Moving Forward As One

Cabaran PdPR Atas Talian

2,093

Pandemik Covid-19 yang melanda negara kita masih belum reda dan menyebabkan semua institusi pendidikan tidak dapat dibuka untuk pembelajaran bersemuka. Oleh itu, semua pelajar perlu belajar dari rumah dan kaedah pembelajaran yang paling banyak digunakan ialah Kaedah Pembelajaran di Atas Talian (Online Learning).

Kaedah ini menjadi norma baharu kepada pelajar terutamanya pelajar sekolah dan pelajar di Institusi Pengajian Tinggi (IPT). Namun begitu, terdapat banyak cabaran yang perlu diatasi oleh pelajar dan tenaga pengajar bagi memastikan sesi pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPR) berjalan lancar dan dapat difahami oleh pelajar.

Likes page baru kami: The Patriots 2.0 (https://www.facebook.com/thepatriots2.0asia/)

Beberapa permasalahan biasa yang dihadapi oleh pelajar dan guru telah dikenal pasti. Antara masalah utama yang dihadapi oleh pelajar ialah sukar menyesuaikan diri, masalah teknikal, kurang mahir dengan gajet, pengurusan masa dan kurang motivasi diri.

Masalah yang sering timbul dalam kalangan warga pendidik pula ialah sukar mendapatkan penglibatan pelajar, komitmen masa, masalah komunikasi, kesukaran membuat penilaian dan kurang maklum balas pelajar.

Cabaran PdPR atas talian dan cara mengatasinya bagi pelajar

  • Sukar Menyesuaikan Diri

Pelajar didapati sukar menyesuaikan diri dengan norma baharu dan tidak dapat memahami pembelajaran di atas talian kerana telah terbiasa dengan pembelajaran secara tradisional atau bersemuka.

Pembelajaran di atas talian juga menyebabkan pelajar tidak dapat memberikan tumpuan kepada tenaga pengajar yang sedang mengajar dalam talian, terutamanya apabila mereka mengekalkan set minda pembelajaran dalam kelas sahaja.

Untuk mengatasi masalah ini, pelajar perlu bersedia awal sebelum memasuki kelas di atas talian. Mereka perlu berfikiran terbuka dan telah menelaah topik yang ingin dipelajari terlebih dahulu bagi mengurangkan kejutan.

Pelajar juga perlu melibatkan diri dalam kelas tersebut dan tidak bersikap pasif atau mendiamkan diri apabila mengikuti kelas. Mereka perlu mewujudkan suasana sosial sihat walaupun dalam talian sahaja.

  • Masalah Teknikal

Semua platform pembelajaran bersemuka atas talian menggunakan teknologi persidangan video (video conferencing) yang memerlukan internet berkelajuan tinggi dan menggunakan banyak data.

Masalahnya, kebanyakan pelajar terutama yang datang dari keluarga B40 tidak mempunyai kemudahan internet tanpa had dan masalah teknikal sering berlaku terutamanya kuota internet habis.

Selain itu, capaian internet talian mudah alih di Malaysia tidak begitu meluas menyebabkan kawasan-kawasan pedalaman sukar mendapat akses internet berkelajuan tinggi.

Natijahnya, persidangan video secara langsung akan mengecilkan saiz videonya daripada Definisi Tinggi (High Definition) 720 atau 1080 kepada Definisi Standard (Standard Definition) 360 atau 480 menyebabkan isi kandungan pembelajaran kelihatan kabur dan tidak jelas.

Untuk mengatasi masalah ini, ibu bapa atau penjaga perlu menyediakan kemudahan internet yang terbaik untuk dilanggani. Jika keluarga tersebut tidak mampu menyediakan kemudahan internet, mereka boleh berbincang dengan guru untuk guru menyediakan modul tambahan kepada anak mereka.

Penggunaan hab pendidikan seperti Microsoft Teams atau Google Classroom boleh digunakan oleh guru bagi memastikan pelajar dapat akses pendidikan dan menghantar tugasan yang diberikan demi menguji tahap pengetahuan pelajar.

  • Kurang Mahir dengan Gajet dan Pengkomputeran

Isu kurang mahir dengan gajet dan pengkomputeran menjadi salah satu blok penghalang terbesar untuk pembelajaran maya. Ramai pelajar terutamanya yang menetap di luar bandar tidak mempunyai gajet yang baik untuk membolehkan PdPR berjalan lancar. Ada pelajar yang langsung tidak mempunyai telefon pintar.

Ramai pelajar di Malaysia juga tidak mempunyai pengetahuan yang baik berkaitan dengan aplikasi pengkomputeran termasuklah aplikasi umum seperti Microsoft Word atau Google Docs, apatah lagi menggunakan aplikasi canggih seperti Sistem Pengurusan Pembelajaran (Learning Management System) mahupun aplikasi mengedit grafik dan video.

Masalah ini tidak boleh diselesaikan dengan mudah. Mungkin ibu bapa yang kurang berkemampuan boleh membeli tablet atau telefon pintar dengan teknologi MediaTek yang lebih murah berbanding Snapdragon dengan RAM 4 Gb sudah memadai. Gajet dengan teknologi yang rendah sedikit ini berharga dalam lingkungan RM 300 ke RM 400 sahaja.

Selain itu, ibu bapa B40 yang menerima Bantuan Rakyat Prihatin (BPR) boleh memohon telefon pintar percuma dengan data sebanyak 120 Gb menerusi Yayasan YTL dengan penyedia perkhidmatan Yes. Ibu bapa boleh menyemak status kelayakan di https://lcs.yes.my/ dan penuhkan butiran yang diperlukan sehingga selewat-lewatnya 30 Jun 2021 ini.

Selain itu, Kementerian Kewangan Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia menganjurkan Program CERDIK yang melibatkan Yayasan Hasanah, yayasan yang dimiliki oleh Khazanah Nasional dan GLC-GLC terkemuka Malaysia sedang membuat pengagihan komputer riba kepada keluarga B40 untuk digunakan dalam PdPR.

Mungkin ibu bapa yang kurang berkemampuan tergolong dalam kelompok 150,00 orang penerima komputer riba ini dan dapatlah membantu anak-anak mereka belajar dengan baik dari rumah.

  • Pengurusan Masa

Pelajar juga sukar menguruskan masa dalam pembelajaran secara atas talian. Pembelajaran tersebut merupakan norma baharu kepada mereka dan memerlukan kerja dan masa yang berlebihan. Kelas secara atas talian ini bersifat fleksibel, namun ramai yang tidak dapat menguruskan masa mereka dalam pembelajaran tersebut.

Untuk mengatasi masalah ini, para pelajar boleh menyediakan jadual waktu yang teratur dan mengikuti jadual waktu tersebut. Pelajar perlu menyusun masa mereka belajar secara bersemuka, membuat ulang kaji dan kerja rumah serta aktiviti lain yang tidak melibatkan akademik.

Selain itu, pelajar perlu mengelakkan gangguan luar semasa belajar dalam persidangan video. Pelajar boleh set mod senyap kepada pemberitahuan (notifications) di telefon bimbit mereka supaya tiada gangguan daripada aplikasi media sosial lain semasa belajar. Pelajar perlu meningkatkan fokus dan tidak leka dengan aplikasi hiburan dan media sosial.

Pelajar juga perlu menyediakan Senarai Perlu Dilakukan atau To-Do-List untuk setiap hari. Mereka boleh memecahkan tugasan yang besar kepada tugasan-tugasan kecil untuk mendapatkan hasil pembelajaran yang lebih baik.

Terdapat beberapa aplikasi To-Do-List yang boleh didapati dalam telefon bimbit mahupun di dalam komputer. Pelajar boleh memasang perisian Microsoft To-Do-List daripada Microsoft Store ataupun memasang aplikasi tersebut di telefon bimbit masing-masing.

Jika pelajar tidak dapat menguruskan masa dengan baik, pelajar perlu mendapatkan bantuan daripada ibu bapa, rakan-rakan ataupun ahli keluarga untuk memastikan pembelajaran dapat berlangsung dan pelajar tidak ketinggalan dalam memahami sukatan pelajaran.

Pelajar juga perlu mengelakkan pelbagai tugasan (multitasking) kerana ia menghilangkan fokus, seterusnya akan menyebabkan pelajar tidak dapat memahami apa yang dipelajari. Cuba selesaikan satu per satu tugasan dan fokus dengan satu perkara sahaja.

Contohnya, buat kerja matematik pada pukul 3.00 hingga 4.00 petang, kemudian baru lihat kelas maya Sains untuk membuat tugasan pada pukul 4.00 hingga 5.00 petang.

  • Kurang motivasi diri

Pelajar akan mula mengalami kemerosotan motivasi diri apabila mereka mendapati sukar untuk menyertai pembelajaran secara atas talian. Motivasi amat diperlukan untuk pelajar bagi memastikan mereka dapat menyelesaikan tugasan dan memahami apa yang dipelajari.

Untuk mengatasi masalah ini, pelajar boleh cuba libatkan diri dalam pembelajaran dan bukan hanya berdiam diri. Pastikan anda bersedia dengan pakaian yang sesuai dan menunjukkan wajah anda dalam kelas.

Pelajar boleh bersifat aktif dengan banyak bertanya soalan atau menaip soalan di ruangan perbincangan (conversation) semasa kelas. Libatkan diri secara aktif apabila guru membuat aktiviti seperti menggunakan Whiteboard online atau sesi interaktif menggunakan Pear Deck.

Pelajar juga boleh menyediakan jadual yang teratur dan mempunyai masa senggang, bukan semua waktu mereka perlu ditumpukan kepada pembelajaran sahaja. Pelajar boleh sediakan sedikit masa seperti di waktu petang untuk kurangkan stress seperti bersenam, menonton televisyen, mendengar lagu, menyanyi dan sebagainya.

Selain itu, pelajar perlu kekal positif terhadap pembelajaran secara atas talian ini. Gunakan masa dengan sebaik-baiknya bagi mendapatkan pengetahuan yang lebih baik.

  • Gangguan Di Rumah

Semasa pelajar berada di sekolah, mereka tidak diganggu oleh persekitaran lain. Mereka tersedia dengan persekitaran belajar. Namun begitu, semasa belajar dari rumah, terdapat banyak gangguan dan persekitaran yang empuk menyebabkan pelajar lebih tertumpu untuk berehat berbanding belajar.

Di samping itu, pelajar juga seringkali diganggu dengan persekitaran yang tidak sesuai di rumah seperti bunyi bising dari kerja-kerja pembersihan (mesin rumput), gangguan adik yang masih kecil ataupun tarikan untuk menonton televisyen.

Bagi mengatasi masalah ini, ibu bapa perlu peka dengan jadual waktu kelas pelajar untuk mengurangkan gangguan. Mereka perlu berada dalam ruang khas tanpa gangguan pihak ketiga semasa belajar dan pastikan waktu rehat yang diberikan dalam jadual waktu dipatuhi.

Pelajar boleh berehat sambil menikmati minum pagi semasa waktu rehat tersebut. Dengan pengurusan masa belajar dan masa bersama keluarga ini, pelajar boleh menumpukan perhatian dalam pembelajaran di samping dapat meluangkan masa berharga bersama keluarga.

  • Kaedah Pembelajaran

Kaedah pembelajaran di sekolah sangat berbeza berbanding di rumah. Di sekolah, pelajar biasanya belajar secara tradisional dengan memberi tumpuan kepada guru dan papan putih di hadapan. Kaedah pembelajaran Abad ke-21 (PAK-21) yang diterapkan oleh guru pula dilakukan oleh pelajar secara bersemuka.

Lain pula halnya dengan pembelajaran secara atas talian. Mereka perlu beradaptasi dengan budaya baharu pembelajaran atas talian yang memerlukan pelajar bersedia mental dan fizikal mereka. Pelajar hanya boleh fokus selama 5 ke 15 minit sahaja jika hanya menonton atau mendengar sahaja apa yang disampaikan oleh guru.

Untuk memastikan hasil pembelajaran yang lebih baik, pelajar perlu mempelajari cara tersendiri untuk memahami isi pembelajaran. Pelajar boleh belajar menerusi interaksi, persembahan maya secara visual, sesi audio ataupun menulis nota. Pembelajaran kendiri mampu membantu pelajar untuk lebih memahami isi pembelajaran.

  • Masalah Komunikasi

Ramai pelajar yang mengalami masalah komunikasi semasa belajar atas talian. Mereka tidak mahu bertanya apa yang tidak difahami kerana malu dan tidak biasa menggunakan teknologi pembelajaran atas talian. Guru juga sukar membincangkan kesilapan pelajar dalam menjawab soalan yang dibuat secara atas talian.

Situasi ini berlaku disebabkan pelajar tersebut kurang mahir  dengan teknologi, tidak berminat dengan apa yang dipelajari, sukar untuk mengekspresikan diri mereka di atas talian serta tidak tahu cara untuk berhubung dengan guru dan rakan mereka di atas talian.

Untuk mengatasi masalah ini, pelajar perlu meningkatkan kemahiran komunikasi mereka dan buang perasaan malu tersebut. Gunakan ruang sembang peribadi (private chat) di platform pembelajaran anda jika anda merasa malu untuk bertanya secara umum dalam kelas.

  • Penglibatan Maya

Pembelajaran atas talian membantu guru menyediakan pelbagai bahan pengajaran yang berinteraktif, menyediakan ruang untuk membuat tugasan, berkomunikasi secara aktif dalam talian, memberikan rakam video dan sebagainya.

Namun begitu, terdapat segelintir pelajar yang tidak boleh melibatkan diri dalam pembelajaran di atas talian disebabkan set minda mereka masih memikirkan pembelajaran dalam bilik darjah sahaja.

Natijahnya, pelajar sukar memahami konsep pembelajaran dan tidak berkomunikasi untuk meningkatkan pengetahuan mereka, lalu menjadikan pelajar tidak bermotivasi dalam pembelajaran.

Oleh itu, pelajar perlu menghantar mesej secara peribadi kepada guru untuk bertanyakan berkenaan konsep pembelajaran jika mereka tidak faham konsep tersebut, ataupun boleh bertanyakan masalah mereka di ruang perbualan dalam kelas maya (conversation stream).

  • Maklum balas

Setiap pelajar perlukan maklum balas akan prestasi pembelajaran mereka supaya mereka tahu kelemahan dan dapat meningkatkan usaha pada bahagian yang lemah tersebut. Maklum balas ini bukanlah hanya selepas peperiksaan sahaja, malahan mereka perlukan maklum balas secara formatif sepanjang tahun.

Setiap tugasan dan projek yang dilakukan oleh pelajar perlu diberikan maklum balas. Namun begitu, didapati pelajar sangat sukar melihat kembali maklum balas yang diberikan oleh guru dalam ruangan tugasan yang dihantar.

Untuk mengatasi masalah ini, pelajar perlu membuka platform pembelajaran atas talian mereka dan selalu menyemak pemberitahuan yang wujud di ruangan tugasan (assignment). Pelajar juga boleh hantar mesej kepada guru mereka untuk bertanyakan berkenaan dengan prestasi semasa mereka.

Setelah mendapat maklum balas daripada guru, pelajar boleh ubah cara membuat tugasan dan projek supaya mendapat markah yang terbaik.

Walaubagaimanapun, pelajar dinasihatkan untuk peka dengan kemahiran komunikasi jika berhubung dengan guru atau tenaga pengajar mereka. Pelajar perlu memulakan mesej dengan ucapan Selamat ataupun Salam, perkenalkan diri dan kelas mereka.

Setelah itu, pelajar perlu memanggil tenaga pengajar mereka dengan kesesuaian gelaran mereka seperti Doktor (Dr), Profesor (Prof), Encik (En), Puan (Pn), Cik, cikgu dan sebagainya serta sentiasa bersopan dalam perbualan mesej. Pelajar perlu menunjukkan budi bahasa yang terbaik setiap masa berhubung dengan tenaga pengajar mereka.

Cabaran PdPR atas talian dan cara mengatasinya bagi tenaga pengajar atau guru

    • Penglibatan Pelajar

Pembelajaran atas talian memerlukan lebih usaha untuk memastikan penglibatan pelajar dalam pembelajaran. Malangnya, pembelajaran tersebut sukar untuk mempengaruhi pelajar pada masa yang lama. Pelajar mudah kehilangan fokus semasa belajar.

Untuk mengatasi masalah ini, guru boleh menggunakan pelbagai kaedah dan alatan yang terdapat di atas talian bagi meningkatkan penglibatan pelajar. Antara platform yang boleh digunakan ialah Microsoft Teams dan Google Classroom.

Sebagai salah seorang guru Microsoft Innovative Educator Expert (MIEE), penulis cenderung menggunakan Microsoft Teams yang dilengkapi dengan pelbagai alatan atas talian yang memudahkan sesi pembelajaran berlangsung secara aktif.

Guru boleh berkongsikan Microsoft Whiteboard dan mengajak pelajar menulis sumbang saran di atas whiteboard tersebut ataupun menggunakan Microsoft Word dan Powerpoint online serta mengajak pelajar memberikan idea mereka secara langsung.

Selain itu, guru boleh menyediakan Slaid bersama Pear Deck (perkhidmatan pihak ketiga yang berbayar atau percubaan sahaja) yang bersifat interaktif untuk membuat pembelajaran secara aktif ataupun menggunakan laman liveworksheet mahupun wordwall. Semua ini dapat meningkatkan penglibatan aktif pelajar dalam pembelajaran.

    • Komitmen Masa

Guru juga perlu meluangkan lebih banyak masa dalam membuat persediaan pembelajaran di atas talian. Persediaan untuk sesi pembelajaran di atas talian secara langsung (live) lebih sukar berbanding pembelajaran di sekolah. Guru juga perlu lebih masa dalam menyemak tugasan yang diberikan secara atas talian dan lebih-lebih lagi masa jika pelajar hantar lambat.

Justeru itu, guru boleh membina hubungan baik (rapport) dengan pelajar untuk mengingatkan mereka mematuhi jadual penghantaran tugasan. Set peringatan kepada semua pelajar untuk menyiapkan tugasan sebelum tamat masanya dan berikan pelajar lebih masa untuk membuat tugasan, biasanya guru boleh berikan masa seminggu untuk menyiapkan tugasan mereka.

Guru juga perlu meningkatkan kemahiran dalam penggunaan alatan di atas talian bagi memastikan guru tidak membuang banyak masa dalam persediaan mengajar. Bagi pengguna Microsoft Teams, guru boleh terus sahaja edit fail PowerPoint dalam channel pembelajaran dan terus tayangkan semasa pembelajaran.

Guru juga boleh menyediakan bahan pengajaran dalam OneNote Class Notebook dan agihkan siap-siap kepada pelajar supaya mereka boleh membuat nota atau tugasan secara langsung dalam OneNote Class Notebook semasa sesi pembelajaran berlangsung.

    • Komunikasi

Dalam pembelajaran secara atas talian, guru sukar berkomunikasi dengan pelajar terutamanya pelajar yang pasif dan bersikap pemalu. Pembelajaran atas lain juga menyebabkan kita berkomunikasi tanpa bahasa badan dan pelajar kurang memahami apa yang disampaikan kerana kurang peka dengan intonasi suara guru.

Untuk mengatasi masalah ini, guru boleh berkomunikasi dengan private chat pelajar tersebut di ruangan chat. Guru juga boleh membuat jadual waktu untuk menghubunginya di chat ataupun call untuk memberikan pelajar ruang berkomunikasi dengan guru.

Guru juga boleh menggalakkan komunikasi sihat antara pelajar dengan memberikan mereka masa 5 ke 10 minit awal untuk berbual-bual sesama mereka bagi meningkatkan kemahiran psikososial mereka.

Kemudian, guru boleh menggunakan teknologi Breakout Room dalam Microsoft Teams Meet Now untuk mengagihkan mereka kepada kumpulan kecil dan meningkatkan komunikasi mereka dalam kumpulan kecil. Guru boleh menyertai satu per satu ‘room’ tersebut untuk berkomunikasi dengan kumpulan kecil.

    • Pentaksiran

Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) sangat penting bagi memastikan guru boleh menilai pencapaian pelajar secara formatif. Malangnya, pembelajaran atas talian menyebabkan kurangnya penglibatan pelajar untuk menghantar tugasan dan menyukarkan guru membuat pentaksiran dengan baik.

Bagi mengurangkan masalah ini, guru boleh membuat kuiz menggunakan soalan objektif dalam Microsoft Teams Assignment dan menyediakan templat nota, soalan dan latihan dalam OneNote Class Notebook, seterusnya diagihkan menggunakan Microsoft Teams Assignment.

Dengan menggunakan teknologi assignment ini, guru mudah mengesan Grade pelajar mereka, seterusnya boleh memberikan Tahap Penguasaan (TP) yang tepat mengikut pencapaian pelajar. Pelajar juga mudah membuat penilaian tersebut menerusi templat yang disediakan oleh guru.

    • Maklum Balas

Guru juga berhadapan dengan kesukaran memberikan maklum balas kepada pelajar mereka. Pelajar juga tidak membuka semula tugasan yang diserahkan kembali berserta komen daripada guru.

Oleh itu, guru perlu menggunakan ruang komen pada assignment yang diberikan dalam Microsoft Teams untuk memberikan nota peribadi secara langsung kepada pemberitahuan (notification) pelajar.

Pelajar yang menggunakan aplikasi Microsoft Teams di telefon pintar akan dapat pemberitahuan tersebut secara automatik dan dapat membaca komen guru dalam tugasan tersebut.

    • Sistem Pengurusan Pembelajaran (LMS)

Terdapat guru yang sukar untuk menggunakan sistem ini kerana kurang kemahiran dengan teknologi ICT. Guru juga berhadapan dengan kesukaran membina bahan pengajaran dan bahan pentaksiran dalam sistem ini.

Oleh itu, guru perlu meningkatkan pengetahuan dan berkorban masa sedikit untuk mempelajari sistem pengurusan pembelajaran ini. Bagi mengatasi masalah ini pada pengguna Microsoft Teams, Microsoft menyediakan ramai pembantu termasuklah di Malaysia dengan program MIEE ini.

Setiap MIEE akan membantu guru untuk meningkatkan kefahaman guru menerusi seminar, webinar dan terdapat juga yang membuat ‘Channel Telegram’ sokongan kepada Microsoft Teams. Microsoft juga menyediakan ruang pembelajaran atas talian bagi guru di laman Microsoft Educators Center dan memberikan sijil kepada mereka yang belajar di sana.

Guru boleh mendaftar di https://education.microsoft.com/ dan boleh terus mengikuti pelbagai pembelajaran di sana. Terdapat banyak kursus atas talian yang dijalankan oleh Microsoft dan guru boleh menerima lencana yang sesuai dengan apa yang telah dipelajari.

    • Kaedah Pengajaran

Terdapat juga guru yang sukar mengubah cara pembelajaran di atas talian kerana terikat dengan kaedah pembelajaran dalam bilik darjah yang secara amnya menggunakan kaedah rujuk buku teks dan ‘chalk and talk’.

Guru perlu meningkatkan penguasaan kelas secara maya dan menggunakan banyak kaedah Pembelajaran Abad ke-21 (PAK-21) dalam talian yang boleh dipelajari atau menerusi pembacaan.

Microsoft Educators Center juga menyediakan banyak kaedah pembelajaran yang boleh dipelajari secara percuma. Guru boleh mendalami dan menggunakan teknik-teknik pembelajaran tersebut.

    • Penipuan Peperiksaan

Peperiksaan perlu diadakan untuk mengesan pencapaian sumatif pelajar. Malangnya, pelajar yang duduk di rumah pasti boleh meniru dan merujuk kepada orang lain semasa menjawab peperiksaan. Natijahnya, pencapaian pelajar melebihi daripada yang sepatutnya.

Untuk mengatasi masalah ini, guru dan pihak pengurusan perlu melebihkan kepada penilaian secara formatif atau PBD melebihi daripada satu ujian sahaja. Pelajar perlu diterapkan dengan pemberian tugasan dari semasa ke semasa dan tidak terlalu banyak pada satu-satu masa. Tugasan yang terlalu banyak yang diberikan akan menyebabkan pelajar kurang bermotivasi dalam membuat tugasan.

    • Masalah Teknikal

Masalah teknikal sering terjadi semasa membuat kelas atas talian dan tiada sokongan teknikal yang boleh didapati semasa mengajar dari rumah. Tiada guru ICT yang boleh bantu mereka pada waktu itu.

Keadaan ini meningkatkan stress guru dan menyebabkan sesi Pengajaran dan Pembelajaran dari Rumah terganggu dan tertangguh sehingga membuang masa guru dan pelajar.

Selain itu, terdapat guru yang tidak dapat menggunakan teknologi LMS yang canggih kerana menggunakan komputer yang telah lama dan perisian yang tidak dikemaskini (updated).

Bagi mengatasi masalah ini, guru boleh mencuba terlebih dahulu kelas atas talian sebelum membuat kelas dan menghubungi orang teknikal untuk bantuan jika ada permasalahan yang timbul.

Guru juga perlu mengemaskini perkakasan dan perisian yang digunakan bagi memastikan sesi PdPR berjalan lancar. Guru perlu menukar komputer riba kepada model yang lebih baharu dengan perisian Windows 10 jika mahu menggunakan Microsoft Teams dengan baik.

Untuk pengalaman penggunaan Microsoft Teams yang terbaik, guru boleh menggunakan komputer dengan spesifikasi minimum kelajuan prosessor 1.6 GHz (dual core), 4.0 Gb RAM dan kapasiti HDD 3.0 GB ruang kosong.

    • Sukatan Pengajaran

Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) yang dibina sebelum ini lebih  sesuai digunakan untuk pembelajaran dalam kelas. Keadaan ini menyukarkan guru untuk mengajar dan memberikan tugasan berdasarkan DSKP kepada pelajar secara atas talian.

Justeru itu, guru perlu menyemak Dokumen Penjajaran Kurikulum (DPK) yang boleh dimuat turun daripada laman Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK) iaitu di laman web http://bpk.moe.gov.my/index.php/terbitan-bpk/lain-lain/category/445-dokumen-penjajaran-kurikulum-2-0 dan selaraskan dengan pengajaran guru.

Likes page baru kami: The Patriots 2.0 (https://www.facebook.com/thepatriots2.0asia/)

Rumusan

Sebagai kesimpulannya, norma baharu dalam pembelajaran ini mempunyai banyak cabaran dan dugaan. Namun begitu, ia perlu diteruskan dengan baik bagi memastikan generasi baharu kita tidak ketinggalan dalam pendidikan.

Justeru itu, semua pihak termasuklah guru, pelajar, ibu bapa, masyarakat setempat dan sebagainya perlu memainkan peranan masing-masing bagi memastikan kelangsungan pendidikan yang mapan di negara kita.

RUJUKAN:

    1. ANU_V (27 April 2021), “Online Learning Challenges & How to Overcome These Problems, General Education” (https://www.embibe.com/exams/online-learning-challenges-and-solutions/). dilayari pada 19 Jun 2021
    2. Portal Malaysia (7 Februari 2021), “Bantuan Telefon Pintar Percuma B40 – Cara Permohonan & Semakan Status” (https://www.portalmalaysia.com/bantuan-telefon-pintar-percuma-b40/). dilayari pada 19 Jun 2021
    3. Cerdik (https://www.cerdik.org/ms/)
    4. Kurt Engelmann (2020), “Suggestions for Including Direct Instruction (DI) in Distance Learning”. National Institute for Direct Instruction.
    5. Bahagian Pembangunan Kurikulum (http://bpk.moe.gov.my/)
    6. Fullan, M., Quinn, J., Drummy, M., Gardner, M. (2020), “Education Reimagined; The Future of Learning”. A collaborative position paper between New Pedagogies for Deep Learning and Microsoft Education.
    7. Microsoft Education (June 2020), “Resilience and Transformation for the Future of Learning”.

Ruangan komen telah ditutup.