa menggunakan pam. Ia disebabkan oleh tekanan penurunan air yang ditarik oleh graviti. Ianya adalah menurut Pascal’s Principle iaitu berkenaan Mekanik Cecair atau hubungan antara transmisi Cecair dan Tekanan (Liquid and Pressure)

Apabila seseorang itu dengan tamaknya menuangkan wain sehingga penuh di dalam cawan ini, maka paras wain itu akan mengatasi paras sifon lalu wain itu dengan sendirinya akan segera mengalir keluar dari cawan itu sehingga terus kosong.

Cawan ini dikatakan dicipta oleh seorang ahli falsafah Yunani kuno iaitu Pythagoras of Samos. Beliau dilahirkan pada tahun 570 sebelum Masihi dan mati pada tahun 495 sebelum Masihi. Beliaulah yang mencipta kaedah Pythagorean Theorem. Pemikiran beliau yang dikenali sebagai Pythagoreanism ini juga mempengaruhi falsafah Plato dan Aristotle lalu menjadi asas peradaban barat. Ajaran falsafah, agama dan politiknya terkenal dan bergiat aktif di Magna Graecia.

Beliau mencipta cawan ini bagi mendidik anak muridnya kepentingan untuk bersikap sederhana dalam kehidupan. Sikap tamak akan merugikan seseorang. Cawan ini dipanggil Cangkir Keadilan kerana falsafah disebalik penciptaan dan fungsinya mencerminkan prinsip-prinsip asas keadilan (vituperation and vengeance).

Apabila sesuatu batas atau had itu dilampaui, maka yang hilang bukan sahaja perkara yang melampaui batas itu, tetapi, kesemua yang kita ada pada ketika itu juga turut akan hilang. Oleh itu, cawan ini turut dikenali sebagai Cangkir Ketamakan. Ia turut dikenali sebagai Cangkir Pythagoras sempena nama penciptanya.

Bahkan, cawan ini turut disebut sebagai Cangkir Tantalus bersempena nama seorang raja yang memiliki sikap buruk lagi tamak dalam mitos Yunani. Dewa-Dewi Yunani menyumpah raja ini dengan ditempatkan di dalam sungai, namun tatkala dia hendak minum air itu, tiba-tiba air akan menyurut sehingga dia tidak dapat minum dan kehausan.

Rasulullah pernah mengabarkan bahawa sifat tamak tidak pernah mengenal erti puas walau setelah diberikan kepada satu atau dua lembah emas sekalipun.

رَوَي اْلبُخَارِيُّ عَنِ ابْنِ الزُّبَيْرِ عَلَى الْمِنْبَرِ بِمَكَّةَ فِي خُطْبَتِهِ يَقُولُ: يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقُولُ: لَوْ أَنَّ ابْنَ آدَمَ أُعْطِيَ وَادِيًا مَلأً مِنْ ذَهَبٍ أَحَبَّ إِلَيْهِ ثَانِيًا وَلَوْ أُعْطِيَ ثَانِيًا أَحَبَّ إِلَيْهِ ثَالِثًا، وَلاَ يَسُدُّ جَوْفَ ابْنِ آدَمَ إِلاَّ التُّرَابُ وَيَتُوبُ اللَّهُ عَلَى مَنْ تَابَ.

Al-Bukhari meriwayatkan dari Ibnu al-Zubair tatkala di atas mimbar di Mekah dalam khutbahnya, beliau berkata; “Wahai manusia sekalian, sesungguhnya Nabi pernah bersabda, “Seandainya anak keturunan Adam diberi satu lembah penuh dengan emas nescaya dia masih akan menginginkan yang kedua. Jika diberi lembah emas yang kedua maka dia menginginkan lembah emas ketiga. Tidak akan pernah menyumbat rongga anak Adam selain tanah, dan Allah menerima taubat bagi siapa pun yang mahu bertaubat.” (Hadis Riwayat Imam al-Bukhari)

Bahkan, Rasulullah menjelaskan tentang bahaya sifat tamak ini melalui sebuah hadis riwayat Imam at-Tarmizi :-

رَوَي التِّرْمِذِيُّ عَنْ كَعْبِ بْنِ مَالِكٍ الأَنْصَارِيِّ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : مَا ذِئْبَانِ جَائِعَانِ أُرْسِلاَ فِي غَنَمٍ بِأَفْسَدَ لَهَا مِنْ حِرْصِ الْمَرْءِ عَلَى الْمَالِ وَالشَّرَفِ لِدِينِهِ.

At-Tarmizi meriwayatkan dari Kaab ibn Malik al-Ansari bahwaa Rasulullah bersabda, “Tidaklah dua ekor serigala yang lapar dikirimkan pada seekor kambing itu lebih berbahaya daripada tamaknya seseorang pada harta dan kedudukan dalam membahayakan agamanya.”

*Jemput Follow penulis : https://instagram.com/khairiasyraf_17

SUMBER:
– Heron of Alexandria, Pneumatica
– Ihya Ulumuddin li Imam al-Ghazali

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.