Cakak Pahang: Loghat Melayu Yang Kurang Dikenali

3,958

Bahasa Melayu adalah sebuah bahasa Austronesia yang dituturkan oleh 250 juta orang di seluruh dunia. Bahasa ini dituturkan di Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura, Australia dan Thailand.

Masa berlalu, setiap tempat yang diduduki oleh penutur Melayu akan melahirkan “loghat”nya yang tersendiri. Contoh “loghat” yang terkenal adalah Johor-Riau, Kelantan, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan banyak lagi.

Loghat Johor-Riau dan Riau masing-masing dijadikan asas dalam Bahasa Melayu Baku dan Bahasa Indonesia. Variasi Kelantan, Perak, Kedah dan Pulau Pinang masing-masing pernah diangkat dalam filem Bunohan, Hantu Kak Limah, Mak Cun dan Mami Jarum.

Untuk pengetahuan semua, terdapat sebuah loghat Melayu yang segelintir kita langsung tidak pernah dengar. Loghat ini dituturkan di negeri ketiga terbesar di Malaysia. Tidak lain tidak bukan, Loghat Pahang.

PENGENALAN KEPADA LOGHAT PAHANG?

Loghat Pahang ataupun nama asalnya, Cakak Pahang [tʃakaʔ pahãŋ] adalah antara loghat Melayu yang dituturkan di Pahang. Pahang Darul Makmur adalah negeri seluas 35 965 km2 serta berpenduduk lebih 1.6 juta orang yang terletak di negara Persekutuan Malaysia.

Untuk pengetahuan semua, terdapat empat puluh sembilan (49) cabang loghat sedang dituturkan di negeri tersebut. Menurut satu kajian, keterpisahan dalam loghat Pahang adalah berasaskan jaringan sungai di sana.

Dalam kesekian bilangan loghat Pahang, penulis hendak menumpukan perhatian kepada Loghat Pekan. Pekan adalah nama daerah yang terletak di negeri itu. Untuk pengetahuan semua, Pekan adalah Bandar diRaja negeri Pahang Darul Makmur.

CONTOH PERKATAAN DAN AYAT SEHARIAN

Antara perkataan yang terdapat dalam Loghat Pekan adalah “beraluih”, “mengoteh” dan “rebeh”. Ketiga-tiga perkataan tersebut masing-masing membawa maksud “sopan-santun”, “tangan tidak duduk diam” dan “senget sebelah”.

Contoh ayat dalam Loghat Pekan untuk perkataan “beraluih” adalah “mok suka benor ngan si Tipah itu, beraluih budaknya”. Ayat tersebut membawa maksud “emak suka dengan Si Latifah itu, bersopan-santun budaknya”. Perkataan “aluih” agak mirip dengan perkataan “halus” dalam loghat Johor-Riau.

Contoh ayat dalam Loghat Pekan untuk perkataan “mengoteh” adalah “Ain, aok ni mengoteh je kejenya. Abih rosak meja tu”. Ayat tersebut membawa maksud “Ain, awak ini tangan tidak duduk diam sahaja kerjanya. Habis rosak meja itu”. Setakat ini, penulis tidak dapat menemui perkataan “mengoteh” dalam loghat lain.

Contoh ayat dalam Loghat Pekan untuk perkataan “rebeh” adalah “Gobok tu mok nak suruh ayoh aok bela, dah rebeh kakinya”. Ayat tersebut membawa maksud “Almari itu emak hendak suruh ayah awak jaga, dah senget sebelah kakinya”. Perkataan “gobok” agak mirip dengan perkataan “gerobok” dalam loghat Johor.

PERALIHAN BUNYI DALAM PROTO-MALAYIK KE LOGHAT PEKAN

Proto-Malayik (PM) adalah kajian bahasa purba yang telah melahirkan bahasa moden iaitu Melayu, Iban, Minangkabau dan sebagainya. Untuk pengetahuan, PM adalah anak kepada Proto-Malayo-Polinesia (PMP) di mana PMP adalah anak kepada Proto-Austronesia (PAN).

Contoh perkataan yang terdapat dalam PM adalah *taŋan, *hidup dan *hiduŋ. Ketiga-tiga perkataan purba itu masing-masing membawa maksud “tangan”, “hidup” dan “hidung”.

Perkataan *taŋan adalah antara yang diwarisi dalam Loghat Pekan. Perkataan purba tersebut telah berubah menjadi “tangæ̃”. Berdasarkan pendengaran penulis, bunyi “æ̃” adalah seperti bunyi “a” dalam Bahasa Inggeris “have”, beserta dengan pengeluaran sedikit angin di hidung.

Perkataan *hidup adalah antara yang diwarisi dalam Loghat Pekan. Perkataan purba tersebut telah berubah menjadi “idɔʔ”. Berdasarkan pendengaran penulis, bunyi “ɔ” berbunyi seperti “o” dalam Bahasa Inggeris, “not” manakala bunyi “ʔ” seperti dalam Bahasa Inggeris, “uh-oh”.

Perkataan “*hiduŋ” telah berubah menjadi “idɔ̃ᵊ”. Berdasarkan pendengaran penulis, bunyi “ɔ̃” adalah seperti bunyi “o” dalam Bahasa Inggeris, “not” beserta dengan pengeluaran sedikit angin di hidung. Pada masa yang sama, penulis ada mendengar sedikit bunyi “e” dalam perkataan “emak”.

LAIN-LAIN PERKATAAN

Antara perkataan yang terdapat dalam Loghat Pekan adalah “bulae”, “makae”, “mesjiek”, “siõ”, “oghã” dan “seronyeh”. Kelima-lima perkataan tersebut masing-masing bermaksud “bulan”, “makan”, “masjid”, “mangkuk tingkat” dan “serabai”.

Dengan bantuan Abjad Fonetik Antarabangsa, cara nak menyebut perkataan tersebut adalah [buˈlæ̃ⁿ], [ˈmakᵊæ̃ⁿ], [məsᵊˈɟʲeʔ], [sɪ͜ʌ̃ᵑ], [oˈɣᵊãᵑ] dan [sᵊˠoɲẽɪ̯h]. Minta tolong orang Pekan, Pahang supaya dapat menolong kami menyebutnya dengan tepat.

KEBOLEHFAHAMAN BERSAMA

Secara teorinya, Cakak Pahang lebih dekat dengan Loghat Terengganu (Ccakak Tranung) dan Loghat Kelantan (Kkecek Klate). Ada yang mendakwa Cakak Pahang mirip dengan Loghat Perak kerana persamaan intonasinya.

Perlu diingatkan, semua loghat dalam Bahasa Melayu bukanlah berasal daripada loghat Johor-Riau. Malah, kesemua loghat dalam Bahasa Melayu adalah adik-beradik yang telah dilahirkan oleh induk yang sama iaitu Proto-Malayik.

AKHIR KATA

Kesimpulannya, ini adalah artikel tentang Cakak Pahang secara ringkasnya mengikut kemampuan penulis selaku penutur Cakap Joho. Secara umumnya, vokal dalam Cakak Pahang jauh lebih rumit daripada bahasa ibunda penulis.

Apakah yang penulis tertinggal tentang Cakak Pahang? Harap berikan maklumbalas anda kepada kami. Semoga bermanfaat.

RUJUKAN:

Temubual penulis dengan penutur jati Cakak Pahang (Pekan).

How many people speak Indonesian? Dicapai pada 15hb Mei 2020 dari http://ipll.manoa.hawaii.edu/indonesian/2012/03/10/how-many-people-speak-indonesian/

Bahasa Melayu. Dicapai pada 15hb Mei 2020 dari https://www.mustgo.com/worldlanguages/bahasa-melayu-malay/

Omniglot: Malay. Dicapai pada 15hb Mei 2020 dari https://www.mustgo.com/worldlanguages/bahasa-melayu-malay/

8 Drama / Filem Yang Menggunakan Dialek Negeri. Dicapai pada 15hb Mei 2020 dari https://www.mediahiburan.my/8-drama-filem-yang-menggunakan-dialek-negeri/

Dewan Bahasa Dan Pustaka. Dicapai pada 15hb Mei 2020 dari http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=johor+riau&d=175768&

Facebook: Pahang Mempunyai Sebanyak 49 Dialek. Dicapai pada 15hb Mei 2020 dari https://m.facebook.com/pages.KUANTAN/photos/a.111429872225279/1163422773692645/?type=3

Unjuran Populasi Penduduk 2015. Dicapai pada 15hb Mei 2020 dari https://web.archive.org/web/20160212125740/http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/info-terkini/19463-unjuran-populasi-penduduk-2015.html

Malaysia @ glance: Pahang. Dicapai pada 15hb Mei 2020 dari https://www.dosm.gov.my/v1/index.php?r=column/cone&menu_id=b2lJM0IwRGdGSjVnV1dOZktWVGYzdz09

Variasi Dialek Pahang: Keterpisahan Berasaskan Jaringan Sungai. Dicapau pada 15hb Mei 2020 dari http://ejournal.ukm.my/jmelayu/article/view/4962

5 Dialek Melayu Pekan. Dicapai pada 15hb Mei 2020 dari http://jurnalbahasa.dbp.my/wordpress/wp-content/uploads/2016/03/5-Dialek-Melayu-Pekan.pdf

ABVD: Proto-Malayic. Dicapai pada 15hb Mei 2020 dari https://abvd.shh.mpg.de/austronesian/language.php?id=740

Kamus Loghat Pahang. Dicapai pada 15hb Mei 2020 dari http://notaglobalisasi.blogspot.com/2015/11/kamus-loghat-pahang-z.html?m=1

Sastera Teras Negara Bangsa. Dicapai pada 15hb Mei 2020 dari https://books.google.com.my/books?id=8AL0BQAAQBAJ&pg=PA374&lpg=PA374&dq=Johor-Riau+asas+Bahasa+Indonesia&source=bl&ots=UGb657gNfM&sig=ACfU3U0FcB_Him-g6ZdKBAZylacHQp4pEQ&hl=en&sa=X&ved=2ahUKEwj3goC-o7XpAhVUVH0KHR26B3MQ6AEwAXoECAQQAQ#v=onepage&q=Johor-Riau%20asas%20Bahasa%20Indonesia&f=false

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.